Saya tidak dapat bergerak kemana-mana akibat sakit lama yang berulang. Mulanya saya bercadang hadir jemputan-jemputan kahwin saudara-mara dan anak sahabat saya namun semuanya terhalang. Yang sedihnya ialah beberapa orang kawan menalipon bertanya hal kenduri kawin di rumah sahabat saya itu sedangkan tidak tergamak saya untuk memaklumkan hal keuzuran yang menghalang saya turut hadir.
Empat bulan lalu saya juga terpaksa menghadkan pergerakan disebabkan masaalah yang sama. Ubat doktor dan urutan tapak kaki serta seluruh badan telah membolehkan saya kembali melakukan beberapa aktiviti seperti seni chi kung dan lain-lain. Sebelum itu saya terpaksa menghentikan kelas chi kung untuk membolehkan saya benar-benar pulih. Saya agak berhati-hati melakukan pergerakan dan mengurangkan banyak aktiviti luar.
Bila rasa pulih, saya telah memulakan kembali kelas chi kung tiga minggu lalu. Saya fikir tiada masaalah lagi. Dan sebagaimana biasa saya akan nikmati udara segar pagi dengan melakukan senaman itu serta berjalan kaki sesudah makan malam. Semuanya dilakukan untuk menyihatkan badan, menjaga kesihatan. Semuanya seperti kembali normal.
Saya langsung tidak menjangka bahawa masaalah yang saya hadapi itu akan kembali berulang dalam tempoh yang singkat. Beberapa hari lalu semasa melakukan regangan tiba-tiba terasa bahagian badan sakit. Lalu saya kembali lakukan urutan. Rasa lega. Perasaan perkasa kembali menguasai diri. Saya mengangkat satu barang secara orang biasa (maksudnya bukan secara orang bermasaalah) dan terjadilah apa yang saya alami kini.
Kejadian ini memberi saya satu pengajaran sama seperti yang saya alami pada tahun 2007. Pada tahun itu saya juga terasa amat sihat dan cergas. Saya lakukan pelbagai aktiviti lasak tanpa peduli kekangan diri yang saya hadapi. Akibatnya saya juga yang rasai. Dan kali ini saya ulangi lagi kesilapan dulu menyebabkan kembali sukar bergerak seperti normal.
Bagi saya ada hikmah disebalik semua ini. Sahabat saya Tamrin Tun Ghafar cadangkan agar berurut dengan seorang Cina di Seputih. Ada teman cadangkan saya berubat di Sungai Long. Hendak tidak hendak saya akan cuba semua cadangan itu. Bila orang tahu masaalah kita maka akan ada yang membantu. Ada hikmahnya semua ini. Setidak-tidaknya saya memang terpaksa berehat di rumah. Sambil berbaring saya boleh update blog menggunakan Samsung Galaxy Tab yang ringan ini. Dan sudah tentu buku saya yang terbengkalai itu dapat saya jenguk semula.
Begitulah hidup.
No comments:
Post a Comment