09 March 2013

Dato' Dari Sulu

Saya mempunyai ramai kenalan yang mendapat gelaran Dato' yang diberikan oleh Sultan Sulu. Biasanya mereka ini adalah dari kalangan ahli perniagaan yang baharu mahu meningkat naik atau yang memang mahu dipanggil Dato'. Tiada angka rasmi jumlah mereka ini. Setahu saya ramai juga bilangan mereka.

Beberapa kali saya terbaca kenyataan dalam akhbar mengenai kedudukan penyandang bintang Dato' dari Sulu ini. Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf bintang/gelaran itu. Namun begitu apabila sudah dipanggil Dato' (walaupun dari Sulu), panggilan atau gelaran itu akan kekal disebut. Dato' Sulupun Dato' Sululah asalkan orang panggil Dato'.

Saya beberapa kali dihubungi oleh orang yang menawarkan pingat/bintang dari Sulu ini. Katanya kalau ada gelaran Dato', saya akan lebih dikenali dan mudah berniaga. Alahai.

Dan sudah tentu saya tolak tawaran itu. Bagi saya hal begitu tiada apa-apa makna.

Persoalannya sekarang ialah dalam keadaan Malaysia diceroboh oleh tentera Sultan Sulu, apakah pendirian pemegang-pemegang gelaran Dato' dari Sulu ini?. Mereka tidak boleh derhaka kepada Sultan Sulu. Mereka juga tidak boleh membelakangkan Malaysia.

Bukankah serba salah jadinya?

Musradzi
Kuala Lumpur
090313.

07 March 2013

Kenapa Begini Yang Terjadi?

Kenapa begini yang terjadi
ketika luka masih berdarah
ketika duka masih di wajah
dan anak-anak bangsa masih keletihan
pulang dari pertempuran yang panjang
kita pula yang bersengketa
entah untuk apa?

Cerita apakah semua ini
sehingga rentung terbakar segala perasaan
lalu membibit api dendam antara kita
warga asal tanah Nusantara?

Kitakah yang alpa
terperangkap dalam adu domba yang mereka taja
atau memang kita gila bersengketa
seakan mewarisi perangai jelek dari nenek moyang
membikin tergadainya bumi warisan
untuk nantinya terus ditangisi
dibelakang hari?

Musradzi
Kuala Lumpur
070313.

06 November 2012

Cerita Yang Tidak Habis-habis

Cerita politik adalah cerita yang tidak pernah habis-habis. Ada-ada sahaja isu atau cerita politik yang muncul. Orang politik seperti tidak pernah tidur. Apa juga perkara asalkan boleh dijadikan isu maka orang politik akan menjadikannya isu.

Saya pernah lalui semua ini. Semasa aktif berpolitik sedikit masa dahulu banyak cerita politik yang kami tahu atau diberi tahu. Orang politik yang tidak peka isu politik lebih baik jangan berpolitik. Lebih baik duduk di rumah dengan anak bini. Lebih baik temberang kosong di kedai kopi.

Cerita politik ini macam-macam. Ada yang sensasi, ada yang bertaraf xxx. Ini yang menyebabkan saya sendiri tidak boleh 'bersekongkol' dengan cerita politik yang tidak berasas. Bagi saya berpolitik ada hadnya. Ada haram halalnya. Ada sempadan, ada prinsip yang perlu dipatuhi. Biarlah orang lain 'berjaya' dalam karier politiknya dengan berbuat apasaja.

Itulah sebabnya saya memilih untuk 'berdiam' dari aktiviti politik. Saya lebih rela tidak berjaya daripada kelak ubun-ubun saya dibaham oleh api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari batu dan manusia!.

Bagi saya negara kita memerlukan kemurnian berpolitik. Politik tidak boleh menjadi kerjaya untuk cari makan. Politik bukan untuk cepat naik dalam hidup. Politik bukan semata-mata disandarkan kepada wang dan kekuasaan. Selagi para pemain politik masih belum berusaha mencari kemurnian selagi itulah iklim politik di negara ini tidak akan berubah.

Selagi itulah para pengikut akan menuntut bermacam-macam. Bila anak harimau belaan diajar memakan daging, silap haribulan orang yang memeliharanya juga akan dikerkah. Mana ada ketenangan fikiran dalam politik. Kita tidak tahu siapa kawan siapa musuh. Jadi selagi acuan politik seperti hari ini selagi itulah politik keserhanaan dan kebijaksanaan tidak akan wujud di negara kita.

Yang akan terus menguasai politik di negara kita ialah seperti yang kita lihat sekarang. Cerita politik apajua akan muncul. Letih melayan cerita-cerita begitu. Betul atau tidak cerita itu tidak menjadi soal. Yang penting ada isu.

Demikianlah.

14 October 2012

Jangan Syok Sangat..

Memanglah negara kita ini mewah serba serbi. Makanan dan minuman melimpah ruah. Segala kemudahan ada. Kemudahan jalanraya, air, letrik dan kesihatan boleh dibanggakan berbanding dengan kebanyakan negara lain. Kemudahan telekomunikasi dan khidmat perbankan berada ditangga yang baik. Tentu semua ini membanggakan kita.

Namun di sebalik semua itu ada satu perkara yang semakin meresahkan sebahagian rakyat. Tentulah ini perkara yang besar. Tentu ini satu perkara yang menyentuh kehidupan harian rakyat terbanyak. Sudah pasti perkara ini perlu diberi perhatian serious oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa.

Di mana-mana juga kita akan dapati orang asing atau orang luar dalam jumlah yang cukup ramai. Mereka ini datang sama ada secara sah atau secara gelap dan secara langsung atau tidak langsung menikmati segala macam kemudahan di negara kita. Warga luar khususnya dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Vietnam, Kemboja, Filipina, Myanmar dan negara-negara Afrika semakin bertambah jumlahnya dari hari ke hari.

Sememangnya kita akui bahawa sektor perladangan, perkhidmatan, industri dan pembinaan memerlukan pekerja dari luar. Rakyat tempatan dari kalangan orang Melayu, Cina, India dan bumiputra lain tidak berminat untuk bekerja di sektor berkenaan. Yang sanggup potong sawit sangat sedikit. Yang sanggup angkat simen juga tidak ramai.

Suka tidak suka tenaga kerja dari luar terpaksa dibawa masuk demi kelangsungan sektor-sektor tadi. Dan proses membawa masuk pekerja asing ini telah berjalan sejak lama. Hasilnya juga membanggakan. Sektor perladangan dan pembinaan cukup maju. Berlaku lonjakan dalam kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Yang menjadi masalah ialah hampir kesemua kemudahan di negara ini turut dinikmati oleh warga asing tersebut. Harga barangan harian turut naik. Kemudahan kesihatan turut dikongsi oleh mereka. Kemudahan-kemudahan lain juga mereka nikmati seperti mana kita rakyat tempatan. Ini sedikit sebanyak telah menimbulkan rungutan dikalangan penduduk tempatan.

Ramai pendatang ini turut terlibat didalam perniagaan yang sepatutnya hanya dibenarkan kepada rakyat tempatan. Perniagaan barangan runcit misalnya telah hampir-hampir dimonopoli oleh kalangan pendatang tertentu. Beberapa jenis perniagaan lain juga dikuasai oleh pendatang-pendatang ini.

Saya tidak anti pendatang. Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah bagaimana pihak berkuasa mengawal dan memantau pendatang-pendatang ini. Kemasukan mereka wajib dikawal. Aktiviti mereka wajib dipantau. Sebab itu negara mempunyai badan penguatkuasa seperti imigresen, polis, kastam, jabatan pengangkutan jalan, perlesenan perniagaan, pihakberkuasa tempatan dan lain-lain bagi maksud ini.

Jangan kita syok sendiri. Jangan berbangga yang negara ini diminati oleh ramai orang luar. Jangan berbangga dengan sikap kita yang mesra orang asing.

Jangan sejarah berulang!.

12 October 2012

Dari Lembah Bujang Ke Lembah Kelang : Hasrat Yang Bersinar

Mana-mana manusia jua apabila berpindah dari kampung ke bandar besar tentu akan kuat berusaha demi memajukan diri. Oleh sebab itu kita dapat lihat bagaimana mereka yang mengadu nasib di perantauan ramai yang berjaya. Mereka ini ramai yang akhirnya mampu memiliki apa yang sebelum ini menjadi angan-angan hasil kerja keras dan bersungguh-sungguh.

Komuniti rakyat Kelantan yang ramai di Lembah Kelang membuktikan betapa kegigihan mampu membuat seseorang berjaya dari sudut ekonomi. Ramai teman-teman rapat saya yang berasal dari Kelantan, walaupun tanpa pendidikan tinggi, dapat hidup selesa dengan menceburi bidang perniagaan. Mereka ini amat gigih. Mereka juga kuat membantu satu sama lain. Inilah antara ciri yang membawa mereka berjaya.

Hidup di Kuala Lumpur khususnya memerlukan kegigihan. Jatidiri mesti kuat. Semangat juga mesti kuat, mesti cekal. Bukannya mudah untuk mengharungi kehidupan serba mencabar. Bukannya mudah mudah mencari rezeki kalau tidak kena caranya. Silap haribulan apa yang ada akan masuk longkang. Kaya tidak mudah, papa juga tidak susah.

Saya datang ke Kuala Lumpur lebih 30 tahun lalu kerana belajar di universiti. Bila lulus dengan memiliki ijazah professional, saya bekerja dengan satu institusi kerajaan. Apabila saya memasuki sektor swasta kemudiaannya, saya dapati bukannya mudah berjaya tanpa cukup modal, pengalaman dan rangkaian kenalan.

Namun akhirnya saya berjaya mengatasi halangan-halangan hasil usaha yang berterusan. Harapan menjadi bersinar walaupun ada ketikanya cabaran dunia perniagaan masih ada di mana-mana. Cabaran sebegini adalah lumrah. Inilah asam garam kehidupan. Hidup menjadi lebih manis dan bermakna dengan adanya cabaran-cabaran.

Inilah natijah sebenar dari konsep 'hijrah' yang dibuktikan sejak zaman berzaman. Kita bukan sahaja berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain malahan kita juga wajar melakukan 'penghijrahan' sikap dan minda. Berhijrah bermakna suasana baru akan menjadi pemangkin kepada perubahan kita, kepada sesuatu yang lebih baik.

Kalau kita berhijrah ke tempat baru namun jika  sikap dan minda kita tidak turut berubah, penghijrahan itu tidak membawa impak yang besar kepada diri kita. Penghijrahan fizikal semata-mata tidaklah memadai. Kalaupun kita kerap berhijrah atau berpindah dari satu tempat ke satu tempat, tanpa perubahan sikap kita akan tetap di takuk lama.

Ada seorang pengusaha yang berjaya asal Indonesia menceritakan bagaimana dia datang ke Malaysia sekitar 20 tahun lalu. Katanya orang lain bila sampai ke sini, kakinya akan mula-mula memijak tanah. Bagi beliau pula yang mula-mula mencecah tanah di negara ini adalah kedua-dua tangannya. Ini disebabkan beliau datang dengan bot pancong dan terpaksa terjun ke laut dan berenang ke pantai. Datang secara gelap begitulah keadaannya.

Akhirnya beliau memperolehi permit untuk bekerja di sini secara sah. Daripada seorang buruh binaan beliau mulai mengambil kontrek kecil-kecilan sebelum kemudiannya mulai membeli bangunan. Kini beliau menjadi seorang yang berjaya hasil dari penghijrahannya.

Betullah kata orang bahawa kalau hendak seribu daya. Sudahkah kita melakukan seribu daya itu?.

Kita saja yang mampu menjawabnya.