21 November 2014

AMANAH PADA DIRI

Kita dituntut agar beramanah kepada diri sendiri, kepada agama, masyarakat dan negara. Amanah bukannya mudah untuk dilaksanakan tetapi tidaklah mustahil untuk dilakukan seandainya seseorang itu memahami konsep amanah itu sendiri. Hidup tanpa amanah tentunya tempang dan songsang.

Apakah yang dikatakan sebagai amanah kepada diri sendiri itu. Adakah ia amat penting dalam kehidupan seharian seseorang. Adakah tanpa amanah pada diri sendiri maka seseorang itu telah melanggar rukun hidupnya sendiri?

Amanah kepada diri sendiri itu banyak. Ini termasuk bangun awal dari tidur, mandi, makan dan minum secukupnya, tidur yang berkualiti dan lain-lain. Ini bermakna bahawa seseorang itu tidak boleh mengambil mudah hal berkaitan pengurusan diri sendiri.  Ini bermakna kita mesti peka berkaitan diri sendiri. Malah agama Islam melarang penganutnya meletakkan diri dalam kerosakan atau kebinasaan.

Amanah kepada diri sendiri juga termasuk tidak membenarkan atau menyokong orang lain tidak beramanah kepada masyarakat.  Sebagai contoh jika kita lihat orang lain merosakkan harta benda awam kita mesti menegur atau menghalang perbuatan itu. Begitu juga dengan perbuatan rasuah, salah guna kuasa,  mengambil sesuatu yang bukan haknya dan lain-lain lagi.

Jika kita amanah kepada diri sendiri maka kita tidak akan membenarkan orang lain tidak berlaku amanah. Kita tidak akan membenarkan siapa jua melakukan kerosakan,  apa lagi kerosakan terhadap agama dan negara.

20 November 2014

Apa khabar?

Tanpa sedar saya meninggalkan blog ini cukup lama. Cukup lama sehinggakan blog ini seperti sudah mati tanpa kubur. Sungguh ia sesuatu yang tidak disengajakan terutamanya disebabkan oleh sedikit masalah kesihatan yang saya alami.

Demikianlah halnya yang terjadi apabila kita diselingkari oleh sesuatu perkara,  apa lagi yang berbentuk masalah. Banyak hal tertangguh. Berbagai hal lain pula yang timbul. Kesabaran tahap tinggi wajar ada di dalam situasi ini.

Jika kita ditimpa masalah, janganlah mudah mengalah.  Kuatkan azam dan semangat.  Jangan mudah kecewa. Jangan putus asa.  Hadapilah segalanya seadanya.

Salam hormat.