02 October 2011

Ayam Turki Ayam Belanda

Awal pagi tadi posting saya bertajuk Ayam Belanda mempunyai signifikan tertentu. Yang pertamanya ialah posting itu bukan sekedar tulisan yang disandarkan semata-mata kepada kemahiran menulis. Ia dinukil atas pemerhatian saya sejak sekian lama karena adik saya ada memelihara ayam tersebut. Lagipun seorang kawan saya, seorang peladang berjaya di negara ini memelihara ayam berkenaan dalam jumlah yang banyak untuk dijual.

Keduanya ialah ayam Turki yang pembersih ini sungguh dapat dijadikan pedoman untuk kita. Ayam ini tidak makan sembarangan. Ayam ini hidup secara berkumpulan. Ayam ini walau lewat bagaimana sekalipun akan tetap pulang ke penginapannya. Malah jika diperhatikan betul-betul ayam Turki banyak keistimewaannya.

Jika kita ambil beberapa contoh dari keistimewaan ayam Turki tentulah kita makin takjub akan keagungan dan maha hebatnya Allah. Juga kita akan dapati Allah itu sentiasa pengasih dan penyayang dalam mentadbir alam. Manusia diberikan segala panduan semasa hidup supaya tidak lari dari landasannya. Saya akui kita lemah, kadangnya kita tersasar dari peraturan yang agama tetapkan. Sebagai manusia kita bertaubat dan menyesali keterlanjuran tadi dengan azam untuk tidak mengulanginya.

Jika kita mahu berfikir kita akan dapati alangkan binatang ada peraturan hidup, apa lagi kita manusia. Jika ayam Turki boleh mempunyai disiplin sebegitu rupa masakan kita tidak boleh. Jika ayam Turki menghormati rakan dan taulan, tentulah kita boleh lebih baik dari itu. Tentulah kita sebagai manusia tidak wajar bertindak diluar norma kehidupan. Pastinya kita mahu lebih baik dari binatang.

Jangan kita hanya gemar memakan daging ayam Turki yang sedap itu. Jangan.

Ayam Belanda

Agak aneh bentuknya. Agak pelik bunyinya. Agak asing namanya. Itulah ayam Belanda, sejenis ayam yang dikatakan berbaka import. Entah dari mana asalnya ayam itu dan macam mana dia mendapat nama ayam Belanda tidaklah diketahui.

Selain dikenali sebagai ayam Belanda ianya juga dikenali sebagai ayam Turki. Malahan dikebanyakan tempat di seluruh dunia nama ayam Turki yang lebih terkenal berbanding ayam Belanda. Mungkin kerana Turki secara hakikinya lebih hebat dan besar berbanding Belanda ( Holland) yang sebesar telur itik serati itu. Turki lebih gagah dan gah berbanding Belanda yang saiznya sebesar kelemboi sahaja. Cuma ego Eropah dan bunga tulipnya yang menjadikannya dikenali, tidak lebih dari itu.

Ayam tersebut di utara tanah air disebut ayam piru. Sekali lagi kita tidak tahu bagaimana nama ayam tersebut dipanggil 'piru'. Setahu saya kalau di Pulau Pinang bila disebut ayam piru siap dengan goyang kepala sekali, gaya mamak bercakap. Macam mana 'piru' boleh terbit dan dipakai kepada ayam itu sebagai ayam piru sukar hendak.dijelaskan

Yang nyatanya ayam Belanda, ayam Turki dan ayam piru merujuk kepada ayam yang sama. Ayam bersaiz besar dan tinggi itu berwarna putih dan ada yang hitam putih. Balongnya cantik. Dia hidup berkumpulan dan berpasang-pasang. Antara satu pasangan dengan satu pasangan tidak mengurat antara satu sama lain. Jarang kita lihat ayam jantannya mengejar yang betina lalu... Ayam itu lebih sopan dan bertamadun dari sesetengah manusia.

Ayam ini juga unik bunyinya. Berbunyi biasa-biasa itu berbeza dengan dia berbunyi memanggil kawan. Dan ayam ini walau sejauh mana dia berjalan dia akan balik.ke rumah tuannya. Jangan bimbang sebab ayam tersebut jarang sesat atau singgah menumpang di rumah bukan tuannya. Sungguh ayam ini tinggi sopannya.

Dan kesopanan ayam ini juga jelas dilihat dari sudut lain. Ayam ini tidak tidur diatas pokok. Jadi insiden ayam ini berak diatas kepala orang amat jarang berlaku. Insiden ayam ini lari susup sasap juga sukar dilihat. Oleh itu memang payah hendak berjumpa ayam ini lari lintang pukang termasuk ke celah kangkang manusia. Demikian tingginya budi ayam ini.

Ayam Belanda @ ayam Turki ini kalau beratnya sekitar dua kilo dagingnya hampir tidak ada. Hanya yang beratnya empat kilo keatas sahaja baru ada daging yang banyak. Sudah tentu dagingnya lembut dan enak dimakan. Rasa ayam Turki ini sungguh lazat apa lagi kalau dibungkus dengan kertas aluminium.dan dibakar. Aromanya sungguh terangkat.

Dari pemerhatian saya adalah lebih baik ayam ini disebut ayam Turki di negara kita. Nama ayam Belanda sudah tidak bernilai komersial sebagaimana negara Belanda yang sudah tidak se gah mana. Turki pula semakin hebat dan kaya selepas membebaskan dirinya secara sistematik dari ikutan sebelum ini. Turki secara terserlah kembali kepada agama Islam, agama yang mengangkat negara itu menjadi sebuah empayar satu waktu dulu.

Jika kita mahu berfikir, ayam Turki boleh menjadi pedoman untuk manusia. Ayam itu menjadi menu terpilih dalam majlis di Eropah, USA dan lain-lain. Ayam itu tinggi sopannya. Ayam itu ada harga. Ayam itu tidak 'tenggek' tidak menentu. Ayam itu ada kelasnya tersendiri dalam dunia ayam!.

Apa salahnya belajar dari ayam?
.

30 September 2011

Bahu Tempat Menangis 3

Apa yang saya tulis dalam siri Bahu Tempat Menangis sebelum ini adalah apa yang saya dengar dan perhatikan sendiri. Ia bukan rekaan atau khayalan saya sebagai penulis. Ia juga bukannya hasil bacaan disana sini.

Garapan saya itu berdasarkan keluhan dan rungutan kawan-kawan saya. Mereka ini sama ada mantan orang kuat politik atau bekas pegawai kanan Kerajaan. Bekas@mantan orang kuat politik adalah bekas wakil rakyat atau bekas menteri yang bergaul dengan saya sejak sekian lama. Sebahagian dari mereka adalah rakan-rakan yang menjadi team solat jumaat saya. Mereka ini adalah rakan-rakan peribadi saya hingga ke hari ini.

Mungkin ada orang akan secara sinis menempelak keluhan teman-teman saya ini. Bagi saya teman-teman ini punyai pendirian dalam berpolitik atau semasa mengetuai sesuatu jabatan. Sebab itu mereka sanggup bercerita, apatah lagi kalau kami makan tengahari sesudah solat jumaat. Dua atau tiga jam itu akan dihabiskan bercerita itu dan ini.

Jangan anggap bahawa sesudah tidak berkuasa barulah mereka merungut. Akibat berpegang pada prinsiplah mereka ini, terutama rakan-rakan politik saya, jangka hayat mereka sebagai ahli politik tidak panjang. Jangka hayat politik mereka semput-semput walaupun bapa-bapa mereka negarawan.

Kadang-kadang saya kasihan melihat teman-teman ini. Walaupun mereka masih kaya raya, mereka seperti dipinggirkan. Rupa-rupanya pengalaman ini dirasai oleh ramai orang. Sungguhpun ada yang masih menghisap cigar berharga rm500 atau lebih sebatang, keluh kesah tetap ada. Kekayaan tanpa kuasa rupa-rupanya kurang bermakna.

Patutlah ramai sangat orang merasa takut hilang kuasa!.

29 September 2011

Khabar Dari The Mall

The Mall adalah nama kompleks perniagaan yang ternama. Terletak berhadapan PWTC dan hotel Sri Pacific serta bersebelahan hotel the Legend memberikan imej tersendiri kepada the Mall. Kompleks itu dikira tempat mewah. Kompleks itu dianggap simbol orang berduit.

Bagi saya the Mall di Kuala Lumpur ini hanya biasa-biasa saja. Ianya tidaklah semewah yang disangka, semewah yang digambarkan. Kompleks itu hanya menempatkan pusat membeli belah dan agensi Kerajaan. Tiada yang istimewa. Lagipun semasa ofis saya beroperasi di Jalan Rahmat bersebelahan dewan pameran PWTC, the Mall hanya tempat saya makan tengahari. The Mall hanyalah tempat saya minum kopi.

Dengan berjalan kaki saya akan sampai ke the Mall dalam masa yang singkat. The Mall yang ramah dengan pengunjung itu sentiasa mesra menyambut saya. The Mall tidak seperti Sogo yang padat dengan manusia. The Mall sesak cuma sesekali, terutama semasa berlangsungnya pesta buku antarabangsa atau Persidangan Agung Umno. Selain dari waktu itu the Mall cukup lapang tanpa kelam kabut.

Yang membezakan the Mall dengan tempat tumpuan atau kompleks perniagaan lain ialah disitulah tempat berkumpul segala broker-broker perniagaan dan ahli-ahli politik berbagai kelas. Disitulah juga tempat berkumpulnya agen-agen tertentu. The Mall sudah menjadi semacam "sarang" mereka.

Disinilah kita boleh temui surat tawaran kontrek atau konsesi balak bernilai berjuta-juta. Disini juga terdapat borang berkaitan permohonan tanah yang belum dibayar premium. Disini ada agen, ada penjual, ada pembeli. Disinilah mereka bertemu terutamanya diwaktu petang berbual sambil minum-minum.

Jangan terkejut kalau terdapat entah berapa ramai dato' atau kadang-kadang tan sri berlegar disitu. Mereka kesana bukan untuk jual projek. Kebanyakan dato' atau tan sri itu kesana bukan untuk jadi agen. Bagi mereka the Mall ibarat mini Parlimen dimana isu-iau negara dibahaskan. Untuk mengunjungi Parlimen bekas orang kuat politik seperti ini rasa sedikit segan, maklumlah mereka mungkin kurang diperhatikan lagi.

Maka jadilah the Mall tempat terbaik berjumpa dan bersembang. Berita atau khabar yang diperolehi dari the Mall sukar diperolehi di tempat lain. Cerita-cerita dari the Mall biasanya bertaraf separuh resmi. Cerita-cerita begitu akhirnya sebahagian besar didapati benar. Ada juga cerita-cerita auta, temberang dan angan-angan. Walaupun begitu khabar dari the Mall bukannya sebarang khabar.

Kalau ada masa, ada duit lebih, berkunjunglah ke the Mall. Jika sesudah minum dan terasa mahu balik awal, jangan fikir banyak kali untuk membayar harga makanan dan minuman bagi dua tiga meja. Khabar yang saudara dengar disitu nilainya lebih besar dari nilai wang yang saudara belanjakan.

Begitulah.

Durian Gajah Dan Kopi Tahi Musang

Sejak sekian lama saya memang minat masuk ke hutan. Sewaktu musim berburu saya akan ikut kawan-kawan berburu, biasanya disekitar bulan november atau disember bila Perhilitan mengeluarkan lesen. Kalau bukan musim berburu biasanya saya masuk hutan untuk memancing atau mengikuti aktiviti lasak kenderaan 4x4.

Bersama kawan-kawan kami akan masuk jauh ke hutan, biasanya di pedalaman Pahang, Selangor, Perak atau Johor. Ekspedisi ini mengambil masa beberapa hari. Sudah tentulah kami bermalam didalam khemah di hutan. Jangan tanyalah soal lintah, pacat dan nyamuk. Kalau masuk hutan janganlah hendak diharap tilam empuk. Lena di banir pokok pun jadi. Tidur di dalam khemah beralaskan tikar nipis cukup enak rasanya. Kalau hanya kain pelikat yang dibawa, kesejukan di dalam hutan akan membuat kita mengerekot sampai ke dagu.

Bagaimana enaknya makan, beraktiviti dan tidur dalam hutan memang sukar mahu dicerita. Hanya pengalaman yang dapat menggambarkan segala-galanya. Nasi sejuk sama sambal cukup sedap rasanya. Daging fresh dipotong, basuh sikit-sikit kemudian dipanggang sudah cukup menterbalikkan sebuah periuk nasi bersaiz sederhana. Ulam serai kayu, cemamar, sekentut dan ikan haruan sebesar lengan dibakar bersalut tanah liat amboi mak sangatlah sedapnya. Sesekali ikan tengalan, patin dan baung masak tempoyak atau cili api membuat nasi dimakan sehingga keraknya!

Begitulah pengalaman saya selama ini. Mendengar ngauman harimau, tempikan gajah dan dengusan babi hutan adalah perkara biasa. Menemui durian tahi gajah sepertimana pengalaman kami di sekitar hutan tasik Bera juga cukup mendebarkan. Najis gajah yang masih berasap menunjukkan binatang itu baru sahaja lalu. Rumput yang membaluti durian dan keluar sebagai najis itu bukannya sedikit. Kawanan gajah terdiri dari beberapa ekor hingga berbelas ekor. Rasa takut juga dibuatnya.

Kata orang durian tahi gajah boleh dimakan. Itu kata orang Asli dan cina pekerja balak. Memanglah boleh dimakan sebab durian itu hampir tidak terjejas langsung. Hanya dari segi hukum fekah tentulah ini menjadi was-was sebab ianya adalah keluar sebagai najis gajah. Najis hukumnya tidak boleh dimakan.

Tentulah durian tahi gajah ini tiada bezanya dengan kopi tahi musang. Katanya kopi itu adalah kopi terbaik yang dimakan musang lalu dikeluarkan sebagai najis. Biji kopi itu tidak terjejas, masih elok dan boleh dimakan. Kopi tahi musang telah diangkat sebagai kopi terbaik Indonesia. Dia dikatakan mempunyai aroma terbaik dan lazatnya sukar mahu digambarkan.

Bagi saya durian tahi gajah atau kopi tahi musang sama saja tarafnya!.