Sesekali membaca komen dalam laman sosial seperti facebook, tulisan dalam blog atau sembang dimana-mana jua memperlihatkan satu perkara yang amat nyata : ramai orang masih jumud fikirannya.
Apa yang dikatakan jumud ialah pandangan atau sikap yang stereotype dan tidak terbuka. Ini bermaksud bahawa ramai dikalangan kita yang masih belum terbuka pemikirannya dan terpengaruh oleh emosi atau taksub membuta tuli. Dengan yang demikian aliran fikiran menjadi tidak berkembang walaupun kita mempunyai pendedahan informasi dan pendidikan asas yang secukupnya.
Yang dikatakan jumud ialah kita tidak bersedia menerima sudut pandangan orang lain walaupun sudut pandangan itu baik. Kita juga tidak menghormati kehendak kepada perubahan hanya kerana perubahan itu akan menjejaskan kepentingan kita sendiri. Kita menjadi jumud dan tidak peka. Kita selesa dengan apa yang ada. Kita menjadi tunggul mati, menjadi kera sumbang.
Saya tidak hairan kalau yang berfikiran jumud itu orang kampung terpencil yang tidak terdedah kepada dunia siber atau jangkauan media perdana. Saya tidak rasa pelik kalau yang bersikap jumud itu hanya berpendidikan terlalu asas. Malangnya kalau mereka dari kalangan professional dan intelek turut jumud, tentu ada sesuatu yang tidak kena. Lebih malang kalau kalangan ahli politik kanan dan pentadbir turut dijangkiti penyakit jumud fikiran, jumud sikap. Kalau ini terus berlaku tentulah ianya sesuatu yang tidak baik kepada negara.
Sikap atau sifat jumud banyak berpunca dari diri sendiri. Kadang-kadang perasaan ego juga menyumbang kepada sifat jumud ini. Kita rasa kita saja yang betul, orang lain semuanya salah. Kita anggap fikiran atau pandangan kita saja yang utama sedangkan fikiran atau pandangan orang lain lekeh, tidak bagus. Sifat jumud sebenarnya dibajai oleh sifat dalaman kita sendiri. Kita enggan meraikan atau menimbang pendapat lain yang berbeza dari pandangan kita.
Nabi Muhammad s.a.w. walaupun mempunyai otoriti tertinggi sebagai Rasul dan pemerintah Madinah masih menghormati pandangan sahabat-sahabat Baginda dalam soal penting, misalnya soal strategi perang dalam peristiwa Perang Khandak. Dengan kedudukan yang begitu tinggi, dihormati dan dipatuhi Baginda meraikan pendapat sahabat-sahabat dalam banyak perkara. Baginda tidak jumud sikapnya. Baginda terbuka dalam hal yang tiada ketetapan yang jelas dari Allah.
Jadi siapalah kita berbanding Rasulullah. Jika tarikh kelahiran Nabi, nuzul qur'an dan ma'al hijrah boleh kita raikan, maka apakah sifat Nabi yang tidak jumud tidak mahu kita jadikan ikutan? Untungkah kita kalau berterusan jadi jumud, bersifat tertutup?
Bersifat terbuka dan tidak jumud bukan bermaksud membolehkan segala-galanya. Hidup kita bersendi adat, adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah. Ertinya bukan semua perkara boleh kita terima begitu saja. Kalau perlakuan seks songsang hendak diketengahkan, kita boleh menjadi jumud. Biarlah orang hendak kata apa sekalipun, kita tidak boleh menerima sesuatu yang merosakkan masyarakat. Kita jumud bertempat.
Sebelum tidur malam ini elok juga kalau kita bertanya kepada diri sendiri : jumudkah aku ini?
No comments:
Post a Comment