09 October 2011

Perjalanan Hidup

Selalunya orang tidak menilai sesuatu pengalaman hidup. Bagi mereka apa yang dilalui adalah satu rutin, satu kemestian seharian. Apa yang dilalui hanya sekadar biasa-biasa saja, tidak lebih dari itu.

Secara hakikatnya kita sentiasa belajar perkara baru setiap hari. Kalau kita memakai selipar misalnya tentu ada caranya agar selipar itu tidak cepat haus atau cepat rosak. Mengisi minyak kereta ada ketikanya yang bagus agar kuantiti minyak yang masuk tidak tersejat begitu sahaja. Jika minum air tentu ada caranya agar perut tidak mudah dimasuki angin.

Begitu jugalah dalam hal-hal lain disepanjang hidup ini. Apa yang kita lalui hari ini atau apa yang kita alami sebentar tadi semestinya sudah dilalui atau dialami oleh orang lain. Dan sudah semestinya generasi-generasi terdahulu telah lebih awal menempuh pengalaman yang sama. Generasi demi generasi yang hidup didunia ini ada sejarah dan pengalaman masing-masing.

Membaca dan mentelaah kitab atau buku Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Seri Lanang tidak lari dari apa yang saya sebut diatas. Kitab yang dikarang pada tahun 1612M itu banyak berkisar mengenai perilaku manusia dan perjalanan kerajaan terutamanya yang berlaku semasa kegemilangan kerajaan Melayu Melaka. Setiap satu peristiwa yang dinukilkan didalam kitab itu membawa makna tersendiri. Ada yang tersurat, ada yang tersirat.

Saya mentelaah buku itu lama dulu iaitu semasa di tingkatan enam sebagai subjek sastera yang saya ambil. Semasa itu mungkin kerana masih remaja tidaklah saya dapat menilai secara halus natijah kepada kisah-kisah dalam kitab Sejarah Melayu berkenaan. Bila sudah dewasa dan melalui simpang siur kehidupan saya dapati alangkah bernilainya segala apa yang diperturunkan didalam kitab tersebut.

Tentulah kita kena membaca dengan mata hati, dengan perasaan dan fikiran yang dingin!.

Satu daripada cerita atau ceritera didalam kitab itu ialah mengenai Tun Mutahir, iaitu Bendahara Melaka dizaman Sultan Mahmud Syah. Bendahara semasa itu adalah setaraf Perdana Menteri sekarang. Yang berbeza cuma semasa itu Sultan Mahmud berkuasa penuh sedangkan Bendahara hanya menasihati dan menjalankan perintah Sultan. Walaupun begitu peranan Bendahara amatlah berpengaruh dan penting.

Cukup menarik perhatian saya ialah Bendahara Tun Mutahir ini adalah asal keturunannya dari India. Sungguhpun majoriti penduduk Melaka masa itu berasal dari Kepulauan Melayu, kemampuan Tun Mutahir sehingga dilantik sebagai Bendahara tentulah wajar dikaji. Adakah beliau pandai mengampu raja, atau beliau memang pandai mentadbir, atau beliau naik melalui strategi yang disusun atau kerana apa?

Yang juga menarik untuk dikaji ialah pada zaman Tun Mutahirlah negeri Melaka cukup kaya dan berada dikemuncak kegemilangannya. Bila negeri kaya memang sedap berbelanja. Buat itu ini. Dan sayangnya dizaman gemilang itu juga berlaku rasuah secara berleluasa. Banyak pegawai-pegawai negeri menuntut rasuah dalam bentuk paksaan kepada penduduk dan peniaga. Sudah semestinya ini menimbulkqn kegelisahan rakyat. Dan bilamana Portugis menyerang pada tahun 1511 ada penduduk yang berdiam diri malahan ada saudagar (sekarang ini disebut peniaga-peniaga) terlibat membantu Portugis.

Semasa serangan Portugis, Tun Mutahir bukanlah Bendahara. Bendahara sewaktu itu dikatakan tepok,iaitu sangat lemah. Tinggalan pentadbiran Tun Mutahir menjadikan kekuatan Melaka tidaklah sehebat mana. Portugis masa itu bukan terlalu. Melaka juga bukan cukup bersedia. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis adalah cerita sedih zaman berzaman.

Tidakkah kita belajar dari pengalaman pahit itu? Sesungguhnya sejarah tidak pernah menipu. Sesungguhnya sejarah berulang!.

08 October 2011

Memorandum of Understanding

"... Maka titah Seri Teri Buana, "Apa janji yang dikehendaki oleh bapaku itu?"

Maka sembah Demang Lebar Daun, "Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan. Hendaklah ia diperbaiki oleh anak.cucu tuan hamba. Syahadan jikalau ia berdosya besyar-besyar dosyanya sekalipun jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosyanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar'i.

Maka titah baginda, "Kabullah hamba akan janji bapa hamba Demang Lebar Daun (tetapi hamba hendak minta satu janji pada bapa hamba.)"

Maka sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu tuanku?"

Maka titah Seri Teri Buana, "Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka, dan anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat pekertinya sekalipun."

Maka sembah Demang Lebar Daun, "Baiklah, tuanku. Tetapi jikalau anak cucu tuanku dahulu mengubahkan dia, anak cucu patik pun mengubahkan dia."

Maka titah Seri Teri Buana, "Baiklah, kabullah hamba akan waad itu."

Maka keduanya pun bersumpah-sumpahanlah barang siapa mengubahkan perjanjiannya itu dibalik Allah Subhanahu wa Ta'ala bubungan rumahnya ke bawah, kaki tiangnya ke atas..."

Petikan diatas saya ambil dari teks asal kitab Sulalat al-Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang terbitan bersama Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur 1997. Naskah asal kitab yang amat bernilai ini dikarang pada tahun 1612.

Petikan diatas amat menarik perhatian saya dan tentunya perhatian segala bijak pandai yang prihatin kepada santun dan adat Melayu dalam hal bernegara sejak zaman berzaman. Bagi saya inilah bukti bertulis akan wujudnya persefahaman atau perjanjian diantara pemerintah dan rakyat. Ianya suatu Memorandum of Understanding yang cukup mahal nilainya.

Tentulah ada sebab yang besar kenapa Tun Seri Lanang menukilkan semula.perjanjian itu yang berlaku lama sebelum wujudnya Kerajaan Melayu Melaka. Dan jika kita membaca keseluruhan kitab Sejarah Melayu itu maka kita akan dapati waad atau perjanjian berkenaan ada dilanggar yang membawa akibat tersendiri.

Pokok pangkalnya ialah pemerintah dan rakyat ada hak, ada tanggungjawab dan had masing-masing. Pada zaman kita ini sudah tentu perkara ini wajar mendapat perhatian semua pihak!

Kitab ini adalah hadiah dari sahabat saya almarhum Dato' Dr Hassan Ahmad, mantan Ketua Pengarah DBP yang kembali ke rahmatullah pada 31 ogos lalu. Hadiah ini amat bernilai buat saya sebagai suatu kenangan abadi selama bersahabat dengan almarhum.

Alfatihah.

Menjelang Senja

Nikmat hidup ini ada berbagai bentuk. Ada nikmat mata, nikmat telinga, nikmat selera dan bermacam-macam lagi. Semua nikmat ini pula tidak semestinya dirasai oleh setiap orang. Ada orang yang menikmati segala-galanya dan ada pula yang hanya merasai sebahagian dari nikmat-nikmat berkenaan.

Yang pastinya kalaupun segala bentuk nikmat itu dikecapi oleh orang tertentu, bukanlah bermakna nikmat berkenaan datang kepadanya secara serentak atau sekali gus. Mana mungkin seseorang itu ada segala-galanya. Mana mungkin seorang manusia begitu beruntung, begitu sempurna.

Oleh hal sedemikianlah manusia mesti selalu muhasabah diri, melihat ke dalam, menghitung segala apa yang telah dilaluinya disepanjang perjalanan hidup. Manusia harus mengukur dengan apa yang dicapainya berbanding manusia atau individu lain. Mengukur disini bermaksud apakah dia telah bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang telah dia perolehi.

Demikian juga halnya dengan perjalanan sebuah negara. Apakah segala pencapaian selama ini didapati secara percuma? Tidakkah kejayaan sesebuah negara juga sejenis nikmat yang dianugerahkan kepada para penduduknya?

Kejayaan negara sememangnya anugerah Allah, hasil segala perancangan dan kerja kuat semua pihak : rakyat dan pemerintah. Adalah salah kalau dianggap segala apa yang kita nikmati hasil dari kebijaksanaan pemerintah. Tidaklah benar kejayaan ini hasil dari kerja kuat seseorang. Kedua-dua pemerintah dan rakyat ada saham besar dalam mencipta kejayaan selama ini.

Bagaimana pula caranya kejayaan ini harus disyukuri?

Setiap orang ada haknya. Negara juga ada haknya. Jika negara dan rakyat saling menghormati hak masing-masing, itu tanda kita mensyukuri segala kejayaan dan nikmat yang dicapai selama ini. Menjelang senja begini tentu ada sesuatu yang boleh kita renungkan bersama!.

07 October 2011

Menggeliat Pagi

Kalau kita perhatikan kebanyakan binatang akan menggeliat sebaik sahaja bangun pagi. Kuving, lembu, kerbau, kambing, anjing memang dapat dengan nyata dilihat menggeliat. Sama ada kura-kura, tupai, katak, ular air, buaya menggeliat atau tidak sukar diketahui. Gajah memang menggeliat. Begitu juga kijang, rusa, kuda dan monyet.

Binatang-binatang ini menggeliat sebaik aktiviti pertama sesudah bangun tidor. Kerbau yang berkubang akan menggeliat dengan menjarakkan kaki kedepan dan menarik badan kebawah. Sesudah itu sang kerbau akan melibas-libas ekor dan telinganya sambil menggoyangkan badan. Selepas itu barulah kerbau ini mulai berjalan. Bagi kerbau jantan galak pula, dia akan mulai menyondol-nyondol kerbau betina!.

Kucing menggeliat pula nampak cukup istimewa. Kucing akan mendepakan kaki ke hadapan dan kaki belakang pula dihulur jauh ke belakang. Kemudian si kucing akan menarik badannya. Sesudah itu kucing ini akan melentok-lentok badan sambil menggegarkan seluruh anggotanya. Kucing akan menggeliat sambil mencakar-cakar lantai.

Apakah sebenarnya fungsi menggeliat? Adakah menggeliat melambangkan kemalasan?

Sesetengah keluarga menganggap menggeliat sebaik bangun melambangkan kemalasan. Sebab itu anak-anak yang menggeliat disuruh segera mandi pagi tanpa membuang masa menggeliat. Bagi saya tanggapan ini tidak betul sebab menggeliat ada fungsinya tersendiri.

Menggeliat sebenarnya adalah bentuk regangan badan seawal bangun pagi. Menggeliat berfungsi sebagai menyusun semula urat saraf yang terkumpul sewaktu tidur. Menggeliat menyebabkan darah cepat mengalir ke anggota badan yang diregangkan.

Adakah menggeliat sahaja memadai tanpa pergerakan regangan atau senaman lain?

Dalam tradisi seni chi kung yang saya pelajari menyatakan bahawa menggeliat memang digalakkan. Cuma sepatutnya regangan hendaklah dibuat sesudah itu atau selepas mandi dan gosok gigi. Regangan yang sederhana baik mengambil masa sekitar 10 minit untuk membuat badan rasa segar sepanjang hari.

Bentuk regangan bolehlah dipelajari. Senam harimau misalnya amat baik untu kesihatan. Ianya mudah dipelajari dan diamalkan sebaik sahaja bangun pagi. Senam harimau walaupun biasanya dikaitkan dengan fungsi kelamin namun ianya tetap bagus untuk kesihatan secara keseluruhannya. Senam harimau merupakan teknik regangan sesudah bangun tidur yqng diamalkan oleh orang Melayu ternyata cukup berkesan.

Saya sentiasa melakukan aktiviti menggeliat dan regangan. Tentulah saya juga amalkan senam harimau. Seni senaman chi kung yang saya pelajari sekian lama itu membantu saya mengekalkan kesihatan dalam kesibukan tugas professional yang mencabar ini.

Bilamana saya tidak melakukan regangan sebagaimana sepatutnya, badan akan.memberi isyarat bahawa saya kena melakukan regangan dan senaman-senaman itu. Badan terasa tidak segar. Rasa macam ada yang tidak kena. Bayangkan bagaimana yang dirasai oleh orang yang tidak pernah melakukan regangan atau senaman?

Melakukan regangan dan senaman bukannya susah. Jika kita mahu apa saja akan jadi mudah!.

06 October 2011

Bahu Tempat Menangis 4

Menjadi ahli politik amat tinggi risikonya. Yalah, kalau takut dipukul gelombang jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut menghadapi cabaran, jangan coba untuk memasuki dunia politik yang tidak menentu itu. Hari ini awak di atas, esok belum tentu lagi. Hari ini awak dipuja, esok mungkin awak dalam penjara.

Politik menjanjikan pelbagai pulangan, ada yang jadi kaya ada yang hidup seadanya. Namun secara umum politik dilihat sebagai jalan cepat kaya, cepat ternama. Bila ada jawatan politik cakap sudah masin, sudah laku. Jadi ketua cawangan sudah cukup untuk diraikan seadanya, apalagi kalau jadi ketua bahagian atau ketua perhubungan negeri.

Itu kalau kita sebut hal dalam Umno. Dalam Pas dan PKR dan Dap juga sama. Jawatan yang bagus dalam politik membawa bersamanya tanggungjawab dan habuan, sedikit atau banyak.

Rakyat umumnya lebih bertumpu kepada pimpinan Umno sebab parti terbesar itu sudah sekian lama memerintah negara. Lagipun ramai pemimpin Umno dari peringkat cawangan sehinggalah ke Majlis Tertinggi dilihat sebagai tokoh dalam masyarakat. Mereka lebih menonjol sebab mereka lebih pandai mengambil perhatian sama ada secara bercakap kuat di kedai kopi atau menayang kereta yang baru dibeli selepas memegang jawatan parti!.

Pemimpin Umno juga dilihat mempunyai kualiti 'PR' yang lebih baik berbanding pemimpin parti lain. Cara orang Umno bersalam dan hormati kenalan dikatakan sebagai sangat bagus berbanding pesaing mereka. Orang Umno akan bayar makan minum untuk beberapa meja. Begitulah.

Yang huduhnya dalam Umno ialah bila seseorang pemimpin itu hilang kuasa. Dia jadi seperti tidak bernilai lagi, seperti tidak dipeduli. Dia jadi sebagaimana saya sebut sebelum ini, anjing buruk kepala. Inilah saat sedih dalam kerjaya politik bekas pemimpin Umno diberbagai peringkat.

Seorang bekas menteri pernah merungut kepada saya bagaimana tiada siapa lagi mengiringi beliau. Semasa di lobi parlimen tiada sesiapa mahu ambil pusing halnya sedangkan semasa itu beliau masih Ahli Parlimen. Seorang bekas speaker Dewan Undangan Negeri rasa kecil hati bila tiada siapa pedulikannya lagi bila beliau sudah 'pencen'. Secara sinis beliau berkata keadaan begitu agak bagus juga sebab rumput di halaman rumahnya sudah boleh tumbuh semula!

Adakah nasib begitu hanya dialami oleh bekas pemimpin Umno? Adakah bekas orang kuat Pas tidak mengalami nasib yang sama? Bagaimana dengan kalangan orang kuat MCA, MIC, Gerakan, PBB, PKR, Dap dan lain-lain? Bagaimana keadaan mereka sesudah tidak lagi berkuasa? Cukupkah bahu disekeliling untuk mereka bersandar dikala menangis hiba?

Apa jadi pula dengan Muammar Ghaddafi dan Hosni Mubarak dan pemimpin Tunisia yang jatuh akibat kebangkitan rakyat?

Belajarlah dari sejarah disekeliling kita.