07 July 2012

Politik Dan Saya

Sudah agak lama saya mengenali politik. Sejak kecil saya sudah terdedah dengan bidang ini, apa lagi ayah saya sendiri adalah seorang pemimpin kecil politik di tempat kami. Sejak kecil juga saya dibawa menghadiri ceramah-ceramah politik di sekitar daerah tempat tinggal saya.

Sejak masa itu lagi saya sudah mengenali politik telur ayam kemuruk atau telur temelang. Adalah sesuatu yang dimaklumi semasa itu adanya perbuatan mensabotaj ceramah parti lawan dengan membaling atau melempar telur ayam kemuruk. Telur ayam itu akan pecah dan menyebabkan bau busuk. Dengan cara itu mereka yang hadir dalam ceramah akan lari meninggalkan ceramah.

Ceramah-ceramah politik semasa itu juga dipenuhi dengan provokasi-provokasi terhadap pihak lawan. Satu provokasi dalam bentuk pantun yang saya ingat sehingga hari ini berbunyi:

Kapal layar tiang besi,
Bulan bintang duduk di atas,
Kapal layar dapat kerusi,
Bulan bintang sepak kertas.

Begitulah keadaan politik semasa itu iaitu suatu persaingan sengit di antara parti Perikatan (Kapal layar) dan Pas (Bulan bintang). Sungguhpun Pas bersendirian namun parti itu telah memberikan tentangan yang berkesan kepada Perikatan. Sebagai kanak-kanak saya lebih berminat membeli kacang putih dan ais kerim!.

Minat saya kepada politik semakin bertambah bila saya bergiat dalam persatuan pelajar semasa di sekolah menengah dan universiti. Semasa di tingkatan enam guru saya adalah bekas pemimpin pelajar universiti yang amat kental dengan idealisme politik. Ini serba sedikit mempengaruhi saya dalam hal berkaitan politik tanahair.

Di Universiti Malaya saya terus aktif dalam gerakan pelajar. Bersama beberapa orang pemimpin pelajar yang lain kami gerakkan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Rakan-rakan saya itu sekarang ini ada yang menjadi menteri dan timbalan menteri serta exco kerajaan negeri.

Saya masih meminati politik secara aktif dalam gerakan belia dan persatuan. Yang membedakan saya dengan rakan-rakan saya ialah saya lebih menumpukan perhatian kepada kerja professional saya berbanding mereka yang bermain politik sepenuh masa.

Sesekali bertemu rakan-rakan ini di Parlimen atau di dalam majlis tertentu kami masih mesra seperti dahulu. Namun bagi saya angin perubahan politik hari ini memang sukar dijangka apa lagi kalau diperhatikan terdapatnya tuntutan dan desakan kepada pemerintah dalam hal tertentu.

Yang menarik perhatian saya ialah di era ini munculnya kembali politik membaling telur ayam kemuruk dan yang sealiran dengannya. Beginikah kematangan berpolitik yang kita capai selama ini?

Sungguh malang!.

Penangan Durian

Bersama-sama kakitangan yang lain saya ke Jerantut khamis lalu. Perjalanan selama dua jam itu adalah sebagai memperkenalkan tenaga kerja firma saya di Kuala Lumpur dan Pahang. Cara ini akan mempermudah urusan kerja bilamana tenaga kerja ini kenal secara peribadi, bukan hanya melalui hubungan telefon, fax atau el sahaja.

Perjalanan membelah kabus pagi di Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur itu tidak terasa. Kecuali saya dan seorang lagi, lain-lain kakitangan firma saya belum pernah ke Jerantut. Tentu anda dapat bayangkan bagaimanakah perasaan mereka. Bandar di pendalaman Pahang itu terasa dekat.

Dan pertemuan yang dirancangkan itu memang berjalan dengan baik. Pertukaran pengalaman di kalangan tenaga kerja begini amat baik. Saya pula mengambil kesempatan untuk berbincang dengan rakankongsi-rakankongsi mengenai pelbagai perkara.

Apa yang menarik ialah kami dihidangkan dengan makan tengahari berlaukkan ikan sungai Pahang. Sambal ikan bilis yang ditumbuk bersama belimbing buluh atau sambal hitam sungguh menyelerakan. Ikan patin masak tempoyak sungguh lazat. Ikan talapia masak asam rom amat enak. Ulam-ulam kampung yang segar memudakan saya hahaha...

Kini tibalah pula giliran mengerumuni durian. Durian yang baru gugur di awal pagi itu memang sedap. Saya melantak beberapa ulas. Opppss...saya sepatutnya tidak memakan sebegitu banyak. Sedap punya fasal saya membedal durian tanpa had.

Akibat memakan durian melebihi 'kuota', saya mengalami keadaan yang tidak pernah saya hadapi sebelum ini. Tekanan darah saya melonjak naik. Kepala pening dan terasa meloya. Semalam saya terpaksa tidur beberapa jam. Malam tadi dan hari ini saya terpaksa berbaring. Hanya sejam yang lalu baru terasa lega sedikit.

Itulah akibatnya kalau nasihat doktor dilanggar. Sakit menjadi bertambah parah. Yang menanggung semua ini adalah diri sendiri, bukan orang lain.

Kalau melanggar nasihat doktor begitu sekali kesannya, tentulah melanggar nasihat agama lebih teruk akibatnya!.