Terdapat banyak candi tinggalan zaman Hindu di Lembah Bujang, khususnya di Kampong Bujang, Kampong Pengkalan Bujang, Kampong Sungai Batu, Kampong Pendiat, Kampong Bendang Dalam dan yang terakhir ditemui berdekatan UiTM, juga di dalam Kampong Bujang.
Candi-candi ini telah mulai digali untuk tujuan pemuliharaan sejak puluhan tahun lalu. Semasa zaman remaja saya akan menaiki basikal bersama kawan-kawan ke beberapa kawasan yang ditemui candi mengutip batu untuk digunakan sebagai 'peluru' lastik. Maklumlah masa itu, budak lelaki main lastik dan mandi sungai adalah fenomena biasa. Pakar melastik mempunyai kelas tersendiri dikalangan kami pada masa itu. Jadi 'peluru' kelas pertama adalah datangnya dari batu di kawasan candi dan batu besi yang banyak diperolehi di sekitar Sungai Batu atau Semeling.
Kadang-kadang kami 'mengambil upah' dengan membantu membersihkan kawasan yang ditemui candi. Sambil bertanya pekerja tetap yang terlibat dengan penggalian, mata kami liar mencari kalau-kalau ada emas di situ. Terdapat cerita kononnya emas ada di candi-candi tertentu. Saya pernah pasang angan-angan menemui emas, boleh jadi kaya dan hidup senang. Sambil berangan-angan tangan akan mengutip batu 'peluru' lastik dan dimasukkan ke dalam poket seluar. Emak akan selalu marah bila membasuh seluar yang kotor akibat diisi peluru.
Demikianlah cerita candi puluhan tahun lalu. Kami penduduk sekitar kawasan itu tidak ambil kisah sangat soal candi-candi peninggalan tamaddun Hindu itu. Sesetengah cerdik pandai Islam di Kedah kurang senang dengan pemuliharaan candi-candi berkenaan. Kata mereka sesuatu yang Allah timbuskan ke dalam tanah tidak perlu lagi digali untuk dipamerkan kepada masyarakat. Cukuplah kita mengetahui bahawa suatu ketika dahulu Kedah mempunyai kerajaan dan penduduk yang mengamalkan agama Hindu. Bila Islam datang dan Sultan Muzaffar Shah memeluk Islam (makam baginda serta kaum keluarga terdapat di Kampong Langgar), biarlah tamaddun Hindu di Kedah itu tinggal tenggelam di dalam bumi.
Mungkin pandangan ini secara senyap-senyap dipakai di Kedah sehingga sekarang. Sebab itulah kita dapati candi-candi ini tidak begitu dipromosi sebagai tempat wisata berbanding Langkawi yang diangkat begitu tinggi. Penduduk setempat juga nampaknya tidak bercakap sangat soal candi ini.
Selain candi terdapat beberapa tinggalan sejarah lama sekitar Lembah Bujang yang bagus untuk dikunjungi. Kompleks makam Sultan Muzaffar Syah dan masjid tertua di Kampong Simpang Tiga Pasir memberikan gambaran bagaimana Islam datang ke kawasan kerajaan Kedah Tua itu. Pondok atau Madrasah Addaruin di Kampong Bujang merupakan antara pondok pengajian tertua di Kedah dan menampung ramai pelajar dari seluruh Asia Tenggara. Sehingga kini di sekitar pondok itu (sekarang menjadi surau) anak cucu pelajar atau tenaga pengajar dari rantau Melayu masih tinggal di situ. Mudir terakhir pondok itu juga berasal dari Indonesia sementara seorang dari keluarga almarhum itu berkahwin dengan anak kepada Syeikh Abdul Qadir alMandili, imam mazhab Syafie di Makkah suatu ketika dulu.
Latar belakang sebeginilah memungkinkan candi tidak begitu popular dikalangan penduduk sekitar Lembah Bujang. Penemuan terbaharu yang agak besar itupun tidaklah menjadi bualan hebat penduduk setempat. Mereka lebih suka bercerita mengenai kemalangan jalanraya yang kerap berlaku di situ. Khabarnya kawasan itu 'keras'. Setiap sebulan atau dua bulan sekali bila pulang menemui ayah dan emak sudah pasti saya memandu agak berhati-hati di kawasan itu hahaha...
Begitulah.
No comments:
Post a Comment