24 January 2012

Biji Cempedak Dan Ubi Kayu

Kebiasaannya Tahun Baru Cina akan diiringi dengan hujan untuk tempoh yang lama. Dan pada kali ini keadaan itu juga berlaku kerana sejak dua hari lepas hujan turun mencurah-curah. Hujan juga turun tidak kira waktu malahan tiga atau empat kali sehari.

Saya tidak tahu kenapa fenomena hujan sebegini dikaitkan dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Apa yang pasti ialah seingat saya perkara begitulah yang berlaku saban tahun. Seingat saya juga belum pernah ada musim perayaan itu tanpa diiringi oleh hujan. Maka hujan dan perayaan Tahun Baru Cina sudah sinonim, sudah tidak terpisahkan lagi.

Bagi saya musim hujan sebegini mengingatkan saya kepada kenangan semasa membesar di kampung dulu. Lahir dari keluarga sederhana mendedahkan saya kepada peri kehidupan masyarakat petani dan pekerja yang bergantung kepada cuaca dalam mencari rezki. Sungguhpun ayah dan ibu saya terlibat berniaga namun keadaan semasa itu adalah jauh berbeda dari sekarang. Untung rugi perniagaan bergantung besar kepada pola pendapatan rakyat marhaen. Kalau hari kerap hujan bermakna kuranglah pendapatan dan perniagaan ibubapa saya akan turut terjejas.

Jadi apakah yang dibuat kalau musim hujan begitu?. Seingat saya tiada banyak perkara dibuat kecuali ibu-ibu mencari kutu dikepala, menampi bubuk dari beras atau menganyam tikar mengkuang. Bapa-bapa pula membetulkan atau mengganti bumbung atap nipah agar hujan tidak mengganggu tidur anak-anak. Sesekali kedengaran bunyi gelegak dari dapur menandakan ubi kayu, keledek, ubi kemili, pisang, jagung, kacang tanah atau sekoi direbus.

Kenangan memakan makanan begini masih menjadi nostalgia indah buat saya. Ubi kayu dimakan dengan kelapa parut (nyoq kukoq) atau ikan kering cukup enak. Sesekali kalau ada madu lebah atau misan nipah lagi terangkat sedapnya. Ubi kemili yang digaul kelapa tidak juga kurang enaknya. Masa itu tiada KFC atau pizza. Yang ada hanyalah makanan-makanan rakyat tadi dihampir setiap rumah.

Sesekali pula akan ada rebusan biji cempedak atau biji nangka. Sungguh gebu dan sedap memakan biji-biji tersebut. Memang enaknya akan lebih terasa bila diminum bersama kopi o pekat. Biarlah hujan renyai berapa lama sekalipun asalkan ada makanan-makanan sebegitu. Sungguh menyelerakan.

Keadaan kini sudah berubah. Di musim hujan anak-anak bermain komputer atau game di handphone. Biskut atau roti pelbagai jenis ada tersedia. Milo, teh, kopi dan segala macam boleh diminum. Mee maggi atau nasi himpit sedia untuk direbus. Ertinya soal makanan sudah tiada masalah. Yang jadi masalahnya ialah anak-anak sudah tidak lagi gemar makanan rakyat. Anak-anak sudah diamerikakan. Ubi kayu dan segala macam selera Nusantara sudah tersisih. Sungguh sayang sekali.

Saya terfikir apakah caranya untuk menarik anak-anak agar menggemari makanan-makanan rakyat tadi. Di rumah saya alhamdulillah anak masih gemar ubi kayu, keledek dan ubi kemili. Hanya biji cempedak atau biji nangka masih agak asing bagi mereka. Ada baiknya jika generasi baru rakyat di negara kita dipupuk minat mereka untuk menggemari makanan-makanan rakyat tersebut. Dulu ada kempen meminum air kelapa muda. Kempen itu amat berjaya sehinggakan sekarang ini kita terpaksa mengimpot kelapa muda dari luar. Rasanya kempen sebegitu patut dibuat untuk memartabadkan makanan-makanan rakyat yang saya nyatakan disini.

Yang paling penting rakyat jangan lupa bahawa kita ada makanan yang enak dan bagus. Jangan tunggu sehingga makanan-makanan itu diamerikakan!.

21 January 2012

Menyantuni Masa

Masa memang berharga. Masa yang berlalu tidak akan kembali. Sungguhpun esok masih ada namun masa sudah berputar meninggalkan kita. Masa tidak pernah menunggu kita. Masa tidak pernah hormat kepada siapa sahaja. Masa akan berputar, berputar dan terus berputar tanpa henti.

Pernahkah kita mendengar dalam sejarah bahawa ada ketikanya masa akan berhenti sesaat dua demi menunggu seseorang?. Pernahkah kita dengar masa diputarkan ke belakang untuk memperlahankan perjalanan harian tokoh tertentu?. Pernahkah kita melihat masa ditahan putarannya oleh pihak berkuasa?

Kerana itu kita harus cemburu dengan masa. Kita mesti mengejar masa kerana masa tidak menunggu kita. Masa sentiasa berada dihadapan kita. Oleh itu mana mungkin seseorang mendahului masa. Mana mungkin manusia berada dihadapan dari masa. Mana mungkin manusia menipu masa. Manusia hanya mampu mengikut masa. Manusia hanya mampu menyantuni masa. Manusia hanya boleh berbaik-baik dengan masa.

Maka benarlah firman Allah bahawa demi masa, manusia itu sentiasa rugi kecuali mereka yang mengajak kepada kebenaran dan mengajak kepada sabar. Ertinya kita kena bersabar menurut putaran masa. Kita tidak boleh keluar dari lingkungan masa yang Allah jadikan sejak azali. Manusia dan seluruh alam ini dijadikan dalam rantaian masa yang Allah tetapkan sejak lama. Bila tiba masanya manusia akan mati. Alam akan hancur sesudah ditiup sangkakala. Kiamat yang dijanjikan akan tiba jua mengikut masanya.

Bila mengingati semua ini maka apakah kita masih perlu mendabik dada dan hidup seperti dewa-dewa didunia?. Masa yang Allah berikan memang cukup untuk kita bagi menjalani kehidupan dan menyediakan bekalan untuk mati. Memang kita perlu mengejar masa walaupun masa tidak menunggu kita. Namun semasa mengejar masa jangan kita melanggar segala susila dan peraturan. Jangan kita tolak atau pijak orang lain. Jangan kita bertuhankan kepentingan diri semata-mata kerana mengejar masa.

Bagi saya menyantuni masa bermakna kita menghayati sepenuhnya apa yang ada pada kita sambil bersyukur atas segala nikmat. Menyantuni masa membuat kita lebih peka dengan keadaan sekeliling. Mari kita menjadi manusia sebagaimana selayaknya!.

17 January 2012

Langit Terbuka, Fikiran Tertutup?

Ledakan teknologi siber telah membawa revolusi kepada komunikasi dunia. Dan revolusi ini menjadikan langit terlalu terbuka malah sukar untuk disekat lagi. Dunia siber telah menginjakkan kakinya dihampir seluruh pelusuk dunia tanpa dibatasi oleh sempadan pegangan politik.

Segala apa yang berlaku dimana-mana tempat amat cepat sampai ke pengetahuan masyarakat dunia. Kita seolah-olah dihidangkan dengan adegan siaran langsung. Perang atau bencana cepat diketahui. Dan kerana ini bukan mudah menyembunyikan berita apa jua dari pengetahuan orang lain. Sesungguhnya fenomena langit terbuka ini memberi banyak faedah kepada penduduk dunia.

Sayangnya langit terbuka banyak juga membawa kesan negatif kepada masyarakat. Unsur-unsur perlakuan jenayah dan seks melampau telah turut berkembang dengan rancaknya. Betapa mudahnya melanggan filem bertaraf 'over' hanya dengan sekali klik tidak dapat dinafikan lagi. Begitulah ledakan teknologi siber 'dimunafaatkan' oleh kelompok masyarakat tertentu untuk tujuan tertentu.

Ledakan teknologi itu sepatutnya membawa masyarakat dunia semakin terbuka pemikirannya. Maklumat tentang pelbagai agama, budaya dan fahaman politik amat mudah didapati melalui carian internet dan saluran tv. Buku-buku atau bahan bertulis lain juga amat mudah diperolehi. Semua ini sepatutnya membantu masyarakat dunia memahami satu sama lain dengan lebih baik.

Sayangnya trend kebelakangan ini menunjukkan seolah-olah manusia menjadi semakin rigid dan tidak terbuka pemikirannya. Emosi dan sikap prejudis nyata masih menguasai sebahagian dari anggota masyarakat. Lihatlah kepada sikap masyarakat Barat yang prejudis dan menganggap orang Islam sebagai pengganas. Lihatlah juga kepada pandangan masyarakat itu yang masih menganggap orang lain sebagai masih terkebelakang dan kurang bertamaddun berbanding masyarakat mereka.

Nasionalisme sempit dan semangat perkauman masih menjadi pegangan sebahagian dari anggota masyarakat!.

Benarlah teknologi tidak dapat mengubah sifat manusia. Langit terbuka bukan bermakna fikiran dan sikap turut menjadi terbuka. Teknologi hanya memudahkan manusia, bukannya menukar sifat manusiawi menjadi lebih baik. Sebab itu juga diturunkan agama sebagai pedoman agar manusia sedar siapa diri mereka sebenarnya.

10 January 2012

Ada Peraturan Yang Harus Dipatuhi

Pemecatan YB Dato' Hassan Ali dari keahlian Pas menunjukkan satu perkara penting iaitu didalam berorganisasi ada perkara-perkara tertentu yang harus dipatuhi. Ini bermaksud bahawa setiap organisasi mempunyai peraturan, rukun dan tatacara tertentu yang mesti dipatuhi oleh setiap ahlinya.

Peraturan, rukun dan tatacara berkenaan dikenali sebagai undang-undang tubuh atau perlembagaan bagi sesebuah organisasi atau pertubuhan. Undang-undang tubuh atau perlembagaan inilah yang menjadi panduan atau pedoman dalam berorganisasi. Dan bagi membolehkan wujudnya hubungan yang harmoni diantara organisasi atau pertubuhan dengan ahli-ahlinya, setiap ahli hendaklah menghormati undang-undang tubuh atau perlembagaan tersebut.

Saya tidak tahu adakah Pas melarang mana-mana ahlinya mengeluarkan apa-apa kenyataan atau melakukan apa-apa tindakan yang dikira membelakangkan kepentingan parti itu. Namun sebagai seorang yang telah sekian lama terlibat dengan NGO, saya fikir peruntukan sedemikian kebiasaannya ada dicatat dalam mana-mana undang-undang tubuh atau perlembagaan sesebuah organisasi. Peruntukan begini adalah safeguard utama sesebuah pertubuhan berdaftar dimana-mana jua demi kelangsungan berorganisasi.

Maka kerana itu saya melihat hal pemecatan keahlian Dato' Hassan Ali tersebut semata-mata dari sudut administrative law atau undang-undang pentadbiran. Saya juga melihat perkara ini dari sudut rukun berorganisasi. Soal sama ada seseorang ahli telah melanggar peraturan atau tidak adalah satu soal yang hanya boleh diputuskan oleh organisasi itu sendiri. Peranan mahkamah hanya dalam kes-kes judicial review setelah segala tatacara dalaman pertubuhan itu, termasuk rayuan, dilalui.

Didalam berpersatuan atau berorganisasi, ada perkara mudah yang harus diingati oleh seseorang ahli. Setiap pertubuhan atau organisasi ada peraturan yang harus dipatuhi. Jika peraturan itu tidak dihormati lagi, maka silakanlah pergi!.

Begitulah adanya.

07 January 2012

Melayan Diri

Adakah kita punyai masa untuk melayan diri sendiri?

Soalan ini agak relatif. Ianya bergantung kepada individu berkenaan. Ianya juga bergantung kepada apa yang kita maksudkan sebagai melayan diri sendiri. Sesungguhnya melayan diri sendiri ada yang sukar dilakukan dan ada yang agak mudah dilakukan.

Sesetengah orang menghisap rokok sebagai cara melayan diri sendiri. Golongan ini akan segera mencari rokok selepas makan, semasa minum atau sebaik sahaja bangun dari tidur. Ada juga yang menghisap rokok semasa bertinggung didalam tandas. Cara mereka tarik hisap rokok cukup untuk menceritakan bagaimana mereka melayan diri. Rokok adalah penghibur dan pelepas ketagih para perokok.

Ada orang melayan diri dengan mencungkil-cungkil gigi selepas makan. Bahan sisa makanan ini kemudiannya dicium dalam-dalam. Mungkin baunya yang sedikit tengik itu menawan hati. Mungkin juga bau itu membangkitkan nostalgia lama sehinggakan setiap kali selepas makan orang sebegini pasti tidak lupa mencungkil dan menghidu sisa makanan.

Terdapat juga mereka yang menggigit kuku sambil dicium-cium. Ada juga yang mencungkil tahi hidung sambil menciumnya. Memang pelik perangai atau kebiasaan begini. Yang nyata perkara sebagini dilakukan sebagai cara melayan diri.

Melayan diri dengan mengunjungi spa, gimnasium, gelanggang futsal, bowling atau kelab golf juga agak menarik. Ianya suatu cara hidup bergaya dan untuk orang senang. Melayan diri begini tentulah menjadi kegemaran orang tertentu sahaja. Kos yang agak tinggi dalam sebahagian kategori ini menjadikan melayan diri cara ini agak terbatas kepada kelompok tertentu sahaja.

Walau apapun kegemaran kita dalam melayan diri namun janganlah sehingga terjebak kearah yang merosakkan. Ada orang suka pergi mengintai orang baru kahwin. Ada pula yang suka hidu gam atau pekena ganja atau lain-lain dadah demi melayan diri. Cara ini tidak baik dan merosakkan. Melayan diri secara merosakkan ini tentulah tidak wajar diikuti. Apa saja kegiatan atau kegemaran dalam kategori ini mestilah dielakkan.

Kitalah yang menentukan jenis atau bentuk melayan diri yang kita perlukan!.