06 November 2012

Cerita Yang Tidak Habis-habis

Cerita politik adalah cerita yang tidak pernah habis-habis. Ada-ada sahaja isu atau cerita politik yang muncul. Orang politik seperti tidak pernah tidur. Apa juga perkara asalkan boleh dijadikan isu maka orang politik akan menjadikannya isu.

Saya pernah lalui semua ini. Semasa aktif berpolitik sedikit masa dahulu banyak cerita politik yang kami tahu atau diberi tahu. Orang politik yang tidak peka isu politik lebih baik jangan berpolitik. Lebih baik duduk di rumah dengan anak bini. Lebih baik temberang kosong di kedai kopi.

Cerita politik ini macam-macam. Ada yang sensasi, ada yang bertaraf xxx. Ini yang menyebabkan saya sendiri tidak boleh 'bersekongkol' dengan cerita politik yang tidak berasas. Bagi saya berpolitik ada hadnya. Ada haram halalnya. Ada sempadan, ada prinsip yang perlu dipatuhi. Biarlah orang lain 'berjaya' dalam karier politiknya dengan berbuat apasaja.

Itulah sebabnya saya memilih untuk 'berdiam' dari aktiviti politik. Saya lebih rela tidak berjaya daripada kelak ubun-ubun saya dibaham oleh api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari batu dan manusia!.

Bagi saya negara kita memerlukan kemurnian berpolitik. Politik tidak boleh menjadi kerjaya untuk cari makan. Politik bukan untuk cepat naik dalam hidup. Politik bukan semata-mata disandarkan kepada wang dan kekuasaan. Selagi para pemain politik masih belum berusaha mencari kemurnian selagi itulah iklim politik di negara ini tidak akan berubah.

Selagi itulah para pengikut akan menuntut bermacam-macam. Bila anak harimau belaan diajar memakan daging, silap haribulan orang yang memeliharanya juga akan dikerkah. Mana ada ketenangan fikiran dalam politik. Kita tidak tahu siapa kawan siapa musuh. Jadi selagi acuan politik seperti hari ini selagi itulah politik keserhanaan dan kebijaksanaan tidak akan wujud di negara kita.

Yang akan terus menguasai politik di negara kita ialah seperti yang kita lihat sekarang. Cerita politik apajua akan muncul. Letih melayan cerita-cerita begitu. Betul atau tidak cerita itu tidak menjadi soal. Yang penting ada isu.

Demikianlah.

14 October 2012

Jangan Syok Sangat..

Memanglah negara kita ini mewah serba serbi. Makanan dan minuman melimpah ruah. Segala kemudahan ada. Kemudahan jalanraya, air, letrik dan kesihatan boleh dibanggakan berbanding dengan kebanyakan negara lain. Kemudahan telekomunikasi dan khidmat perbankan berada ditangga yang baik. Tentu semua ini membanggakan kita.

Namun di sebalik semua itu ada satu perkara yang semakin meresahkan sebahagian rakyat. Tentulah ini perkara yang besar. Tentu ini satu perkara yang menyentuh kehidupan harian rakyat terbanyak. Sudah pasti perkara ini perlu diberi perhatian serious oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa.

Di mana-mana juga kita akan dapati orang asing atau orang luar dalam jumlah yang cukup ramai. Mereka ini datang sama ada secara sah atau secara gelap dan secara langsung atau tidak langsung menikmati segala macam kemudahan di negara kita. Warga luar khususnya dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Vietnam, Kemboja, Filipina, Myanmar dan negara-negara Afrika semakin bertambah jumlahnya dari hari ke hari.

Sememangnya kita akui bahawa sektor perladangan, perkhidmatan, industri dan pembinaan memerlukan pekerja dari luar. Rakyat tempatan dari kalangan orang Melayu, Cina, India dan bumiputra lain tidak berminat untuk bekerja di sektor berkenaan. Yang sanggup potong sawit sangat sedikit. Yang sanggup angkat simen juga tidak ramai.

Suka tidak suka tenaga kerja dari luar terpaksa dibawa masuk demi kelangsungan sektor-sektor tadi. Dan proses membawa masuk pekerja asing ini telah berjalan sejak lama. Hasilnya juga membanggakan. Sektor perladangan dan pembinaan cukup maju. Berlaku lonjakan dalam kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Yang menjadi masalah ialah hampir kesemua kemudahan di negara ini turut dinikmati oleh warga asing tersebut. Harga barangan harian turut naik. Kemudahan kesihatan turut dikongsi oleh mereka. Kemudahan-kemudahan lain juga mereka nikmati seperti mana kita rakyat tempatan. Ini sedikit sebanyak telah menimbulkan rungutan dikalangan penduduk tempatan.

Ramai pendatang ini turut terlibat didalam perniagaan yang sepatutnya hanya dibenarkan kepada rakyat tempatan. Perniagaan barangan runcit misalnya telah hampir-hampir dimonopoli oleh kalangan pendatang tertentu. Beberapa jenis perniagaan lain juga dikuasai oleh pendatang-pendatang ini.

Saya tidak anti pendatang. Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah bagaimana pihak berkuasa mengawal dan memantau pendatang-pendatang ini. Kemasukan mereka wajib dikawal. Aktiviti mereka wajib dipantau. Sebab itu negara mempunyai badan penguatkuasa seperti imigresen, polis, kastam, jabatan pengangkutan jalan, perlesenan perniagaan, pihakberkuasa tempatan dan lain-lain bagi maksud ini.

Jangan kita syok sendiri. Jangan berbangga yang negara ini diminati oleh ramai orang luar. Jangan berbangga dengan sikap kita yang mesra orang asing.

Jangan sejarah berulang!.

12 October 2012

Dari Lembah Bujang Ke Lembah Kelang : Hasrat Yang Bersinar

Mana-mana manusia jua apabila berpindah dari kampung ke bandar besar tentu akan kuat berusaha demi memajukan diri. Oleh sebab itu kita dapat lihat bagaimana mereka yang mengadu nasib di perantauan ramai yang berjaya. Mereka ini ramai yang akhirnya mampu memiliki apa yang sebelum ini menjadi angan-angan hasil kerja keras dan bersungguh-sungguh.

Komuniti rakyat Kelantan yang ramai di Lembah Kelang membuktikan betapa kegigihan mampu membuat seseorang berjaya dari sudut ekonomi. Ramai teman-teman rapat saya yang berasal dari Kelantan, walaupun tanpa pendidikan tinggi, dapat hidup selesa dengan menceburi bidang perniagaan. Mereka ini amat gigih. Mereka juga kuat membantu satu sama lain. Inilah antara ciri yang membawa mereka berjaya.

Hidup di Kuala Lumpur khususnya memerlukan kegigihan. Jatidiri mesti kuat. Semangat juga mesti kuat, mesti cekal. Bukannya mudah untuk mengharungi kehidupan serba mencabar. Bukannya mudah mudah mencari rezeki kalau tidak kena caranya. Silap haribulan apa yang ada akan masuk longkang. Kaya tidak mudah, papa juga tidak susah.

Saya datang ke Kuala Lumpur lebih 30 tahun lalu kerana belajar di universiti. Bila lulus dengan memiliki ijazah professional, saya bekerja dengan satu institusi kerajaan. Apabila saya memasuki sektor swasta kemudiaannya, saya dapati bukannya mudah berjaya tanpa cukup modal, pengalaman dan rangkaian kenalan.

Namun akhirnya saya berjaya mengatasi halangan-halangan hasil usaha yang berterusan. Harapan menjadi bersinar walaupun ada ketikanya cabaran dunia perniagaan masih ada di mana-mana. Cabaran sebegini adalah lumrah. Inilah asam garam kehidupan. Hidup menjadi lebih manis dan bermakna dengan adanya cabaran-cabaran.

Inilah natijah sebenar dari konsep 'hijrah' yang dibuktikan sejak zaman berzaman. Kita bukan sahaja berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain malahan kita juga wajar melakukan 'penghijrahan' sikap dan minda. Berhijrah bermakna suasana baru akan menjadi pemangkin kepada perubahan kita, kepada sesuatu yang lebih baik.

Kalau kita berhijrah ke tempat baru namun jika  sikap dan minda kita tidak turut berubah, penghijrahan itu tidak membawa impak yang besar kepada diri kita. Penghijrahan fizikal semata-mata tidaklah memadai. Kalaupun kita kerap berhijrah atau berpindah dari satu tempat ke satu tempat, tanpa perubahan sikap kita akan tetap di takuk lama.

Ada seorang pengusaha yang berjaya asal Indonesia menceritakan bagaimana dia datang ke Malaysia sekitar 20 tahun lalu. Katanya orang lain bila sampai ke sini, kakinya akan mula-mula memijak tanah. Bagi beliau pula yang mula-mula mencecah tanah di negara ini adalah kedua-dua tangannya. Ini disebabkan beliau datang dengan bot pancong dan terpaksa terjun ke laut dan berenang ke pantai. Datang secara gelap begitulah keadaannya.

Akhirnya beliau memperolehi permit untuk bekerja di sini secara sah. Daripada seorang buruh binaan beliau mulai mengambil kontrek kecil-kecilan sebelum kemudiannya mulai membeli bangunan. Kini beliau menjadi seorang yang berjaya hasil dari penghijrahannya.

Betullah kata orang bahawa kalau hendak seribu daya. Sudahkah kita melakukan seribu daya itu?.

Kita saja yang mampu menjawabnya.

08 October 2012

Erti Seorang Ibu

Entah bagaimana saya menjadi bersemangat. Entah bagaimana saya boleh menjadi kuat. Tiada rasa letih atau mengantuk. Tiada perasaan malas. Halangan-halangan lain sepertikan tiada.

Kereta saya juga lancar memecut. Jarak perjalanan sekitar lima jam terasa seronok bercampur resah. Sesekali saya melihat jam di tangan. Sesekali saya akan berselawat. Sesekali saya akan menyanyi lagu-lagu lama mengikut siaran Sinar FM, Radio Klasik atau Lite FM.

Cermin sisi dan cermin pemandu saya jengah. Jika ada kenderaan yang 'menyucuk' di belakang kereta saya, saya akan memberi laluan. Sesekali saya akan berlumba juga sambil 'cilok' ke kiri dan ke kanan. Kereta saya masih boleh tahan, masih boleh tunjuk handal.

Lebuhraya Utara-Selatan dengan hentian dan kawasan rehatnya sudah tidak asing kepada saya. Saya sudah boleh anggarkan berapa lama masa diambil dari satu 'point' ke satu 'point' yang lain. Dari KL ke Ipoh sekitar 2 jam. Dari Ipoh ke Juru 90 minit dan Juru ke Sungai Patani sekitar 30 minit.

Sekiranya jalan sesak, perjalanan KL ke Sungai Patani sekitar 5 jam. Itu sudah dikira 'cara orang tua' memandu : tiada cilok, tiada penggunaan lorong kecemasan. Memandu ikut peraturan 110km/jam.

Semua ini saya lalui hanya kerana satu perkara iaitu berulang-alik menziarahi ibu saya yang sakit. Sebelum ibu sakit saya pulang ke kampung diantara 10 ke 12 kali setahun. Namun kekerapan pulang ke kampung kebelakangan ini menjadi bertambah disebabkan keadaan ibu. Ia sekarang sudah jadi acara mingguan!.

Allah sungguh adil. Masalah 'slip disc' yang saya alami walaupun belum sembuh sepenuhnya, tidak pula terlalu mengganggu saya seperti sebelum ini. Mungkin kerana semangat, sakit itu seperti tidak terasa.

Catatan ini saya buat agar kita semua dapat belajar tentang erti dan nilai seorang ibu. Siapapun kita, kita hanyalah anak kepada seorang perempuan tua yang melahirkan kita. Tuakah, burukkah, busukkah atau sakitkah, dia adalah ibu yang tiada galang gantinya. Dia ibu kita, dan dia adalah ibu kita.

Noktah.

04 October 2012

Entahlah...

Seorang kawan bertanya saya mengenai hiruk pikuk politik tanahair waktu ini. Tentulah saya tidak dapat menjawabnya dengan tepat kerana saya tidak lagi aktif berpolitik seperti satu ketika dulu. Kalaupun saya tahu cuma dari bualan di kedai kopi, pembacaan atau perbincangan dengan rakan politik di Parlimen atau majlis tertentu.

Politik di negara kita ini kalut sedikit. Perkara yang sepatutnya bukan bahan politik turut dipolitikkan. Segalanya politik. Segalanya sensasi. Kadang-kadang orang politik ini mudah sangat mensensasikan isu. Semuanya dilihat dari jurus politik. Inilah yang payahnya.

Entahlah apa mahu jadi dengan politik. Untuk masuk kembali berpolitik secara aktif seperti dahulu sukar bagi saya. Sekali meninggalkan 'saf', kita kena beratur dari awal semula. Konsep 'payung terjun' amat berbahaya waktu ini. Silap haribulan pasukan sendiri yang akan 'tembak' kita.

Pengalaman saya bergaul dengan ramai tokoh politik pelbagai parti menunjukkan 'tikam menikam' dalam merebut kepimpinan politik semakin sengit. Hal ini berlaku didalam hampir semua parti. Persaingan dan perebutan dalaman parti lebih sengit berbanding didalam pilihan raya umum. Hendak dianggap musuh bukan musuh, hendak dianggap kawan, ada kawan makan kawan!.

Mereka yang terlibat dalam politik akan cuba menafikan senario ini. Saya bukan cakap kosong atau dengar temberang dari orang lain. Saya telah melaluinya sendiri sebelum mengambil keputusan 'berehat sementara' bagi menumpukan perhatian kepada anak saya yang sakit dan menyiapkan pengajian peringkat sarjana beberapa tahun lalu.

Entahlah. Bagi saya lebih baik buat kerja lain yang ditinggalkan kerana ramai orang gila berpolitik. Lebih baik berkerja membangun masyarakat dengan kemampuan yang ada. Lebih baik berkawan dengan semua orang politik.

Tapi saya tidak boleh janjilah yang saya akan 'pencen' dari politik. Bila tiba pilihan raya umum, manalah tahu kalau-kalau saya kembali 'gila' berpolitik. Tiba-tiba saja naik pentas berkempen..

Ya, siapa tahu.

03 October 2012

Melayu Dan Negara

Negara kita berlatar belakang Melayu dalam hampir semua perkara. Bahasa dan budaya Melayu diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa dan kebudayaan kebangsaan.

Hampir segalanya Melayu sehinggakan roti canai, nasi lemak, petai dan sambal sudah sinonim dengan rakyat Malaysia. Melayu menjadi begitu penting di negara ini walaupun dalam bidang tertentu orang Melayu jauh ketinggalan.

Sewaktu mula-mula datang ke Kuala Lumpur lebih 30 tahun lalu, saya dapati orang Melayu sukar dilihat di Pudu atau Bukit Bintang. Sekarang keadaan sudah berubah. Orang Melayu sudah ramai disitu. Orang Melayu, terutamanya golongan pemuda sudah menjadikan kawasan Bukit Bintang destinasi wajib untuk membeli peralatan seperti komputer, hand phone dan lain-lain.

Suatu ketika lalu sukar untuk melihat orang Melayu bekerja di pejabat milik orang Cina. Sekarang keadaan itu juga telah berubah. Sudah ramai orang Melayu berkerja dalam perusahaan atau perniagaan orang Cina termasuk sebagai kerani kewangan, suatu jawatan yang suatu ketika tidak terbuka kepada orang Melayu.

Semua perkara ini telah mencorakkan perjalanan negara kita. Denyut dan nafas Melayu menjadi denyut dan nafas negara. Perangai Melayu juga menjadi perangai yang mewarnai perjalanan negara.

Inilah hakikat di negara kita sekarang. Hingar bangar dalam politik orang Melayu telah menjadi hingar bangar politik negara.

Mahu kemana kita sebenarnya?

30 August 2012

Aduh Negaraku Kenapa Begini?

Esok ialah hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke 55. Ini bererti bahawa umur/usia 55 tahun itu sudah cukup dewasa. Bukannya mudah untuk mencapai umur keramat tersebut tanpa pengorbanan yang bukan sedikit.

Saya sendiri sempat menyaksikan pelbagai peristiwa pahit manis yang terpaksa dilalui oleh negara kita untuk tiba ke tahap apa yang kita lihat sekarang. Suka atau tidak, kita harus akui bahawa pencapaian negara ini cukup membanggakan.

Selama ini walaupun terdapat perbedaan politik di kalangan rakyat namun sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan tidak menampakkan kontradiksi yang jelas. Setiap orang, malah setiap negeri menyambut hari tersebut dengan motto atau thema yang sama. Tiada perbedaan antara negeri dan Persekutuan dalam menentukan cogankata hari kemerdekaan negara.

Kali ini keseragaman itu sudah tiada lagi. Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional menyambut ulang tahun merdeka dengan satu cogankata sementara negeri-negeri yang diperintah oleh gabungan Pakatan Rakyat meraikannya dengan cogankata yang lain pula.

Keadaan ini mengingatkan saya bagaimana tarikh puasa atau hari raya disambut tidak serentak di negara ini. Akhirnya situasi itu sudah tidak berlaku lagi. Situasi menyambut ulang tahun merdeka atas thema yang berbeda ini memberi satu gambaran bahawa ada perbedaan pendapat di negara kita yang ketara dan memerlukan penyelesaian segera.

Perbedaan pendapat itu bagi saya bukan hanya perlu diselesaikan melalui pilihanraya umum semata-mata. Ia lebih jauh dari itu. Ia memerlukan penyelesaian bersama dan menyeluruh. Perbedaan thema menyambut merdeka tidak boleh dipandang dari sudut itu sahaja.

Tentunya para pemimpin politik di negara kita ini tahu apa yang patut dilakukan!.

29 August 2012

Di Pelabuhan Ini

Aku sudah merata mengembara
sehinggalah aku tiba di pelabuhan ini
disuatu pagi
ketika embun yang menggetarkan
mendodoi hatiku yang rawan.

Di pelabuhan ini
manusianya kulihat bekerja kuat
membanting tenaga empat kerat
seluruh badan dimandi keringat
namun mereka sentiasa ceria
bagaikan tidak pernah ada sengketa
bagaikan tidak pernah disapa sengsara
bagaikan tiada duka.

Pelabuhan ini dan manusianya
mengajar aku
suatu perkara yang bukan baru
bahawa jalan-jalan kehidupan
harus direntasi
secara hakiki.

Musradzi
Kuala Selangor 290812.

28 August 2012

Doa Buat Ayah

Saat-saat manis bersamamu ayah
bila kita selalu berbicara
bila kita engkau menghuraikan persoalan demi persoalan
kini menjadi memori sepi
yang akan kubawa pergi nanti.

Sukar aku melupakan
suatu ketika di celah-celah manusia mengerjakan sa'i
kau hilang dari kami
walau sebentar cuma
namun itu cukup membuatkan
hatiku jadi tidak keruan.

Dan kini kau hilang lagi
buat selamanya
pergi menemui Ilahi
sebagaimana engkau sering rindukan
sebagaimana sering kau lafazkan.

Aku
anakmu ini
akan terus panjatkan permohonan
moga engkau diampunkan
moga engkau dirahmati tuhan.


Musradzi
Kuala Lumpur 280812.

07 July 2012

Politik Dan Saya

Sudah agak lama saya mengenali politik. Sejak kecil saya sudah terdedah dengan bidang ini, apa lagi ayah saya sendiri adalah seorang pemimpin kecil politik di tempat kami. Sejak kecil juga saya dibawa menghadiri ceramah-ceramah politik di sekitar daerah tempat tinggal saya.

Sejak masa itu lagi saya sudah mengenali politik telur ayam kemuruk atau telur temelang. Adalah sesuatu yang dimaklumi semasa itu adanya perbuatan mensabotaj ceramah parti lawan dengan membaling atau melempar telur ayam kemuruk. Telur ayam itu akan pecah dan menyebabkan bau busuk. Dengan cara itu mereka yang hadir dalam ceramah akan lari meninggalkan ceramah.

Ceramah-ceramah politik semasa itu juga dipenuhi dengan provokasi-provokasi terhadap pihak lawan. Satu provokasi dalam bentuk pantun yang saya ingat sehingga hari ini berbunyi:

Kapal layar tiang besi,
Bulan bintang duduk di atas,
Kapal layar dapat kerusi,
Bulan bintang sepak kertas.

Begitulah keadaan politik semasa itu iaitu suatu persaingan sengit di antara parti Perikatan (Kapal layar) dan Pas (Bulan bintang). Sungguhpun Pas bersendirian namun parti itu telah memberikan tentangan yang berkesan kepada Perikatan. Sebagai kanak-kanak saya lebih berminat membeli kacang putih dan ais kerim!.

Minat saya kepada politik semakin bertambah bila saya bergiat dalam persatuan pelajar semasa di sekolah menengah dan universiti. Semasa di tingkatan enam guru saya adalah bekas pemimpin pelajar universiti yang amat kental dengan idealisme politik. Ini serba sedikit mempengaruhi saya dalam hal berkaitan politik tanahair.

Di Universiti Malaya saya terus aktif dalam gerakan pelajar. Bersama beberapa orang pemimpin pelajar yang lain kami gerakkan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Rakan-rakan saya itu sekarang ini ada yang menjadi menteri dan timbalan menteri serta exco kerajaan negeri.

Saya masih meminati politik secara aktif dalam gerakan belia dan persatuan. Yang membedakan saya dengan rakan-rakan saya ialah saya lebih menumpukan perhatian kepada kerja professional saya berbanding mereka yang bermain politik sepenuh masa.

Sesekali bertemu rakan-rakan ini di Parlimen atau di dalam majlis tertentu kami masih mesra seperti dahulu. Namun bagi saya angin perubahan politik hari ini memang sukar dijangka apa lagi kalau diperhatikan terdapatnya tuntutan dan desakan kepada pemerintah dalam hal tertentu.

Yang menarik perhatian saya ialah di era ini munculnya kembali politik membaling telur ayam kemuruk dan yang sealiran dengannya. Beginikah kematangan berpolitik yang kita capai selama ini?

Sungguh malang!.

Penangan Durian

Bersama-sama kakitangan yang lain saya ke Jerantut khamis lalu. Perjalanan selama dua jam itu adalah sebagai memperkenalkan tenaga kerja firma saya di Kuala Lumpur dan Pahang. Cara ini akan mempermudah urusan kerja bilamana tenaga kerja ini kenal secara peribadi, bukan hanya melalui hubungan telefon, fax atau el sahaja.

Perjalanan membelah kabus pagi di Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur itu tidak terasa. Kecuali saya dan seorang lagi, lain-lain kakitangan firma saya belum pernah ke Jerantut. Tentu anda dapat bayangkan bagaimanakah perasaan mereka. Bandar di pendalaman Pahang itu terasa dekat.

Dan pertemuan yang dirancangkan itu memang berjalan dengan baik. Pertukaran pengalaman di kalangan tenaga kerja begini amat baik. Saya pula mengambil kesempatan untuk berbincang dengan rakankongsi-rakankongsi mengenai pelbagai perkara.

Apa yang menarik ialah kami dihidangkan dengan makan tengahari berlaukkan ikan sungai Pahang. Sambal ikan bilis yang ditumbuk bersama belimbing buluh atau sambal hitam sungguh menyelerakan. Ikan patin masak tempoyak sungguh lazat. Ikan talapia masak asam rom amat enak. Ulam-ulam kampung yang segar memudakan saya hahaha...

Kini tibalah pula giliran mengerumuni durian. Durian yang baru gugur di awal pagi itu memang sedap. Saya melantak beberapa ulas. Opppss...saya sepatutnya tidak memakan sebegitu banyak. Sedap punya fasal saya membedal durian tanpa had.

Akibat memakan durian melebihi 'kuota', saya mengalami keadaan yang tidak pernah saya hadapi sebelum ini. Tekanan darah saya melonjak naik. Kepala pening dan terasa meloya. Semalam saya terpaksa tidur beberapa jam. Malam tadi dan hari ini saya terpaksa berbaring. Hanya sejam yang lalu baru terasa lega sedikit.

Itulah akibatnya kalau nasihat doktor dilanggar. Sakit menjadi bertambah parah. Yang menanggung semua ini adalah diri sendiri, bukan orang lain.

Kalau melanggar nasihat doktor begitu sekali kesannya, tentulah melanggar nasihat agama lebih teruk akibatnya!.

19 June 2012

Antara Temberang Dan Tembelang...

Sungguh unik maksud dan makna sesuatu perkataan dalam Bahasa Melayu. Jika kita bersabar menyelidikinya maka akan kita dapati alangkah indahnya Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara kita itu.

Oleh itu bila ada orang berkata yang Bahasa Melayu itu masih belum mampu diangkat menjadi bahasa ilmu dan perdagangan, saya ragui apakah orang berkenaan benar-benar peka dengan perkembangan sekeliling. Saya hairan bagaimana kenyataan sebegini boleh mekar menguasai pemikiran sebahagian anggota masyarakat yang sudah 55 tahun merdeka.

Sungguh ini suatu temberang besar. Sungguh ini satu penzahiran sikap prejudis terhadap kemampuan Bahasa Melayu. Menyatakan kesangsian terhadap Bahasa Melayu mengundang tindak balas pejuang-pejuang bahasa itu yang telah sekian lama tega menghadapi apa saja.

Apakah Bahasa Melayu terlalu lembam sifatnya sehingga dilabel sedemikian rupa. Atau adakah terdapat niat tersembunyi sehinggakan tergamak cemuhan itu dilontarkan?

Saya percaya bahawa masanya akan tiba bila tembelang orang atau kumpulan tertentu yang bersikap prejudis terhadap Bahasa Melayu akan tersingkap juga. Buat sementara waktu ini biarlah sikap itu menjadi bara yang membakar mereka.

Semenjak dahulu saya tidak pernah sangsi akan kemampuan Bahasa Melayu. Saya yakin hanya negara yang memperkasakan bahasa utamanya sahaja yang tidak akan tercicir dari arus negara berprinsip!

18 June 2012

Apa Khabar?

Suasana atau iklim politik di Malaysia terus panas. Tiada petunjuk akan adanya kecenderungan untuk mengendurkan suasana itu. Keadaan malahan menjadi semakin panas hari ke hari.

Saya melihat ini dengan sedikit perasaan gusar. Seingat saya suasana sebegini tidak pernah wujud sekian lama. Kalau adapun dahulu hanya sekadar bising-bising mulut. Kes mahkamah jarang berlaku. Belum pernah ada peringkat berpatah arang.

Beginikah apa yang dinamakan politik kita menuju kedewasaan?. Adakah ini apa yang semua kita mahu?.

Sungguh menyedihkan. Perbahasan di Parlimen sudah jadi seperti keanak-anakan. Banyak perkara yang ditayangkan di tv mengenai perbahasan parlimen lebih bersifat peribadi atau sesuatu yang sewajarnya tidak ditayangkan sebegitu rupa.

Maka sudah tentu kedewasaan berpolitik di negara kita menjadi tandatanya.

Apa khabar negaraku?

22 May 2012

Dahulu Pendakwa, Kini Pembela

Sesuatu yang amat menarik  berlaku di mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini dalam kes Bersih 3.0 dimana Ketua Umum PKR dan Timbalan Presiden parti itu serta seorang lagi dituduh : kehadiran Dato' Mohd Yusof Zainal Abidin, mantan Peguamcara Negara 2 sebagai peguambela tertuduh!.

Adalah suatu perkara biasa bila seseorang bertukar posisi dari pihak pendakwa ke pihak pembela. Ini adalah perkara lumrah dalam dunia mahkamah dan kepeguaman. Saya sendiri melalui 'proses' yang sama. Semasa berkhidmat dengan kerajaan dahulu saya menjalankan pendakwaan untuk kes-kes yang melibatkan perlanggaran undang-undang. Selepas meletakkan jawatan saya pula kadang-kadang bertindak sebagai peguambela dalam kes-kes tertentu. Sebagaimana saya sebutkan tadi, ini adalah perkara biasa dalam sistem keadilan di negara kita.

Namun dalam kes Dato' Yusof ini ia suatu perkara yang berlainan sedikit. Saya katakan berlainan ialah kerana hanya beberapa bulan lalu beliau mengetuai barisan pendakwaan dalam kes yang juga melibatkan Ketua Umum PKR tersebut. Kes berprofil tinggi itu berakhir dengan tiadanya sabitan keatas Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tentulah ramai dikalangan kita telah mengikuti perkembangan kes tersebut dan maklum akan sejarah kes itu.

Bila Dato' Yusof hadir sebagai peguambela tadi, ramai orang melihat ini suatu perkembangan yang sangat menarik. Beliau muncul sebagai 'bintang' dan mendapat sorotan media yang cukup luas. Kehadiran beliau seolah-olah menenggelamkan aura kehadiran Ketua Umum PKR itu sendiri. Itu adalah hak beliau sebagai seorang peguambela. Itu adalah sesuatu yang besar dalam kerjaya beliau sebagai peguam setelah lama berkhidmat dengan Kerajaan.

Saya memang rapat dengan Yusuf sejak kami belajar lagi. Beliau setahun lebih senior dari saya semasa belajar di fakulti undang-undang Universiti Malaya. Saya cukup mengenali beliau malah saya amat menghormati sikap dan pegangan beliau. Walaupun secara luarannya beliau nampak seperti 'kasar' namun hatinya cukup lembut dan baik. Dia mudah membantu. Itulah Yusuf.

Pada masa beliau mengetuai barisan pendakwaan dalam kes yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR itu saya terserempak dengan Yusuf sekali atau dua kali. Kebiasaannya kalau terserempak begitu kami akan bercerita hanya soal kawan-kawan dan profesyen undang-undang. Sikapnya yang periang itu menjadikan suasana sentiasa ceria. Pernah dalam satu konvensyen undang-undang Yusuf menarik tangan saya hanya untuk menunjukkan sesuatu. Kami kemudiannya ketawa berderai. Kalau beliau membaca tulisan ini saya percaya dia juga akan ketawa mengingatkan perkara tersebut.

Sebagai seorang kawan dan berada dalam profesyen yang sama, saya melihat langkah Yusuf hadir sebagai peguambela pagi tadi sebagai sesuatu yang bagus. Sudah tentu ada pihak yang mencela sikapnya hari ini. Komen-komen dalam media sosial pula menunjukkan ada semacam kecurigaan di sesetengah kalangan. Yang skeptikal juga ramai.

Namun bagi saya itu adalah pilihan Yusuf sebagai seorang peguam. Sesungguhnya bukan mudah untuk beliau mengambil keputusan hadir sebagai peguambela dalam kes sebegitu. Kita harus menghormati keputusan dan pendirian beliau. Sekarang sedikit sebanyak beliau dianggap sebagai memihak kepada Ketua Pembangkang itu. Yusuf telah mengambil langkah berdasarkan 'calculated risk'. Beliau maklum apa risiko yang dihadapinya.

Sejak dahulu Yusuf adalah seorang yang pintar dan berani. Dan hari ini Yusuf membuktikan bahawa dia memang berani.

Selamat datang ke dunia baharu sahabatku!.

21 May 2012

Kehilangan Sahabat

Semalam adalah hari sedih buat saya. Pemergian almarhum Zulkifli Ahmad sungguh suatu kehilangan yang terasa. Memang saya tidak langsung menjangka almarhum pergi begitu cepat. Sungguh saya tidak menjangkakannya.

Almarhum sahabat saya itu menghidap kanser. Dia jatuh sakit beberapa bulan setelah saya sendiri diserang slip disc. Dalamasa kira-kira empat bulan beliau bertarung dengan penyakit itu kami selalu berhubung melalui talipon, kali terakhir sekitar tiga minggu lalu. Setiap ada sahabat yang melawatnya saya pasti akan dihubungi. Dan kami akan berbual melalui talipon. Saya mendengar bunyi kepayahan di hujung talian.

Setiap kali almarhum berkunjung menemui perawat perubatan alternatif, dia akan bertanyakan kalau-kalau ada orang boleh mengubati saya. Demikianlah almarhum yang begitu mengambil berat hal kawan-kawan, tanpa peduli dia sendiri sedang sakit. Dia ada menghubungi saya memberitahu dimana ada perawat yang boleh membantu saya.

Begitulah akrabnya kami semenjak belajar dalam tingkatan enam. Hubungan persahabatan puluhan tahun itu memang suatu yang istimewa. Sungguhpun beliau tidak belajar di universiti namun hidupnya berjaya. Beliau bekerja untuk suatu tempoh dengan agensi Kerajaan sebelum berhenti. Beliau berniaga beras dan lain-lain. Stesen Petronas milik beliau di Sungai Petani agak besar. Di situlah biasanya kami berkumpul sebelum pergi makan. Dan setiap kali mahu membayar harga makanan saya terpaksa berebut dengan dia untuk membayar. Itulah sikapnya sejak dahulu, dia akan membayar.

Setiap kali saya pulang sejak dua tahun lalu almarhum akan mengumpulkan kawan-kawan. Tiada banyak yang kami buat kecuali berborak, makan dan minum. Biasanya saya akan diminta memberi 'taklimat' tentang hal politik semasa kerana saya diketahui cenderung berpolitik. Hahaha...

Sayangnya kekangan fizikal masa ini menghalang saya hadir pengkebumian jenazah almarhum sahabat ini. Memang agak sukar berjalan jauh. Saya hanya mampu mengikuti dari jauh. Hamzah Abdul seorang sahabat akrab juga memaklumkan perkembangan suasana pengkebumian itu. Sungguh sedih rasanya kerana khabarnya hanya saya seorang dikalangan rakan karib almarhum yang tidak hadir.

Maafkan aku sahabat. Semoga Allah menerima segala amalmu. Semoga engkau dipelihara. Kami yang tinggal ini akan menurutimu nanti. Sesungguhnya tiada yang kekal melainkan Allah jua.

Alfatihah...

16 May 2012

Candi Lembah Bujang.

Terdapat banyak candi tinggalan zaman Hindu di Lembah Bujang, khususnya di Kampong Bujang, Kampong Pengkalan Bujang, Kampong Sungai Batu, Kampong Pendiat, Kampong Bendang Dalam dan yang terakhir ditemui berdekatan UiTM, juga di dalam Kampong Bujang.

Candi-candi ini telah mulai digali untuk tujuan pemuliharaan sejak puluhan tahun lalu. Semasa zaman remaja saya akan menaiki basikal bersama kawan-kawan ke beberapa kawasan yang ditemui candi mengutip batu untuk digunakan sebagai 'peluru' lastik. Maklumlah masa itu, budak lelaki main lastik dan mandi sungai adalah fenomena biasa. Pakar melastik mempunyai kelas tersendiri dikalangan kami pada masa itu. Jadi 'peluru' kelas pertama adalah datangnya dari batu di kawasan candi dan batu besi yang banyak diperolehi di sekitar Sungai Batu atau Semeling.

Kadang-kadang kami 'mengambil upah' dengan membantu membersihkan kawasan yang ditemui candi. Sambil bertanya pekerja tetap yang terlibat dengan penggalian, mata kami liar mencari kalau-kalau ada emas di situ. Terdapat cerita kononnya emas ada di candi-candi tertentu. Saya pernah pasang angan-angan menemui emas, boleh jadi kaya dan hidup senang. Sambil berangan-angan tangan akan mengutip batu 'peluru' lastik dan dimasukkan ke dalam poket seluar. Emak akan selalu marah bila membasuh seluar yang kotor akibat diisi peluru.

Demikianlah cerita candi puluhan tahun lalu. Kami penduduk sekitar kawasan itu tidak ambil kisah sangat soal candi-candi peninggalan tamaddun Hindu itu. Sesetengah cerdik pandai Islam di Kedah kurang senang dengan pemuliharaan candi-candi berkenaan. Kata mereka sesuatu yang Allah timbuskan ke dalam tanah tidak perlu lagi digali untuk dipamerkan kepada masyarakat. Cukuplah kita mengetahui bahawa suatu ketika dahulu Kedah mempunyai kerajaan dan penduduk yang mengamalkan agama Hindu. Bila Islam datang dan Sultan Muzaffar Shah memeluk Islam (makam baginda serta kaum keluarga terdapat di Kampong Langgar), biarlah tamaddun Hindu di Kedah itu tinggal tenggelam di dalam bumi.

Mungkin pandangan ini secara senyap-senyap dipakai di Kedah sehingga sekarang. Sebab itulah kita dapati candi-candi ini tidak begitu dipromosi sebagai tempat wisata berbanding Langkawi yang diangkat begitu tinggi. Penduduk setempat juga nampaknya tidak bercakap sangat soal candi ini.

Selain candi terdapat beberapa tinggalan sejarah lama sekitar Lembah Bujang yang bagus untuk dikunjungi. Kompleks makam Sultan Muzaffar Syah dan masjid tertua di Kampong Simpang Tiga Pasir memberikan gambaran bagaimana Islam datang ke kawasan kerajaan Kedah Tua itu. Pondok atau Madrasah Addaruin di Kampong Bujang merupakan antara pondok pengajian tertua di Kedah dan menampung ramai pelajar dari seluruh Asia Tenggara. Sehingga kini di sekitar pondok itu (sekarang menjadi surau) anak cucu pelajar atau tenaga pengajar dari rantau Melayu masih tinggal di situ. Mudir terakhir pondok itu juga berasal dari Indonesia sementara seorang dari keluarga almarhum itu berkahwin dengan anak kepada Syeikh Abdul Qadir alMandili, imam mazhab Syafie di Makkah suatu ketika dulu.

Latar belakang sebeginilah memungkinkan candi tidak begitu popular dikalangan penduduk sekitar Lembah Bujang. Penemuan terbaharu yang agak besar itupun tidaklah menjadi bualan hebat penduduk setempat. Mereka lebih suka bercerita mengenai kemalangan jalanraya yang kerap berlaku di situ. Khabarnya kawasan itu 'keras'. Setiap sebulan atau dua bulan sekali bila pulang menemui ayah dan emak  sudah pasti saya memandu agak berhati-hati di kawasan itu hahaha...

Begitulah.

28 April 2012

Seronoknya Memandu

Memang sukar mendapat keseronokan memandu di Kuala Lumpur. Jalan yang sesak denga kenderaan membuatkan keseronokan memandu telah tiada. Kemalangan, banjir kilat, kenderaan rosak atau pembaikan jalan menjadi antara punca itu mengapa Kuala Lumpur amat sesak jalanrayanya.

Sebelum ini saya tinggal berdekatan pusat bandar. Saya cuma perlu memandu selama 15 minit untuk tiba di PWTC. Dari rumah ke pejabat pula mengambil masa sekitar 10 minit. Saya tidak merasai sukarnya kesesakan jalanraya kecuali semasa ada upacara tertentu. Saya juga tidak pernah gusar tiba lewat di pejabat.

Semenjak berpindah rumah tiga tahun lalu keadaan telah berubah. Dari rumah saya di pinggir Kuala Lumpur ke pusat bandar sekarang ini mengambil masa sekitar 45 minit. Jaraknya tidaklah jauh sangat namun kesesakan jalanraya menjadi penyumbang kepada tambahan masa itu. Memandu tidak lagi menyeronokkan malahan menyebabkan tekanan darah tinggi saya naik tidak menentu. Perangai para pemandu yang berbagai itu menjadikan aktiviti memandu menuju pusat bandar adalah sesuatu yang menjemukan!.

Keseronokan memandu di Kuala Lumpur hanya tiba sekiranya ada musim perayaan atau semasa cuti hujung minggu atau cuti umum. Selain daripada masa sebegitu janganlah diharap merasa seronok memandu. Kenderaan berjalan terhenjut-henjut. Jumlah kenderaan yang ratusan ribu di atas jalanraya pada satu-satu masa menyumbang kepada semua ketidakselesaan ini.

Namun semalam berlaku suatu fenomena aneh. Amat ketara tidak banyak kenderaan di atas jalan. Cukup senang memandu. Kereta tidak tersengguk-sengguk. Lancar dan menggembirakan. Menyeronokkan. Jalan nampak lapang. Kenapa ya?.

18 April 2012

Dari Lembah Bujang Ke Lembah Kelang

Ada dua kawasan lembah di negara ini yang mempunyai pengaruh besar terhadap ekonomi dan politik semasa iaitu Lembah Kinta dan Lembah Kelang. Lembah Kinta diterokai untuk bijih timahnya, begitu juga dengan Lembah Kelang. Kedua-dua lembah ini telah mewujudkan Ipoh dan Kuala Lumpur, dua buah bandaraya moden di negara kita.

Lembah Bujang pula terletak di sekitar Sungai Merbok dan persisiran Selat Melaka sehingga ke kaki Gunung Jerai di Kedah. Ia merupakan suatu kawasan lembah yang subur dengan pertanian seperti padi dan getah. Di tengah-tengah lembah ini munculnya bandar Sungai Petani, salah sebuah bandar yang amat pesat berkembang di Malaysia.

Sama seperti Lembah Kinta dan Lembah Kelang, terdapat banyak kilang-kilang besar serta perusahaan kecil dan sederhana di Lembah Bujang. Tarikan penduduk juga cukup hebat. Kalau Lembah Kelang menarik ramai penduduk dari seluruh negara, Lembah Bujang pula menarik ramai penduduk dari utara Perak dan Pulau Pinang serta Kelantan. Ini membuatkan Lembah Bujang yang duhulunya leweh dan tidak bermaya kini menjadi penempatan yang sibuk dan mempesona!.

Saya tinggal di Lembah Kelang sudah agak lama. Namun begitu saya kerap pulang ke Lembah Bujang, tempat saya dilahir dan dibesarkan. Memanglah seronok pulang kampung, apa lagi ibu dan ayah saya masih ada. Pulang ke tempat asal kita memang menyeronokkan bagi manusia yang normal. Melawat kaum keluarga dan berjumpa kawan-kawan lama cukup mengasyikkan, lebih-lebih lagi kalau boleh pergi memancing di kawasan paya bakau di Sungai Merbok. Sesekali ikan siakap menyentap kail, ceritanya lima tahun tidak habis. Begitulah.

Kampung saya sudah moden sekarang. Dahulunya kampung itu agak tertinggal. Dengan terjumpanya banyak candi di kampung itu ia telah menarik ramai pelancung dari dalam dan luar negeri. Dengan terdirinya UiTM, MRSM serta beberapa institusi lain, kampung saya sudah menjadi rebutan. Rumah-rumah laku seperti goreng pisang panas. Semasa datang ke Kuala Lumpur untuk belajar di universiti dahulu saya langsung tidak menjangka kampung saya akan menjadi begitu gah seperti hari ini.

Mujurlah saya selalu balik kampung, selalu bercampur dengan ramai orang. Seandainya saya tidak berbuat begitu sudah tentu tiada siapa yang akan peduli bila saya pulang ke sana. Pengaruh keluarga kami yang besar serta nasihat-nasihat guaman yang sentiasa saya beri bilamana pulang menjadikan kawan-kawan lama tidak menyisihkan saya.

Kemodenan kampung itu menyebabkan ada sesuatu yang hilang. Dahulu padi ditanam pakai tangan. Bila padi masak ia dituai menggunakan sabit. Ada alat kipas angin guna mengasingkan padi dari hampanya. Padi pula diasingkan secara dipukul ke dalam tong, iaitu dibanting. Ada lesung dan lesung hindik guna meleraikan kulit padi menjadi beras. Semua itu telah tiada.

Sekarang padi ditanam menggunakan mesin. Mesin juga digunakan untuk memotong padi. Padi terus dimasukkan ke dalam guni lalu terus dijual. Menguruskan sawah amat mudah sehinggakan hampir-hampir tidak terkena selut. Adik saya, imam di masjid kampung kami turut bersawah tanpa diselaputi selut. Hasil padi juga cukup bagus. Sekarang ini jangan pandang sebelah mata dengan orang yang mengusahakan sawah. Wang tunai yang mereka miliki lebih banyak dari orang yang sering balik menayangkan kereta atau bini baharu!.

Panorama di kampung saya, kecuali estet getah yang kini menjadi estet perumahan, masih seperti dahulu. Gunung Jerai masih belum gondol. Bukit Kelambu, berhadapan dengan UiTM, masih menghijau. Sawah masih luas walaupun sudah ada yang ditambak untuk didirikan rumah. Sungai Merbok masih belum kuat tercemar dengan paya bakaunya agak terpelihara. Ikan, udang, siput, kerang dan ketam masih banyak.

Penduduk kampung juga masih bersatu. Perbedaan politik Pas dan Umno tidak memecahbelahkan penduduk. Hubungan kekeluargaan yang kuat mengatasi segala-galanya. Semangat gotong-royong dan membantu satu sama lain masih seperti dahulu. Bila berada di tengah-tengah masyarakat begini terasa juga kekurangan bagi kita yang tinggal di bandar besar.

Demikianlah.

02 April 2012

Cabaran Terhadap Bahasa Melayu 2

Saya melihat cabaran terhadap Bahasa Melayu sebagai sesuatu yang nyata. Cabaran atau hambatan ini kurang disedari oleh ramai orang kerana sebahagiannya menganggap Bahasa Melayu sudah selamat, sudah diangkat menjadi Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Mereka berfikir apabila sudah diakui sebagai bahasa kebangsaan, maka Bahasa Melayu sudah terjamin kedudukannya.

Anggapan sebeginilah yang pada perkiraan saya turut 'merosakkan' Bahasa Melayu. Peruntukan didalam Perlembagaan atau didalam mana-mana undang-undang bertulis tidak mempunyai apa-apa makna seandainya tidak dikuatkuasakan. Di sekeliling kita terdapat pelbagai akta dan peraturan. Dan di sekeliling kita juga terdapat pelbagai dasar mengenai bermacam perkara. Apakah akta, peraturan atau dasar yang tidak dikuatkuasakan itu membawa apa-apa makna dalam kehidupan harian kita?.

Sudah lama saya mengetahui bahawa bahasa kebangsaan Singapura adalah Bahasa Melayu. Itulah yang disebut didalam Perlembagaan negara itu. Apakah pada hari ini bahasa itu berdiri megah di negara tersebut?.

Apa yang ingin saya tegaskan disini ialah kita mesti memastikan Bahasa Melayu benar-benar dijaga, dipeliharakan dan digunakan, bukan sekedar cakap-cakap politik. Kesungguhan itu mesti dilahirkan disemua peringkat : dari rakyat hingga pemerintah. Kesungguhan itu mesti datang dari atas. Kesungguhan itu mesti didesak dari bawah.

Saya amat kagum dengan seorang warga keturunan Cina di mahkamah baru-baru ini. Sesudah kes yang saya kendalikan selesai, saya terus mengikuti perbicaraan satu kes lain yang melibatkan warganegara berketurunan Cina tersebut. Beliau seorang professional berumur sekitar lima puluhan. Kesemua pihak-pihak didalam kes itu adalah berketurunan Cina namun saksi ini selepas mengangkat sumpah terus memberikan keterangan dalam bahasa kebangsaan negara kita. Apabila diminta atau dibolehkan memberi keterangan dalam bahasa lain, beliau dengan tegas menyatakan yang dia mahu memberi keterangan sepenuhnya dalam bahasa kebangsaan. Air mata saya mengalir tanpa sedar. Dan apabila kes itu ditangguhkan saya menemuinya untuk mengucapkan terima kasih!.

Keadaan ini amat berbeda dengan sesetengah orang yang memilih untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris semasa perbicaraan atau semasa berada dikhalayak. Memang tiada salahnya berbahasa Inggeris. Saya juga berbahasa Inggeris malahan berfikir dalam Bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum 'diterjemahkan' ke dalam Bahasa Melayu. Namun yang menjadi kegusaran saya ialah bertambahnya jumlah individu yang amat bangga berbahasa Inggeris di tempat dan ketika yang tidak kena, tidak perlu.

Sememangnya semua ini bergantung atau kembali kepada sikap individu tanpa mengira siapa dia. Kalaulah lelaki berketurunan Cina tadi boleh dijadikan contoh oleh sebahagian dari pemimpin negara maka sudah tentu pencinta-pencinta Bahasa Melayu di negara kita boleh tidur lena. Kalaulah ramai rakyat kita seperti lelaki Cina tersebut maka tidaklah perlu lagi pejuang-pejuang bahasa terus menyinsing lengan.

Sikap melihat sesuatu dari sudut komersial juga memberi ancaman besar kepada kelangsungan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Apakah Bahasa Melayu tidak bernilai komersial?. Adakah Bahasa Melayu terlalu kampung sifatnya sehinggakan tidak layak berfungsi sebagai bahasa yang boleh memandaikan penggunanya?.

Setelah lebih separuh abad bendera Union Jack diturunkan masih ada lagi rakyat negara ini meragui kemampuan bahasa ibundanya sendiri!.

29 March 2012

Cabaran Terhadap Bahasa Melayu

Bahasa Melayu adalah bahasa utama di rantau Asia Tenggara dan dipertuturkan oleh lebih dari 300 juta orang. Walaupun dipanggil dengan nama-nama yang berlainan di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura namun Bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan harian dan berfungsi sebagai 'lingua franca' di rantau ini. Begitulah pentingnya kedudukan bahasa berkenaan.

Sejak sekian lama Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghubung yang berkesan. Struktur bahasanya yang mudah telah membolehkan Bahasa Melayu senang dipelajari. Bahasa itu pernah suatu ketika dulu menjadi bahasa penghubung di pelabuhan-pelabuhan besar bukan sahaja di Asia Tenggara malahan di banyak tempat lain. Inilah unik dan istimewanya Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu digunakan sejak sekian lama sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Oleh itu jika bahasa itu tidak mampu memandaikan penggunanya, mana mungkin kita di sebelah sini mencapai tamaddun yang agak tinggi suatu masa lalu. Yang pasti ialah Bahasa Melayu tidak pernah menghalang budaya ilmu berkembang pesat di Asia Tenggara lama sebelum Melaka dilanggar Portugis pada tahun 1511.

Hanya di akhir-akhir ini baharulah Bahasa Melayu dikatakan tidak 'standard' untuk berfungsi sebagai bahasa ilmu. Kononnya Bahasa Melayu tidak membolehkan ilmu diteroka dengan lebih mendalam. Oleh itu pelajaran teknikal seperti sains dan matematik mesti diajar dalam Bahasa Inggeris bagi membolehkan anak bangsa cepat pandai dan mampu menguasai ilmu dunia. Itu cerita di Malaysia.

Cerita di Indonesia pula berbeda. Setiap pertuturan atau dalam koran (akhbar) di negara itu akan diselitkan Bahasa Inggeris. Para 'intelek' negara itu pula akan seberapa daya memakai perkataan Inggeris dalam pertuturan mereka walaupun janggal dan melucukan. Teman-teman dari negara tersebut semasa belajar di peringkat sarjana bersama saya dahulu mempunyai justifikasi sendiri kenapa mereka gemar menyelitkan Bahasa Inggeris dalam bualan dan tulisan mereka. Konon katanya itu adalah cara terbaik bagi mereka untuk  belajar Bahasa Inggeris!.

Saya bukan anti Bahasa Inggeris. Saya sendiri belajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris untuk ijazah pertama dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya dan sarjana undang-undang perbandingan di Universiti Islam Antarabangsa. Tugas saya sebagai seorang peguam sepenuh masa sememangnya memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris dengan baik. Namun ini bukanlah alasan bagi saya untuk tidak melihat dengan gusar 'layanan' dan cabaran terhadap Bahasa Melayu sekarang.

Cabaran utama terhadap martabat dan kelangsungan Bahasa Melayu datangnya dari pengguna bahasa itu sendiri, khususnya dari mereka yang lahir dan membesar sebagai orang Melayu atau suku kaum asal dunia Melayu. Lebih malang ialah cabaran ini datangnya dari cerdik pandai dan pemimpin  yang bertaraf nasional. Sensitiviti mengenai betapa Bahasa Melayu sewajarnya dipertuturkan dan bukannya Bahasa Inggeris (yang kadang-kadang secara tidak betul nahunya) seperti tidak dipedulikan oleh mereka.

Sebagai contoh sekiranya seorang pemimpin negara diwawancara oleh stesen tv tempatan, apa salahnya bercakap dalam Bahasa Melayu. Mulia sangatkah Bahasa Inggeris sehinggakan perlu wawancara itu dijawab dalam Bahasa Inggeris?. Saya pernah memberitahu sahabat rapat saya agar menasihati bapa saudaranya, seorang pemimpin nasional, agar memberhentikan tabiat suka sangat bercakap Bahasa Inggeris dalam tv. Alhamdulillah selepas itu pemimpin berkenaan sudah mulai berubah!.

Penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu ada tempat masing-masing. Di tempat yang terbuka, dalam majlis resmi, dalam media tv atau radio, bercakaplah dalam Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia). Lekeh sangatkah bahasa itu berbanding bahasa asing tersebut?.

Atau malukah kita bertutur dalam Bahasa Melayu sedangkan ia mudah difahami oleh rakyat dan pendatang asing?.

Malukah?.

28 March 2012

Catatan Malam

Memang saya mendiamkan diri sejak beberapa minggu ini. Tiada garapan saya muatkan ke blog ini karena saya menumpukan lebih masa kepada memulihkan badan dan saraf saya yang bermasalah sejak beberapa bulan lalu. Saya kosongkan minda untuk membolehkan kekuatan dalaman menyokong pemulihan dengan lebih cepat.

Hanya empat hari lalu baharulah saya merasa badan agak ringan dan mudah bergerak ke sana sini. Hati juga melonjak gembira. Jamu yang dibekalkan kepada saya terasa berkesan menurunkan tahap kesakitan yang saya alami selama ini. Dan tadi teman-teman rapat saya seperti sdr Mohd Sayuti Omar, Din Deraman dan lain-lain datang berkunjung ke rumah. Sesudah menghirup kuah mee lazat yang isteri saya sediakan, kami pergi menjamu selera di restoran steam boat pula. Sayuti yang masih terhencot-hencot diserang gout masih mampu memakan daging dan udang dengan banyak. Mungkin dia amat gembira melihat saya sudah semakin bertenaga.

Begitulah adat berkawan. Susah senang ada yang boleh ditanggung bersama. Semasa anak saya diserang kanser dahulu, Sayuti dan keluarganyalah yang banyak membantu. Sebab itu kalau dia diserang acara bulanan iaitu gout, sayalah diantara orang yang akan segera mengangkutnya ke klinik untuk rawatan. Hanya serangan yang terkini saya tidak dapat membantu dia sebab saya juga bermasalah.

Sifat bantu membantu begini patut terus menjadi amalan di dalam masyarakat kita. Membantu tidak merugikan sesiapa. Membantu malah mengeratkan silaturrahim diantara sesama kita. Bantu membantu mewujudkan suasana harmoni di dalam masyarakat.

Sebab itulah coretan saya malam ini saya harapkan dapat membantu keharmonian masyarakat. Sifat nafsu nafsi atau 'selfish' sudah semakin tidak disanjung lagi. Masyarakat di Malaysia mulai mengambil kehidupan bersama sebagai sesuatu yang wajib diamalkan. Garis pemisah antara kaum juga semakin menipis. Kita sering membantu tanpa mengira bangsa, agama, pangkat atau pegangan politik. Lihat saja bila berlakunya sesuatu malapetaka setiap lapisan masyarakat memberikan sumbangan. Rakyat di negara kita sudah betul-betul mulai keluar dari kepompong yang sempit!.

Jika kecenderungan ini berterusan saya yakin negara ini akan bertambah makmur jika kita tidak sombong, tidak angkuh. Sesungguhnya kesombongan dan keangkuhan adalah pembunuh terbesar ummat manusia.

24 March 2012

Masanya Telah Tiba

Setiap orang melalui berbagai peringkat dan cabaran hidup. Umur yang meningkat turut menjadikan kita lebih dewasa, lebih menghargai masa dan kebebasan diri. Kebebasan dan keselesaan mengurus masa sendiri menjadikan sesorang lebih mesra alam. Lebih menghargai nikmat hidup yang dinikmati.

Begitulah juga dengan apa yang saya sendiri lalui selama ini. Sebagai aktivis pelajar dari zaman sekolah hingga ke peringkat universiti menjadikan saya agak sibuk. Sesudah zaman universiti saya menjadi lebih sibuk bilamana terlibat sebagai aktivis NGO disamping bertugas dalam kerjaya professional. Masa saya banyak dihabiskan dengan segala kegiatan persatuan, politik dan kerja masyarakat untuk tempoh masa yang agak lama. Sebahagian masa yang lain pula dihabiskan dalam melaksanakan tugas professional saya yang agak mencabar itu.

Sekarang, sesudah sukar bergerak baru-baru ini akibat masalah kepada saraf, saya menilai semula gaya hidup selama ini. Hidup yang sentiasa sibuk telah meninggalkan saya jauh dari keluarga terdekat. Kesibukan juga menjadikan saya terpaksa melupakan kegemaran seperti menulis dan memancing. Setiap kali pulang kampong ada saja kawan yang mengajak turun sungai memancing siakap atau semilang. Hutan paya bakau di Sungai Merbok itu pernah menjadi tempat saya dan kawan-kawan memasang pukat, merawai, menangkul ketam, mengorek umpun-umpun dan siput serta memancing. Segala alur sungai kami jelajahi.

Akibat kesibukan, kawan-kawan sudah tidak galak lagi mengajak. Mereka juga turut menggeleng kepala melihat saya terkejar-kejar kesana kemari. Tidak sanggup mereka lalui kehidupan seperti saya. Yusuf Lenggok, kawan saya sejak kecil lebih rela meneruskan kehidupannya sebagai nelayan. Dia lebih sanggup turun ke laut awal pagi dan balik hampir senja berbanding saya yang berkejar ke utara, selatan, timur dan barat. Sesekali mengunjungi Yusuf di kampung nelayan, Tanjong Dawai memang rasa lebih damai dan tenang.

Itulah sebabnya saya fikir sudah tiba masanya saya melayan diri sendiri. Sudah tiba masanya saya melakukan apa yang sebenarnya menjadi kegemaran dalam hidup saya. Masa untuk beribadat secara khusus juga mesti ditingkatkan. Ruang untuk melawat kaum keluarga juga wajar saya ambil sebelum ibu-ibu saudara atau sepupu-sepupu saya meninggal dunia. Ruang inilah juga berfaedah untuk saya merawat keletihan setelah puluhan tahun bekerja.

Anak-anak saya juga sudah membesar kecuali anak bongsu isteri saya yang masih belajar di sekolah rendah. Oleh sebab itu tugas menukar lampin bayi sudah lama tidak saya lakukan malahan saya tidak berhasrat melakukannya di usia begini. Apa yang perlu saya lakukan sekarang untuk keluarga ialah sebagai 'penyelia' yang memantau anak-anak agar tidak jauh tersasar.

Sudah tiba masanya juga saya meninggalkan khazanah untuk kegunaan generasi akan datang. Pengalaman dan pengetahuan dibidang professional yang saya lalui lebih dua puluh tahun perlu disampaikan kepada masyarakat. Saya masih berhutang dengan negara iaitu masih gagal menulis buku undang-undang walaupun telah ada dua penerbit terkenal berkunjung ke firma saya meminta saya menulis buku. Seorang kenalan baik saya mungkin telah merajuk kerana sampai hari ini saya masih gagal menyediakan manuskrip untuk diterbitkan oleh syarikat penerbitan miliknya yang besar dan terkenal itu.

Saya berdoa agar saya sempat melakukan semua itu sebelum Allah menjemput saya kembali. Dari segi umur dan keturunan, saya masih ada masa yang agak selesa berdasarkan umur ayah dan ibu saya. Ayah sudah berumur lebih 85 tahun dan ibu hampir 80 tahun. Walaupun mereka sesekali dihinggapi sakit tua namun kesihatan mereka masih dikira bagus. Kalau Allah izinkan saya mengikuti umur ayah dan ibu rasanya sempat untuk saya menambah stok kebajikan guna dibawa sebagai bekalan nanti.

Kita hanya merancang!.

27 February 2012

Senyum Pagi.

Beberapa hari saya tidak mengemaskini tulisan dalam blog saya disebabkan oleh hal tertentu. Terasa ada yang tidak kena. Terasa seperti kehilangan sesuatu bila tidak menulis. Memang menulis sudah menguasai minda saya sejak sekian lama.

Bila ada rakan bertanya kenapa tidak 'update' blog, saya hanya tersenyum. Tiada jawapan boleh diberikan kepada soalan sebegitu. Kalaupun saya menjawabnya tentu rakan itu akan menolak jawapan berkenaan. Jadi adalah lebih baik tersenyum dari melibatkan diri dalam soal jawab yang berjela-jela.

Senyum memang baik. Senyum menggambarkan ketenangan. Senyum menunjukkan yang si pemberi senyum baik hatinya. Senyum di awal pagi tentu lebih baik. Ia menceriakan suasana. Hati jadi lega. Senyum ikhlas akan membuahkan pulangan yang ikhlas.

Senyum bukan boleh dibuat-buat. Senyum mestilah secara sepontan. Senyum juga tidak boleh dituntut. Ia mesti lahir secara sukarela. Senyum yang dituntut, dipaksa atau dibuat-buat akan tiada auranya. Ia jadi senyum pahit, senyum tawar atau senyum kambing.

Senyum juga tidak boleh dikulum. Ia mesti dilahirkan dengan bebas. Senyum yang dikulum menunjukkan adanya sesuatu yang terpendam atau terkilan. Senyum jenis ini agak bahaya. Senyum begini juga tidak manis, tidak menceriakan suasana. Jadi kalau hendak senyum, janganlah diamalkan senyum sebegini.

Tentu kita merasa senang melihat senyum yang manis, senyum yang menawan. Senyum tidak perlu pakai wang. Senyum tidak memerlukan kudrat yang banyak untuk melakukannya. Maka senyumlah.

14 February 2012

Berbuat Baiklah Semasa Hidup...

Bukan sesuatu yang sukar untuk berbuat baik semasa hidup. Ianya tidak perlu dirancang rapi. Juga tidak perlu berbelanja besar atau mengambil masa yang banyak. Sebab itu kalau kita ingin berbuat baik, maka lakukanlah. Tiada siapa akan melarang kita berbuat baik kecuali orang gila atau orang baru kalah judi.

Kalau kita boleh membantu maka bantulah siapa sahaja. Kita boleh membantu dalam berbagai bentuk dan keadaan tanpa sekatan. Kita juga tidak perlu mengheboh-hebohkan bantuan yang kita hulurkan itu. Membantu dengan ikhlas tentulah lebih tinggi kesannya. Membantu untuk mendapat sokongan atau atas kepentingan politik tidak akan kemana.

Berbuat baik semasa hidup bukan sekedar memberi kebaikan kepada orang yang kita bantu tetapi kita juga mendapat faedahnya. Orang yang kita bantu terasa ringan beban dan tanggungannya. Kita pula rasa lega dan gembira kerana dapat membantu. Hidup ini saling berkait. Bantu membantu adalah tuntutan perasaan kemanusiaan dan agama. Yang dibantu dan yang membantu saling memerlukan diantara satu sama lain.

Sebagai contohnya jika anda melihat satu kemalangan anda tentu menyesal kalau tidak membantu. Untuk suatu tempoh anda akan rasa terkilan kerana tanpa bantuan anda orang itu mati. Anda sentiasa berfikir bahawa sekiranya anda membantu nyawa orang itu mungkin selamat. Hanya orang yang keras hatinya atau selfish sahaja yang tidak peduli dengan apa yang berlaku.

Tiada ruginya kalau kita berbuat baik semasa hidup. Ianya menjadi bakti kita semasa di dunia dan menjadi kebajikan sesudah mati. Hidup kita senang walaupun tidak cukup kaya. Kita punyai kenalan dan kawan yang ramai. Urusan kita menjadi mudah. Allah akan menghantar manusia lain saban waktu untuk menjadi penolong kepada kita. Oleh itu jangan berkira untuk berbuat baik. Jangan harapkan balasan atau keuntungan atas apa jua bakti atau bantuan yang kita hulurkan.

Apa yang saya paparkan disini adalah berdasarkan beberapa pengalaman peribadi. Yang nyatanya ialah jika kita menolong kita akan ditolong. Jika kita membantu kita akan dibantu pula oleh orang lain.

Tiada ruginya melakukan kebaikan!.

13 February 2012

Mengurus Hidup

Ada pelbagai cara orang mengurus hidupnya. Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri berdasarkan keadaan, pengalaman dan kemampuan masing-masing. Mengurus hidup ada kalanya mudah, ada kalanya sukar.

Dalam menjalani hidup sehari-hari tentulah banyak perkara yang mesti dilakukan. Masa dan pendapatan mempunyai pengaruh yang penting dalam mengurus hidup. Tidak semua orang berjaya mengurus hidupnya dengan baik. Tidak ramai yang mampu berhadapan dengan cabaran dalam hidup. Tidak sedikit pula orang yang merasa kecewa dengan apa yang dialami dalam hidupnya.

Sekali pandang kita akan fikir apalah susahnya mengurus hidup. Bangun pagi gosok gigi, mandi, sarapan dan keluar rumah mencari rezki. Bila tiba petang pulang saja ke rumah, mandi, makan kemudian tidur bila malam. Ada masa boleh bergebang dengan kawan-kawan. Ada lebih masa boleh pergi jalan-jalan.

Hidup bukan semudah itu. Hidup mesti diurus supaya banyak perkara boleh dilakukan untuk faedah diri dan masyarakat. Hidup bukan sekedar makan, minum, bekerja dan berkelamin. Hidup mempunyai skop yang lebih luas. Biarlah kehadiran kita didalam masyarakat dirasai. Biarlah kita ditangisi bila Allah menjemput kita pergi.

Mengurus hidup bermakna menjalani kehidupan yang baik dan berguna kepada masyarakat. Tidak benar kalau seseorang mengatakan yang dia tiada masa untuk mengurus hidupnya. Tidak benar jika seseorang berkata yang dia tidak cukup masa untuk membantu masyarakat.

Setiap orang hanya mempunyai 24 jam untuk mengurus hidupnya dan keluarga dalam sehari. Dalam tempoh itulah dia mesti lakukan apa yang sepatutnya dia lakukan. Dia tidak perlu terkejar-kejar kalau dia menguruskan masanya dengan baik. Menguruskan masa dengan baik bermakna menguruskan kehidupan dengan baik. Bagaimana caranya menguruskan kehidupan dengan lebih baik terpulang kepada individu itu sendiri. Dia boleh mengambil contoh dari orang yang berjaya dalam hidup sebagai panduan mengurus hidupnya.

Kadang-kadang kita bertanya macam mana orang yang latarbelakang hidupnya hampir sama boleh berbeda pencapaian atau kejayaan lahiriahnya. Sebagai contoh ialah masyarakat peneroka Felda. Mereka sama-sama memasuki rancangan Felda sebagai rakyat miskin tidak bertanah. Masing-masing diberikan 10 ekar tanah ladang dan suku ekar tanah tapak rumah bersekali dengan rumah diatasnya. Ladang yang 10 ekar itu siap ditanami getah atau kelapa sawit dari benih yang sama. Kerja individu peneroka ialah menguruskan ladang itu iaitu meracun, membaja dan lain-lainnya.

Saya perhatikan ada peneroka yang boleh membuat rumah cantik dan besar, boleh membeli kereta, membeli tanah dan berniaga. Ada peneroka pula rumahnya masih sama seperti akhir tahun 70an atau awal 80an, tanpa ada perubahan malah kadang-kadang tangga sudah hancur tidak berganti. Semua ini berpunca dari cara masing-masing mengurus hidup.

Peneroka yang berjaya itu mengurus masa dan hidupnya dengan baik. Dia kunjungi rumah Allah sekerapnya. Dia membantu masyarakat. Dia berfikir dan berusaha mengubah hidupnya. Anak-anak dihantar belajar hingga universiti. Peneroka yang kurang berjaya itu pula masih seperti dulu : malas bangun pagi, tidak peduli hal masyarakat, boros dan berjudi!.

Kadang-kadang orang yang sama-sama keluar universiti juga sangat jauh berbeda pencapaiannya dengan rakannya yang juga keluar universiti. Memang benar semua perkara bergantung kepada nasib. Namun setahu saya mana ada orang yang malas berjaya dalam hidupnya. Mana ada orang yang tidak mengurus hidupnya boleh menjadi kaya kecuali seperti dalam filem Ali Baba arahan P. Ramlee.

11 February 2012

Mewarnai Hidup Sehari-hari.

Ramai orang melalui kehidupan serba senang. Tidak banyak cabaran yang dihadapinya. Tiada karenah besar yang membantut atau mengganggu kehidupan hariannya. Tiada masalah yang membelenggu. Tiada halangan apa saja.

Mereka ini menjalani kehidupan hanya sekadar lumrah, sekadar apa yang dilalui orang terdahulu. Bangun pagi pergi mencari rezki kemudian pulang untuk tidur untuk bangun esoknya kembali mencari rezki. Mereka gemar yang senang, yang mudah. Mereka suka makan, minum dan berkelamin. Itu sahaja yang ada dalam diari kehidupan harian mereka.

Orang yang seperti ini tidak peduli dengan apa yang berlaku disekeliling. Asal saja dia atau keluarganya boleh makan, itu dikira sudah cukup. Asal saja tidurnya tidak diganggu, dia tidak peduli apa jua yang berlaku. Ramai orang begini. Mereka wujud dalam mana-mana masyarakat jua, Islam atau bukan Islam.

Orang sebegini disebut 'selfish' atau mementingkan diri sendiri. Mereka dianggap baik kerana tidak peduli hal orang lain. Mereka dianggap baik kerana tidak banyak cakap. Mereka dianggap baik kerana hanya berkawan dengan anak bini sendiri.

Jika dilihat dari sudut pandangan lain, sifat orang sebegini tidak harus diamalkan. Kita sepatutnya berada di tengah-tengah masyarakat membantu seadanya. Mementingkqn diri sendiri dan membelakangkan urusan masyarakat bukanlah satu sikap yang baik. Suka atau tidak, kita adalah sebahagian dari masyarakat. Kita kena turut aktif dalam kerja-kerja masyarakat. Itulah yang sewajarnya diamalkan oleh setiap anggota masyarakat.

Percayalah bahawa jika berlaku bencana besar orang yang 'selfish' inilah yang akan banyak karenahnya. Dia menjadi terlalu bergantung kepada orang lain. Dia sukar menghadapi keadaan yang menekan. Orang beginilah juga yang cepat mati bila berlaku perang.

Orang yang berjuang, yang hidup bersama masyarakat tidak mudah mati!.

10 February 2012

Kenapa Terjadi Kembali?

Mengharungi kehidupan yang terbatas bukanlah suatu pilihan. Tentulah tiada siapa yang waras dapat menerima keadaan ini dengan gembira dan selesa. Mana mungkin seorang yang hidupnya aktif selama ini terpaksa mengehadkan pergerakannya. Ini bukan sesuatu yang dipinta. Ini juga bukan suatu yang diduga. Ianya berlaku secara yang langsung tidak dijangka.

Begitulah yang terjadi kepada saya. Seperti yang saya catatkan semalam, keadaan ini memberi saya ruang muhasabah diri dan mencari titik-titik nostalgia yang boleh membantu saya menghadapi keadaan sekarang. Walaupun disatu peringkat masalah slip disc ini nyata berkurang, entah macam mana parahnya kembali menguasai pergerakan saya. Adakah tulang belakang ini tergelincir kembali sesudah dibetulkan sebelum ini?. Adakah saya ini terlalu ganas bergerak atau melakukan sesuatu sehingga menyebabkan sakitnya berulang kembali?.

Apa yang pasti ialah tumit terasa sakit semasa bangun pagi. Kaki kebas. Lutut dan pelipatannya amat sakit. Lenguh-lenguh dibahagian pinggang yang amat sangat. Semua tanda-tanda ini saya rasai sekarang. Ianya sama seperti yang saya alami semasa mula dihinggap musibah ini beberapa bulan lalu.

Saya tahu bahawa semua ini akan dapat saya atasi melalui fisio atau urutan oleh mereka yang mahir. Saya sudah punyai senarai nama-nama mereka yang mahir dibidang pengubatan ini dibeberapa buah negeri. Bila tiba masanya saya akan kongsikan maklumat berkaitan agar rakan-rakan sekelian dapat memunafaatkannya. Yang pasti ialah setakad ini memang terdapat pelbagai disiplin, moden dan alternatif, dalam pengubatan berkaitan slip disc.

Yang juga pasti ialah jaga tulang belakang anda. Sekali ianya bermasalah, segala penyakit mungkin datang melawat anda. Jangan fikir kita kuat sebab Allah maha kuat!.

09 February 2012

Minat Yang Tercalar

Saya terpaksa mengabaikan minat  menulis sejak beberapa minggu lalu walaupun amat teringin berkomunikasi dan meluahkan pandangan saya melalui blog ini. Alhamdulillah nampaknya saya boleh menulis semula dan akan aktif kembali dalam masa terdekat.

Untuk sementara waktu ini kegemaran menulis yang saya ada seolah-olah tercalar akibat keadaan kesihatan. Saya berusaha mengatasi kekangan ini secepat mungkin. Saya betul-betul berusaha memulihkan tahap kesihatan saya agar mampu cergas seperti sebelum ini. Rupa-rupanya slip disc mesti diubati secara berterusan dan penuh sabar.

Nampaknya untuk masa beberapa bulan akan datang saya terpaksa akur kepada fakta bahawa saya mesti berhati-hati berjalan, bersenam, duduk dan apa saja. Set golf saya tentunya berehat panjang. Kenderaan 4x4 yang sering saya gunakan untuk kegiatan lasak selama ini juga akan 'bercuti' untuk satu tempoh yang panjang. Pelajar-pelajar seni Chi Kung yang bersama saya bersenaman dihujung minggu sejak sekian lama juga terpaksa menunggu saya benar-benar pulih.

Demikianlah apa yang berlaku. Sungguhpun saya agak mengambil berat soal kesihatan sejak lama dahulu, tetapi bila sesuatu itu akan terjadi maka ia akan terjadi. Benar, kita hanya merancang dan berusaha, selebihnya adalah ketentuan tuhan.

Saya akan mengambil peluang mengisi 'masa kecederaan' ini dengan memantau perjalanan firma saya walaupun terpaksa mengehadkan pergerakan. Sesekali saya akan ke Pahang menikmati masakan ikan patin sambil berbual dengan kawan-kawan lama. Sudah tentu saya akan menziarahi ibu dan ayah saya. Ahhh...sesekali bercanda dengan teman-teman tentu bagus juga.

Saya masih mampu berjalan, berbanding orang yang lumpuh akibat stroke atau putus kaki akibat kemalangan. Dalam keadaan inipun saya masih terasa suatu kekurangan, suatu perasaan yang hanya dialami oleh orang seperti saya. Kalaulah saya langsung tersadai dikatil atau dikerusi roda sudah pasti gelodak jiwa saya menjadi lebih parah. Tentu tekanan perasaan saya semakin menjadi-jadi.

Inilah perjalanan sebuah kehidupan...

24 January 2012

Biji Cempedak Dan Ubi Kayu

Kebiasaannya Tahun Baru Cina akan diiringi dengan hujan untuk tempoh yang lama. Dan pada kali ini keadaan itu juga berlaku kerana sejak dua hari lepas hujan turun mencurah-curah. Hujan juga turun tidak kira waktu malahan tiga atau empat kali sehari.

Saya tidak tahu kenapa fenomena hujan sebegini dikaitkan dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Apa yang pasti ialah seingat saya perkara begitulah yang berlaku saban tahun. Seingat saya juga belum pernah ada musim perayaan itu tanpa diiringi oleh hujan. Maka hujan dan perayaan Tahun Baru Cina sudah sinonim, sudah tidak terpisahkan lagi.

Bagi saya musim hujan sebegini mengingatkan saya kepada kenangan semasa membesar di kampung dulu. Lahir dari keluarga sederhana mendedahkan saya kepada peri kehidupan masyarakat petani dan pekerja yang bergantung kepada cuaca dalam mencari rezki. Sungguhpun ayah dan ibu saya terlibat berniaga namun keadaan semasa itu adalah jauh berbeda dari sekarang. Untung rugi perniagaan bergantung besar kepada pola pendapatan rakyat marhaen. Kalau hari kerap hujan bermakna kuranglah pendapatan dan perniagaan ibubapa saya akan turut terjejas.

Jadi apakah yang dibuat kalau musim hujan begitu?. Seingat saya tiada banyak perkara dibuat kecuali ibu-ibu mencari kutu dikepala, menampi bubuk dari beras atau menganyam tikar mengkuang. Bapa-bapa pula membetulkan atau mengganti bumbung atap nipah agar hujan tidak mengganggu tidur anak-anak. Sesekali kedengaran bunyi gelegak dari dapur menandakan ubi kayu, keledek, ubi kemili, pisang, jagung, kacang tanah atau sekoi direbus.

Kenangan memakan makanan begini masih menjadi nostalgia indah buat saya. Ubi kayu dimakan dengan kelapa parut (nyoq kukoq) atau ikan kering cukup enak. Sesekali kalau ada madu lebah atau misan nipah lagi terangkat sedapnya. Ubi kemili yang digaul kelapa tidak juga kurang enaknya. Masa itu tiada KFC atau pizza. Yang ada hanyalah makanan-makanan rakyat tadi dihampir setiap rumah.

Sesekali pula akan ada rebusan biji cempedak atau biji nangka. Sungguh gebu dan sedap memakan biji-biji tersebut. Memang enaknya akan lebih terasa bila diminum bersama kopi o pekat. Biarlah hujan renyai berapa lama sekalipun asalkan ada makanan-makanan sebegitu. Sungguh menyelerakan.

Keadaan kini sudah berubah. Di musim hujan anak-anak bermain komputer atau game di handphone. Biskut atau roti pelbagai jenis ada tersedia. Milo, teh, kopi dan segala macam boleh diminum. Mee maggi atau nasi himpit sedia untuk direbus. Ertinya soal makanan sudah tiada masalah. Yang jadi masalahnya ialah anak-anak sudah tidak lagi gemar makanan rakyat. Anak-anak sudah diamerikakan. Ubi kayu dan segala macam selera Nusantara sudah tersisih. Sungguh sayang sekali.

Saya terfikir apakah caranya untuk menarik anak-anak agar menggemari makanan-makanan rakyat tadi. Di rumah saya alhamdulillah anak masih gemar ubi kayu, keledek dan ubi kemili. Hanya biji cempedak atau biji nangka masih agak asing bagi mereka. Ada baiknya jika generasi baru rakyat di negara kita dipupuk minat mereka untuk menggemari makanan-makanan rakyat tersebut. Dulu ada kempen meminum air kelapa muda. Kempen itu amat berjaya sehinggakan sekarang ini kita terpaksa mengimpot kelapa muda dari luar. Rasanya kempen sebegitu patut dibuat untuk memartabadkan makanan-makanan rakyat yang saya nyatakan disini.

Yang paling penting rakyat jangan lupa bahawa kita ada makanan yang enak dan bagus. Jangan tunggu sehingga makanan-makanan itu diamerikakan!.

21 January 2012

Menyantuni Masa

Masa memang berharga. Masa yang berlalu tidak akan kembali. Sungguhpun esok masih ada namun masa sudah berputar meninggalkan kita. Masa tidak pernah menunggu kita. Masa tidak pernah hormat kepada siapa sahaja. Masa akan berputar, berputar dan terus berputar tanpa henti.

Pernahkah kita mendengar dalam sejarah bahawa ada ketikanya masa akan berhenti sesaat dua demi menunggu seseorang?. Pernahkah kita dengar masa diputarkan ke belakang untuk memperlahankan perjalanan harian tokoh tertentu?. Pernahkah kita melihat masa ditahan putarannya oleh pihak berkuasa?

Kerana itu kita harus cemburu dengan masa. Kita mesti mengejar masa kerana masa tidak menunggu kita. Masa sentiasa berada dihadapan kita. Oleh itu mana mungkin seseorang mendahului masa. Mana mungkin manusia berada dihadapan dari masa. Mana mungkin manusia menipu masa. Manusia hanya mampu mengikut masa. Manusia hanya mampu menyantuni masa. Manusia hanya boleh berbaik-baik dengan masa.

Maka benarlah firman Allah bahawa demi masa, manusia itu sentiasa rugi kecuali mereka yang mengajak kepada kebenaran dan mengajak kepada sabar. Ertinya kita kena bersabar menurut putaran masa. Kita tidak boleh keluar dari lingkungan masa yang Allah jadikan sejak azali. Manusia dan seluruh alam ini dijadikan dalam rantaian masa yang Allah tetapkan sejak lama. Bila tiba masanya manusia akan mati. Alam akan hancur sesudah ditiup sangkakala. Kiamat yang dijanjikan akan tiba jua mengikut masanya.

Bila mengingati semua ini maka apakah kita masih perlu mendabik dada dan hidup seperti dewa-dewa didunia?. Masa yang Allah berikan memang cukup untuk kita bagi menjalani kehidupan dan menyediakan bekalan untuk mati. Memang kita perlu mengejar masa walaupun masa tidak menunggu kita. Namun semasa mengejar masa jangan kita melanggar segala susila dan peraturan. Jangan kita tolak atau pijak orang lain. Jangan kita bertuhankan kepentingan diri semata-mata kerana mengejar masa.

Bagi saya menyantuni masa bermakna kita menghayati sepenuhnya apa yang ada pada kita sambil bersyukur atas segala nikmat. Menyantuni masa membuat kita lebih peka dengan keadaan sekeliling. Mari kita menjadi manusia sebagaimana selayaknya!.

17 January 2012

Langit Terbuka, Fikiran Tertutup?

Ledakan teknologi siber telah membawa revolusi kepada komunikasi dunia. Dan revolusi ini menjadikan langit terlalu terbuka malah sukar untuk disekat lagi. Dunia siber telah menginjakkan kakinya dihampir seluruh pelusuk dunia tanpa dibatasi oleh sempadan pegangan politik.

Segala apa yang berlaku dimana-mana tempat amat cepat sampai ke pengetahuan masyarakat dunia. Kita seolah-olah dihidangkan dengan adegan siaran langsung. Perang atau bencana cepat diketahui. Dan kerana ini bukan mudah menyembunyikan berita apa jua dari pengetahuan orang lain. Sesungguhnya fenomena langit terbuka ini memberi banyak faedah kepada penduduk dunia.

Sayangnya langit terbuka banyak juga membawa kesan negatif kepada masyarakat. Unsur-unsur perlakuan jenayah dan seks melampau telah turut berkembang dengan rancaknya. Betapa mudahnya melanggan filem bertaraf 'over' hanya dengan sekali klik tidak dapat dinafikan lagi. Begitulah ledakan teknologi siber 'dimunafaatkan' oleh kelompok masyarakat tertentu untuk tujuan tertentu.

Ledakan teknologi itu sepatutnya membawa masyarakat dunia semakin terbuka pemikirannya. Maklumat tentang pelbagai agama, budaya dan fahaman politik amat mudah didapati melalui carian internet dan saluran tv. Buku-buku atau bahan bertulis lain juga amat mudah diperolehi. Semua ini sepatutnya membantu masyarakat dunia memahami satu sama lain dengan lebih baik.

Sayangnya trend kebelakangan ini menunjukkan seolah-olah manusia menjadi semakin rigid dan tidak terbuka pemikirannya. Emosi dan sikap prejudis nyata masih menguasai sebahagian dari anggota masyarakat. Lihatlah kepada sikap masyarakat Barat yang prejudis dan menganggap orang Islam sebagai pengganas. Lihatlah juga kepada pandangan masyarakat itu yang masih menganggap orang lain sebagai masih terkebelakang dan kurang bertamaddun berbanding masyarakat mereka.

Nasionalisme sempit dan semangat perkauman masih menjadi pegangan sebahagian dari anggota masyarakat!.

Benarlah teknologi tidak dapat mengubah sifat manusia. Langit terbuka bukan bermakna fikiran dan sikap turut menjadi terbuka. Teknologi hanya memudahkan manusia, bukannya menukar sifat manusiawi menjadi lebih baik. Sebab itu juga diturunkan agama sebagai pedoman agar manusia sedar siapa diri mereka sebenarnya.

10 January 2012

Ada Peraturan Yang Harus Dipatuhi

Pemecatan YB Dato' Hassan Ali dari keahlian Pas menunjukkan satu perkara penting iaitu didalam berorganisasi ada perkara-perkara tertentu yang harus dipatuhi. Ini bermaksud bahawa setiap organisasi mempunyai peraturan, rukun dan tatacara tertentu yang mesti dipatuhi oleh setiap ahlinya.

Peraturan, rukun dan tatacara berkenaan dikenali sebagai undang-undang tubuh atau perlembagaan bagi sesebuah organisasi atau pertubuhan. Undang-undang tubuh atau perlembagaan inilah yang menjadi panduan atau pedoman dalam berorganisasi. Dan bagi membolehkan wujudnya hubungan yang harmoni diantara organisasi atau pertubuhan dengan ahli-ahlinya, setiap ahli hendaklah menghormati undang-undang tubuh atau perlembagaan tersebut.

Saya tidak tahu adakah Pas melarang mana-mana ahlinya mengeluarkan apa-apa kenyataan atau melakukan apa-apa tindakan yang dikira membelakangkan kepentingan parti itu. Namun sebagai seorang yang telah sekian lama terlibat dengan NGO, saya fikir peruntukan sedemikian kebiasaannya ada dicatat dalam mana-mana undang-undang tubuh atau perlembagaan sesebuah organisasi. Peruntukan begini adalah safeguard utama sesebuah pertubuhan berdaftar dimana-mana jua demi kelangsungan berorganisasi.

Maka kerana itu saya melihat hal pemecatan keahlian Dato' Hassan Ali tersebut semata-mata dari sudut administrative law atau undang-undang pentadbiran. Saya juga melihat perkara ini dari sudut rukun berorganisasi. Soal sama ada seseorang ahli telah melanggar peraturan atau tidak adalah satu soal yang hanya boleh diputuskan oleh organisasi itu sendiri. Peranan mahkamah hanya dalam kes-kes judicial review setelah segala tatacara dalaman pertubuhan itu, termasuk rayuan, dilalui.

Didalam berpersatuan atau berorganisasi, ada perkara mudah yang harus diingati oleh seseorang ahli. Setiap pertubuhan atau organisasi ada peraturan yang harus dipatuhi. Jika peraturan itu tidak dihormati lagi, maka silakanlah pergi!.

Begitulah adanya.

07 January 2012

Melayan Diri

Adakah kita punyai masa untuk melayan diri sendiri?

Soalan ini agak relatif. Ianya bergantung kepada individu berkenaan. Ianya juga bergantung kepada apa yang kita maksudkan sebagai melayan diri sendiri. Sesungguhnya melayan diri sendiri ada yang sukar dilakukan dan ada yang agak mudah dilakukan.

Sesetengah orang menghisap rokok sebagai cara melayan diri sendiri. Golongan ini akan segera mencari rokok selepas makan, semasa minum atau sebaik sahaja bangun dari tidur. Ada juga yang menghisap rokok semasa bertinggung didalam tandas. Cara mereka tarik hisap rokok cukup untuk menceritakan bagaimana mereka melayan diri. Rokok adalah penghibur dan pelepas ketagih para perokok.

Ada orang melayan diri dengan mencungkil-cungkil gigi selepas makan. Bahan sisa makanan ini kemudiannya dicium dalam-dalam. Mungkin baunya yang sedikit tengik itu menawan hati. Mungkin juga bau itu membangkitkan nostalgia lama sehinggakan setiap kali selepas makan orang sebegini pasti tidak lupa mencungkil dan menghidu sisa makanan.

Terdapat juga mereka yang menggigit kuku sambil dicium-cium. Ada juga yang mencungkil tahi hidung sambil menciumnya. Memang pelik perangai atau kebiasaan begini. Yang nyata perkara sebagini dilakukan sebagai cara melayan diri.

Melayan diri dengan mengunjungi spa, gimnasium, gelanggang futsal, bowling atau kelab golf juga agak menarik. Ianya suatu cara hidup bergaya dan untuk orang senang. Melayan diri begini tentulah menjadi kegemaran orang tertentu sahaja. Kos yang agak tinggi dalam sebahagian kategori ini menjadikan melayan diri cara ini agak terbatas kepada kelompok tertentu sahaja.

Walau apapun kegemaran kita dalam melayan diri namun janganlah sehingga terjebak kearah yang merosakkan. Ada orang suka pergi mengintai orang baru kahwin. Ada pula yang suka hidu gam atau pekena ganja atau lain-lain dadah demi melayan diri. Cara ini tidak baik dan merosakkan. Melayan diri secara merosakkan ini tentulah tidak wajar diikuti. Apa saja kegiatan atau kegemaran dalam kategori ini mestilah dielakkan.

Kitalah yang menentukan jenis atau bentuk melayan diri yang kita perlukan!.