21 November 2014

AMANAH PADA DIRI

Kita dituntut agar beramanah kepada diri sendiri, kepada agama, masyarakat dan negara. Amanah bukannya mudah untuk dilaksanakan tetapi tidaklah mustahil untuk dilakukan seandainya seseorang itu memahami konsep amanah itu sendiri. Hidup tanpa amanah tentunya tempang dan songsang.

Apakah yang dikatakan sebagai amanah kepada diri sendiri itu. Adakah ia amat penting dalam kehidupan seharian seseorang. Adakah tanpa amanah pada diri sendiri maka seseorang itu telah melanggar rukun hidupnya sendiri?

Amanah kepada diri sendiri itu banyak. Ini termasuk bangun awal dari tidur, mandi, makan dan minum secukupnya, tidur yang berkualiti dan lain-lain. Ini bermakna bahawa seseorang itu tidak boleh mengambil mudah hal berkaitan pengurusan diri sendiri.  Ini bermakna kita mesti peka berkaitan diri sendiri. Malah agama Islam melarang penganutnya meletakkan diri dalam kerosakan atau kebinasaan.

Amanah kepada diri sendiri juga termasuk tidak membenarkan atau menyokong orang lain tidak beramanah kepada masyarakat.  Sebagai contoh jika kita lihat orang lain merosakkan harta benda awam kita mesti menegur atau menghalang perbuatan itu. Begitu juga dengan perbuatan rasuah, salah guna kuasa,  mengambil sesuatu yang bukan haknya dan lain-lain lagi.

Jika kita amanah kepada diri sendiri maka kita tidak akan membenarkan orang lain tidak berlaku amanah. Kita tidak akan membenarkan siapa jua melakukan kerosakan,  apa lagi kerosakan terhadap agama dan negara.

20 November 2014

Apa khabar?

Tanpa sedar saya meninggalkan blog ini cukup lama. Cukup lama sehinggakan blog ini seperti sudah mati tanpa kubur. Sungguh ia sesuatu yang tidak disengajakan terutamanya disebabkan oleh sedikit masalah kesihatan yang saya alami.

Demikianlah halnya yang terjadi apabila kita diselingkari oleh sesuatu perkara,  apa lagi yang berbentuk masalah. Banyak hal tertangguh. Berbagai hal lain pula yang timbul. Kesabaran tahap tinggi wajar ada di dalam situasi ini.

Jika kita ditimpa masalah, janganlah mudah mengalah.  Kuatkan azam dan semangat.  Jangan mudah kecewa. Jangan putus asa.  Hadapilah segalanya seadanya.

Salam hormat.

07 February 2014

HEBOH SEKAMPUNG

Adalah menyedihkan apabila melihat suasana politik dan sosial di negara ini seakan kelam kabut. Heboh sekampung jadinya walaupun sesuatu perkara itu kecil sahaja. Rakyat menjadi semakin sensitif tidak bertempat. Semua perkara, hampir semua perkara disensasikan.

Apa hendak jadi?

Masyarakat di negara ini seperti kembali ke belakang. Ke era sebelum tahun 1969. Entah apa yang ditakutkan pun tidak diketahui. Macam orang takut hantu dari cerita novel yang sedang dibacanya.

Hairan. Sungguh hairan.

Kemajuan pendidikan selama hampir 40 tahun seperti tiada gunanya. Toleransi antara kaum yang dipupuk selama ini seperti tidak pernah berlaku. Kesatuan rakyat yang kita bangga-bangkakan seperti tersorok di ceruk dapur.

Entahlah.

Dan yang lebih memualkan ialah hiruk pikuk politik. Politik adalah untuk melahirkan pemimpin. Pemimpin haruslah cerdik, berani dan berjiwa besar. Pemimpin kena berlapang dada. Pemimpin mesti bersifat negarawan agar dapat memberikan kepimpinan yang berkesan.

Orang yang penakut dan kurang akal bukanlah seorang pemimpin. Dia hanya layak disebut sebagai pengurus atau pentadbir.

Lalu?

Apa gunanya usaha kita selama ini jika hal-hal yang membawa keresahan masyarakat tidak ditangani dengan bijaksana. Membiarkan bahang ini tidak diuruskan dengan baik bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Rakyat sedang melihat semua ini!.

LAMA KUTINGGALKAN

Apa khabar?

Lama saya tinggalkan blog ini karena keadaan kesihatan yang tidak memuaskan. Insya Allah saya akan kembali dengan catatan-catatan baharu.

Terima kasih.