Kita sering mendengar orang menyebut 'kebebasan individu'. Kita juga sering mendengar perkataan 'individual rights' disebut dimana-mana. Kedua-dua perkara itu merujuk kepada perkara yang sama iaitu 'kebebasan'.
Kebebasan bermaksud boleh melakukan apa saja yang dikehendaki tanpa batasan. Bebas ertinya boleh melakukan semahunya, tanpa boleh dihalang oleh sesiapa. Bebas ini tentunya secara mutlak, tanpa tapisan, tanpa ada peraturan menegahnya. Itulah kebebasan atau 'bebas' dalam erti kata yang sebenar-benarnya.
Bolehkah kita melakukan apa saja dalam kehidupan bermasyarakat? Benarkah kebebasan individu secara mutlak boleh diamalkan dimana-mana saja tanpa tertakluk kepada budaya dan peraturan sosial serta ikatan agama rakyat terbanyak? Apakah kebebasan individu mengatasi segala-galanya?
Soal kebebasan individu vs peraturan masyarakat sejak lama telah didebatkan. Eropah dan Amerika mendahului polimik ini. Sudah tentu banyak yang pro dan kontra. Sikap yang mengagungkan kebebasan individu pula nampaknya sinonim dengan sifat individualistik yang mendapat tempat di benua-benua tersebut. Ramai juara hak kebebasan individu tampil menyuarakan betapa kebebasan individu tidak patut dikorbankan demi kepentingan masyarakat terbanyak.
Golongan yang mempertahankan pentingnya hak masyarakat terbanyak tentulah tidak rela kebebasan individu secara mutlak dibenarkan. Tentulah tidak wajar membenarkan seseorang yang waras berjalan bertelanjang bulat di jalanraya walaupun itu adalah hak individu. Tentulah tidak patut membiarkan seseorang melakukan perkara yang dipandang sumbang oleh masyarakat dan ditegah oleh agama. Atas apa alasan sekalipun kelakuan begitu, meski ia hak individu, tidak boleh dibenarkan secara bebas dalam masyarakat.
Apa yang kita dapati hari ini ialah toleransi antara hak dan kebebasan individu mutlak dengan kepentingan masyarakat umum. Suka atau tidak suka kepentingan masyarakat umum adalah diutamakan berbanding hak kebebasan mutlak individu. Soal moral misalnya lebih mendaulatkan pandangan umum mengatasi kemahuan individu. Disinilah terletaknya nilai hidup bermasyarakat. Disini juga agama memainkan peranannya.
Hidup bermasyarakat ibarat berlayar di lautan menaiki sebuah kapal. Kalau seorang penumpang ingin membuat lubang dilantai kapal dan dibiarkan tanpa ditegah, lambat laun kapal itu dan segala isinya akan tenggelam kerana dimasuki air. Semua penumpang akan mati kecuali yang pandai berenang.
Dalam masyarakat kita hari ini berapa orang yang benar-benar pandai berenang?
No comments:
Post a Comment