Hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia sentiasa turun naik, pasang dan surut. Kadang-kadang tegang dan panas. Kadang-kadang mesra. Begitulah yang terjadi sejak dulu. Semenjak rantau ini dikenali sebagai Nusantara atau Kepulauan Melayu, hubungan antara dua negara sentiasa panas-panas sejuk, macam orang demam malaria!
Hubungan Sukarno dengan Tunku Abdul Rahman cukup intim pada satu ketika sehingga digagaskan Maphilindo yang merangkumi tiga 'negara Melayu' iaitu Malaya, Filipina dan Indonesia. Hubungan mesra itu kemudiannya terbarai bilamana Malaysia diwujudkan. Konfrontasi dua negara hanya berakhir sesudah Sukarno tidak lagi berkuasa. Adam Malik yang semasa kecil dan remajanya membesar di Perak menjadi jambatan utama mendamaikan Malaysia dan Indonesia.
Semenjak itu hubungan kedua-dua negara sentiasa pasang surut. Ada-ada saja isu yang timbul disana-sini. Hubungan yang turun-naik ini memang sentiasa begitu. Entah kenapa ini sering terjadi. Entah kenapa isu yang terlalu bengik boleh bertukar menjadi besar. Hubungan dua negara menjadi rawan, berbaik semula dan rawan semula. Begitulah.
Saya melihat isu hubungan dua negara dengan dada yang sentiasa berombak. Saya fikir keadaan ini mulanya sebagai lumrah hubungan adik beradik. Bagi saya pada mulanya hal ini tidak perlu digusarkan. Pandailah para pemimpin dua negara mengatasi masalah ini. Mereka cukup bijak dan berpengalaman mengendalikan isu dua negara. Mereka tentu tahu apa yang harus dibuat.
Itu kata saya, fikiran saya yang masih punyai nostalgia dan hubungan persaudaraan dengan keluarga disana. Pengalaman menunjukkan hubungan emosi dan nostalgia biasanya tidak kekal lama. Hubungan sebegitu boleh terbang dibawa angin jika ribut melanda. Hubungan begitu lambat laun akan sirna ditelan badai masa. Ya begitulah keadaannya.
Pada masa ini hubungan antara pemimpin dua negara masih bagus. Masing-masing masih ditambat oleh perasaan persaudaraan. Perasaan itu masih menebal sejak beberapa generasi. Perasaan serumpun dan nostalgia pernah bermimpi yang sama nampaknya masih mengikat erat hubungan dua negara. Perasaan itulah sejak sekian lama menjadi penghurai keserabutan hubungan bersama. Sebab itu sungguhpun ada keadaan yang tidak menyenangkan dalam hubungan dua hala, ianya tidaklah melarat menjadi lebih teruk.
Saya khuatir bilamana hubungan antara pemimpin dua negara tidak lagi seperti sekarang keadaan akan berubah. Generasi dua negara sekarang ini tidak lagi bermimpi yang sama apa lagi untuk tidur sebantal. Hubungan lebih bersifat formal tanpa nostalgia satu rumpun, satu ikatan mahawangsa. Lihatlah apa yang acap berlaku. Tindakan unjuk rasa terhadap Malaysia seringkali diadakan bagai tidak terbendung lagi. Semacam ada satu sifat permusuhan telah wujud sekian lama.
Namun tergamakkah kita menyalakan api sengketa yang tidak perlu itu? Tergamakkah kita membakar seluruh daerah permai ini dengan permusuhan yang tidak menguntungkan siapa jua. Abang besar atau adik kecil sama-sama akan luka walau siapa jua yang muncul sebagai juara sesudah usainya sengketa. Perlukah semua itu?
No comments:
Post a Comment