29 March 2012

Cabaran Terhadap Bahasa Melayu

Bahasa Melayu adalah bahasa utama di rantau Asia Tenggara dan dipertuturkan oleh lebih dari 300 juta orang. Walaupun dipanggil dengan nama-nama yang berlainan di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura namun Bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan harian dan berfungsi sebagai 'lingua franca' di rantau ini. Begitulah pentingnya kedudukan bahasa berkenaan.

Sejak sekian lama Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghubung yang berkesan. Struktur bahasanya yang mudah telah membolehkan Bahasa Melayu senang dipelajari. Bahasa itu pernah suatu ketika dulu menjadi bahasa penghubung di pelabuhan-pelabuhan besar bukan sahaja di Asia Tenggara malahan di banyak tempat lain. Inilah unik dan istimewanya Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu digunakan sejak sekian lama sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Oleh itu jika bahasa itu tidak mampu memandaikan penggunanya, mana mungkin kita di sebelah sini mencapai tamaddun yang agak tinggi suatu masa lalu. Yang pasti ialah Bahasa Melayu tidak pernah menghalang budaya ilmu berkembang pesat di Asia Tenggara lama sebelum Melaka dilanggar Portugis pada tahun 1511.

Hanya di akhir-akhir ini baharulah Bahasa Melayu dikatakan tidak 'standard' untuk berfungsi sebagai bahasa ilmu. Kononnya Bahasa Melayu tidak membolehkan ilmu diteroka dengan lebih mendalam. Oleh itu pelajaran teknikal seperti sains dan matematik mesti diajar dalam Bahasa Inggeris bagi membolehkan anak bangsa cepat pandai dan mampu menguasai ilmu dunia. Itu cerita di Malaysia.

Cerita di Indonesia pula berbeda. Setiap pertuturan atau dalam koran (akhbar) di negara itu akan diselitkan Bahasa Inggeris. Para 'intelek' negara itu pula akan seberapa daya memakai perkataan Inggeris dalam pertuturan mereka walaupun janggal dan melucukan. Teman-teman dari negara tersebut semasa belajar di peringkat sarjana bersama saya dahulu mempunyai justifikasi sendiri kenapa mereka gemar menyelitkan Bahasa Inggeris dalam bualan dan tulisan mereka. Konon katanya itu adalah cara terbaik bagi mereka untuk  belajar Bahasa Inggeris!.

Saya bukan anti Bahasa Inggeris. Saya sendiri belajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris untuk ijazah pertama dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya dan sarjana undang-undang perbandingan di Universiti Islam Antarabangsa. Tugas saya sebagai seorang peguam sepenuh masa sememangnya memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris dengan baik. Namun ini bukanlah alasan bagi saya untuk tidak melihat dengan gusar 'layanan' dan cabaran terhadap Bahasa Melayu sekarang.

Cabaran utama terhadap martabat dan kelangsungan Bahasa Melayu datangnya dari pengguna bahasa itu sendiri, khususnya dari mereka yang lahir dan membesar sebagai orang Melayu atau suku kaum asal dunia Melayu. Lebih malang ialah cabaran ini datangnya dari cerdik pandai dan pemimpin  yang bertaraf nasional. Sensitiviti mengenai betapa Bahasa Melayu sewajarnya dipertuturkan dan bukannya Bahasa Inggeris (yang kadang-kadang secara tidak betul nahunya) seperti tidak dipedulikan oleh mereka.

Sebagai contoh sekiranya seorang pemimpin negara diwawancara oleh stesen tv tempatan, apa salahnya bercakap dalam Bahasa Melayu. Mulia sangatkah Bahasa Inggeris sehinggakan perlu wawancara itu dijawab dalam Bahasa Inggeris?. Saya pernah memberitahu sahabat rapat saya agar menasihati bapa saudaranya, seorang pemimpin nasional, agar memberhentikan tabiat suka sangat bercakap Bahasa Inggeris dalam tv. Alhamdulillah selepas itu pemimpin berkenaan sudah mulai berubah!.

Penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu ada tempat masing-masing. Di tempat yang terbuka, dalam majlis resmi, dalam media tv atau radio, bercakaplah dalam Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia). Lekeh sangatkah bahasa itu berbanding bahasa asing tersebut?.

Atau malukah kita bertutur dalam Bahasa Melayu sedangkan ia mudah difahami oleh rakyat dan pendatang asing?.

Malukah?.

28 March 2012

Catatan Malam

Memang saya mendiamkan diri sejak beberapa minggu ini. Tiada garapan saya muatkan ke blog ini karena saya menumpukan lebih masa kepada memulihkan badan dan saraf saya yang bermasalah sejak beberapa bulan lalu. Saya kosongkan minda untuk membolehkan kekuatan dalaman menyokong pemulihan dengan lebih cepat.

Hanya empat hari lalu baharulah saya merasa badan agak ringan dan mudah bergerak ke sana sini. Hati juga melonjak gembira. Jamu yang dibekalkan kepada saya terasa berkesan menurunkan tahap kesakitan yang saya alami selama ini. Dan tadi teman-teman rapat saya seperti sdr Mohd Sayuti Omar, Din Deraman dan lain-lain datang berkunjung ke rumah. Sesudah menghirup kuah mee lazat yang isteri saya sediakan, kami pergi menjamu selera di restoran steam boat pula. Sayuti yang masih terhencot-hencot diserang gout masih mampu memakan daging dan udang dengan banyak. Mungkin dia amat gembira melihat saya sudah semakin bertenaga.

Begitulah adat berkawan. Susah senang ada yang boleh ditanggung bersama. Semasa anak saya diserang kanser dahulu, Sayuti dan keluarganyalah yang banyak membantu. Sebab itu kalau dia diserang acara bulanan iaitu gout, sayalah diantara orang yang akan segera mengangkutnya ke klinik untuk rawatan. Hanya serangan yang terkini saya tidak dapat membantu dia sebab saya juga bermasalah.

Sifat bantu membantu begini patut terus menjadi amalan di dalam masyarakat kita. Membantu tidak merugikan sesiapa. Membantu malah mengeratkan silaturrahim diantara sesama kita. Bantu membantu mewujudkan suasana harmoni di dalam masyarakat.

Sebab itulah coretan saya malam ini saya harapkan dapat membantu keharmonian masyarakat. Sifat nafsu nafsi atau 'selfish' sudah semakin tidak disanjung lagi. Masyarakat di Malaysia mulai mengambil kehidupan bersama sebagai sesuatu yang wajib diamalkan. Garis pemisah antara kaum juga semakin menipis. Kita sering membantu tanpa mengira bangsa, agama, pangkat atau pegangan politik. Lihat saja bila berlakunya sesuatu malapetaka setiap lapisan masyarakat memberikan sumbangan. Rakyat di negara kita sudah betul-betul mulai keluar dari kepompong yang sempit!.

Jika kecenderungan ini berterusan saya yakin negara ini akan bertambah makmur jika kita tidak sombong, tidak angkuh. Sesungguhnya kesombongan dan keangkuhan adalah pembunuh terbesar ummat manusia.

24 March 2012

Masanya Telah Tiba

Setiap orang melalui berbagai peringkat dan cabaran hidup. Umur yang meningkat turut menjadikan kita lebih dewasa, lebih menghargai masa dan kebebasan diri. Kebebasan dan keselesaan mengurus masa sendiri menjadikan sesorang lebih mesra alam. Lebih menghargai nikmat hidup yang dinikmati.

Begitulah juga dengan apa yang saya sendiri lalui selama ini. Sebagai aktivis pelajar dari zaman sekolah hingga ke peringkat universiti menjadikan saya agak sibuk. Sesudah zaman universiti saya menjadi lebih sibuk bilamana terlibat sebagai aktivis NGO disamping bertugas dalam kerjaya professional. Masa saya banyak dihabiskan dengan segala kegiatan persatuan, politik dan kerja masyarakat untuk tempoh masa yang agak lama. Sebahagian masa yang lain pula dihabiskan dalam melaksanakan tugas professional saya yang agak mencabar itu.

Sekarang, sesudah sukar bergerak baru-baru ini akibat masalah kepada saraf, saya menilai semula gaya hidup selama ini. Hidup yang sentiasa sibuk telah meninggalkan saya jauh dari keluarga terdekat. Kesibukan juga menjadikan saya terpaksa melupakan kegemaran seperti menulis dan memancing. Setiap kali pulang kampong ada saja kawan yang mengajak turun sungai memancing siakap atau semilang. Hutan paya bakau di Sungai Merbok itu pernah menjadi tempat saya dan kawan-kawan memasang pukat, merawai, menangkul ketam, mengorek umpun-umpun dan siput serta memancing. Segala alur sungai kami jelajahi.

Akibat kesibukan, kawan-kawan sudah tidak galak lagi mengajak. Mereka juga turut menggeleng kepala melihat saya terkejar-kejar kesana kemari. Tidak sanggup mereka lalui kehidupan seperti saya. Yusuf Lenggok, kawan saya sejak kecil lebih rela meneruskan kehidupannya sebagai nelayan. Dia lebih sanggup turun ke laut awal pagi dan balik hampir senja berbanding saya yang berkejar ke utara, selatan, timur dan barat. Sesekali mengunjungi Yusuf di kampung nelayan, Tanjong Dawai memang rasa lebih damai dan tenang.

Itulah sebabnya saya fikir sudah tiba masanya saya melayan diri sendiri. Sudah tiba masanya saya melakukan apa yang sebenarnya menjadi kegemaran dalam hidup saya. Masa untuk beribadat secara khusus juga mesti ditingkatkan. Ruang untuk melawat kaum keluarga juga wajar saya ambil sebelum ibu-ibu saudara atau sepupu-sepupu saya meninggal dunia. Ruang inilah juga berfaedah untuk saya merawat keletihan setelah puluhan tahun bekerja.

Anak-anak saya juga sudah membesar kecuali anak bongsu isteri saya yang masih belajar di sekolah rendah. Oleh sebab itu tugas menukar lampin bayi sudah lama tidak saya lakukan malahan saya tidak berhasrat melakukannya di usia begini. Apa yang perlu saya lakukan sekarang untuk keluarga ialah sebagai 'penyelia' yang memantau anak-anak agar tidak jauh tersasar.

Sudah tiba masanya juga saya meninggalkan khazanah untuk kegunaan generasi akan datang. Pengalaman dan pengetahuan dibidang professional yang saya lalui lebih dua puluh tahun perlu disampaikan kepada masyarakat. Saya masih berhutang dengan negara iaitu masih gagal menulis buku undang-undang walaupun telah ada dua penerbit terkenal berkunjung ke firma saya meminta saya menulis buku. Seorang kenalan baik saya mungkin telah merajuk kerana sampai hari ini saya masih gagal menyediakan manuskrip untuk diterbitkan oleh syarikat penerbitan miliknya yang besar dan terkenal itu.

Saya berdoa agar saya sempat melakukan semua itu sebelum Allah menjemput saya kembali. Dari segi umur dan keturunan, saya masih ada masa yang agak selesa berdasarkan umur ayah dan ibu saya. Ayah sudah berumur lebih 85 tahun dan ibu hampir 80 tahun. Walaupun mereka sesekali dihinggapi sakit tua namun kesihatan mereka masih dikira bagus. Kalau Allah izinkan saya mengikuti umur ayah dan ibu rasanya sempat untuk saya menambah stok kebajikan guna dibawa sebagai bekalan nanti.

Kita hanya merancang!.