Setiap orang mempunyai ibu. Itulah perempuan pertama dalam hidup kita. Ibulah insan istimewa bagi setiap orang. Ibu mengandung, melahir dan membesarkan kita. Dan ibulah guru pertama dalam hidup seseorang. Begitu bererti dan bernilai seorang manusia bergelar ibu.
Sesuai dengan keadaannya, semangat seorang ibu amat tinggi. Semangat itu boleh mengatasi segala halangan. Semangat tidak membantut seseorang ibu melakukan apa saja demi anaknya. Ibu sukar menyerah. Ibu rela berkorban untuk anaknya. Yang seseorang ibu inginkan ialah keperluan anaknya dipenuhi. Ibu mahu anaknya berjaya. Ibu mahu anaknya 'jadi orang'.
Demi anak, ramai ibu terpaksa melupakan kerjaya. Ramai ibu memilih berhenti kerja demi anak. Ramai ibu memilih untuk bekerja dari rumah, kalau perlu, bagi menambah pendapatan keluarga. Kerja glamour dan tinggi pendapatannya ditinggalkan bagi membolehkan seorang ibu membesarkan anaknya sendiri. Sungguh besar pengorbanan sebegini. Hati seorang ibu hanya pasrah menerima dugaan tuhan.
Saya amat memahami perasaan ibu ini. Jiwa halusnya tentu tidak membenarkan anaknya sendirian. Jiwa halus seorang ibu menuntut pengorbanan besar. Saya sendiri, seorang bapa, berkorban masa agak lama menjaga anak yang sakit. Jika saya seorang lelaki, seorang bapa sanggup sebegitu rupa tentulah seorang ibu lebih besar pengorbanannya.
Teringat saya pada ibu saya sendiri satu ketika dulu semasa memasuki sekolah menengah. Ibu sanggup mengayuh basikal agak jauh setiap minggu untuk menghantar dan menjemput saya yang cedera lutut kerana terjatuh. Dan disepanjang hampir 10km mengayuh basikal itu ibu akan ceritakan bagaimana cita-citanya belajar tinggi terhalang oleh tradisi. Sungguh kuat semangat ibu saya. Sekarang walaupun ibu sudah agak uzur, dia sudah boleh tersenyum puas.
Tentulah para ibu, walau siapapun mereka, tidak mahu anaknya mengecewakan. Jika anak ditimpa musibah walaupun akibat perbuatan sendiri, ternyata ibu lebih kuat raung dan sendunya berbanding si bapa. Saya sering melihat semasa menjalankan tugas professional saya bagaimana ada ibu yang meraung dan pengsan bila anaknya dijatuhkan hukuman akibat jenayah yang dilakukan. Bagi seorang ibu, anaknya tetap seorang anak walau siapapun dia.
Demikianlah hebatnya seorang ibu. Deraian airmata hanyalah mainan seorang wanita, seorang ibu. Tanpa rasa cekal hati seorang ibu memang sukar bagi seorang bayi yang masih lemah dapat hidup didunia ini. Hati ibu sekeras batu demi kesejahteraan anaknya. Ibu sanggup bergadai nyawa bergadai harta.
Saya bernasib baik kerana masih mempunyai ibu dan bapa walaupun mereka sudah lanjut usia. Saban waktu saya akan mengunjungi mereka. Ibu saya masih seperti dulu : menyayangi anak-anaknya. Dan bagi sesiapa juga yang masih mempunyai ibu atau bapa atau kedua-duanya, hargailah mereka. Itulah permata kita yang tidak ternilai harganya.
No comments:
Post a Comment