22 May 2012

Dahulu Pendakwa, Kini Pembela

Sesuatu yang amat menarik  berlaku di mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini dalam kes Bersih 3.0 dimana Ketua Umum PKR dan Timbalan Presiden parti itu serta seorang lagi dituduh : kehadiran Dato' Mohd Yusof Zainal Abidin, mantan Peguamcara Negara 2 sebagai peguambela tertuduh!.

Adalah suatu perkara biasa bila seseorang bertukar posisi dari pihak pendakwa ke pihak pembela. Ini adalah perkara lumrah dalam dunia mahkamah dan kepeguaman. Saya sendiri melalui 'proses' yang sama. Semasa berkhidmat dengan kerajaan dahulu saya menjalankan pendakwaan untuk kes-kes yang melibatkan perlanggaran undang-undang. Selepas meletakkan jawatan saya pula kadang-kadang bertindak sebagai peguambela dalam kes-kes tertentu. Sebagaimana saya sebutkan tadi, ini adalah perkara biasa dalam sistem keadilan di negara kita.

Namun dalam kes Dato' Yusof ini ia suatu perkara yang berlainan sedikit. Saya katakan berlainan ialah kerana hanya beberapa bulan lalu beliau mengetuai barisan pendakwaan dalam kes yang juga melibatkan Ketua Umum PKR tersebut. Kes berprofil tinggi itu berakhir dengan tiadanya sabitan keatas Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tentulah ramai dikalangan kita telah mengikuti perkembangan kes tersebut dan maklum akan sejarah kes itu.

Bila Dato' Yusof hadir sebagai peguambela tadi, ramai orang melihat ini suatu perkembangan yang sangat menarik. Beliau muncul sebagai 'bintang' dan mendapat sorotan media yang cukup luas. Kehadiran beliau seolah-olah menenggelamkan aura kehadiran Ketua Umum PKR itu sendiri. Itu adalah hak beliau sebagai seorang peguambela. Itu adalah sesuatu yang besar dalam kerjaya beliau sebagai peguam setelah lama berkhidmat dengan Kerajaan.

Saya memang rapat dengan Yusuf sejak kami belajar lagi. Beliau setahun lebih senior dari saya semasa belajar di fakulti undang-undang Universiti Malaya. Saya cukup mengenali beliau malah saya amat menghormati sikap dan pegangan beliau. Walaupun secara luarannya beliau nampak seperti 'kasar' namun hatinya cukup lembut dan baik. Dia mudah membantu. Itulah Yusuf.

Pada masa beliau mengetuai barisan pendakwaan dalam kes yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR itu saya terserempak dengan Yusuf sekali atau dua kali. Kebiasaannya kalau terserempak begitu kami akan bercerita hanya soal kawan-kawan dan profesyen undang-undang. Sikapnya yang periang itu menjadikan suasana sentiasa ceria. Pernah dalam satu konvensyen undang-undang Yusuf menarik tangan saya hanya untuk menunjukkan sesuatu. Kami kemudiannya ketawa berderai. Kalau beliau membaca tulisan ini saya percaya dia juga akan ketawa mengingatkan perkara tersebut.

Sebagai seorang kawan dan berada dalam profesyen yang sama, saya melihat langkah Yusuf hadir sebagai peguambela pagi tadi sebagai sesuatu yang bagus. Sudah tentu ada pihak yang mencela sikapnya hari ini. Komen-komen dalam media sosial pula menunjukkan ada semacam kecurigaan di sesetengah kalangan. Yang skeptikal juga ramai.

Namun bagi saya itu adalah pilihan Yusuf sebagai seorang peguam. Sesungguhnya bukan mudah untuk beliau mengambil keputusan hadir sebagai peguambela dalam kes sebegitu. Kita harus menghormati keputusan dan pendirian beliau. Sekarang sedikit sebanyak beliau dianggap sebagai memihak kepada Ketua Pembangkang itu. Yusuf telah mengambil langkah berdasarkan 'calculated risk'. Beliau maklum apa risiko yang dihadapinya.

Sejak dahulu Yusuf adalah seorang yang pintar dan berani. Dan hari ini Yusuf membuktikan bahawa dia memang berani.

Selamat datang ke dunia baharu sahabatku!.

21 May 2012

Kehilangan Sahabat

Semalam adalah hari sedih buat saya. Pemergian almarhum Zulkifli Ahmad sungguh suatu kehilangan yang terasa. Memang saya tidak langsung menjangka almarhum pergi begitu cepat. Sungguh saya tidak menjangkakannya.

Almarhum sahabat saya itu menghidap kanser. Dia jatuh sakit beberapa bulan setelah saya sendiri diserang slip disc. Dalamasa kira-kira empat bulan beliau bertarung dengan penyakit itu kami selalu berhubung melalui talipon, kali terakhir sekitar tiga minggu lalu. Setiap ada sahabat yang melawatnya saya pasti akan dihubungi. Dan kami akan berbual melalui talipon. Saya mendengar bunyi kepayahan di hujung talian.

Setiap kali almarhum berkunjung menemui perawat perubatan alternatif, dia akan bertanyakan kalau-kalau ada orang boleh mengubati saya. Demikianlah almarhum yang begitu mengambil berat hal kawan-kawan, tanpa peduli dia sendiri sedang sakit. Dia ada menghubungi saya memberitahu dimana ada perawat yang boleh membantu saya.

Begitulah akrabnya kami semenjak belajar dalam tingkatan enam. Hubungan persahabatan puluhan tahun itu memang suatu yang istimewa. Sungguhpun beliau tidak belajar di universiti namun hidupnya berjaya. Beliau bekerja untuk suatu tempoh dengan agensi Kerajaan sebelum berhenti. Beliau berniaga beras dan lain-lain. Stesen Petronas milik beliau di Sungai Petani agak besar. Di situlah biasanya kami berkumpul sebelum pergi makan. Dan setiap kali mahu membayar harga makanan saya terpaksa berebut dengan dia untuk membayar. Itulah sikapnya sejak dahulu, dia akan membayar.

Setiap kali saya pulang sejak dua tahun lalu almarhum akan mengumpulkan kawan-kawan. Tiada banyak yang kami buat kecuali berborak, makan dan minum. Biasanya saya akan diminta memberi 'taklimat' tentang hal politik semasa kerana saya diketahui cenderung berpolitik. Hahaha...

Sayangnya kekangan fizikal masa ini menghalang saya hadir pengkebumian jenazah almarhum sahabat ini. Memang agak sukar berjalan jauh. Saya hanya mampu mengikuti dari jauh. Hamzah Abdul seorang sahabat akrab juga memaklumkan perkembangan suasana pengkebumian itu. Sungguh sedih rasanya kerana khabarnya hanya saya seorang dikalangan rakan karib almarhum yang tidak hadir.

Maafkan aku sahabat. Semoga Allah menerima segala amalmu. Semoga engkau dipelihara. Kami yang tinggal ini akan menurutimu nanti. Sesungguhnya tiada yang kekal melainkan Allah jua.

Alfatihah...

16 May 2012

Candi Lembah Bujang.

Terdapat banyak candi tinggalan zaman Hindu di Lembah Bujang, khususnya di Kampong Bujang, Kampong Pengkalan Bujang, Kampong Sungai Batu, Kampong Pendiat, Kampong Bendang Dalam dan yang terakhir ditemui berdekatan UiTM, juga di dalam Kampong Bujang.

Candi-candi ini telah mulai digali untuk tujuan pemuliharaan sejak puluhan tahun lalu. Semasa zaman remaja saya akan menaiki basikal bersama kawan-kawan ke beberapa kawasan yang ditemui candi mengutip batu untuk digunakan sebagai 'peluru' lastik. Maklumlah masa itu, budak lelaki main lastik dan mandi sungai adalah fenomena biasa. Pakar melastik mempunyai kelas tersendiri dikalangan kami pada masa itu. Jadi 'peluru' kelas pertama adalah datangnya dari batu di kawasan candi dan batu besi yang banyak diperolehi di sekitar Sungai Batu atau Semeling.

Kadang-kadang kami 'mengambil upah' dengan membantu membersihkan kawasan yang ditemui candi. Sambil bertanya pekerja tetap yang terlibat dengan penggalian, mata kami liar mencari kalau-kalau ada emas di situ. Terdapat cerita kononnya emas ada di candi-candi tertentu. Saya pernah pasang angan-angan menemui emas, boleh jadi kaya dan hidup senang. Sambil berangan-angan tangan akan mengutip batu 'peluru' lastik dan dimasukkan ke dalam poket seluar. Emak akan selalu marah bila membasuh seluar yang kotor akibat diisi peluru.

Demikianlah cerita candi puluhan tahun lalu. Kami penduduk sekitar kawasan itu tidak ambil kisah sangat soal candi-candi peninggalan tamaddun Hindu itu. Sesetengah cerdik pandai Islam di Kedah kurang senang dengan pemuliharaan candi-candi berkenaan. Kata mereka sesuatu yang Allah timbuskan ke dalam tanah tidak perlu lagi digali untuk dipamerkan kepada masyarakat. Cukuplah kita mengetahui bahawa suatu ketika dahulu Kedah mempunyai kerajaan dan penduduk yang mengamalkan agama Hindu. Bila Islam datang dan Sultan Muzaffar Shah memeluk Islam (makam baginda serta kaum keluarga terdapat di Kampong Langgar), biarlah tamaddun Hindu di Kedah itu tinggal tenggelam di dalam bumi.

Mungkin pandangan ini secara senyap-senyap dipakai di Kedah sehingga sekarang. Sebab itulah kita dapati candi-candi ini tidak begitu dipromosi sebagai tempat wisata berbanding Langkawi yang diangkat begitu tinggi. Penduduk setempat juga nampaknya tidak bercakap sangat soal candi ini.

Selain candi terdapat beberapa tinggalan sejarah lama sekitar Lembah Bujang yang bagus untuk dikunjungi. Kompleks makam Sultan Muzaffar Syah dan masjid tertua di Kampong Simpang Tiga Pasir memberikan gambaran bagaimana Islam datang ke kawasan kerajaan Kedah Tua itu. Pondok atau Madrasah Addaruin di Kampong Bujang merupakan antara pondok pengajian tertua di Kedah dan menampung ramai pelajar dari seluruh Asia Tenggara. Sehingga kini di sekitar pondok itu (sekarang menjadi surau) anak cucu pelajar atau tenaga pengajar dari rantau Melayu masih tinggal di situ. Mudir terakhir pondok itu juga berasal dari Indonesia sementara seorang dari keluarga almarhum itu berkahwin dengan anak kepada Syeikh Abdul Qadir alMandili, imam mazhab Syafie di Makkah suatu ketika dulu.

Latar belakang sebeginilah memungkinkan candi tidak begitu popular dikalangan penduduk sekitar Lembah Bujang. Penemuan terbaharu yang agak besar itupun tidaklah menjadi bualan hebat penduduk setempat. Mereka lebih suka bercerita mengenai kemalangan jalanraya yang kerap berlaku di situ. Khabarnya kawasan itu 'keras'. Setiap sebulan atau dua bulan sekali bila pulang menemui ayah dan emak  sudah pasti saya memandu agak berhati-hati di kawasan itu hahaha...

Begitulah.