21 February 2021

Covid-19

 Sekarang COVID-19 sudah menjadi ‘kuasa baharu’ di seluruh dunia. Bersabarlah. Tiba masanya nanti wabak itu akan berlalu pergi.

Apa yang harus kita buat?

Jaga diri. Ikut SOP. Tinggallah di rumah, kecuali ada hal penting untuk keluar. Hadkan pendedahan diri kepada jangkitan yang membunuh itu.

Selain itu?

Makan dan minumlah makanan yang boleh menguatkan imun badan. Selalulah minum air panas. Makan atau minumlah vitamin. Jangan makan di sembarangan tempat.

Berdoalah. Jangan lupa pada Allah.

MRM.







15 April 2020

The present Covid-19 pandamic has in a way caused the change of lifestyle throughout the world. We have no choice. Like it or not we must change.

MRM.

13 April 2020

Wabak Covid-19

Sejujurnya aku tidak pernah terperap di rumah sebegini lama. Belum pernah aku bercuti berbulan-bulan dalam keadaan sihat. Belum pernah aku terperuk di dalam rumah hanya makan dan tidur. Ya kali ini aku lalui sejarah pertama ini.

Ini adalah suatu cabaran. Ini suatu ujian. Ia menguji kita berhadapan dengan situasi lockdown seantero dunia. Ini bukannya calang-calang wabak. Ini adalah musuh yang bersedia membunuh siapa sahaja tanpa mengira bangsa, umur, jantina atau darjat. Wabak ini menerkam manusia tanpa belas kasihan.

Allah mahu kita menjadi lebih baik. Allah mengajar kita agar bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih besar : fitnah dajjal di dunia dan hari kebangkitan di akhirat!

MRM.

23 October 2017

LAMBAKAN PENDATANG ASING

Terlalu ramai. Mereka berada di mana-mana sahaja. Mereka menguasai perniagaan dan perkhidmatan tertentu. Mereka juga mulai 'demand' harga. Mereka menikmati pengangkutan awam dan kemudahan kesihatan seolah-olah mereka adalah warga tempatan.

Itulah gambaran mengenai pendatang asing di negara kita pada waktu ini. Pendatang dari pelbagai negara asing itu sesungguhnya telah benar-benar menjadi sebahagian dari nadi kehidupan harian kita. Mereka begitu menonjol di mana-mana. Mereka sudah mulai tidak sensitif dengan agama dan budaya  warga setempat.

Kejadian-kejadian Negro mabuk dan mengganggu isteri serta anak gadis rakyat Malaysia bukan perkara baharu. Sudah sering kita dengar cerita yang memualkan ini. Kegiatan scammer yang dikaitkan dengan kumpulan ini juga makin menjadi-jadi. Kumpulan ini tidak pedulikan apa orang kata. Mereka buat apa yang mereka hendak buat.

Pendatang lain seperti dari Myanmar, Vietnam dan dari jiran yang lain turut membawa budaya dan masalah tersendiri. Mahkamah-mahkamah jenayah turut dibanjiri oleh golongan ini. Bukan suatu perkara yang asing bila kita melihat mereka ini bergari di mahkamah atau dibawa turun dari kenderaan Black Maria.

Persoalannya ialah apakah negara harus berterusan menerima lambakan pendatang asing begini?

Dalam suasana ekonomi negara seperti sekarang, aliran wang keluar negara yang banyak tidak sewajarnya dipandang enteng. Jika setiap orang warga asing menghantar pulang wang sebanyak RM200 sebulan, berapa banyakkah yang dihantar keluar jika kita ada 4 atau 5 juta pendatang/pekerja asing?.

Mari kita sama-sama berfikir.

MRM,
231017.

22 October 2017

Salam sejahtera,

Sekian lama aku tinggalkan blog ini. Rasanya sudah berpuluh bulan. Demikian lamanya aku bertapa dari menyentuh blog ini.

Tadi ada seorang rakan menjengah ke panorama ini lalu meminta aku kembali merajawali di ruang ini. Katanya alangkah baiknya jika aku terus mencatat segala pengalaman dan kejadian yang relevan agar menjadi 'guru' kepada ramai orang.

Aku akur.

Sesungguhnya menulis adalah suatu aktiviti mulus yang harus dijadikan aktiviti mencanai fikir. Menulis bermakna berfikir. Menulis secara hakikatnya suatu sentuhan roh yang bagus. Menulis adalah kerangka hidup nombor wahid, bagi sesetengah orang.

Ya, bersabarlah menunggu catatan-catatan montel dari aku. Bacalah. Dan hamparkan jiwa menilai apa yang aku riwayatkan di ruang ini.

Selamat berbicara.

BICARA MUSRADZI,
221017.

21 November 2014

AMANAH PADA DIRI

Kita dituntut agar beramanah kepada diri sendiri, kepada agama, masyarakat dan negara. Amanah bukannya mudah untuk dilaksanakan tetapi tidaklah mustahil untuk dilakukan seandainya seseorang itu memahami konsep amanah itu sendiri. Hidup tanpa amanah tentunya tempang dan songsang.

Apakah yang dikatakan sebagai amanah kepada diri sendiri itu. Adakah ia amat penting dalam kehidupan seharian seseorang. Adakah tanpa amanah pada diri sendiri maka seseorang itu telah melanggar rukun hidupnya sendiri?

Amanah kepada diri sendiri itu banyak. Ini termasuk bangun awal dari tidur, mandi, makan dan minum secukupnya, tidur yang berkualiti dan lain-lain. Ini bermakna bahawa seseorang itu tidak boleh mengambil mudah hal berkaitan pengurusan diri sendiri.  Ini bermakna kita mesti peka berkaitan diri sendiri. Malah agama Islam melarang penganutnya meletakkan diri dalam kerosakan atau kebinasaan.

Amanah kepada diri sendiri juga termasuk tidak membenarkan atau menyokong orang lain tidak beramanah kepada masyarakat.  Sebagai contoh jika kita lihat orang lain merosakkan harta benda awam kita mesti menegur atau menghalang perbuatan itu. Begitu juga dengan perbuatan rasuah, salah guna kuasa,  mengambil sesuatu yang bukan haknya dan lain-lain lagi.

Jika kita amanah kepada diri sendiri maka kita tidak akan membenarkan orang lain tidak berlaku amanah. Kita tidak akan membenarkan siapa jua melakukan kerosakan,  apa lagi kerosakan terhadap agama dan negara.

20 November 2014

Apa khabar?

Tanpa sedar saya meninggalkan blog ini cukup lama. Cukup lama sehinggakan blog ini seperti sudah mati tanpa kubur. Sungguh ia sesuatu yang tidak disengajakan terutamanya disebabkan oleh sedikit masalah kesihatan yang saya alami.

Demikianlah halnya yang terjadi apabila kita diselingkari oleh sesuatu perkara,  apa lagi yang berbentuk masalah. Banyak hal tertangguh. Berbagai hal lain pula yang timbul. Kesabaran tahap tinggi wajar ada di dalam situasi ini.

Jika kita ditimpa masalah, janganlah mudah mengalah.  Kuatkan azam dan semangat.  Jangan mudah kecewa. Jangan putus asa.  Hadapilah segalanya seadanya.

Salam hormat.

07 February 2014

HEBOH SEKAMPUNG

Adalah menyedihkan apabila melihat suasana politik dan sosial di negara ini seakan kelam kabut. Heboh sekampung jadinya walaupun sesuatu perkara itu kecil sahaja. Rakyat menjadi semakin sensitif tidak bertempat. Semua perkara, hampir semua perkara disensasikan.

Apa hendak jadi?

Masyarakat di negara ini seperti kembali ke belakang. Ke era sebelum tahun 1969. Entah apa yang ditakutkan pun tidak diketahui. Macam orang takut hantu dari cerita novel yang sedang dibacanya.

Hairan. Sungguh hairan.

Kemajuan pendidikan selama hampir 40 tahun seperti tiada gunanya. Toleransi antara kaum yang dipupuk selama ini seperti tidak pernah berlaku. Kesatuan rakyat yang kita bangga-bangkakan seperti tersorok di ceruk dapur.

Entahlah.

Dan yang lebih memualkan ialah hiruk pikuk politik. Politik adalah untuk melahirkan pemimpin. Pemimpin haruslah cerdik, berani dan berjiwa besar. Pemimpin kena berlapang dada. Pemimpin mesti bersifat negarawan agar dapat memberikan kepimpinan yang berkesan.

Orang yang penakut dan kurang akal bukanlah seorang pemimpin. Dia hanya layak disebut sebagai pengurus atau pentadbir.

Lalu?

Apa gunanya usaha kita selama ini jika hal-hal yang membawa keresahan masyarakat tidak ditangani dengan bijaksana. Membiarkan bahang ini tidak diuruskan dengan baik bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Rakyat sedang melihat semua ini!.

LAMA KUTINGGALKAN

Apa khabar?

Lama saya tinggalkan blog ini karena keadaan kesihatan yang tidak memuaskan. Insya Allah saya akan kembali dengan catatan-catatan baharu.

Terima kasih.


09 March 2013

Dato' Dari Sulu

Saya mempunyai ramai kenalan yang mendapat gelaran Dato' yang diberikan oleh Sultan Sulu. Biasanya mereka ini adalah dari kalangan ahli perniagaan yang baharu mahu meningkat naik atau yang memang mahu dipanggil Dato'. Tiada angka rasmi jumlah mereka ini. Setahu saya ramai juga bilangan mereka.

Beberapa kali saya terbaca kenyataan dalam akhbar mengenai kedudukan penyandang bintang Dato' dari Sulu ini. Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf bintang/gelaran itu. Namun begitu apabila sudah dipanggil Dato' (walaupun dari Sulu), panggilan atau gelaran itu akan kekal disebut. Dato' Sulupun Dato' Sululah asalkan orang panggil Dato'.

Saya beberapa kali dihubungi oleh orang yang menawarkan pingat/bintang dari Sulu ini. Katanya kalau ada gelaran Dato', saya akan lebih dikenali dan mudah berniaga. Alahai.

Dan sudah tentu saya tolak tawaran itu. Bagi saya hal begitu tiada apa-apa makna.

Persoalannya sekarang ialah dalam keadaan Malaysia diceroboh oleh tentera Sultan Sulu, apakah pendirian pemegang-pemegang gelaran Dato' dari Sulu ini?. Mereka tidak boleh derhaka kepada Sultan Sulu. Mereka juga tidak boleh membelakangkan Malaysia.

Bukankah serba salah jadinya?

Musradzi
Kuala Lumpur
090313.

07 March 2013

Kenapa Begini Yang Terjadi?

Kenapa begini yang terjadi
ketika luka masih berdarah
ketika duka masih di wajah
dan anak-anak bangsa masih keletihan
pulang dari pertempuran yang panjang
kita pula yang bersengketa
entah untuk apa?

Cerita apakah semua ini
sehingga rentung terbakar segala perasaan
lalu membibit api dendam antara kita
warga asal tanah Nusantara?

Kitakah yang alpa
terperangkap dalam adu domba yang mereka taja
atau memang kita gila bersengketa
seakan mewarisi perangai jelek dari nenek moyang
membikin tergadainya bumi warisan
untuk nantinya terus ditangisi
dibelakang hari?

Musradzi
Kuala Lumpur
070313.

06 November 2012

Cerita Yang Tidak Habis-habis

Cerita politik adalah cerita yang tidak pernah habis-habis. Ada-ada sahaja isu atau cerita politik yang muncul. Orang politik seperti tidak pernah tidur. Apa juga perkara asalkan boleh dijadikan isu maka orang politik akan menjadikannya isu.

Saya pernah lalui semua ini. Semasa aktif berpolitik sedikit masa dahulu banyak cerita politik yang kami tahu atau diberi tahu. Orang politik yang tidak peka isu politik lebih baik jangan berpolitik. Lebih baik duduk di rumah dengan anak bini. Lebih baik temberang kosong di kedai kopi.

Cerita politik ini macam-macam. Ada yang sensasi, ada yang bertaraf xxx. Ini yang menyebabkan saya sendiri tidak boleh 'bersekongkol' dengan cerita politik yang tidak berasas. Bagi saya berpolitik ada hadnya. Ada haram halalnya. Ada sempadan, ada prinsip yang perlu dipatuhi. Biarlah orang lain 'berjaya' dalam karier politiknya dengan berbuat apasaja.

Itulah sebabnya saya memilih untuk 'berdiam' dari aktiviti politik. Saya lebih rela tidak berjaya daripada kelak ubun-ubun saya dibaham oleh api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari batu dan manusia!.

Bagi saya negara kita memerlukan kemurnian berpolitik. Politik tidak boleh menjadi kerjaya untuk cari makan. Politik bukan untuk cepat naik dalam hidup. Politik bukan semata-mata disandarkan kepada wang dan kekuasaan. Selagi para pemain politik masih belum berusaha mencari kemurnian selagi itulah iklim politik di negara ini tidak akan berubah.

Selagi itulah para pengikut akan menuntut bermacam-macam. Bila anak harimau belaan diajar memakan daging, silap haribulan orang yang memeliharanya juga akan dikerkah. Mana ada ketenangan fikiran dalam politik. Kita tidak tahu siapa kawan siapa musuh. Jadi selagi acuan politik seperti hari ini selagi itulah politik keserhanaan dan kebijaksanaan tidak akan wujud di negara kita.

Yang akan terus menguasai politik di negara kita ialah seperti yang kita lihat sekarang. Cerita politik apajua akan muncul. Letih melayan cerita-cerita begitu. Betul atau tidak cerita itu tidak menjadi soal. Yang penting ada isu.

Demikianlah.

14 October 2012

Jangan Syok Sangat..

Memanglah negara kita ini mewah serba serbi. Makanan dan minuman melimpah ruah. Segala kemudahan ada. Kemudahan jalanraya, air, letrik dan kesihatan boleh dibanggakan berbanding dengan kebanyakan negara lain. Kemudahan telekomunikasi dan khidmat perbankan berada ditangga yang baik. Tentu semua ini membanggakan kita.

Namun di sebalik semua itu ada satu perkara yang semakin meresahkan sebahagian rakyat. Tentulah ini perkara yang besar. Tentu ini satu perkara yang menyentuh kehidupan harian rakyat terbanyak. Sudah pasti perkara ini perlu diberi perhatian serious oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa.

Di mana-mana juga kita akan dapati orang asing atau orang luar dalam jumlah yang cukup ramai. Mereka ini datang sama ada secara sah atau secara gelap dan secara langsung atau tidak langsung menikmati segala macam kemudahan di negara kita. Warga luar khususnya dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Vietnam, Kemboja, Filipina, Myanmar dan negara-negara Afrika semakin bertambah jumlahnya dari hari ke hari.

Sememangnya kita akui bahawa sektor perladangan, perkhidmatan, industri dan pembinaan memerlukan pekerja dari luar. Rakyat tempatan dari kalangan orang Melayu, Cina, India dan bumiputra lain tidak berminat untuk bekerja di sektor berkenaan. Yang sanggup potong sawit sangat sedikit. Yang sanggup angkat simen juga tidak ramai.

Suka tidak suka tenaga kerja dari luar terpaksa dibawa masuk demi kelangsungan sektor-sektor tadi. Dan proses membawa masuk pekerja asing ini telah berjalan sejak lama. Hasilnya juga membanggakan. Sektor perladangan dan pembinaan cukup maju. Berlaku lonjakan dalam kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Yang menjadi masalah ialah hampir kesemua kemudahan di negara ini turut dinikmati oleh warga asing tersebut. Harga barangan harian turut naik. Kemudahan kesihatan turut dikongsi oleh mereka. Kemudahan-kemudahan lain juga mereka nikmati seperti mana kita rakyat tempatan. Ini sedikit sebanyak telah menimbulkan rungutan dikalangan penduduk tempatan.

Ramai pendatang ini turut terlibat didalam perniagaan yang sepatutnya hanya dibenarkan kepada rakyat tempatan. Perniagaan barangan runcit misalnya telah hampir-hampir dimonopoli oleh kalangan pendatang tertentu. Beberapa jenis perniagaan lain juga dikuasai oleh pendatang-pendatang ini.

Saya tidak anti pendatang. Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah bagaimana pihak berkuasa mengawal dan memantau pendatang-pendatang ini. Kemasukan mereka wajib dikawal. Aktiviti mereka wajib dipantau. Sebab itu negara mempunyai badan penguatkuasa seperti imigresen, polis, kastam, jabatan pengangkutan jalan, perlesenan perniagaan, pihakberkuasa tempatan dan lain-lain bagi maksud ini.

Jangan kita syok sendiri. Jangan berbangga yang negara ini diminati oleh ramai orang luar. Jangan berbangga dengan sikap kita yang mesra orang asing.

Jangan sejarah berulang!.

12 October 2012

Dari Lembah Bujang Ke Lembah Kelang : Hasrat Yang Bersinar

Mana-mana manusia jua apabila berpindah dari kampung ke bandar besar tentu akan kuat berusaha demi memajukan diri. Oleh sebab itu kita dapat lihat bagaimana mereka yang mengadu nasib di perantauan ramai yang berjaya. Mereka ini ramai yang akhirnya mampu memiliki apa yang sebelum ini menjadi angan-angan hasil kerja keras dan bersungguh-sungguh.

Komuniti rakyat Kelantan yang ramai di Lembah Kelang membuktikan betapa kegigihan mampu membuat seseorang berjaya dari sudut ekonomi. Ramai teman-teman rapat saya yang berasal dari Kelantan, walaupun tanpa pendidikan tinggi, dapat hidup selesa dengan menceburi bidang perniagaan. Mereka ini amat gigih. Mereka juga kuat membantu satu sama lain. Inilah antara ciri yang membawa mereka berjaya.

Hidup di Kuala Lumpur khususnya memerlukan kegigihan. Jatidiri mesti kuat. Semangat juga mesti kuat, mesti cekal. Bukannya mudah untuk mengharungi kehidupan serba mencabar. Bukannya mudah mudah mencari rezeki kalau tidak kena caranya. Silap haribulan apa yang ada akan masuk longkang. Kaya tidak mudah, papa juga tidak susah.

Saya datang ke Kuala Lumpur lebih 30 tahun lalu kerana belajar di universiti. Bila lulus dengan memiliki ijazah professional, saya bekerja dengan satu institusi kerajaan. Apabila saya memasuki sektor swasta kemudiaannya, saya dapati bukannya mudah berjaya tanpa cukup modal, pengalaman dan rangkaian kenalan.

Namun akhirnya saya berjaya mengatasi halangan-halangan hasil usaha yang berterusan. Harapan menjadi bersinar walaupun ada ketikanya cabaran dunia perniagaan masih ada di mana-mana. Cabaran sebegini adalah lumrah. Inilah asam garam kehidupan. Hidup menjadi lebih manis dan bermakna dengan adanya cabaran-cabaran.

Inilah natijah sebenar dari konsep 'hijrah' yang dibuktikan sejak zaman berzaman. Kita bukan sahaja berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain malahan kita juga wajar melakukan 'penghijrahan' sikap dan minda. Berhijrah bermakna suasana baru akan menjadi pemangkin kepada perubahan kita, kepada sesuatu yang lebih baik.

Kalau kita berhijrah ke tempat baru namun jika  sikap dan minda kita tidak turut berubah, penghijrahan itu tidak membawa impak yang besar kepada diri kita. Penghijrahan fizikal semata-mata tidaklah memadai. Kalaupun kita kerap berhijrah atau berpindah dari satu tempat ke satu tempat, tanpa perubahan sikap kita akan tetap di takuk lama.

Ada seorang pengusaha yang berjaya asal Indonesia menceritakan bagaimana dia datang ke Malaysia sekitar 20 tahun lalu. Katanya orang lain bila sampai ke sini, kakinya akan mula-mula memijak tanah. Bagi beliau pula yang mula-mula mencecah tanah di negara ini adalah kedua-dua tangannya. Ini disebabkan beliau datang dengan bot pancong dan terpaksa terjun ke laut dan berenang ke pantai. Datang secara gelap begitulah keadaannya.

Akhirnya beliau memperolehi permit untuk bekerja di sini secara sah. Daripada seorang buruh binaan beliau mulai mengambil kontrek kecil-kecilan sebelum kemudiannya mulai membeli bangunan. Kini beliau menjadi seorang yang berjaya hasil dari penghijrahannya.

Betullah kata orang bahawa kalau hendak seribu daya. Sudahkah kita melakukan seribu daya itu?.

Kita saja yang mampu menjawabnya.

08 October 2012

Erti Seorang Ibu

Entah bagaimana saya menjadi bersemangat. Entah bagaimana saya boleh menjadi kuat. Tiada rasa letih atau mengantuk. Tiada perasaan malas. Halangan-halangan lain sepertikan tiada.

Kereta saya juga lancar memecut. Jarak perjalanan sekitar lima jam terasa seronok bercampur resah. Sesekali saya melihat jam di tangan. Sesekali saya akan berselawat. Sesekali saya akan menyanyi lagu-lagu lama mengikut siaran Sinar FM, Radio Klasik atau Lite FM.

Cermin sisi dan cermin pemandu saya jengah. Jika ada kenderaan yang 'menyucuk' di belakang kereta saya, saya akan memberi laluan. Sesekali saya akan berlumba juga sambil 'cilok' ke kiri dan ke kanan. Kereta saya masih boleh tahan, masih boleh tunjuk handal.

Lebuhraya Utara-Selatan dengan hentian dan kawasan rehatnya sudah tidak asing kepada saya. Saya sudah boleh anggarkan berapa lama masa diambil dari satu 'point' ke satu 'point' yang lain. Dari KL ke Ipoh sekitar 2 jam. Dari Ipoh ke Juru 90 minit dan Juru ke Sungai Patani sekitar 30 minit.

Sekiranya jalan sesak, perjalanan KL ke Sungai Patani sekitar 5 jam. Itu sudah dikira 'cara orang tua' memandu : tiada cilok, tiada penggunaan lorong kecemasan. Memandu ikut peraturan 110km/jam.

Semua ini saya lalui hanya kerana satu perkara iaitu berulang-alik menziarahi ibu saya yang sakit. Sebelum ibu sakit saya pulang ke kampung diantara 10 ke 12 kali setahun. Namun kekerapan pulang ke kampung kebelakangan ini menjadi bertambah disebabkan keadaan ibu. Ia sekarang sudah jadi acara mingguan!.

Allah sungguh adil. Masalah 'slip disc' yang saya alami walaupun belum sembuh sepenuhnya, tidak pula terlalu mengganggu saya seperti sebelum ini. Mungkin kerana semangat, sakit itu seperti tidak terasa.

Catatan ini saya buat agar kita semua dapat belajar tentang erti dan nilai seorang ibu. Siapapun kita, kita hanyalah anak kepada seorang perempuan tua yang melahirkan kita. Tuakah, burukkah, busukkah atau sakitkah, dia adalah ibu yang tiada galang gantinya. Dia ibu kita, dan dia adalah ibu kita.

Noktah.

04 October 2012

Entahlah...

Seorang kawan bertanya saya mengenai hiruk pikuk politik tanahair waktu ini. Tentulah saya tidak dapat menjawabnya dengan tepat kerana saya tidak lagi aktif berpolitik seperti satu ketika dulu. Kalaupun saya tahu cuma dari bualan di kedai kopi, pembacaan atau perbincangan dengan rakan politik di Parlimen atau majlis tertentu.

Politik di negara kita ini kalut sedikit. Perkara yang sepatutnya bukan bahan politik turut dipolitikkan. Segalanya politik. Segalanya sensasi. Kadang-kadang orang politik ini mudah sangat mensensasikan isu. Semuanya dilihat dari jurus politik. Inilah yang payahnya.

Entahlah apa mahu jadi dengan politik. Untuk masuk kembali berpolitik secara aktif seperti dahulu sukar bagi saya. Sekali meninggalkan 'saf', kita kena beratur dari awal semula. Konsep 'payung terjun' amat berbahaya waktu ini. Silap haribulan pasukan sendiri yang akan 'tembak' kita.

Pengalaman saya bergaul dengan ramai tokoh politik pelbagai parti menunjukkan 'tikam menikam' dalam merebut kepimpinan politik semakin sengit. Hal ini berlaku didalam hampir semua parti. Persaingan dan perebutan dalaman parti lebih sengit berbanding didalam pilihan raya umum. Hendak dianggap musuh bukan musuh, hendak dianggap kawan, ada kawan makan kawan!.

Mereka yang terlibat dalam politik akan cuba menafikan senario ini. Saya bukan cakap kosong atau dengar temberang dari orang lain. Saya telah melaluinya sendiri sebelum mengambil keputusan 'berehat sementara' bagi menumpukan perhatian kepada anak saya yang sakit dan menyiapkan pengajian peringkat sarjana beberapa tahun lalu.

Entahlah. Bagi saya lebih baik buat kerja lain yang ditinggalkan kerana ramai orang gila berpolitik. Lebih baik berkerja membangun masyarakat dengan kemampuan yang ada. Lebih baik berkawan dengan semua orang politik.

Tapi saya tidak boleh janjilah yang saya akan 'pencen' dari politik. Bila tiba pilihan raya umum, manalah tahu kalau-kalau saya kembali 'gila' berpolitik. Tiba-tiba saja naik pentas berkempen..

Ya, siapa tahu.

03 October 2012

Melayu Dan Negara

Negara kita berlatar belakang Melayu dalam hampir semua perkara. Bahasa dan budaya Melayu diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa dan kebudayaan kebangsaan.

Hampir segalanya Melayu sehinggakan roti canai, nasi lemak, petai dan sambal sudah sinonim dengan rakyat Malaysia. Melayu menjadi begitu penting di negara ini walaupun dalam bidang tertentu orang Melayu jauh ketinggalan.

Sewaktu mula-mula datang ke Kuala Lumpur lebih 30 tahun lalu, saya dapati orang Melayu sukar dilihat di Pudu atau Bukit Bintang. Sekarang keadaan sudah berubah. Orang Melayu sudah ramai disitu. Orang Melayu, terutamanya golongan pemuda sudah menjadikan kawasan Bukit Bintang destinasi wajib untuk membeli peralatan seperti komputer, hand phone dan lain-lain.

Suatu ketika lalu sukar untuk melihat orang Melayu bekerja di pejabat milik orang Cina. Sekarang keadaan itu juga telah berubah. Sudah ramai orang Melayu berkerja dalam perusahaan atau perniagaan orang Cina termasuk sebagai kerani kewangan, suatu jawatan yang suatu ketika tidak terbuka kepada orang Melayu.

Semua perkara ini telah mencorakkan perjalanan negara kita. Denyut dan nafas Melayu menjadi denyut dan nafas negara. Perangai Melayu juga menjadi perangai yang mewarnai perjalanan negara.

Inilah hakikat di negara kita sekarang. Hingar bangar dalam politik orang Melayu telah menjadi hingar bangar politik negara.

Mahu kemana kita sebenarnya?

30 August 2012

Aduh Negaraku Kenapa Begini?

Esok ialah hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke 55. Ini bererti bahawa umur/usia 55 tahun itu sudah cukup dewasa. Bukannya mudah untuk mencapai umur keramat tersebut tanpa pengorbanan yang bukan sedikit.

Saya sendiri sempat menyaksikan pelbagai peristiwa pahit manis yang terpaksa dilalui oleh negara kita untuk tiba ke tahap apa yang kita lihat sekarang. Suka atau tidak, kita harus akui bahawa pencapaian negara ini cukup membanggakan.

Selama ini walaupun terdapat perbedaan politik di kalangan rakyat namun sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan tidak menampakkan kontradiksi yang jelas. Setiap orang, malah setiap negeri menyambut hari tersebut dengan motto atau thema yang sama. Tiada perbedaan antara negeri dan Persekutuan dalam menentukan cogankata hari kemerdekaan negara.

Kali ini keseragaman itu sudah tiada lagi. Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional menyambut ulang tahun merdeka dengan satu cogankata sementara negeri-negeri yang diperintah oleh gabungan Pakatan Rakyat meraikannya dengan cogankata yang lain pula.

Keadaan ini mengingatkan saya bagaimana tarikh puasa atau hari raya disambut tidak serentak di negara ini. Akhirnya situasi itu sudah tidak berlaku lagi. Situasi menyambut ulang tahun merdeka atas thema yang berbeda ini memberi satu gambaran bahawa ada perbedaan pendapat di negara kita yang ketara dan memerlukan penyelesaian segera.

Perbedaan pendapat itu bagi saya bukan hanya perlu diselesaikan melalui pilihanraya umum semata-mata. Ia lebih jauh dari itu. Ia memerlukan penyelesaian bersama dan menyeluruh. Perbedaan thema menyambut merdeka tidak boleh dipandang dari sudut itu sahaja.

Tentunya para pemimpin politik di negara kita ini tahu apa yang patut dilakukan!.

29 August 2012

Di Pelabuhan Ini

Aku sudah merata mengembara
sehinggalah aku tiba di pelabuhan ini
disuatu pagi
ketika embun yang menggetarkan
mendodoi hatiku yang rawan.

Di pelabuhan ini
manusianya kulihat bekerja kuat
membanting tenaga empat kerat
seluruh badan dimandi keringat
namun mereka sentiasa ceria
bagaikan tidak pernah ada sengketa
bagaikan tidak pernah disapa sengsara
bagaikan tiada duka.

Pelabuhan ini dan manusianya
mengajar aku
suatu perkara yang bukan baru
bahawa jalan-jalan kehidupan
harus direntasi
secara hakiki.

Musradzi
Kuala Selangor 290812.

28 August 2012

Doa Buat Ayah

Saat-saat manis bersamamu ayah
bila kita selalu berbicara
bila kita engkau menghuraikan persoalan demi persoalan
kini menjadi memori sepi
yang akan kubawa pergi nanti.

Sukar aku melupakan
suatu ketika di celah-celah manusia mengerjakan sa'i
kau hilang dari kami
walau sebentar cuma
namun itu cukup membuatkan
hatiku jadi tidak keruan.

Dan kini kau hilang lagi
buat selamanya
pergi menemui Ilahi
sebagaimana engkau sering rindukan
sebagaimana sering kau lafazkan.

Aku
anakmu ini
akan terus panjatkan permohonan
moga engkau diampunkan
moga engkau dirahmati tuhan.


Musradzi
Kuala Lumpur 280812.