30 September 2011

Bahu Tempat Menangis 3

Apa yang saya tulis dalam siri Bahu Tempat Menangis sebelum ini adalah apa yang saya dengar dan perhatikan sendiri. Ia bukan rekaan atau khayalan saya sebagai penulis. Ia juga bukannya hasil bacaan disana sini.

Garapan saya itu berdasarkan keluhan dan rungutan kawan-kawan saya. Mereka ini sama ada mantan orang kuat politik atau bekas pegawai kanan Kerajaan. Bekas@mantan orang kuat politik adalah bekas wakil rakyat atau bekas menteri yang bergaul dengan saya sejak sekian lama. Sebahagian dari mereka adalah rakan-rakan yang menjadi team solat jumaat saya. Mereka ini adalah rakan-rakan peribadi saya hingga ke hari ini.

Mungkin ada orang akan secara sinis menempelak keluhan teman-teman saya ini. Bagi saya teman-teman ini punyai pendirian dalam berpolitik atau semasa mengetuai sesuatu jabatan. Sebab itu mereka sanggup bercerita, apatah lagi kalau kami makan tengahari sesudah solat jumaat. Dua atau tiga jam itu akan dihabiskan bercerita itu dan ini.

Jangan anggap bahawa sesudah tidak berkuasa barulah mereka merungut. Akibat berpegang pada prinsiplah mereka ini, terutama rakan-rakan politik saya, jangka hayat mereka sebagai ahli politik tidak panjang. Jangka hayat politik mereka semput-semput walaupun bapa-bapa mereka negarawan.

Kadang-kadang saya kasihan melihat teman-teman ini. Walaupun mereka masih kaya raya, mereka seperti dipinggirkan. Rupa-rupanya pengalaman ini dirasai oleh ramai orang. Sungguhpun ada yang masih menghisap cigar berharga rm500 atau lebih sebatang, keluh kesah tetap ada. Kekayaan tanpa kuasa rupa-rupanya kurang bermakna.

Patutlah ramai sangat orang merasa takut hilang kuasa!.

29 September 2011

Khabar Dari The Mall

The Mall adalah nama kompleks perniagaan yang ternama. Terletak berhadapan PWTC dan hotel Sri Pacific serta bersebelahan hotel the Legend memberikan imej tersendiri kepada the Mall. Kompleks itu dikira tempat mewah. Kompleks itu dianggap simbol orang berduit.

Bagi saya the Mall di Kuala Lumpur ini hanya biasa-biasa saja. Ianya tidaklah semewah yang disangka, semewah yang digambarkan. Kompleks itu hanya menempatkan pusat membeli belah dan agensi Kerajaan. Tiada yang istimewa. Lagipun semasa ofis saya beroperasi di Jalan Rahmat bersebelahan dewan pameran PWTC, the Mall hanya tempat saya makan tengahari. The Mall hanyalah tempat saya minum kopi.

Dengan berjalan kaki saya akan sampai ke the Mall dalam masa yang singkat. The Mall yang ramah dengan pengunjung itu sentiasa mesra menyambut saya. The Mall tidak seperti Sogo yang padat dengan manusia. The Mall sesak cuma sesekali, terutama semasa berlangsungnya pesta buku antarabangsa atau Persidangan Agung Umno. Selain dari waktu itu the Mall cukup lapang tanpa kelam kabut.

Yang membezakan the Mall dengan tempat tumpuan atau kompleks perniagaan lain ialah disitulah tempat berkumpul segala broker-broker perniagaan dan ahli-ahli politik berbagai kelas. Disitulah juga tempat berkumpulnya agen-agen tertentu. The Mall sudah menjadi semacam "sarang" mereka.

Disinilah kita boleh temui surat tawaran kontrek atau konsesi balak bernilai berjuta-juta. Disini juga terdapat borang berkaitan permohonan tanah yang belum dibayar premium. Disini ada agen, ada penjual, ada pembeli. Disinilah mereka bertemu terutamanya diwaktu petang berbual sambil minum-minum.

Jangan terkejut kalau terdapat entah berapa ramai dato' atau kadang-kadang tan sri berlegar disitu. Mereka kesana bukan untuk jual projek. Kebanyakan dato' atau tan sri itu kesana bukan untuk jadi agen. Bagi mereka the Mall ibarat mini Parlimen dimana isu-iau negara dibahaskan. Untuk mengunjungi Parlimen bekas orang kuat politik seperti ini rasa sedikit segan, maklumlah mereka mungkin kurang diperhatikan lagi.

Maka jadilah the Mall tempat terbaik berjumpa dan bersembang. Berita atau khabar yang diperolehi dari the Mall sukar diperolehi di tempat lain. Cerita-cerita dari the Mall biasanya bertaraf separuh resmi. Cerita-cerita begitu akhirnya sebahagian besar didapati benar. Ada juga cerita-cerita auta, temberang dan angan-angan. Walaupun begitu khabar dari the Mall bukannya sebarang khabar.

Kalau ada masa, ada duit lebih, berkunjunglah ke the Mall. Jika sesudah minum dan terasa mahu balik awal, jangan fikir banyak kali untuk membayar harga makanan dan minuman bagi dua tiga meja. Khabar yang saudara dengar disitu nilainya lebih besar dari nilai wang yang saudara belanjakan.

Begitulah.

Durian Gajah Dan Kopi Tahi Musang

Sejak sekian lama saya memang minat masuk ke hutan. Sewaktu musim berburu saya akan ikut kawan-kawan berburu, biasanya disekitar bulan november atau disember bila Perhilitan mengeluarkan lesen. Kalau bukan musim berburu biasanya saya masuk hutan untuk memancing atau mengikuti aktiviti lasak kenderaan 4x4.

Bersama kawan-kawan kami akan masuk jauh ke hutan, biasanya di pedalaman Pahang, Selangor, Perak atau Johor. Ekspedisi ini mengambil masa beberapa hari. Sudah tentulah kami bermalam didalam khemah di hutan. Jangan tanyalah soal lintah, pacat dan nyamuk. Kalau masuk hutan janganlah hendak diharap tilam empuk. Lena di banir pokok pun jadi. Tidur di dalam khemah beralaskan tikar nipis cukup enak rasanya. Kalau hanya kain pelikat yang dibawa, kesejukan di dalam hutan akan membuat kita mengerekot sampai ke dagu.

Bagaimana enaknya makan, beraktiviti dan tidur dalam hutan memang sukar mahu dicerita. Hanya pengalaman yang dapat menggambarkan segala-galanya. Nasi sejuk sama sambal cukup sedap rasanya. Daging fresh dipotong, basuh sikit-sikit kemudian dipanggang sudah cukup menterbalikkan sebuah periuk nasi bersaiz sederhana. Ulam serai kayu, cemamar, sekentut dan ikan haruan sebesar lengan dibakar bersalut tanah liat amboi mak sangatlah sedapnya. Sesekali ikan tengalan, patin dan baung masak tempoyak atau cili api membuat nasi dimakan sehingga keraknya!

Begitulah pengalaman saya selama ini. Mendengar ngauman harimau, tempikan gajah dan dengusan babi hutan adalah perkara biasa. Menemui durian tahi gajah sepertimana pengalaman kami di sekitar hutan tasik Bera juga cukup mendebarkan. Najis gajah yang masih berasap menunjukkan binatang itu baru sahaja lalu. Rumput yang membaluti durian dan keluar sebagai najis itu bukannya sedikit. Kawanan gajah terdiri dari beberapa ekor hingga berbelas ekor. Rasa takut juga dibuatnya.

Kata orang durian tahi gajah boleh dimakan. Itu kata orang Asli dan cina pekerja balak. Memanglah boleh dimakan sebab durian itu hampir tidak terjejas langsung. Hanya dari segi hukum fekah tentulah ini menjadi was-was sebab ianya adalah keluar sebagai najis gajah. Najis hukumnya tidak boleh dimakan.

Tentulah durian tahi gajah ini tiada bezanya dengan kopi tahi musang. Katanya kopi itu adalah kopi terbaik yang dimakan musang lalu dikeluarkan sebagai najis. Biji kopi itu tidak terjejas, masih elok dan boleh dimakan. Kopi tahi musang telah diangkat sebagai kopi terbaik Indonesia. Dia dikatakan mempunyai aroma terbaik dan lazatnya sukar mahu digambarkan.

Bagi saya durian tahi gajah atau kopi tahi musang sama saja tarafnya!.

28 September 2011

Bahu Tempat Menangis 2

Sungguh seperti sudah ditakdirkan segala masaalah mulai datang bila kita sudah tidak lagi berkuasa. Kalau dulu rumput di halaman rumah tidak sempat menjalar karena dipijak kasut-kasut mereka yang datang bertandang. Kalau dulu ada saja buah tangan dikirim : ikan kelah, daging kijang, kulat susu harimau, daging rusa galak dan sebagainya. Sekarang semua itu sudah tiada.

Kalau dulu semua itu free, sekarang kena beli. Dulu pantang habis bertanya sudah ada jawapannya, sekarang sudah ada yang pura-pura pekak badak. Kalau dulu naik heli tentera pulang melawat kawasan, sekarang hendak mendekati helikopter itu pun jangan mimpi.

Jangan tanya soal kompang dan bunga manggar. Jangan tanya soal silat menyambut pembesar. Jangan tanya soal meresmikan apa-apa majlis, semua itu sudah tiada lagi. Semuanya tinggal kenangan.

Semua itu terjadi bila sudah tiada kuasa lagi. Semua itu terjadi bila tidak lagi bergelar pembesar negara atau pembesar negeri. Semua itu berlaku bila cakap sudah lagi tidak laku, bila sudah tidak jadi menteri, wakil rakyat atau ketua jabatan. Orang sudah tidak lagi hormat. Ah aku peduli apa, dia sudah tidak ada kuasa!.

Sebab itu ramai orang takut hilang kuasa. Hilang kuasa bererti tidak dipedulikan lagi. Jadi anjing buruk kepala. Sudahlah anjing itu najis, kepalanya buruk pula. Sungguh kasihan, menyedihkan. Kerana takut jadi beginilah orang sanggup jumpa segala bomoh, segala dukun. Sanggup mandi bunga, mandi di atas kubur dan berbagai lagi.

Kalau semua usaha untuk kekal berkuasa itu tidak berjaya, adakah sesiapa mahu membiarkan bahunya menjadi tempat mengalirkan airmata. Sanggupkah dia, tanpa pura-pura melihat airmata jatuh tap, tap, tap?

Sanggupkah?

Bahu Tempat Menangis

Hidup melalui pancaroba yang pelbagai. Kita ditakdirkan menghadapi suka duka susah senang silih berganti. Jatuh bangun dalam hidup sesuatu yang lumrah. Tidak ada orang yang sentiasa di bawah atau sentiasa di atas. Itulah hukum alam.

Masa kita di atas, sewaktu kocek penuh wang ramai teman dan rakan mengelilingi kita. Hanya cerita seronok yang diperkatakan. Hanya ampu dan hasutan menjadi halua telinga. Rumah kita akan sentiasa ramai dengan kenalan mengadu itu dan ini. Kalau kita hendak bersin ada yang akan cepat-cepat hulurkan kertas tissue. Ada yang terbongkok-bongkok tunduk menghormati kita. Pegawai-pegawai bank dan jurujual silih berganti buat temujanji untuk berjumpa. Jambangan bunga dan kek berlambak di rumah dan di pejabat bila tiba tarikh hari jadi kita. Entah siapa yang menghantarnya, entah berapa harganya.

Puji-pujian usah kiralah. Tukang ampu memang ramai, memang handal. Masing-masing hendak menggembirakan kita. Masing-masing mahu dekat dengan kita. Masing-masing mahu berbudi. Mereka sanggup lakukan apa saja untuk mengambil hati kita. Begitulah.

Masa kita jatuh, masa kita susah, adakah mereka ini disamping kita. Adakah teman yang sanggup menghulurkan bahunya tempat kita menangis? Mana pergi segala pukulan kompang? Kemana menghilang segala sanjungan? Kemana perginya payung yang dihulurkan sebelum ini?

Kita hanya menangis sendiri. Kita jadi manusia terbuang. Kita sudah tidak berguna lagi. Kita hanya sejarah silam. Kita cuma pahlawan yang tewas. Kita ditinggalkan. Yang ada pada kita hanya nostalgia sewaktu berkuasa!

27 September 2011

Berguru Dari Kesusahan

Hidup kita berbagai-bagai. Ada yang senang dan ada yang susah. Orang senang hidup cara senang, orang susah hidup cara susah. Setiap orang juga akan merasai detik-detik senang atau saat-saat susah sepanjang hidupnya sebagai manusia. Itulah adat hidup. Senang dan susah silih berganti.

Tidak ada orang mahu susah. Kalau boleh kita tidak mahu merasai pahit maung hidup susah. Hidup akan menjadi lebih susah kalau kita pernah senang. Kalau tidak pernah senang tidaklah terasa sangat. Kalau sepanjang masa susah, ianya sudah menjadi suatu kesenangan!

Beberapa tahun lama saya mengalami detik-detik getir dalam hidup. Anak saya disahkan mengidap penyakit kronik dan terpaksa dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Rawatan di Institut Padeatrik HKL ini mengambil masa cukup lama. Oleh kerana anak itu memerlukan jagaan, saya membuat satu keputusan besar iaitu saya akan menjaganya di wad.

Saya katakan keputusan besar ialah kerana saya kena memilih antara menjaganya sendiri atau meminta orang lain menjaganya. Menjaganya sendiri bermakna saya kena tidur di hospital untuk satu tempoh yang tidak pasti. Menjaganya bermakna segala tali leher dan pakaian berjenama yang selalunya membaluti saya mesti dikesampingkan. Menjaganya bermakna saya selalu kena berkain pelikat, berbaju seadanya, bersandal dan hidup koro dalam wad.

Demi anak, saya memilih untuk menumpukan perhatian bagi melawan penyakit yang dihadapi anak saya. Tidak mengapa, wang boleh dicari. Tidak mengapa saya makan nasi hospital yang sedap itu. Tidak mengapa saya mundar mandir di hospital kongo tidak tahu mahu buat apa semasa anak saya dalam bilik rawatan.

Dan disepanjang hampir dua tahun anak saya dirawat entah berapa kematian pesakit saya saksikan sendiri. Kadang-kadang hampir setiap hari ada kematian. Kanak-kanak yang belum begitu mengenal dunia dijemput pergi dalam usia amat muda. Kanak-kanak yang belum puas bermain pergi menemui Ilahi dengan ditangisi keluarga dan rakan taulan. Mereka pergi seorang demi seorang.

Bagi saya kematian sudah jadi perkara biasa. Membantu keluarga simati sudah jadi peraturan tidak bertulis disitu. Menghulur wang membeli pampers atau makanan yang diidam kanak-kanak yang sakit itu usah disebut lagi. Kalau ada duit hulurkan saja. Kadang-kadang bila bapa atau ibu kanak-kanak berkenaan hendak pulang 'cuti' sedangkan wangnya tiada sudah tentu kena dibantu.

Itulah rutin harian selama berbulan-bulan, jaga anak dan jaga anak. Tugas professional saya hampir terabai, mujurlah ada rakan kongsi dan pembantu-pembantu. Saya memang tidak boleh menumpukan perhatian kepada kerja. Tidak mungkin saya boleh berfikir bagi menyelesaikan masalah client sedangkan seluruh jiwa dan minda saya di wad hospital. Saya akan berlaku tidak adil kepada mereka yang mengharapkan khidmat saya.

Pengalaman tersebut mengajar saya beberapa perkara dalam hidup. Yang pertamanya ialah jangan mengharapkan orang yang pernah kita tolong akan menolong semasa kita susah. Kedua, semasa susahlah kita dapat menilai saudara dan kawan sebenar. Ketiga, walau susah bagaimanapun akan ada penyelesaiannya. Keempat, jangan putus berusaha. Kelima, mati itu amat dekat!.

Kalau orang bertanya bagaimana saya boleh bertahan dalam keadaan pendapatan yang susut tiga perempat dari pendapatan biasa semasa menjaga anak itu, jawapannya amat mudah. Saya sudah alami insiden bekalan eletrik hendak dipotong, saya sudah alami income tax membuat tuntutan, kad kredit minta dibayar dan entah apa.lagi. Semua itu saya lalui. Saya berguru melalui pengalaman. Jadi apa perlunya saya panik dan susah hati?

Yakinlah bahawa Allah menguji kerana kita mampu menghadapinya. Segala-galanya ditangan Allah. Kun fayakun.

Lutut Sakit Leher Perit

Memandu dalam kesesakan jalanraya memang memeritkan. Terasa lenguh segala sendi. Lutut jadi sakit kalau kenderaan jenis bukan otomatik. Kenderaan jalan tersengguk-sengguk macam kura-kura abau melintas jambatan kayu. Berjalan berhenti, berjalan berhenti.

Kalau misalnya ada pula hujan keadaan jadi lagi parah. Kesesakan demi kesesakan dimana-mana sahaja. Jalan enam lorong terasa macam tiada guna. Naik kereta lembu lebih cepat sampai ke destinasi berbanding memandu kereta mewah serba canggih. Berpeluh jadinya walaupun kenderaan dipasang alat hawa dingin terkini. Bahu peluh dan jebat menerpa hidung satu persatu.

Mana ada pemandu rasa gembira dalam keadaan begitu. Kadang-kadang terasa mahu saja kenderaan ditinggalkan terbungkang di tepi jalan. Ada kenderaan pun tak guna. Minyak habis, tenaga habis, kenderaan berjam-jam tersangkut.

Demikianlah yang dialami sehari-hari oleh warga kota. Perkataan 'kesesakan jalanraya' atau 'traffic jam' bukan suatu perkara asing. Keadaan itu sudah jadi lumrah, sudah mangli. Kesesakan jalanraya sudah jadi satu dari rencah kehidupan dunia perbandaran. Kesesakan jalanraya dikaitkan dengan bertambahnya pendapatan rakyat : semakin bertambah pendapatan rakyat semakin banyak kenderaan persendirian dijalan.

Sungguhpun begitu kesesakan yang melampau bukanlah satu pertanda yang bagus. Petrol dihabiskan. Karbon dioksida semakin banyak di ruang udara. Masa bersama keluarga banyak yang terbuang. Mesyuarat tergendala. Kadang-kadang orang jadi iseng oleh kerenah kesesakan jalanraya. Kadang-kadang kesesakan sebegitu membuat seseorang bertambah naik tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Sudah tentu para perancang bandar dan jurutera jalanraya sudah jenuh memikirkan jalan bagi mengatasi masalah ini. Sudah pasti mereka telah berusaha sebaik mungkin. Jalan yang sentiasa sesak tidak bagus untuk semua orang. Tidak untuk siapa saja.

Namun sehingga kita kesesakan jalanraya di bandar-bandar besar di negara kita masih seperti sebelum ini. Tidak berubah. Kesesakan jalanraya masih menghantui setiap orang.

Rakyat biasa macam kita akan terus sakit lutut untuk suatu jangkamasa yang lama!.

Selembut Pagi

Pagi ini cuaca amat nyaman sekali. Redup akibat hujan nyata mendamaikan. Cahaya mentari bagaikan malas mahu memanah bumi. Awan kemulus masih bertebar megah di angkasa. Akan hujan lagikah sebentar nanti?

Dikejauhan terdengar suara katak memanggil hujan. Burung murai yang biasanya bermulut becok hilang entah kemana. Sang rama-rama bersembunyi. Ketitir dan balam tidak galak berbunyi. Hanya sesekali kedengaran burung merbah dan tempua berlagu risau entah kerana apa.

Memang damai. Mengasyikkan. Mempesonakan. Namun hatiku bertanya apakah erti semua ini. Apakah segala unggas itu sedang bertapa? Ataukah mereka bersedih atas kematian rakannya? Mungkinkah mereka sedang bersidang ehwal alam sekitar yang makin rosak binasa?

Dan hatiku menggaru-garu benak yang tidak kelihatan sambil bertanya : apa mahu berlaku kepada dunia kita?

Tsunami sudah acap terjadi. Gempa bumi sudah tidak terhitung. Banjir besar berlaku bila-bila masa sahaja. Ribut taufan dengan gembira melanda berbagai benua. Kemarau panjang membunuh haiwan, tanaman dan manusia. Perang berlaku dimana-mana. Kerosakan demi kerosakan mencangkul bumi sedikit demi sedikit.

Oh demikiankah apa yang berlaku?

Moga pagi lembut ini dapat kita nikmati sebelum dunia dibawa pergi menurut ketentuan Ilahi.

Bukankah tangan-tangan manusia yang merosakkan dunia ini? Dunia kita bersama sedang menuju penghujungnya!

26 September 2011

Perubahan Minda

Petang tadi saya berbual panjang dengan seorang general bersara. Beliau masih segak bergaya walaupun umurnya sudah hampir 70 tahun. Baju bertali leher lengkap dengan kot menampakkan ketampanan beliau. Masih ceria dan sihat orangnya.

Perbualan selama hampir dua jam itu sungguh bererti buat saya. Sebelum ini saya jarang berbual panjang dengan pegawai kanan atau mantan pegawai tinggi tentera. Kalaupun berbual hanya sekedar cerita hal keluarga. Selalunya bila berbual dengan pegawai atau bekas pegawai begini kita hanya menjadi pendengar. Disiplin tentera seperti mensyaratkan orang lain hanya mendengar. Itu saja.

Sembang petang yang bertali arus itu menjangkau berbagai topik, dan sudah tentunya hal politik tanah air turut dibualkan. Sudah tentu segala segmen politik dan khabar burung turut disentuh. Malah ada ketikanya perbualan rancak itu menjadi begitu serious bila isu-isu negara diperkatakan satu persatu.

Bagi saya bualan@sembang@gebang petang tadi menampilkan satu hal yang penting. Sungguhpun mantan general itu masih mendokong parti pemerintah pusat, ternyata beliau cukup kritikal. Perubahan pemikiran nyata sudah. Kalau dulu general begini amat jarang bercakap secara terbuka dalam isu-isu negara, kali ini amat jelas berbeza. Pemikirannya nampak seakan selari dengan keluhan-keluhan semasa.

General ini nyata amat sayang pada negara, sama seperti kita semua. Tentulah sayang beliau sayang bertempat. Puluhan tahun usianya dihabiskan dalam tentera demi mempertahankan negara. Tentu beliau ada cerita suka duka selama bergelar tentera. Wajarlah kalau beliau melihat dengan hati yang walang akan apa yang sedang berlaku di tanah air. Memang patut beliau merasa begitu. Sayang beliau kepada negara mengatasi segala-galanya.

Mengambil intipati dari bualan separa serious itu saya dapat katakan bahawa hampir segenap lapisan masyarakat memandang secara kritikal perkembangan politik semasa. Hampir semua orang yang boleh berfikir, yang tidak emosi membuta tuli bimbang jika panas politik sekarang tidak ditangani dengan berhemah, segala yang kita bina selama ini akan hanya tinggal menjadi kenangan. Apa yang sudah dibina mungkin punah begitu sahaja.

Saya berkongsi nostalgia dan emosi mantan general itu. Saya fikir ini juga dikongsi ramai dikalangan kita. Bahawa untung nasib dan halatuju negara ini menjadi perhatian rakyat bukanlah perkara baru. Rakyat negara kita tanpa mengira keturunan tidak mahu negara ini dilanda musibah. Semangat patriotik rakyat, tanpa mengira kecenderungan  berparti, jangan dipersoalkan. Jangan hanya kerana sesuatu kenyataan dibuat oleh seseorang, kita mendesak tindakan yang bukan-bukan terhadap beliau. Berpolitik ada sopannya, ada hadnya.

Semoga kita sekelian mengerti. Semoga.

Sama-sama Cari Makan

Selalu kita dengar istilah 'cari makan' atau 'sama-sama cari makan' disebut oleh semua lapisan masyarakat di negara kita tanpa mengira pangkat dan keturunan. Istilah ini menjadi antara istilah yang popular dan difahami oleh hampir semua orang. Mat Bangla yang baru dua bulan bekerja di negara kita juga tahu maksud istilah ini.

'Cari makan' sudah menjadi semacam cara hidup di negara ini. Konsep cari makan menguasai minda dan tindakan kita. Cari makan bermaksud mencari rezeki untuk dimakan. Cari makan kadang-kadang tiada batasnya, tanpa mengira haram atau halal, sah atau tidak. Cari makan merentasi sempadan usia, sempadan jantina. Cari makan membuatkan orang kadang-kadang jadi gila.

Kerana cari makan orang sanggup buat apa saja. Orang sanggup bermati-matian mencari makan. Segala rintangan akan diatasi hanya kerana cari makan. Tanpa berusaha mencari makan, diri atau keluarga dikhuatiri tidak dapat makan.

Benarkah begitu?

Memang semua orang perlu mencari rezki atau bahasa mudahnya, cari makan. Rezeki yang dicari adalah untuk menyara diri dan keluarga. Rezki itu tentunya yang baik-baik dan tidak melanggar agama dan peraturan. Kalau nak cari makan biarlah sehingga tidak mengambil hak orang lain. Kalau nak cari makan biarlah jangan tamak sehingga bertimbun ke generasi cucu cicit. Kalau cari makan cara betul tidak mengapa.

Yang berlaku hari ini ialah konsep cari makan telah bertukar menjadi mengumpul kekayaan tanpa peduli hak orang lain. Kononnya cari makan tetapi sanggup pijak kepala kawan. Cari makan tetapi menipu sana sini. Cari makan dengan temberang kosong. Cari makan hanya kerana kenal orang berpengaruh, kenal ahli politik. Jadi penjual kawasan balak tetapi balaknya entah dimana.

Yang sedihnya ada ahli politik yang jadikan bidang itu tempat mencari makan. Umpamanya waktu ini ramai sangat ahli politik atau kakinya berusaha melobi agar dapat jadi calon. Bila jadi calon dan menang pilihan raya dapatlah ruang cari makan bertambah luas.

Wajarkah ini berlaku? Bukankah politik untuk berkhidmat, bukan cari makan?

Boleh kalau politik menjadi ruang mencari makan, tetapi biarlah berpada. Kita boleh lakukan apa saja demi mencari makan asal halal, asalkan sah!

Ayuh, mari kita cari makan. Sama-sama kita cari makan.

Kalut Pagi Isnin

Memang hari isnin hari yang sibuk. Hari dimana segala aktiviti mingguan bermula. Hari inilah ramai orang bergegas ke pejabat, ke gedung atau kemana sahaja untuk memulakan tugas atau perniagaan. Hari isnin ibarat penghulu segala hari.

Sungguh nampak kalut setiap hari isnin, apa lagi diawal pagi. Kalutnya bukan kepalang. Kelam kabutnya macam keadaan nak berperang. Jalanraya penuh dengan kenderaan. Bas sekolah beratur di jalan-jalan menuju destinasi. Motorkar, motosikal malah apa saja kenderaan berpusu-pusu membanjiri jalan. Bas atau lori tidak terkecuali.

Kenapa pagi isnin jadi kalut? Kenapa pagi isnin jadi ribut? Apa sebabnya pagi isnin ramai orang tidak bermuka ceria?

Sepatutnya hari isnin, lebih-lebih lagi paginya, kita bermuka ceria. Kita menguntum senyum. Kita menjadi lebih selesa setelah dua hari berhujung minggu. Kita bertolak ke tempat kerja dengan hati yang berbunga, dengan wajah gembira. Kita jadikan pagi isnin tidak bernafas dalam lumpur. Biar pagi isnin menjadi pagi terbaik untuk kita semua.

Oleh itu jangan kita jadikan pagi isnin hari berlumba-lumba di jalanraya. Memang semua orang perlu segera sampai ke tempat kerja. Memang semua orang perlu punch card. Memang ramai orang perlu beratur atau sebagainya. Kenapa perlu kalut? Kenapa perlu terburu-buru?

Yang menjadikan pagi isnin kalut dan kelam kabut adalah kita sendiri. Kitalah juga yang boleh membikin pagi isnin tenang dan sentosa. Kita juga boleh membuat pagi isnin penuh ceria. Adakah kita sanggup atau mampu melakukannya?

Tentulah kita mampu!.

25 September 2011

Keamanan Dan Kemasyarakatan

Semalam saya menghadiri majlis perkahwinan
anak kepada saudara saya di USJ 11, Subang Jaya. Ramai saudara-mara turut hadir meraikan majlis itu, apalagi saudara saya itu kurang sihat dan isterinya pula berkerusi roda setelah kakinya dipotong akibat sejenis penyakit kronik.

Majlis itu memang meriah. Tetamu jauh dan dekat menikmati hidangan yang disediakan. Kebetulan rumah saudara saya itu di hadapan taman permainan, jadi banyaklah ruang dapat diguna untuk mendirikan khemah. Kanak-kanak pula gembira bermain buaian dan jongkang-jongkit sementara ibu-bapa mereka beramah mesra sambil menjamu selera.

Suasana ini menggambarkan sebahagian dari keamanan di negara kita. Suasana ini juga sebahagian dari budaya hidup bermasyarakat yang kita nikmati sejak dulu. Sudah tentu setiap orang mahukan suasana begini di persekitaran dan kejiranan mereka. Pastilah ini suatu ciri yang kita dambakan dalam kehidupan harian kita.

Kawasan USJ atau Subang Jaya secara umumnya bukan suatu kawasan yang asing bagi saya. Saya pernah mempunyai pejabat di kawasan itu malahan sehingga sekarang masih sering ke Subang Jaya atas beberapa urusan. USJ dan Subang Jaya sesungguhnya sebuah kawasan perbandaran yang dihuni oleh majoriti golongan menengah tinggi dan mewah di negara kita.

Namun begitu saya perhatikan telah wujud satu situasi baru di USJ. Hampir setiap lorong perumahan disitu sudah berpalang dan dikawal oleh pengawal keselamatan yang hampir keseluruhannya berasal dari negara luar. Saya kira inilah suasana agak baru yang tidak wujud beberapa tahun lalu.

Saya lalu tertanya apakah keadaan keselamatan di sekitar USJ, Subang Jaya atau Lembah Klang secara umumnya begitu gawat sehingga pengawal keselamatan terpaksa dilantik dan dibayar sendiri oleh penduduk? Adakah fungsi polis sebagai penjamin keselamatan sudah pudar?

Kawalan keselamatan di kawasan perumahan sudah bukan menjadi perkara asing di Lembah Klang. Kecurian, samun, penculikan dan rompak amat sering berlaku. Kejadian begitu berlaku tanpa mengira waktu siang atau malam. Kawasan USJ yang dikira sebagai satu kawasan 'elit' telah menjadi satu kawasan kegemaran penjenayah yang membawa perasaan tidak selamat kepada penduduk. Hasilnya penduduk telah berpakat sesama mereka untuk mengawal penempatan masing-masing secara dilantik pengawal keselamatan yang saya sebutkan tadi.

Keamanan yang kita nikmati selama ini nampaknya sudah mulai beransur-ansur hilang. Kejiranan bukan lagi tempat rehat yang nyaman selepas pulang dari penat bekerja. Walaupun norma-norma hidup bermasyarakat masih ada namun kejadian jenayah yang sering berlaku menyebabkan ramai orang mulai tidak selesa. Ramai orang mulai bertanya sampai bila keadaan ini akan berterusan.

Yang pastinya kawalan keselamatan di kawasan perumahan sekitar Lembah Klang semakin menjadi satu kemestian!

Mengeliat Dipagi Ahad

Pagi ahad adalah pagi hujung minggu. Pagi ahad adalah pagi dimana ramai orang tidak pergi bekerja. Pagi ahad adalah off day, hari libur atau disebut juga sebagai hari minggu. Tentulah hari ahad menjadi hari yang dinanti-nanti oleh ramai orang.

Hari ahad atau pagi ahad ada signifikannya tersendiri. Tentunya hari ini adalah hari bermalas-malas, hari dimana tempat tidur lambat ditinggalkan. Hari dimana kain selimut ditarik ke atas menutupi kepala sambil kaki mengerekot hingga kedagu. Pagi ahad ialah pagi dimana ramai orang bangun lewat dari tidur. Pagi ahad ramai orang akan sembahyang subuh gajah atau langsung tidak sembahyang.

Memang sedap mengeliat dipagi ahad.

Cukupkah sekedar mengeliat dipagi-pagi begini? Bukankah pagi ahad menyediakan ruang masa santai yang cukup buat kita bersenam mengeluarkan peluh? Tidakkah pagi ahad wajar kita gunakan untuk menarik nafas panjang-panjang dan kemudian menghembusnya buat menukar oksigen yang lama bertapa dikantung paru-paru?

Setiap dari kita memunafaatkan pagi ahad dengan cara berbeza. Sebahagiannya akan tidur semula sesudah solat subuh hingga matahari tinggi. Sesetengahnya sejak awal-awal pagi sudah menghidupkan enjin kenderaan 4x4 menuju tasik, sungai atau tepi pantai memburu udang galah, toman dan lain-lain ikan. Sesetengah yang lain pula akan ke pasar membeli segala keperluan untuk stok mingguan di rumah.

Ada juga yang menggunakan pagi ahad untuk bersenaman buat menyihatkan badan. Tidak kiralah apa jenis senaman asalkan badan sihat, asalkan lemak-lemak yang berbonjol-bonjol pada anggota tertentu dapat dinyahkan. Senaman tentunya membuat kita jadi segar, bertenaga sepanjang hari. Senaman amat menyamankan minda, merawat badan agar sihat sejahtera.

Dimana kategori anda? Berselimut hingga lewat tengahari atau bangun pagi bersenam.guna merawat diri?

Jom kita chi kung!.

24 September 2011

Kecenderungan Dan Keutamaan

Buat pertama kali hari ini saya menghadiri rumah terbuka, itupun kalau boleh dikatakan rumah terbuka, yang diadakan oleh sahabat saya Mohd Sayuti Omar di rumahnya di Wangsa Maju. Saya katakan pertama kali ialah kerana itulah satu-satunya rumah yang mengadakan 'rumah terbuka' yang saya kunjungi sempena aidil fitri tahun ini.

'Rumah terbuka' anjuran Sayuti amat sederhana. Tiada khemah didirikan, tiada musik, tiada makanan lazat seperti satey atau barbeque kambing. Yang ada hanyalah nasi dagang enak versi Kelantan yang dimasak sendiri oleh isterinya. Yang ada hanya sedikit keretuk daging untuk dimakan dengan lemang. Yang ada hanyalah keretuk kepala kambing bersama pisang emas dan air sirap. Itu sahaja.

Tentulah menu begini amat sederhana. Tentulah menu begini tidak menarik perhatian sesetengah orang, apalagi Sayuti adalah nama besar dalam dunia penulisan politik tanahair. Orang seperti beliau biasanya akan mengadakan rumah terbuka secara lebih gah dengan menjemput ribuan orang. Sayuti hanya menjemput 40 orang rakan facebook beliau. Turut dijemput adalah rakan-rakan rapat beliau untuk mengulik kepala kambing istimewanya.

Apa yang Sayuti lakukan tentu jauh berbeza dengan rumah terbuka bersaiz mega anjuran individu tertentu, jabatan-jabatan, organisasi dan syarikat-syarikat di seluruh negara. Rumah terbuka sedemikian akan mendirikan khemah-khemah besar buat menampung ribuan hadirin. Ada yang mencapai puluhan ribu hadirin sebagaimana dilapurkan oleh media-media massa.

Tentulah rumah terbuka begitu lengkap dengan musik atau penyanyi yang didatangkan khas untuk menghibur tetamu yang hadir. Selain dari itu ada rumah terbuka yang menyediakan set karaoke yang akan diisi dengan nyanyian oleh mereka yang gian menyanyi walaupun suami atau isterinya menyembunyikan muka akibat malu!.

Persoalan kita disini ialah apakah kewajaran mengadakan rumah terbuka sebegitu iaitu yang saya namakan rumah terbuka bertaraf mega?. Apakah rumah terbuka jenis ini patut menjadi ikutan dari setahun ke setahun sehingga menjadi tradisi yang tidak dapat dipisahkan dari mata rantai kehidupan di negara kita?. Adakah rumah terbuka skala ini menjadi simbol atau kayu pengukur kepada penganjurnya?

Saya perhatikan rumah terbuka mega ini mulai menjadi-jadi sejak beberapa tahun lalu. Ianya bermula dengan penganjuran oleh parti-parti politik, pertubuhan dan syarikat. Kegemaran ini kemudiannya diikuti oleh jabatan-jabatan atau agensi-agensi di seluruh negara. Akhirnya 'rumah terbuka' turut dianjur oleh individu-individu, politik dan bukan politik, yang menjadikan fenomena rumah terbuka ini semakin gegak gempita!.

Saya akui bahawa ada unsur baik hasil dari penganjuran rumah terbuka. Hadirin dari pelbagai kaum tentu sekali mewarnai suasana rumah terbuka menjadi lebih harmoni. Kunjungan teman-teman membuat hati 'tuan rumah' senang bukan kepalang. Celoteh dan usikan kawan-kawan yang lama tidak berjumpa membuat hati yang rawan menjadi mekar dan segar kembali. Cerita soksek-soksek yang dikhabarkan secara berbisik-bisik akan bertukar menjadi senyum simpul dan gelak ketawa puas.

Namun begitu sedarkah kita akan beberapa kesan negatif hasil dari trend rumah terbuka ini? Apakah rumah terbuka sebegini benar-benar perlu dalam masyarakat di negara ini?

Soal traffic jam perkara lain. Soal jarak tempat yang mesti dikunjungi juga perkara lain. Soal terpaksa menghadiri beberapa rumah terbuka dalam satu hari juga bukanlah menjadi masalah sangat. Bagi saya ada perkara besar lain yang melingkari amalan rumah terbuka ini perlu kita kaji. Bagi saya perkara ini patut kita fikir secara bersama supaya acara rumah terbuka tidak mendatangkan natijah yang tidak baik.

Aidil fitri hanya satu hari. Oklah, sebab ramai yang balik.kampung kita terimalah seminggu atau dua minggu sesudah hari raya sebagai wajar untuk terus meraikannya. Wajarkah kita berpesta hingga sebulan? Adakah agama kita membenarkannya? Adakah aidil fitri terlalu penting sehinggakan diraikan sedemikian.lama?

Rakyat seolah-oleh terus diajak berpesta sepanjang syawal. Rakyat tidak ditegur agar jangan membazir. Parti-parti politik amat galak menganjurkan.pesta raya ini. Apa saja parti politik yang ditunjangi orang Islam seolah-olah berlumba-lumba pengaruh menerusi pesta makan bersaiz mega sempena hari raya.

Apakah ini yang mahu diwariskan kepada rakyat terbanyak?

23 September 2011

Malam Hujung Minggu

Malam hujung minggu cukup istimewa bagi sesetengah orang. Malam sebegini akan diisi dengan pelbagai program. Ada orang mengambil kesempatan hujung minggu untuk bersantai bersama keluarga.

Ada pula dikalangan kita menjadikan malam hujung minggu untuk lepak di kopitiam atau kedai mamak. Ada juga yang berkumpul di meja snooker atau cafe melayan kawan-kawan.

Tidak kurang pula ada yang menjadikan malam hujung minggu sebagai acara wajib pulang kampung. Bagi suami atau isteri yang berjauhan, malam hujung minggu adalah malam keramat yang kedatangannya ditunggu dengan penuh debar!.

Sebahagian teman-teman kita pula akan pulang menziarahi ibu-bapa sebaik sahaja tibanya hujung minggu. Malam hujung minggu adalah malam memandu pulang atau menaiki bas, keretapi, motorsikal atau pesawat menuju destinasi masing-masing.

Sesungguhnya malam hujung minggu adalah malam penuh acara, malam syahdu, malam gelora. Malam minggu membawa erti tersendiri, membenihkan harapan atau menghanguskan wang simpanan.

Namun kita jangan lupa bahawa ada segelintir rakyat yang tidak tahu apa relevannya malam hujung minggu bagi dia dan keluarganya. Bagi dia hujung minggu atau tidak, dia kena bekerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Baginya malam hujung minggu atau hari hujung minggu tiada apa-apa istimewanya.

Yang menjadi masalah di negara kita ialah golongan sebegini kurang mendapat perhatian. Hampir kebanyakan kita seperti tidak peduli untung nasib yang menimpa anggota masyarakat yang kurang bernasib baik ini. Kita hanya melihat atau peduli kepada yang besar-besar, yang hebat-hebat.

Mari kita melihat kebawah, menyantuni golongan serba daif ini. Masih belum terlalu lambat kalau kita berpakat mengumpul serba sedikit wang yang kita ada untuk membantu mereka. Masih ada ruang untuk kita berbakti kepada masyarakat kita sendiri!

Bangun Pagi Gosok Gigi


Kebiasaannya kita akan gosok gigi sesudah bangun pagi. Ada orang gosok gigi pakai jari, ada yang pakai kayu sugi, ada pula yang pakai garam atau arang. Ada orang yang gosok gigi pakai perca kain namun yang selalunya dilakukan ialah menggunakan berus gigi yang mudah dibeli di kedai-kedai.

Kalau tidur di hotel saya akan pastikan ubat gigi dan berusnya dibawa sekali. Saya juga biasanya akan melihat adakah pihak hotel menyediakan ubat dan berus gigi. Saya akan pastikan perkara ini kerana gosok gigi dan bangun pagi adalah aktiviti otomatik hampir semua orang dizaman ini. Yang tidak menggosok gigi sesudah bangun pagi hanyalah mereka yang sakit bibir atau sakit gusi sahaja.

Kalau seseorang itu tidak mengalami sakit gigi, sakit gusi atau sakit bibir tetapi tidak menggosok gigi tentulah ada yang tidak kena dengan dia. Mungkin dia seorang yang pemalas. Mungkin juga dia mahu tahi giginya berkumpul banyak dan bertukar jadi emas untuk dijual. Lagipun harga emas sekarang ini tinggi, bolehlah dia jual untuk menambah pendapatan. Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang, apa saja boleh dijual demi meneruskan hidup.

Bangun pagi dan gosok gigi adalah rutin kehidupan kita sama seperti rutin-rutin yang lain. Kita perlu makan, minum, berkeluarga, bekerja dan sebagainya. Kita perlu melalui semua rutin harian sama ada kita hidup dalam masyarakat atau hidup sendirian dalam gua atau di hutan. Maka jika kita lari dari rutin harian, hidup kita jadi canggung, jadi tidak menentu.

Tentulah ramai diantara kita biasa berhadapan dengan situasi orang yang tidak melayari kehidupannya secara normal. Kalau seseorang itu tidak gosok gigi kita tentu rasa geli-geleman. Kalau seseorang itu malas bekerja tentulah kita rasa hairan atau tidak suka kepadanya. Pendekkata adalah menjadi tuntutan masyarakat agar anggotanya melalui atau hidup secara normal, mengikut amalan atau rutin biasa.

Itu mengenai individu, mengenai anggota masyarakat. Bagaimana pula dengan hidup bernegara? Apakah ada rutin hidup sesebuah negara?

Negara juga seperti manusia, seperti seorang individu. Negara hidup dalam masyarakat antarabangsa. Negara terikat dengan norma-norma yang menjadi amalan masyarakat antarabangsa. Negara terikat kepada peraturan-peraturan masyarakat antarabangsa yang bertamaddun. Negara tidak boleh lari dari ini semua.

Oleh itu jika negara bermasalah, perkara itu hendaklah diselesaikan dikalangan kelompok-kelompok atau anggota masyarakat. Apa saja masalah baik ekonomi, politik atau sosial hendaklah diselesaikan. Jangan biarkan masalah itu bertapuk, atau menjadi gawat sehingga tidak boleh diselesikan dengan mudah.

Membiarkan masalah negara tidak diselesaikan ibarat membiar tahi gigi tidak digosok. Lama-lama gigi jadi berkarat, gigi jadi rosak. Jalan mudah mengubat gigi rosak ialah dengan mencabut gigi itu. Walaupun sakit akibat dicabut, sehari dua legalah sakit itu.

Kalau negara sakit, negara rosak bagaimana?

22 September 2011

Sampai Bila?

Orang selalu bertanya sampai bila keadaan akan berterusan begini? Sampai bila suasana tidak sihat dalam iklim politik di negara kita akan menjadi tenang? Tidakkah suasana begini bukan sesuatu yang dikehendaki oleh semua orang?

Semenjak berakhirnya pilihanraya umum tahun 2008, banyak peristiwa berlaku dalam kancah politik tanahair. Suhu politik sejak itu terus naik dan bagaikan tidak mahu turun lagi. Keadaan menjadi sentiasa panas sebagaimana panasnya cuaca harian yang menaik akibat bertukarnya pola cuaca dunia.

Kenapa ini semua terjadi?

Tidakkah ada usaha dikalangan ahli-ahli politik untuk membendung suasana ini? Apakah keadaan yang tidak bagus untuk semua orang sengaja dibiarkan begitu atas sesuatu sebab?

Tentu kita bingung memikirkannya.

Mungkin pihak berwajib merasa prihatin atas perkara ini. Mungkin juga ahli-ahli politik risau melihat semua ini. Namun apakah cukup sekedar prihatin, sekedar risau?

Rakyat terbanyak sedang memerhatikan perkara ini. Jadi, lakukanlah sesuatu demi negara yang kita sayangi . Apa salahnya kalau semua pihak duduk bersama dengan kepala dingin? Apa ruginya bermusyawarah, bertolak ansur?

21 September 2011

Oh Abang Mat

Mohamad Sabu@Mat Sabu bukan nama baru dalam politik tanahair. Namanya sudah mencecah jutaan telinga di seluruh negara malahan di negara-negara luar pun. Hakikatnya Mat Sabu adalah tokoh besar dalam politik tanahair. Hakikatnya ialah Mat Sabu 'bukan kecik anak' dalam persada politik dan kehidupan harian rakyat. Mat Sabu ada brandnya tersendiri : MAT SABU.

Dan hari ini sekali lagi Mat Sabu mencuri perhatian kawan dan lawan. Dengan senyum tradisi yang sudah menjadi trade marknya, Mat Sabu menerima hakikat bahawa dia dituduh di mahkamah dibawah seksyen 500, Kanun Kesiksaan. Dan sebagaimana lazimnya dia dikenakan ikat jamin sementara menunggu kesnya dibicarakan. Selain kes terbaru ini entah berapa banyak lagi kes yang telah dan sedang dihadapi oleh Mat Sabu. Hampir kesemua kes yang dihadapi oleh abang Mat@Mat Sabu ini adalah berkaitan politik dari memberi ceramah tanpa permit, menyertai demo tanpa permit dan lain-lain. Tokoh politik kita yang hebat ini juga telah melalui berbagai ranjau lain sepanjang beliau bergelar ahli politik. Pengalamannya yang berbagai itu menjadikan beliau sudah amat masak dengan ragam politik, pernah kalah dan pernah menang dalam pertandingan kerusi pilihanraya.

Jumlah wang jamin sebanyak RM15000 yang ditetapkan keatas Mat Sabu tentunya mempunyai fungsi tersendiri. Ramai kawan-kawan bertanya saya tentang jaminan itu. Mereka pernah mendengar perkataan 'wang jamin' atau 'jamin' sebelum ini tetapi kurang pasti adakah jamin di mahkamah sama dengan jamin biasiswa atau jamin orang pinjam wang Bank Rakyat. Yang bertanya ini bukan orang koman-koman, bukan orang yang tidak bersekolah tinggi.

Tentu ini menghairankan!

Hasilnya saya dapati ramai orang belum tahu atau belum faham apa itu jaminan mahkamah. Ramai orang fikir jamin itu seperti apa yang selalu disebut hari-hari : nasi lemak Tanglin dijamin sedap atau teh tarik mamak aku jamin sedap punya!

Jaminan mahkamah bagi sesuatu kes yang boleh dijamin adalah sebagaimana disebut dalam seksyen 387, Kanun Acara Jenayah serta sebagaimana diterangkan selanjutnya dalam seksyen-seksyen berikutnya. Ini bermakna kecuali dalam kes-kes yang tidak boleh dijamin, seseorang yang dituduh di mahkamah akan ditawarkan jaminan oleh pihak pendakwaan, biasanya semasa berjalannya proses pertuduhan di hadapan magistrate atau hakim. Jumlah wang jaminannya adalah berdasarkan atau bergantung kepada keadaan satu-satu kes. Sebab itulah kita dapati jumlah wang jaminan adalah berbeza-beza.

Cukupkah dengan hanya menyediakan wang jaminan?

Kebiasaannya selain wang jaminan, mahkamah akan memerintahkan seorang penjamin turut sanggup menjamin orang yang kena tuduh. Tujuan asasnya ialah penjamin ini akan mempastikan orang yang dijamin hadir ke mahkanah pada hari perbicaraan. Oleh itu selalunya mahkamah akan meminta orang yang lebih besar pengaruhnya keatas orang kena tuduh menjadi penjamin.

Faham ke tu?

Kalau masih kurang faham, ambillah masa sesekali pergi hadiri sidang mahkamah, dapat juga belajar serba sedikit. Kalau asyik pergi karaoke apa dapat?

Mat Sabu kalau baca coretan saya ini tentu dia suka. Ini boleh menjadi sedikit dari bahan ceramahnya yang berbagai itu. Ceramah Mat Sabu yang menghiburkan itu sejak lama dulu dihadiri oleh ramai orang. Selepas ini tentu ceramah Mat Sabu akan meletup lagi.

Begitulah.


Sejuk Subuh

Pernahkan kita mendengar ada subuh panas, atau subuh suam-suam atau subuh bergelora?

Yang selalu kita dengar ialah sejuk subuh atau dingin subuh. Yang selalu kita sebut ialah heningnya subuh. Yang selalu didodoikan ialah subuh syafie, subuh gajah. Tiada subuh panas, subuh suam-suam atau subuh bergelora. Tiada juga subuh kancil, subuh musang atau subuh tikus.

Subuh adalah waktu yang amat hening, bagus untuk bermunajad, bagus untuk belajar. Subuh memberikan kita waktu damai, waktu dimana hampir kebanyakan persekitaran terasa syahdu meresap dijiwa. Subuh membawa bersamanya angin dingin segar menambat rasa mendamai jiwa.

Namun begitu sejuk subuh akan tidak terasa bilamana terjadi atau bakal terjadi hal-hal besar disekeliling kita. Kalau bergaduh dengan isteri misalnya, subuh menjadi ibarat tengahari yang panas terik. Kalau banyak hutang, subuh hanya ibarat hari yang tidak pernah ada malam. Kalau nak berjalan kemana-mana, terasa subuh amat lambat datang.

Demikianlah subuh dalam kehidupan kita sehari-hari.

Bagi penoreh getah, subuh-subuh syafie lagi dah bangun. Kena sedia baldi, pisau toreh, lampu dahi dan lain-lain. Bagi nelayan juga sama, kena bersedia dengan segala peralatan untuk turun ke laut menangkap ikan. Bagi pekerja pejabat kalau dah hampir waktu subuh jangan mengeliat lagi, mesti sudah siap mandi.

Subuh amat bererti dalam hidup sehari-hari!

20 September 2011

Mahu Makan Apa Ya?

Bekerja di pusat bandar atau ditempat kerja yang jauh dari kediaman memang ada masalahnya. Yang pasti bila tengahari tiba ada satu persoalan yang bermain dikepala : mahu makan apa ya?

Keadaan ini berlaku karena makan tengahari adakalanya tidak menyelerakan. Ada kalanya langsung tidak sedap. Ada makanan yang terlalu masin atau terlalu tawar. Ada juga makanan yang entah apa-apa, berminyak atau sudah basi. Ada juga makanan yang amat pedas sehinggakan mengalir air mata dibuatnya.

Untuk membawa makanan dari rumah satu hal pula. Kalau isteri juga sibuk, pagi-pagi dah bergegas ke pejabat macam mana mahu disediakan makanan. Setakad teh o bolehlah. Kalau mahu makan sedap tunggulah petang nanti atau hujung minggu. Kalau mahu lagi sedap pergilah pekena nasi kandar atau nasi Arab. Ayam percik walaupun sedap tidak boleh selalu dimakan, nanti kolestrol bertambah dalam urat saraf dibadan.

Nasi arab pula walaupun menyelerakan namun harganya mak datok, mahal. Sepinggan nasi sama ikan, ayam atau kambing serta minuman sudah berharga rm40. Kalau campur chicken grill jadi lebih mahal. Perut jadi boroi kalau selalu makan. Poket juga jadi nipis.

Nasi kandar memang best. Kuah pekatnya membuat kita menjilat-jilat hujung jari. Kari ikan sama kacang bendi sungguh menyelerakan. Udang besar berharga rm25 seekor sedapnya bukan kepalang. Tambah satu cawan teh tarik mamak, nafas jadi semput sesudah makan!

Nasi briani? Ya memang sedap, apalagi kalau briani gam. Sepinggan nasi sama kari kambing atau ayam goreng waduh enak sekali. Harganya tidaklah mahal sangat. Nasi briani begini tentulah amat menyelerakan.

Itu adalah sebahagian dari menu makanan tengahari di negara kita. Banyak lagi jenis makanan lain yang ada dalam pasaran. Ianya bergantung atas selera kita, atas ruang masa yang kita ada.

Jadi mahu makan apa agaknya?

19 September 2011

Dimansuhkan ISA : Apa Sebenarnya?

Sesungguhnya Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) memang berhantu. Kenapa saya kata berhantu? Adakah kerana ISA dikatakan telah memakan 'korban' yang banyak disepanjang akta itu berkuatkuasa dan dilaksanakan di Malaysia?

Saya katakan ISA berhantu ialah kerana akta itu terus dibincangkan sejak dahulu sehinggalah setelah Perdana Menteri mengumumkan sebagai bakal dimansuhkan. Jika kita melayari laman facebook, blog dan lain-lain serta bergebang dimana-mana jua, ISA masih diperkatakan. Masih ramai orang berdebat mengenainya. Masih ramai yang merasakan ISA perlu dikekalkan. Masih ramai yang mengatakan sepatutnya akta itu telah lama berkubur. Masih ramai yang skeptikal betulkah akta itu akan dimansuhkan.

Pelik, sungguh pelik. Kenapa saya kata pelik?

Biasanya sesuatu pengumuman sebagaimana yang dibuat oleh Perdana Menteri berkaitan perkara penting sebegini akan disambut dengan perasaan lega oleh hampir keseluruhan rakyat. Rakyat hanya marah dan mendengus kalau Kerajaan umumkan kenaikan harga minyak, tenaga eletrik, keperluan harian, cukai perkhidmatan, cukai pendapatan atau sesuatu perkara yang menyentuh  kehidupan harian rakyat. ISA secara rambangnya bukan menyenyuh denyut nadi kais pagi makan pagi golongan rakyat terbanyak. Sebagaimana kata seorang teman saya dia tidak perlu takut kepada ISA sebab dia bukan mengancam keselamatan negara. Dia hanya seorang pemotong sawit di kampung pendalaman!

Jadi kenapa ya?

Biasanya juga aktivis parti pemerintah diperingkat pusat akan menerima dengan senang hati pengumuman Perdana Menteri. Sudah semestinya mereka mengangkat kedua-dua jari tanda setuju. Mereka akan berkata inilah keputusan terbaik dari seorang Perdana Menteri yang prihatin pada keluh kesah jeritan hati nurani rakyat. Mereka juga akan berkata inilah gambaran rakyat didahulukan.

Bilamana saya menjenguk laman facebook rakan-rakan saya yang sememangnya aktif dengan parti Perdana Menteri saya dapati keadaannya berlainan. Demikian juga bila membaca blog yang pro pemerintah, saya juga dapati keadaan yang asing dari sebelumnya. Saya tertanya kenapa ini terjadi, kenapa secara tersirat pengumuman Perdana Menteri dipersoalkan oleh beberapa kalangan dari partinya sendiri?

Hairan ya.

Kita boleh faham kenapa pengkritik atau penentang-penentang ISA tidak bersetuju dengan akta itu. Ianya dikatakan sebagai bertentangan dengan prinsip keadilan. Ianya sudah tidak relevan lagi dengan situasi semasa tanah air. Sudah lama  ahli-ahli politik bukan dari parti pemerintah membangkang penggunaan akta tersebut. Dan kalau kita masih ingat penentangan terhadap ISA tidak pernah berhenti sejak dulu.

Kalau begitu kenapa pengumuman Perdana Menteri mendapat sambutan yang hambar dari sesetengah ahli partinya? Lupakah mereka bahawa DS Najib membuat pengumuman atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri, bukannya sebagai presiden UMNO? Tidakkah mereka lihat dikaca tv DS Hishamuddin senyum lebar sambil bertepuk tangan sebaik mendengar pengumuman Perdana Menteri itu?

Dan disatu sudut lain yang 'kurang percaya' pada pengumuman Perdana Menteri itu tentunya mempunyai alasan tersendiri kenapa mereka bersikap demikian. Mereka menganggap ini adalah tari politik semata-mata. Bukankah Perdana Menteri itu orang politik?

Bagi saya pengumuman Perdana Menteri masih akan terus didebat dari semasa ke semasa sehinggalah ISA dibawa ke persidangan Parlimen dan dimansuhkan sebagaimana sewajarnya.

Tunggulah.

18 September 2011

Mendamaikan Rasa

Nampaknya perbincangan mengenai baik buruknya Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dimansuhkan masih menjadi topik hangat yang diperbualkan diseluruh negara. Pendapat yang pro dan kontra ini pelbagai sifatnya berdasarkan sudut pandangan dan persepsi masing-masing. Seperti biasa setiap pihak coba mempertahankan hujjah  betapa perlu atau tidaknya Akta itu dimansuhkan.

Mereka yang selama ini mahu Akta itu dimansuhkan atau sekurang-kurangnya dikaji semula sudah tentunya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri bahawa Akta yang sekian lama diperdebatkan itu akan dimansuhkan. Bagi mereka Akta yang dikira melanggar nilai-nilai keadilan dan demokrasi itu memang sepatutnya sudah lama tidak digunapakai dalam negara ini. Bagi mereka negara kita sudah berada dilingkungan negara moden yang tidak mewajarkan Akta sedemikian wujud. Bagi mereka juga Akta berkenaan sudah tidak relevan dengan persekitaran demokrasi negara.

Golongan ini menghujjah lanjut bahawa apa perlunya Akta itu. Negara bukan berada dalam keadaan darurat. Negara tidak lagi mengalami ancaman subversif. Negara tidak juga berada diambang perang dengan mana-mana pihak luar. Negara berada dalam keadaan aman dan damai dimana rakyat bebas bergerak kemana saja tanpa bimbang akan keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Dalam masa yang sama negara menjadi tumpuan asing untuk bercuti, membeli belah dan mengadakan seminar-seminar. Lebih jauh dari itu negara menjadi tumpuan jutaan tenaga asing yang datang secara sah atau secara haram buat mencari rezki.

Maka kata mereka apa perlunya negara kita mempunyai Akta tersebut.

Terdapat pula kumpulan tertentu berpendapat bahawa Akta itu perlu dikekalkan dan tidak dimansuhkan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri. Bagi mereka adalah lebih baik Akta itu dikekalkan sehinggalah suatu akta baru diwujudkan sebagai pengganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri tersebut. Adalah lebih baik diwujudkan akta baru terlebih dahulu. Suka tidak suka, kata mereka negara masih memerlukan satu akta yang cukup ampuh dan berkesan bagi menjamin keselamatan dalam negara kita.

Ada pula golongan lain melihat pengumuman Perdana Menteri hanya sekedar umpan politik menjelang pilihanraya umum ke tiga belas. Bagi mereka DS Najib sudah kehabisan modal untuk mendapatkan sokongan rakyat. Bagi mereka dokongan kepada parti pemerintah diperingkat pusat sudah berada diptahap tercorot sejak sekian lama. Bagi mereka DS Najib menjadikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagai modal politik terbaik buat saat ini.

Benarkah begitu?

Di negara dimana hampir semua perkara dinilai dari sudut politik akan mengalami sepertimana apa yang sedang berlaku di tanahair kita. Segala perbahasan adalah berkisar disudut itu. Segala tindakan atau keputusan dipercayai dibuat atas pertimbangan politik. Di Malaysia segala urat nadi dan saraf minda hanya mempunyai unsur politik. Sungguh malang keadaan ini. Sungguh ia sesuatu yang kurang baik untuk kelangsungan hidup bernegara.

Jangan lupa bahawa selagi Akta itu tidak dimansuhkan melalui persidangan parlimen, Akta tersebut masih berkuatkuasa. Akta itu masih boleh dipakai. Akta itu masih bertaraf undang-undang yang sah!

Jika disorot kembali pemakaian Akta itu selama ini kita akan dapati pemakaiannya adalah terhadap semua orang, termasuk pegawai kerajaan. Akta itu tidak hanya dipakai terhadap ahli politik. Hanya apa yang kerap dipertikaikan ialah penahanan tanpa bicara yang dari sudut keadilan sejagat memang dibantah.

Bagi saya pengumuman DS Najib hanyalah suatu langkah dalam deretan perjalanan yang masih panjang!

Berani Dan Bijaksana



Mengenali seseorang tokoh masyarakat secara dekat bukanlah mudah. Dan sesudah mengenalinya bukan juga mudah untuk rapat dengannya. Memang berkawan agak mudah tetapi bersahabat bukannya dapat dibuat-buat. Bersahabat memerlukan adunan rasa hormat, bertolak ansur dan bantu membantu antara satu sama lain.

Demikianlah yang berlaku kira-kira sepuluh tahun lalu bila saya mula mengenali secara dekat seorang tokoh yang saya kagumi semenjak saya belajar di sekolah menengah. Nama besar itu menjadi antara idola saya melalui tulisan-tulisannya dalam media arus perdana dan penerbitan yang dipimpinnya.

Semasa mengenali beliau saya masih seorang aktivis belia peringkat nasional. Sebagai pemegang salah satu jawatan utama dalam pertubuhan belia itu saya sering bertemu tokoh-tokoh negara dan peneraju-peneraju utama beberapa pertubuhan lain. Dari situlah kami mulai berkenal rapat dan selalu berbincang hal-hal semasa negara dan antarabangsa.

Dengan jarak umur melebihi 20 tahun sudah tentulah saya menghormatinya sebagai seorang yang lebih tua, apatah lagi sifatnya yang begitu luhur menjadikan penghormatan saya kepadanya amat tinggi. Kesediaannya berkongsi pendapat dengan saya membikin hati ini begitu tersentuh. Tertibnya ia mendengar buah bicara saya satu persatu sudah tentu memancing saya menjadi bertambah kagum kepada tokoh besar ini.

Kami akhirnya menjadi lebih rapat bila pada awal tahun 2005 pelbagai NGO bergabung untuk menganjurkan satu kongres yang akan berbincang mengenai ekonomi, pendidikan dan hal-hal lain. Saya telah dilantik sebagai Setiausaha Pelaksana kongres ini. Dan salah seorang tenaga utama kepada kongres tersebut adalah tokoh yang saya sorot disini. Kali ini kami bekerja bersama buat menyiapkan bahan-bahan untuk kongres berkenaan. Sekali lagi sikapnya yang amat menghormati orang lain benar-benar mengkagumkan saya.

Kongres yang berlangsung dengan jayanya itu dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, seorang yang rapat dengan tokoh ini. Hasilnya saya juga turut berdamping rapat dengan Tengku Razaleigh disepanjang masa persediaan kongres itu dan berlanjutan agak lama. Kongres yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia pada bulan disember 2005 itu telah meninggalkan kenangan yang bukan sedikit kepada kami yang terlibat dari awal hingga akhir.

Buah fikiran dan cadangan rakan saya itu menjadi antara perbincangan utama sepanjang kongres tersebut berjalan.

Itulah sahabat yang amat saya hormati, almarhum Dato' Dr Hassan Ahmad yang kembali ke rahmatullah pada 31 ogos lalu. Beliau bagi saya adalah putra negara yang berani dan bijaksana. Beliau bagi saya adalah anugerah terbesar kepada negara.

Keberanian dan kebijaksanaan almarhum sahabat saya ini memang dimaklumi dikalangan teman-teman. Baginya jika dia yakin sesuatu itu betul beliau akan hadapi apa jua risikonya. Sebagai contoh ialah apabila timbulnya isu PPSMI beliau sanggup ke depan mengetuai bantahan terhadap perlaksanaan dasar itu. Beliau sanggup turun padang bersama golongan rakyat yang lain menyatakan bangkangan terhadap penerusan PPSMI. Hasilnya Kerajaan bersetuju PPSMI diketepikan.

Sekarang tiada lagi sms dan panggilan talipon beliau kepada saya. Tiada lagi kawan yang turut bersolat jumaat di Kampong Pandan. Tiada lagi kawan yang berani dan bijaksana ini bergurau sambil berbincang isu-isu serious.

Sesungguhnya kehilangan tokoh ini amat saya rasai. Kitab-kitab Melayu klasik yang dihadiahkannya kepada saya sentiasa saya telaah buat menimba ilmu yang tersirat. Kad ucapan selamat hari raya yang almarhum bingkiskan kepada saya menjadi kenangan yang tidak ternilai.

Tuhan menjemputnya terlebih dahulu, pergi dengan membawa jasa besar kepada negara, bangsa dan agamanya.

Alfatihah.

17 September 2011

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 : Kenapa?

Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 akan dimansuhkan. Itulah pengumuman Perdana Menteri.

Kenapa akta itu (selepas ini disebut ISA) begitu penting sehingga diumumkan Perdana Menteri sebagai akan dimansuhkan ditengah cakap-cakap bahawa pilihanraya umum ke 13 akan diadakan dalam masa terdekat? Kenapakah ISA selalu sangat diperkatakan dan dalam sesetengah hal dianggap sebagai sesuatu yang amat menakutkan?

ISA digubal bagi membolehkan Kerajaan bertindak berhubung perkara-perkara yang mengancam keselamatan negara. ISA adalah satu undang-undang yang memberi banyak kuasa kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan bilamana keselamatan negara mungkin akan terjejas seandainya tindakan awal tidak diambil. ISA sejak diwujudkan memang ternyata berkesan mengawal ketenteraman awam.

Kalau begitu kenapa ISA perlu dimansuhkan?

Sejak lama ISA menjadi kontroversi kerana dianggap bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan iaitu seseorang tidak boleh ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah undang-undang. Hujjahnya ialah jika benar seseorang itu mengancam keselamatan negara, mengapa beliau tidak dituduh dimahkamah? Mengapa beliau ditahan tanpa dibicarakan?

Tuntutan agar ISA dimansuhkan memang telah sekian lama dibuat. Kalangan politik, aktivis masyarakat, pemuka-pemuka gerakan hak asasi sejagat serta lain-lain pihak merasakan bahawa ISA sudah tidak kondusif lagi dizaman ini. Negara bukan berada dalam keadaan keselamatan yang tergugat. Dengan itu ISA tidak perlu lagi.

ISA dianggap sebagai draconian law dan hendaklah ditiadakan.

Adakah itu sebenarnya alasan kenapa ISA akan dimansuhkan sebagaimana pengumuman Perdana Menteri?

Setiap kita berhak terhadap pandangan masing-masing!

16 September 2011

Seksyen 27, Akta Polis 1967 dan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan

Pengumuman Perdana Menteri  sempena Hari Malaysia bahawa beberapa akta penting akan dimansuhkan dan yang lainnya disemak semula mendapat perhatian khusus rakyat negara ini. Tentunya ini dianggap sebagai langkah ke depan dalam era globalisasi dimana hal-hal berkaitan kebebasan dan hak asasi manusia mendapat liputan diseluruh dunia.

Salah satu akta yang akan disemak semula sebagaimana diumumkan Perdana Menteri ialah Akta Polis (Akta 344), 1967. Akta itu, khususnya seksyen 27 telah lama diperkatakan dikalangan pengamal undang-undang, aktivis masyarakat dan penggiat politik. Sudah tentunya peruntukan seksyen 27 tersebut dikritik hebat dan dianggap sebagai bertentangan dengan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Apakah anggapan sedemikian benar? Atau adakah betul seksyen 27, Akta Polis bertentangan dengan kebebasan bercakap, berkumpul dan menubuhkan persatuan sebagaimana dijamin di bawah Perlembagaan? Adakah seksyen 27 tersebut memberi kuasa yang berlebihan kepada polis dalam hal-hal yang melibatkan perhimpunan ditempat awam?

Saya telah mengendalikan beberapa kes dibawah seksyen 27, Akta Polis sebagaimana saya sebutkan dalam tulisan terawal tadi. Kebanyakan kes-kes itu adalah melibatkan apa yang disebut sebagai "perhimpunan haram" kerana tiadanya permit polis bagi menganjurkan perhimpunan tersebut. Tentunya perhimpunan@demonstrasi tersebut hampir keseluruhannya kena mengena dengan isu politik, kecuali satu yang melibatkan hal pendidikan negara. Dan tentunya kebanyakan yang ditahan dan didakwa adalah aktivis politik atau mereka yang bersimpati dengan sesuatu isu atau tokoh.

Seksyen 27, Akta Polis memberi kuasa kepada polis untuk mengeluarkan atau tidak mengeluarkan permit bagi satu-satu perhimpunan. Sesuatu permohonan permit adalah dibuat kepada ketua polis daerah dimana perhimpunan ini hendak diadakan, dengan borang tertentu sebagaimana dikehendaki dari semasa ke semasa. Dan sudah tentulah kuasa sama ada untuk memberi, tidak memberi atau membatalkan permit berkenaan terletak pada polis dengan mengambil kira keadaan keselamatan pada masa berkenaan.

Inilah keadaannya buat masa ini. Sesuatu perhimpunan secara teknikalnya tidak boleh diadakan tanpa permit polis. Sesuatu perhimpunan tanpa permit adalah perhimpunan haram dan boleh disuraikan oleh polis. Seseorang yang menganjur atau berada dalam satu perhimpunan haram adalah melakukan satu kesalahan dibawah Akta Polis dan boleh dihukum jika sabit kesalahan.

Jadi dimana perginya jaminan kebebasan berhimpun sebagaimana dinyatakan dibawah Perkara 10, Perlembagaan?

Perkara 10, Perlembagaan bukanlah memberi kebebasan mutlak dalam hal kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Perkara 10(2) sendiri menghadkan kebebasan berkenaan bilamana ianya melibatkan soal keselamatan. Beberapa kes undang-undang yang telah diputuskan oleh mahkamah menunjukkan bahawa kebebasan dibawah Perkara 10 itu sendiri bukannya suatu kebebasan mutlak!

Yang menjadi persoalannya ialah adakah perhimpunan atau demonstrasi boleh dianggap sebagai mengancam keselamatan?

Disinilah bermulanya polimik dan kritikan yang tidak sudah-sudah terhadap Akta Polis tersebut. Dan bagi saya disinilah kita patut bermula untuk melihat semula akta itu sesuai dengan pengumuman Perdana Menteri malam tadi.

Ayuh mari kita bernuansa dalam gerak membangun negara tercinta!

Debar Pagi

Pengumuman Perdana Menteri malam tadi bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri akan dimansuhkan menjadi lantunan baru dalam bualan disegenap pelosok negara. Tentunya topik besar ini menjadi suatu daya tarikan untuk dibincangkan oleh segenap lapisan masyarakat dengan berpandukan ilmu dan persepsi masing-masing, sebahagiannya dipengaruhi emosi, sebahagiannya bersandarkan kepada pengalaman selama Akta kontroversial itu dikuatkuasakan di negara kita.

Turut mendapat perhatian istimewa ialah beberapa peruntukan undang-undang lain akan dikaji dan dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan. Paling menarik ialah peruntukan tertentu Akta Polis juga akan disemak dan dimansuhkan agar selari dengan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan.

Akta-akta berkaitan kediaman terhad dan yang kena mengena dengan kebebasan dan hak asasi manusia juga nampaknya akan dikaji bagi menjamin apa yang dikatakan hak-hak demokrasi rakyat. Sesungguhnya ini adalah suatu langkah berani yang memerlukan political will untuk melaksanakannya. Debar pagi rakyat tentunya menjadi makin kuat bila mendengar semua ini.

Akta Keselamatan Dalam Negeri memang dikritik hebat oleh sebahagian rakyat sejak sekian lama. Akta yang memperuntukkan tahanan tanpa perbicaraan atas alasan keselamatan Persekutuan itu memang cukup kontroversi kerana dianggap melanggari norma-norma keadilan iaitu seseorang tidak boleh ditahan tanpa dibicarakan mengikut proses undang-undang negara. Tentunya Kerajaan memberikan alasan tertentu kenapa Akta itu wajar dipakai di negara kita. Dan pemakaian Akta itu sejak tahun 1960 sedikit sebanyak telah mewarnai iklim keselamatan dan politik negara ini.

Peruntukan dalam Akta Polis juga turut mendapat kritikan dari segenap lapisan masyarakat terutamanya dari kalangan NGO dan aktivis politik. Peruntukan yang dikira sebagai mengekang kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan itu tentunya tidak selari dengan Perlembagaan negara. Permit diperlukan untuk satu-satu perhimpunan atau demonstrasi sebagaimana dikehendaki Akta Polis dikritik kerana dikatakan bertentangan dengan semangat Perlembagaan.

Demikianlah yang terjadi sekitar tahun 1999 dan 2000 bilamana saya terlibat sebagai peguambela dalam suatu kes dibawah Akta Polis. Walaupun ada tiga orang lagi peguam namun sebagai peguam kanan saya dengan sendirinya mengetuai team peguam-peguam dalam kes berkenaan. Tentunya ia cukup menarik apalagi saya sendiri bukanlah hadir atas kapasiti mana-mana parti politik tetapi semata-mata sebagai seorang peguam professional!

Kes ini amat mudah. Sekumpulan ahli sebuah parti politik mengadakan demonstrasi membantah kehadiran athlet dari Israel yang mengakibatkan 54 orang ditahan dan dituduh di mahkamah. Demonstrasi berlaku diluar masjid sesudah selesai solat jumaat. Yang menariknya ialah seorang yang datang dari Kuantan, singgah solat jamak di masjid itu turut sama ditangkap dan dituduh di mahkamah.

Kes ini amat menarik kerana melibatkan jumlah jamaah yang ramai pada hari jumaat. Ianya seolah-olah menimbulkan persoalan bahawa apakah berdasarkan Akta Polis sedia ada, mereka yang hadir mengerjakan solat jumaat juga memerlukan permit polis?

Persoalan ini mungkin nampak lucu namun secara teknikalnya memang perhimpunan lima orang atau lebih adalah memerlukan permit polis. Ini bukan berlaku semasa solat jumaat tetapi seusai solat, lebih-lebih lagi bila berlakunya perhimpunan secara tidak terancang!.

Kes yang saya kendalikan ini adalah sebahagian dari kes-kes berkaitan perhimpunan tanpa permit polis diseluruh negara. Ini tidak termasuk kes-kes berbau politik lain yang sentiasa mendapat perhatian masyarakat.

Bagi saya pengumuman PM malam tadi memang amat ditunggu-tunggu sejak sekian lama. Biarlah apa yang telah berlalu menjadi lipatan sejarah. Rakyat ramai yang sudah cerdik. Biarlah rakyat sendiri menentukan buruk baik sesuatu perkara demi kelangsungan hidup bernegara.

Dirgahayu negaraku!

14 September 2011

Aduh Negaraku

Ya negaraku, negara kita bersama yang bernama Malaysia.

Setiap rakyat yang normal pasti sayangkan negaranya. Sekelumit jua rasa benci kepada negara tidak pernah timbul. Seluruh jiwa raga ku serahkan, begitu kata pujangga!

Negara yang dibina atas darah dan air mata rakyat ini tentunya menjadi kebanggaan setiap orang. Negara besar ini menjanjikan sebuah kehidupan mulus untuk kita bersama buat meneruskan hidup. Setiap rakyat bebas bergerak kemana sahaja tanpa sekatan, tanpa halangan. Benar, negara ini tanpa sempadan.

Negara kita sudah sekian lama merdeka, malahan sebelum saya lahir. Sambutan hari Merdeka diadakan setiap tahun dengan perbelanjaan yang bukan sedikit. Raptai perarakan hari Merdeka juga cukup indah buat sesetengah orang, termasuk pelancung yang saban tahun berkunjung ke negara ini. Warna warni kehidupan rakyat Malaysia terpancar jelas bilamana sambutan hari Merdeka diadakan.

Suka atau tidak kita mesti akui bahawa kemerdekaan negara adalah hasil perjuangan banyak pihak. Mereka ini terdiri dari semua golongan dalam masyarakat. Pejuang kemerdekaan di negara mana jua di dunia ini tidak pernah hanya dimonopoli oleh satu-satu kelompok masyarakat sahaja. Perjuangan yang getir itu diikutserta oleh petani, nelayan, guru, peniaga, boroh, ahli silat, pegawai kerajaan, ulama, pentadbir dan siapa sahaja yang terpanggil untuk berjuang memerdekakan tanahair.

Dalam melalui perjuangan suci itu setiap orang berkorban apa saja yang mampu. Setiap pejuang kemerdekaan tahu bahawa mereka sebenarnya sengaja "mencari susah" apabila terlibat dalam usaha-usaha memerdekakan negara dari belenggu penjajahan Inggeris. Penjara dan dimamah senjata bukan hal asing bagi gerakan kemerdekaan di segenap pelusuk dunia, tidak terkecuali di negara kita.

Pejuang kemerdekaan mempunyai jiwa yang kental. Kalau penakut tidak mungkin mereka sanggup terlibat dalam kerja penuh risiko itu. Kalau mahu bermanja-manja lebih baik tidur dirumah bersama anak isteri daripada keluar berjuang mengikut cara masing-masing. Kalau penakut orang tidak akan sebut sebagai pejuang. Kalau penakut lebih baik terus jadi barua Inggeris.

Keberanianlah yang mengangkat martabat seseorang samaada dia seorang pengecut atau pejuang. Keberanian juga menjadi unsur penting dalam perjuangan kemerdekaan. Lihat saja almarhum Rosli Dhoby berjalan membuka dada semasa ditangkap sesudah menikam mati residen Inggeris di Sarawak!

Keberanian juga perlu ada pada semua orang, lebih-lebih lagi pada kita hari ini. Keberanian mesti bersebab, bukannya tanpa ada kullihanya. Keberanian kosong menghasilkan natijah yang kosong. Keberanian juga mesti disertai oleh kebijaksanaan. Keberanian tanpa kebijaksanaan ibarat membunuh diri. Keberanian begitu adalah keberanian yang sia-sia.

Jadi, dalam menghayati kemerdekaan tanahair ini mari kita menjadi berani dan bijaksana!

12 September 2011

Memulakan Kembali Minat Semulajadi

Selamat berbahagia.

Sudah lama saya berhasrat menulis sudut pandangan saya menerusi blog. Dan sungguhpun blog ini telah beberapa bulan terpampang di maya namun hambatan masa meruntun saya melupakan minat semulajadi iaitu menulis, buat sementara waktu. Ya apalah ada pada menulis jika dilihat dari satu sudut pandangan.

Namun minat yang mendalam, apalagi bilamana timbul isu-isu besar negara telah memaksa saya kembali mengetuk keyboard guna melantunkan juzuk pemikiran saya buat kita kongsi bersama. Sungguh ini suatu pelayaran baru di lautan maya yang bukan asing buat saya. Sungguh ini suatu ufuk yang tidak bertepi yang menuntut kemahuan tahap tertinggi buat menghasilkan santapan minda untuk masyarakat banyak. Saya akur bahawa ini bukan kerja mudah.

Bagi saudara yang lebih senior dari saya dalam dunia blogger, mari  bernuansa dalam pelbagai isu demi kelangsungan masyarakat bertamadun di negara kita. Untuk teman-teman yang singgah sebentar di blog saya, nikmatilah apa yang terhidang seadanya.

Dunia hari ini menuntut kita bertempur secara aqliyah, bukan secara fizikal. Memang ada ketikanya kita bertempur secara fizikal, tapi itu cuma pilihan terakhir. Perhatikanlah bahawa kemenangan mutlak dalam sesuatu peperangan sejak dahulu adalah dicapai melalui perundingan!

Seandainya kehidupan professional saya mempengaruhi gaya penulisan blog ini maka maafkanlah. Pendapat dan pandangan saya dalam sesuatu isu mungkin berbeza dengan penjenguk blog ini. Jika itu keadaannya saya amat berterima kasih bila saja rakan sekelian memberikan komen atau pendapat tanpa dipengaruhi emosi. Setiap kita berhak mengketengahkan sudut pandangan masing-masing.

Ayuh...