07 July 2012

Politik Dan Saya

Sudah agak lama saya mengenali politik. Sejak kecil saya sudah terdedah dengan bidang ini, apa lagi ayah saya sendiri adalah seorang pemimpin kecil politik di tempat kami. Sejak kecil juga saya dibawa menghadiri ceramah-ceramah politik di sekitar daerah tempat tinggal saya.

Sejak masa itu lagi saya sudah mengenali politik telur ayam kemuruk atau telur temelang. Adalah sesuatu yang dimaklumi semasa itu adanya perbuatan mensabotaj ceramah parti lawan dengan membaling atau melempar telur ayam kemuruk. Telur ayam itu akan pecah dan menyebabkan bau busuk. Dengan cara itu mereka yang hadir dalam ceramah akan lari meninggalkan ceramah.

Ceramah-ceramah politik semasa itu juga dipenuhi dengan provokasi-provokasi terhadap pihak lawan. Satu provokasi dalam bentuk pantun yang saya ingat sehingga hari ini berbunyi:

Kapal layar tiang besi,
Bulan bintang duduk di atas,
Kapal layar dapat kerusi,
Bulan bintang sepak kertas.

Begitulah keadaan politik semasa itu iaitu suatu persaingan sengit di antara parti Perikatan (Kapal layar) dan Pas (Bulan bintang). Sungguhpun Pas bersendirian namun parti itu telah memberikan tentangan yang berkesan kepada Perikatan. Sebagai kanak-kanak saya lebih berminat membeli kacang putih dan ais kerim!.

Minat saya kepada politik semakin bertambah bila saya bergiat dalam persatuan pelajar semasa di sekolah menengah dan universiti. Semasa di tingkatan enam guru saya adalah bekas pemimpin pelajar universiti yang amat kental dengan idealisme politik. Ini serba sedikit mempengaruhi saya dalam hal berkaitan politik tanahair.

Di Universiti Malaya saya terus aktif dalam gerakan pelajar. Bersama beberapa orang pemimpin pelajar yang lain kami gerakkan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Rakan-rakan saya itu sekarang ini ada yang menjadi menteri dan timbalan menteri serta exco kerajaan negeri.

Saya masih meminati politik secara aktif dalam gerakan belia dan persatuan. Yang membedakan saya dengan rakan-rakan saya ialah saya lebih menumpukan perhatian kepada kerja professional saya berbanding mereka yang bermain politik sepenuh masa.

Sesekali bertemu rakan-rakan ini di Parlimen atau di dalam majlis tertentu kami masih mesra seperti dahulu. Namun bagi saya angin perubahan politik hari ini memang sukar dijangka apa lagi kalau diperhatikan terdapatnya tuntutan dan desakan kepada pemerintah dalam hal tertentu.

Yang menarik perhatian saya ialah di era ini munculnya kembali politik membaling telur ayam kemuruk dan yang sealiran dengannya. Beginikah kematangan berpolitik yang kita capai selama ini?

Sungguh malang!.

Penangan Durian

Bersama-sama kakitangan yang lain saya ke Jerantut khamis lalu. Perjalanan selama dua jam itu adalah sebagai memperkenalkan tenaga kerja firma saya di Kuala Lumpur dan Pahang. Cara ini akan mempermudah urusan kerja bilamana tenaga kerja ini kenal secara peribadi, bukan hanya melalui hubungan telefon, fax atau el sahaja.

Perjalanan membelah kabus pagi di Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur itu tidak terasa. Kecuali saya dan seorang lagi, lain-lain kakitangan firma saya belum pernah ke Jerantut. Tentu anda dapat bayangkan bagaimanakah perasaan mereka. Bandar di pendalaman Pahang itu terasa dekat.

Dan pertemuan yang dirancangkan itu memang berjalan dengan baik. Pertukaran pengalaman di kalangan tenaga kerja begini amat baik. Saya pula mengambil kesempatan untuk berbincang dengan rakankongsi-rakankongsi mengenai pelbagai perkara.

Apa yang menarik ialah kami dihidangkan dengan makan tengahari berlaukkan ikan sungai Pahang. Sambal ikan bilis yang ditumbuk bersama belimbing buluh atau sambal hitam sungguh menyelerakan. Ikan patin masak tempoyak sungguh lazat. Ikan talapia masak asam rom amat enak. Ulam-ulam kampung yang segar memudakan saya hahaha...

Kini tibalah pula giliran mengerumuni durian. Durian yang baru gugur di awal pagi itu memang sedap. Saya melantak beberapa ulas. Opppss...saya sepatutnya tidak memakan sebegitu banyak. Sedap punya fasal saya membedal durian tanpa had.

Akibat memakan durian melebihi 'kuota', saya mengalami keadaan yang tidak pernah saya hadapi sebelum ini. Tekanan darah saya melonjak naik. Kepala pening dan terasa meloya. Semalam saya terpaksa tidur beberapa jam. Malam tadi dan hari ini saya terpaksa berbaring. Hanya sejam yang lalu baru terasa lega sedikit.

Itulah akibatnya kalau nasihat doktor dilanggar. Sakit menjadi bertambah parah. Yang menanggung semua ini adalah diri sendiri, bukan orang lain.

Kalau melanggar nasihat doktor begitu sekali kesannya, tentulah melanggar nasihat agama lebih teruk akibatnya!.

19 June 2012

Antara Temberang Dan Tembelang...

Sungguh unik maksud dan makna sesuatu perkataan dalam Bahasa Melayu. Jika kita bersabar menyelidikinya maka akan kita dapati alangkah indahnya Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara kita itu.

Oleh itu bila ada orang berkata yang Bahasa Melayu itu masih belum mampu diangkat menjadi bahasa ilmu dan perdagangan, saya ragui apakah orang berkenaan benar-benar peka dengan perkembangan sekeliling. Saya hairan bagaimana kenyataan sebegini boleh mekar menguasai pemikiran sebahagian anggota masyarakat yang sudah 55 tahun merdeka.

Sungguh ini suatu temberang besar. Sungguh ini satu penzahiran sikap prejudis terhadap kemampuan Bahasa Melayu. Menyatakan kesangsian terhadap Bahasa Melayu mengundang tindak balas pejuang-pejuang bahasa itu yang telah sekian lama tega menghadapi apa saja.

Apakah Bahasa Melayu terlalu lembam sifatnya sehingga dilabel sedemikian rupa. Atau adakah terdapat niat tersembunyi sehinggakan tergamak cemuhan itu dilontarkan?

Saya percaya bahawa masanya akan tiba bila tembelang orang atau kumpulan tertentu yang bersikap prejudis terhadap Bahasa Melayu akan tersingkap juga. Buat sementara waktu ini biarlah sikap itu menjadi bara yang membakar mereka.

Semenjak dahulu saya tidak pernah sangsi akan kemampuan Bahasa Melayu. Saya yakin hanya negara yang memperkasakan bahasa utamanya sahaja yang tidak akan tercicir dari arus negara berprinsip!

18 June 2012

Apa Khabar?

Suasana atau iklim politik di Malaysia terus panas. Tiada petunjuk akan adanya kecenderungan untuk mengendurkan suasana itu. Keadaan malahan menjadi semakin panas hari ke hari.

Saya melihat ini dengan sedikit perasaan gusar. Seingat saya suasana sebegini tidak pernah wujud sekian lama. Kalau adapun dahulu hanya sekadar bising-bising mulut. Kes mahkamah jarang berlaku. Belum pernah ada peringkat berpatah arang.

Beginikah apa yang dinamakan politik kita menuju kedewasaan?. Adakah ini apa yang semua kita mahu?.

Sungguh menyedihkan. Perbahasan di Parlimen sudah jadi seperti keanak-anakan. Banyak perkara yang ditayangkan di tv mengenai perbahasan parlimen lebih bersifat peribadi atau sesuatu yang sewajarnya tidak ditayangkan sebegitu rupa.

Maka sudah tentu kedewasaan berpolitik di negara kita menjadi tandatanya.

Apa khabar negaraku?

22 May 2012

Dahulu Pendakwa, Kini Pembela

Sesuatu yang amat menarik  berlaku di mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini dalam kes Bersih 3.0 dimana Ketua Umum PKR dan Timbalan Presiden parti itu serta seorang lagi dituduh : kehadiran Dato' Mohd Yusof Zainal Abidin, mantan Peguamcara Negara 2 sebagai peguambela tertuduh!.

Adalah suatu perkara biasa bila seseorang bertukar posisi dari pihak pendakwa ke pihak pembela. Ini adalah perkara lumrah dalam dunia mahkamah dan kepeguaman. Saya sendiri melalui 'proses' yang sama. Semasa berkhidmat dengan kerajaan dahulu saya menjalankan pendakwaan untuk kes-kes yang melibatkan perlanggaran undang-undang. Selepas meletakkan jawatan saya pula kadang-kadang bertindak sebagai peguambela dalam kes-kes tertentu. Sebagaimana saya sebutkan tadi, ini adalah perkara biasa dalam sistem keadilan di negara kita.

Namun dalam kes Dato' Yusof ini ia suatu perkara yang berlainan sedikit. Saya katakan berlainan ialah kerana hanya beberapa bulan lalu beliau mengetuai barisan pendakwaan dalam kes yang juga melibatkan Ketua Umum PKR tersebut. Kes berprofil tinggi itu berakhir dengan tiadanya sabitan keatas Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tentulah ramai dikalangan kita telah mengikuti perkembangan kes tersebut dan maklum akan sejarah kes itu.

Bila Dato' Yusof hadir sebagai peguambela tadi, ramai orang melihat ini suatu perkembangan yang sangat menarik. Beliau muncul sebagai 'bintang' dan mendapat sorotan media yang cukup luas. Kehadiran beliau seolah-olah menenggelamkan aura kehadiran Ketua Umum PKR itu sendiri. Itu adalah hak beliau sebagai seorang peguambela. Itu adalah sesuatu yang besar dalam kerjaya beliau sebagai peguam setelah lama berkhidmat dengan Kerajaan.

Saya memang rapat dengan Yusuf sejak kami belajar lagi. Beliau setahun lebih senior dari saya semasa belajar di fakulti undang-undang Universiti Malaya. Saya cukup mengenali beliau malah saya amat menghormati sikap dan pegangan beliau. Walaupun secara luarannya beliau nampak seperti 'kasar' namun hatinya cukup lembut dan baik. Dia mudah membantu. Itulah Yusuf.

Pada masa beliau mengetuai barisan pendakwaan dalam kes yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR itu saya terserempak dengan Yusuf sekali atau dua kali. Kebiasaannya kalau terserempak begitu kami akan bercerita hanya soal kawan-kawan dan profesyen undang-undang. Sikapnya yang periang itu menjadikan suasana sentiasa ceria. Pernah dalam satu konvensyen undang-undang Yusuf menarik tangan saya hanya untuk menunjukkan sesuatu. Kami kemudiannya ketawa berderai. Kalau beliau membaca tulisan ini saya percaya dia juga akan ketawa mengingatkan perkara tersebut.

Sebagai seorang kawan dan berada dalam profesyen yang sama, saya melihat langkah Yusuf hadir sebagai peguambela pagi tadi sebagai sesuatu yang bagus. Sudah tentu ada pihak yang mencela sikapnya hari ini. Komen-komen dalam media sosial pula menunjukkan ada semacam kecurigaan di sesetengah kalangan. Yang skeptikal juga ramai.

Namun bagi saya itu adalah pilihan Yusuf sebagai seorang peguam. Sesungguhnya bukan mudah untuk beliau mengambil keputusan hadir sebagai peguambela dalam kes sebegitu. Kita harus menghormati keputusan dan pendirian beliau. Sekarang sedikit sebanyak beliau dianggap sebagai memihak kepada Ketua Pembangkang itu. Yusuf telah mengambil langkah berdasarkan 'calculated risk'. Beliau maklum apa risiko yang dihadapinya.

Sejak dahulu Yusuf adalah seorang yang pintar dan berani. Dan hari ini Yusuf membuktikan bahawa dia memang berani.

Selamat datang ke dunia baharu sahabatku!.