04 October 2012

Entahlah...

Seorang kawan bertanya saya mengenai hiruk pikuk politik tanahair waktu ini. Tentulah saya tidak dapat menjawabnya dengan tepat kerana saya tidak lagi aktif berpolitik seperti satu ketika dulu. Kalaupun saya tahu cuma dari bualan di kedai kopi, pembacaan atau perbincangan dengan rakan politik di Parlimen atau majlis tertentu.

Politik di negara kita ini kalut sedikit. Perkara yang sepatutnya bukan bahan politik turut dipolitikkan. Segalanya politik. Segalanya sensasi. Kadang-kadang orang politik ini mudah sangat mensensasikan isu. Semuanya dilihat dari jurus politik. Inilah yang payahnya.

Entahlah apa mahu jadi dengan politik. Untuk masuk kembali berpolitik secara aktif seperti dahulu sukar bagi saya. Sekali meninggalkan 'saf', kita kena beratur dari awal semula. Konsep 'payung terjun' amat berbahaya waktu ini. Silap haribulan pasukan sendiri yang akan 'tembak' kita.

Pengalaman saya bergaul dengan ramai tokoh politik pelbagai parti menunjukkan 'tikam menikam' dalam merebut kepimpinan politik semakin sengit. Hal ini berlaku didalam hampir semua parti. Persaingan dan perebutan dalaman parti lebih sengit berbanding didalam pilihan raya umum. Hendak dianggap musuh bukan musuh, hendak dianggap kawan, ada kawan makan kawan!.

Mereka yang terlibat dalam politik akan cuba menafikan senario ini. Saya bukan cakap kosong atau dengar temberang dari orang lain. Saya telah melaluinya sendiri sebelum mengambil keputusan 'berehat sementara' bagi menumpukan perhatian kepada anak saya yang sakit dan menyiapkan pengajian peringkat sarjana beberapa tahun lalu.

Entahlah. Bagi saya lebih baik buat kerja lain yang ditinggalkan kerana ramai orang gila berpolitik. Lebih baik berkerja membangun masyarakat dengan kemampuan yang ada. Lebih baik berkawan dengan semua orang politik.

Tapi saya tidak boleh janjilah yang saya akan 'pencen' dari politik. Bila tiba pilihan raya umum, manalah tahu kalau-kalau saya kembali 'gila' berpolitik. Tiba-tiba saja naik pentas berkempen..

Ya, siapa tahu.

03 October 2012

Melayu Dan Negara

Negara kita berlatar belakang Melayu dalam hampir semua perkara. Bahasa dan budaya Melayu diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa dan kebudayaan kebangsaan.

Hampir segalanya Melayu sehinggakan roti canai, nasi lemak, petai dan sambal sudah sinonim dengan rakyat Malaysia. Melayu menjadi begitu penting di negara ini walaupun dalam bidang tertentu orang Melayu jauh ketinggalan.

Sewaktu mula-mula datang ke Kuala Lumpur lebih 30 tahun lalu, saya dapati orang Melayu sukar dilihat di Pudu atau Bukit Bintang. Sekarang keadaan sudah berubah. Orang Melayu sudah ramai disitu. Orang Melayu, terutamanya golongan pemuda sudah menjadikan kawasan Bukit Bintang destinasi wajib untuk membeli peralatan seperti komputer, hand phone dan lain-lain.

Suatu ketika lalu sukar untuk melihat orang Melayu bekerja di pejabat milik orang Cina. Sekarang keadaan itu juga telah berubah. Sudah ramai orang Melayu berkerja dalam perusahaan atau perniagaan orang Cina termasuk sebagai kerani kewangan, suatu jawatan yang suatu ketika tidak terbuka kepada orang Melayu.

Semua perkara ini telah mencorakkan perjalanan negara kita. Denyut dan nafas Melayu menjadi denyut dan nafas negara. Perangai Melayu juga menjadi perangai yang mewarnai perjalanan negara.

Inilah hakikat di negara kita sekarang. Hingar bangar dalam politik orang Melayu telah menjadi hingar bangar politik negara.

Mahu kemana kita sebenarnya?

30 August 2012

Aduh Negaraku Kenapa Begini?

Esok ialah hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke 55. Ini bererti bahawa umur/usia 55 tahun itu sudah cukup dewasa. Bukannya mudah untuk mencapai umur keramat tersebut tanpa pengorbanan yang bukan sedikit.

Saya sendiri sempat menyaksikan pelbagai peristiwa pahit manis yang terpaksa dilalui oleh negara kita untuk tiba ke tahap apa yang kita lihat sekarang. Suka atau tidak, kita harus akui bahawa pencapaian negara ini cukup membanggakan.

Selama ini walaupun terdapat perbedaan politik di kalangan rakyat namun sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan tidak menampakkan kontradiksi yang jelas. Setiap orang, malah setiap negeri menyambut hari tersebut dengan motto atau thema yang sama. Tiada perbedaan antara negeri dan Persekutuan dalam menentukan cogankata hari kemerdekaan negara.

Kali ini keseragaman itu sudah tiada lagi. Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional menyambut ulang tahun merdeka dengan satu cogankata sementara negeri-negeri yang diperintah oleh gabungan Pakatan Rakyat meraikannya dengan cogankata yang lain pula.

Keadaan ini mengingatkan saya bagaimana tarikh puasa atau hari raya disambut tidak serentak di negara ini. Akhirnya situasi itu sudah tidak berlaku lagi. Situasi menyambut ulang tahun merdeka atas thema yang berbeda ini memberi satu gambaran bahawa ada perbedaan pendapat di negara kita yang ketara dan memerlukan penyelesaian segera.

Perbedaan pendapat itu bagi saya bukan hanya perlu diselesaikan melalui pilihanraya umum semata-mata. Ia lebih jauh dari itu. Ia memerlukan penyelesaian bersama dan menyeluruh. Perbedaan thema menyambut merdeka tidak boleh dipandang dari sudut itu sahaja.

Tentunya para pemimpin politik di negara kita ini tahu apa yang patut dilakukan!.

29 August 2012

Di Pelabuhan Ini

Aku sudah merata mengembara
sehinggalah aku tiba di pelabuhan ini
disuatu pagi
ketika embun yang menggetarkan
mendodoi hatiku yang rawan.

Di pelabuhan ini
manusianya kulihat bekerja kuat
membanting tenaga empat kerat
seluruh badan dimandi keringat
namun mereka sentiasa ceria
bagaikan tidak pernah ada sengketa
bagaikan tidak pernah disapa sengsara
bagaikan tiada duka.

Pelabuhan ini dan manusianya
mengajar aku
suatu perkara yang bukan baru
bahawa jalan-jalan kehidupan
harus direntasi
secara hakiki.

Musradzi
Kuala Selangor 290812.

28 August 2012

Doa Buat Ayah

Saat-saat manis bersamamu ayah
bila kita selalu berbicara
bila kita engkau menghuraikan persoalan demi persoalan
kini menjadi memori sepi
yang akan kubawa pergi nanti.

Sukar aku melupakan
suatu ketika di celah-celah manusia mengerjakan sa'i
kau hilang dari kami
walau sebentar cuma
namun itu cukup membuatkan
hatiku jadi tidak keruan.

Dan kini kau hilang lagi
buat selamanya
pergi menemui Ilahi
sebagaimana engkau sering rindukan
sebagaimana sering kau lafazkan.

Aku
anakmu ini
akan terus panjatkan permohonan
moga engkau diampunkan
moga engkau dirahmati tuhan.


Musradzi
Kuala Lumpur 280812.