Saya ada seorang kawan yang agak dihormati. Beliau dihormati bukan kerana dia berpangkat atau apa. Beliau tidak ada apa-apa gelaran. Yang saya tahu ramai orang bergelar Tan Sri dan Dato' menjadi kawan baiknya. Ramai orang suka berkawan dengannya walaupun dia hanya menjaga lembu.
Kawan saya ini juga tidak berpelajaran tinggi, hanya tamat tingkatan tiga. Sesudah tamat tingkatan tiga kawan saya ini bekerja di kedai makan bapanya sambil menolong membesarkan adik beradik yang ramai. Dia mula menjaga lembu tidak lama selepas itu. Banyak lembu-lembu yang dijaganya. Kawan saya ini akan keluar rumah awal pagi menjaga lembu bertemankan sebatang kayu. Begitulah rutin hidup beliau untuk beberapa lama.
Nasibnya mula berubah bila dia berniaga daging di pasar. Sesudah itu dia ada lot sembelihannya sendiri. Dia mengembangkan perniagaan seterusnya dengan eksport impot lembu dari Australia disamping mempunyai ladang ternak lembu secara feedlot yang menempatkan sehingga hampir seribu ekor lembu dan kerbau pada satu-satu masa. Dia juga menternak ratusan ekor kambing pada satu-satu masa disamping ayam dan itik.
Dia juga membekalkan daging sembelihannya ke beberapa pusat membelibelah dan pasaraya besar di Lembah Kelang. Dari semasa ke semasa kawan saya ini akan bergerak ke utara atau selatan, juga atas urusan lembu. Dengan cara hidup yang simple, ternyata kawan saya ini amat berjaya dalam bidang yang diceburinya.
Pada saya inilah contoh kejayaan seseorang yang betul-betul naik dari bawah. Tanpa ijazah dan tanpa pengaruh politik, beliau berjaya hasil kerja keras. Hatinya bersih, pemurah dan kuat menjaga agama. Faktor sebegitulah yang membawa beliau dari seorang jaga lembu kepada seorang usahawan berjaya.
Kita bagaimana?
No comments:
Post a Comment