Saya tertarik membaca berita komen persatuan pengguna berkaitan kenaikan harga barang di negara kita. Mereka menganjurkan agar para pengguna mengurangkan pembelian ayam dan bukannya memboikot terus atau langsung tidak membeli ayam. Antara alasannya ialah ayam satu dari makanan utama di negara ini dan perbuatan memboikot pembelian ayam akan menjejaskan peniaga kecil yang terlibat dalam perniagaan itu.
Memang ayam telah menjadi makanan utama. Ayam adalah pilihan berbanding daging lembu, kerbau, kambing atau ikan. Ayam daging yang diproses akan menjadi tumpuan di pasar-pasar. Ayam juga jadi resepi utama di kedai makanan segera KFC dan McD. Ayam golek yang dibakar di tepi jalan juga turut diminati. Kepak ayam berperisa madu sungguh laku. Ertinya ayam memang jadi kegemaran ramai.
Ayam juga tidak sukar untuk disediakan sebagai makanan. Ayam tiada tulang seperti ikan. Kecuali cenonggeng yang biasanya dibuang, lain-lain bahagian ayam akan dimasak untuk santapan, termasuk kaki bersisik akan dikikis dan dimasak menjadi sup lazat. Pengguna hanya perlu membeli dan seterusnya penjual akan memotong ayam mengikut kehendak pengguna/pembeli tersebut. Ayam yang sudah siap diproses ini hanya menunggu dibasuh dan dimasak. Mungkin itu antara sebabnya kenapa ayam sangat popular terutamanya bagi isteri-isteri yang bekerja.
Namun begitu kegemaran memakan ayam daging yang diternak dalam tempoh yang pendek ini dikatakan mempunyai beberapa kesan kepada pengguna. Kandungan bahan tertentu yang tinggi dalam makanan ayam dikatakan meninggalkan kesan jangka panjang kepada para pengguna, seperti penyakit dan obesiti. Sejauh mana kebenaran perkara ini wajar juga diselidik oleh persatuan pengguna berkenaan.
Ada baiknya sementara menunggu kajian atau kenyataan persatuan pengguna ini, kita tangguh dulu membeli dan memakan ayam. Bukan memboikot tetapi menangguhkan kegemaran makan ayam. Kalau hendak juga makan ayam, belilah ayam kampung atau ayam Turki yang lebih sihat dan lazat itu. Boleh juga dibeli daging itik atau daging kambing atau biri-biri. Kalau kita tangguhkan pembelian ayam daging, ini akan membantu menarik turun harga bahan itu.
Yang penting ialah kita semua hendaklah menilai kembali kegemaran kita. Saya masih gemar memakan nasi ayam, namun oleh kerana ayam daging dikatakan banyak lemak yang kurang baik, saya memilih ayam kampung, kambing dan ikan. Jadi sekarang ini saya jarang memakan nasi ayam kecuali yang dimasak oleh isteri saya menggunakan ayam kampong atau ayam daging organik. Suka tidak suka itulah pilihan yang saya ada. Secara beransur-ansur anak-anak saya juga mulai kurang gemar memakan ayam daging atau ayam makanan segera. Bukan mudah untuk melakukan perkara ini.
Mengatakan peniaga kecil akan terjejas jika pengguna memboikot ayam mungkin ada kebenarannya. Namun begitu mari kita lihat kesan positif jika pengguna memboikot atau menangguhkan sementara kegemaran membeli dan memakan ayam. Kebanyakan peniaga kecil di negara kita adalah generasi baru yang kreatif dan sensitif kepada kehendak pasaran atau kuasa beli pengguna. Mereka ini ramai yang celik IT dan ada akaun facebook. Seandainya mereka menghidu jualan ayam daging akan terjejas tentu mereka mengambil langkah bagi mengelakkan atau mengurangkan kerugian. Menjadikan alasan bahawa golongan peniaga kecil ini akan terjejas teruk hanyalah suatu komen yang dibuat tanpa melihat maslahah umum secara keseluruhannya.
Satu perkara yang pasti ialah jika para pengguna majoriti masih menggemari ayam daging tanpa mengira harga dan kesan sampingan yang dikaitkan dengannya, tiada tindakan berkesan boleh diambil bagi menurunkan harga makanan itu.
No comments:
Post a Comment