Saya mengambil peluang waktu senggang selepas maghrib tadi untuk membaca dan meneliti buku Hikayat Hang Tuah terbitan bersama Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 1997. Buku atau kitab ini telah saya tela'ah sejak sekian lama tanpa jemu. Memang ada sesuatu yang amat istimewa mengenai Hikayat Hang Tuah ini.
Sesungguhnya nama Hang Tuah cukup besar di persada Nusantara. Hang Tuah dikira sebagai pahlawan terbilang di dunia Melayu yang sehingga kini tiada tolok bandingnya. Nama itu telah diangkat sedemikian rupa dan dimartabatkan sebagai hero Melayu zaman berzaman. Nama Hang Tuah sejak dulu terus meniti dari bibir ke bibir dan diagungkan dari generasi ke generasi.
Tentunya nama Hang Tuah sinonim dengan ketaatan seorang rakyat kepada rajanya. Dan tentulah ketaatan itu membawa Hang Tuah berpencak dan bertempur satu lawan satu dengan sahabat sepermainan dan seperguruannya sejak dari kecil, Hang Jebat. Adegan pertikaman dan perkelahian itu dipaparkan dengan detail dan penuh debar oleh pengarang hikayat ini.
Episod perkelahian diantara Hang Tuah dan Hang Jebat bolehlah dianggap sebagai sangat besar dalam sejarah ketamadunan orang Melayu. Pertikaman yang penuh dengan siap siaga dan tipu daya itu berakhir sebagaimana kita semua sedia tahu, Hang Jebat mati ditangan Hang Tuah. Dengan keris Taming Sari anugerah Ratu Majapahit, Hang Tuah merodok dada Hang Jebat demi titah raja!
Bagi saya pertikaman itu mempamerkan beberapa perkara yang wajar diambil sebagai pengajaran oleh semua generasi. Demi perintah raja Hang Tuah sanggup membunuh sahabatnya sendiri. Hang Jebat menderhaka bukan sembarangan. Dia menderhaka demi membela sahabatnya, Hang Tuah yang dihukum bunuh oleh raja kerana fitnah dari kaki pengampu didalam istana. Seperti kata Hang Jebat, kalau bukan kerana membela Hang Tuah tidak mungkin dia berkelakuan sedemikian rupa menderhaka pada raja.
Semangat setiakawan yang tinggi yang ada pada Hang Jebat seharusnya dicontohi oleh ramai orang. Kawan menangis susah dicari. Kualiti yang ada pada Hang Jebat ini sebenarnya menggambarkan jatidiri manusiawi sebenar. Sahabat kita dianiaya tiada siapa yang akan membela melainkan kita sendiri. Berani kerana benar walaupun menanggung risiko yang pelbagai.
Perkelahian ini juga bagi saya menukilkan wajah sebenar manusia. Lihatlah bagaimana bila mengetahui Jebat sudah cedera ditikam Tuah ada ramai orang tumpang sekaki dengan coba menghabiskan Jebat yang sedang membalut lukanya. Inilah bentuk manusia yang berani setelah mengetahui orang yang hebat sudah tidak sekuat mana lagi. Inilah tukang henyak keatas orang yang sudah jatuh. Sebagaimana digambarkan secara tersirat oleh pengarang Hikayat Hang Tuah, orang sebegini adalah dari kategori pengampu dan penakut!.
Sayangnya perkelahian versi Tuah - Jebat bukannya berakhir setakat jatuhnya empayar Melayu Melaka. Banyak lagi 'Hang Tuah' yang setianya pada 'perintah raja' secara membuta tuli lahir dari semasa ke semasa. Dan biasanya 'Jebat' yang hebat itu akan.menjadi korban atas prinsip membela yang dipegangnya.
Apakah kita tidak belajar dari catatan pertikaman maha dahsyat itu?.
No comments:
Post a Comment