29 November 2011

Bila Saraf Bermasaalah...

Bila ada sesuatu masaalah kebiasaannya saya akan tumpukan masa dan seluruh perhatian untuk menyelesaikannya. Saya telah dilatih begitu. Dengan yang demikian apa-apa saja ikhtiar atau jalan akan saya usahakan bagi mengatasi masaalah sebegini. Membiasakan diri secara begini bukannya mudah. Ianya memerlukan kesabaran, ketekunan, kepercayaan, perbelanjaan dan iltizam yang tinggi. Alang-alang berusaha tidak akan sampai kemana.

Begitulah yang saya alami kebelakangan ini. Kecederaan lama bahagian saraf belakang mulai menyerang saya kembali pada september. Sungguh siksa rasanya. Tidur, bangun, duduk, bergerak menghadapi masaalah. Kadang-kadang masaalah itu jadi serious hingga sukar bagi saya untuk ruku' atau sujud dalam solat. Hendak bangun dari tidur mesti hati-hati. Hendak membongkok ada caranya. Nasib baik kaedah-kaedah yang diajar kepada saya oleh fisioterapist di Hospital Kuala Lumpur beberapa tahun lalu masih saya ingati dan amalkan.

Apa yang diajar oleh fisioterapist cukup sekadar agar masaalah itu tidak menjadi berat sangat. Apa yang diajar itu cukup sekadar membantu sewaktu mahu bangun dari tidur atau mengangkat sesuatu. Namun bilamana kesakitan di bahagian belakang lebih dari biasa, saya terpaksa mencari kaedah lain  untuk menyelesaikan masaalah itu. Mana mungkin saya duduk diam di rumah berhari-hari. Mana mungkin saya berjalan bertongkat. Usia saya bukannya usia orang yang perlu bertongkat. Usia saya masih perlu cergas, perlu aktif. Usia saya masih perlu diisi dengan kerja-kerja sosial. Jadi saya perlu atasi masaalah itu. Kata-kata itulah yang sentiasa bermain-main di sanubari saya, dalam fikiran saya.

Meskipun begitu saya mesti menerima kenyataan bahawa saraf saya kembali bermasaalah sepertimana yang saya alami beberapa tahun lampau. Saya juga mesti mengakui bahawa usia saya sedikit sebanyak mempunyai kesan terhadap tahap kesihatan. Walaupun bukan bertaraf warga emas, saya bukanlah lagi berada di zon segar bugar. Saya bukan lagi anggota pengakap yang sering ikuti perkhemahan macam dulu. Kalaupun masih masuk ke hutan dan hulu sungai untuk memancing, saya sudah tidak selincah tahun-tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan. Walaupun masih giat terlibat dalam aktiviti kembara kenderaan pacuan empat roda, saya tidak lagi selesa meranduk anak sungai macam dulu. Ternyata usia dan kesihatan mulai mengawal diri saya.

Apakah saya akan biarkan keadaan ini merenggut hidup saya?. Adakah segala kesakitan yang dialami akan dibiarkan memperuk saya di atas katil atau kerusi roda?. Patutkah saya bertemankan tongkat kesana kemari?. Layakkah di usia ini saya hanya melambai-lambai melihat rakan-rakan dari jendela berjoging segar mengelilingi taman?.Tidak malukah saya pada ayah saya yang berumur lebih lapan puluh tahun dan masih selesa berjalan itu?. Ahhhh.

Semua perkara ini mendorong saya 'bangun' dari masaalah saraf itu. Saya perlu atasinya. Saya perlu kembali cergas dan ceria. Saya perlu isikan masa saya di pejabat dan pada tugas lain yang menanti. Saya mesti positif, berusaha dan bertawakkal. Saya tidak mahu masaalah ini mengikat kehidupan harian saya. Saya juga tidak mahu teman dan keluarga sentiasa runsing.

Hasil bantuan teman-teman dan jiran saya diperkenalkan dengan beberapa kaedah rawatan saraf ini. Ada yang mencadangkan saya melakukan rawatan pembedahan di hospital. Ada pula yang membawakan tukang urut. Ada jiran membawa saya menemui seorang sifu berketurunan Cina yang memakai kaedah kung fu merawat saraf ini. Ada teman mencadangkan saya mendapatkan rawatan dari seorang doktor di Cheras. Katanya seorang kenalan beliau telah sembuh dan sudah boleh swing golf sesudah berubat disitu. Ada juga kawan lain memperkenalkan seorang pakar otopedik yang berubat menggunakan  rangkuman kaedah moden dan alternatif.

Yang pasti saya akan menggunakan beberapa kaedah itu satu persatu. Pembedahan adalah kaedah terakhir setelah kaedah lain tidak berkesan. Namun begitu saya tidak akan ke German!. Tidak.

27 November 2011

Menduga Nasib

Telah acapkali saya menerima emel dan mesej facebook dari luar negara. Ada emel atau mesej berkenaan agak menarik secara sekali pandang. Emel atau mesej facebook tersebut kebanyakannya datang dari luar negara dengan menggunakan bahasa Inggeris yang tidak teratur dan salah nahunya. Ada juga yang berbahasa Indonesia bertaraf sekolah menengah rendah.

Kesemua emel atau mesej facebook itu hanyalah mengarah kepada dua subjek utama iaitu sama ada mendapat hadiah tertentu atau ingin berkenalan kononnya bapa atau ibu si pengirim berasal dari Malaysia dan si pengirim ingin datang ke Malaysia lalu perlu berkenalan dengan seseorang disini. Sekali imbas ianya amat menarik. Sekali imbas ianya satu tawaran yang tidak patut dilepaskan. Lagi menarik ialah si pengirim berdarah kacukan Inggeris, seorang gadis yang kelihatannya jelita.

Pernah juga saya menerima panggilan telepon yang katanya dibuat dari Hawaii. Saya melayan panggilan itu seketika bagi tujuan memastikan lenggok bahasa Inggeris yang digunakan oleh si pemanggil. Tentu kena bersabar dan bercakap dengan tenang bila kita berhadapan dengan situasi begini. Bila saya katakan kepadanya bahawa bahasa Inggeris yang dipakainya adalah seperti dipakai orang Filipina, si pemanggil terus meletakkan gagang telepon!.

Saya juga pernah melayan emel yang dikirimkan. Kononnya saya dipilih untuk menerima hadiah sejumlah 500,000 pound sterling. Ada juga yang memaklumkan saya mendapat USD 1 juta dan meminta saya menghubungi orang atau nombor tertentu dengan memberikan butir akaun saya untuk diberikan hadiah berkenaan. Kelihatannya ini amat menarik. Siapa tidak mahu wang percuma sebegitu banyak?. Siapa tidak mahu menunggu ketibaan seorang wanita dari luar negara yang sangat-sangat mengharapkan bantuan untuk mencari keluarganya di negara kita?.

Bila satu daripada pengirim emel itu mulai seronok, saya katakan secara halus kepadanya agar 'now you can go and fly kites', dia nampaknya tidak memahaminya. Dalam bahasa Melayu ianya bermaksud 'awak pergi main layang-layanglah', namun dalam bahasa Inggeris ianya membawa makna yang lebih dalam dari itu. Oleh kerana si pengirim terfikir saya sudah termakan umpanannya, maka saya terus tidak melayan lagi emel dan mesej sedemikian.

Yang lebih menarik ialah bila saya ditawarkan untuk diberi sejumlah wang yang besar. Lalu saya menjawab yang saya ada wang yang lebih besar dari itu. Saya ucapkan tahniah kepadanya kerana dia saya pilih untuk menerima wang yang akan saya berikan. Saya meminta dia memberikan saya nombor akaunnya dengan segera kepada saya. Sudah tentu si pengirim emel atau mesej itu tidak membalas 'tawaran' saya, dan segalanya terhenti disitu.

Bila saya membaca berita akhbar berkaitan seseorang di negara kita tertipu sejumlah wang atau dijadikan 'keldai dadah', saya tertanya-tanya kenapa ini boleh berlaku?. Pandir sangatkah si penerima emel, mesej talipon atau facebook sehinggakan tidak dapat membedakan antara 'perangkap penipuan' dengan tawaran yang betul? Rakyat kita yang tertipu itu adakah terlalu gelojoh atau terlalu terperanjat boleh menjadi kaya dengan tawaran sebegitu?.

Tidakkah terfikir yang siapakah yang akan memberi wang begitu banyak secara percuma tanpa ada udang di sebalik batu?. Jika benar si pengirim mesej itu bapanya seorang ahli perniagaan antarabangsa yang berjaya dan menetap di London, adakah logik si anak ini tidak pernah datang ke Malaysia sedangkan umurnya sudah 26 tahun?. Adakah masuk akal bila seseorang yang tidak kita kenali menghantar mesej agar kita menunggunya di KLIA kerana ada barang dialamatkan kepada kita?.

Bagi saya semua ini menggambarkan sifat pandir sesetengah 'mangsa' penipuan sebegitu. Bagi saya ini juga gambaran gilanya sesetengah orang untuk kaya dengan mudah. Bagi saya ini adalah bentuk penipuan yang boleh dihindarkan sekiranya seseorang yang menerima tawaran sebegitu tidak terlalu gelojoh. Ianya hanya suatu logik mudah iaitu tiada sesiapa yang akan memberikan kita wang atau hartanya begitu sahaja dengan percuma. Rupa-rupanya Skim Pak Man Telo telah muncul dalam bentuk baru dan lebih mengasyikkan!.

Aduh sungguh kasihan bangsaku.

26 November 2011

Bangga Dan Jelek

Saya sering melihat fenomena seseorang memandu kereta di atas jalanraya sambil meletakkan anak kecilnya di stereng dalam posisi memandu. Mungkin tujuannya ialah agar anak kecil itu belajar memandu seawal usia dua tiga tahun dan nanti bila besar anak itu akan mudah bilamana belajar untuk mendapatkan lesen memandu. Mungkin baginya itu satu pendedahan awal teknik-teknik memandu kepada anak kesayangannya. Mungkin juga dia mahu menggembirakan anaknya secara melekapkan badan anaknya ke stereng sambil tangan anak kecil itu memusing-musing stereng ke kiri dan ke kanan sambil dibantu sibapa.

Mungkin juga dia bangga karena anak itu dari kecil lagi sudah kenal stereng kereta dan boleh 'memandu' kereta sedangkan dia sendiri setelah berumur hampir 30 tahun baru boleh memiliki kereta. Keadaan dan latarbelakang keluarganya tidak memungkinkan dia belajar memandu seawal usia remaja. Dulu-dulu kemana saja dia pergi hanya dengan membonceng motosikal atau menumpang bas. Bas yang ditumpangi pula sejam sekali baru tiba. Jadi bilamana dia memiliki kereta sendiri dia mahu anak kecilnya menikmati pemanduan sebuah kereta. Dia bangga dengan hal begitu.

Bagi saya ini adalah bentuk kebanggaan tidak bertempat. Bagi saya kebanggaan begitu sesuatu yang jelek, yang tidak patut dilakukan. Kebanggaan yang bukan sekedar membahayakan dia dan anaknya malahan juga pengguna jalanraya yang lain. Kebiasaannya kereta yang 'dipandu'anak kecil sebegini berjalan secara perlahan-lahan. Bila tiba di selekoh atau bulatan si bapa akan terkocoh-kocoh, terkial-kial memaut stereng membantu anak kecilnya. Kita yang memandu di belakang merasa risau melihat 'kebanggaan' yang dipamerkan oleh si bapa yang kurang cerdik itu.

Masyarakat selalu didedahkan dengan perangai mat rempit yang dikatakan bangga menunjukkan aksi maut mereka. Mat rempit memang menyumbangkan kadar kemalangan jalanraya yang agak ketara. Mat rempit memang menonggang motosikal secara merbahaya. Mat rempit menyebabkan dada kita cemas, dub dab dub dab. Namun secara tidak kita sedari pemandu yang gemar menayangkan aksi anak kecilnya memandu kereta turut sama menyumbangkan kemalangan. Sungguhpun perbuatan begini tidak ketara seperti mat rempit tetapi ianya cukup merimaskan. Bagi sesetengah orang kelakuan pemandu sebegini dianggap tidak apa namun bagi saya sikap yang tidak wajar ini tidak patut dibiarkan berleluasa.

Memandu di jalanraya bukan hanya perlukan lesen memandu, cukai jalan dan insuran. Memandu di jalanraya juga memerlukan kesabaran dan hemah yang tinggi. Memandu juga memerlukan sipemandu tahu selok belok jalanraya. Pemandu yang bagus tidak akan suka berlumba-lumba tidak tentu fasal. Lebih jauh dari itu memandu di jalanraya memerlukan kita berakal. Memandulah dengan sopan, dengan berakal!.

25 November 2011

Bila Anakku Pulang Kampung

Sudah bermula musim cuti sekolah yang panjang. Dan serentak dengan itu jugalah kenduri kahwin terdapat dimerata-rata sehinggakan tidak mampu kita hadiri kesemuanya. Jemputan untuk menghadiri kenduri kahwin dimusim cuti persekolahan begini memang jenuh. Hendak menolaknya payah.

Awal pagi tadi saya menerima panggilan telefon kawan karib saya semenjak sama-sama belajar di Universiti Malaya dulu. Dia yang sekarang ini menjadi Datuk Bandar di sebuah bandaraya di negara kita menjemput saya dan keluarga hadir majlis perkahwinan anaknya pertengahan disember nanti. Bagus juga hadir, nanti boleh jumpa ramai geng-geng lama yang sama-sama hidup sebagai anak orang kampung semasa belajar dulu. Khabarnya ramai yang sudah berkepala botak, perut buncit dan macam-macam lagi. Ramai yang sudah jadi orang besar.

Saya berdoa agar saya betul-betul pulih untuk membolehkan saya hadir. Teringin juga hendak melawat sepupu-sepupu saya yang masih tinggal di kampong asal ayah. Sungguhpun mereka ini kebiasaannya akan berkunjung ke rumah ayah semasa hari raya, kadang-kadang saya tidak sempat bertemu dengan mereka. Inilah sepupu-sepupu yang selalu menjaga saya sewaktu kecil dan remaja dulu. Saya sedikit nakal namun mereka amat toleran dengan saya. Tersenyum lebar saya bila mereka menceritakan karenah saya masa main gasing, wau, lastik atau tangkap burung. Mereka juga gembira saya yang dahulunya takut hantu sekarang ini boleh jadi orang!.

Rumah ibu-ibu saudara dan bapa-bapa saudara saya memang di kawasan pendalaman berbanding ayah yang tinggal tidak jauh dari bandar. Sebab itu bila pulang kampung asal ayah, saya betul-betul enjoy. Mencari telur tuntung di tebing Sungai Muda memang menyeronokkan. Pagi-pagi lagi kami akan terhendap-hendap diatas pasir tebing sungai mencari kesan tuntung bertelur. Sungguh enak telurnya. Sekarang ini khabarnya tuntung sudah langka, telurnya sukar didapati. Ada juga orang kata tuntung merajuk melihat manusia menceroboh habitat mereka sesuka hati. Di kampung asal ayah  sekarang sudah jarang-jarang kedapatan kelibat tuntung.

Hidup di bandaraya dalam suasana moden tidak melunturkan nostalgia begitu. Saya akui memang sukar memadamkan pengalaman serba manis itu dari kotak memori saya. Jadi bilamana anak saya mengikut bapa saudaranya pulang kampung tadi, kenangan lama itu kembali berlari-lari dalam ingatan saya. Saya berharap anak itu dapat menikmati dan melalui sedikit sebanyak pengalaman sepertimana yang telah saya nikmati dan lalui.

Sesungguhnya hidup ini perlu kaya dengan pengalaman. Pangkat dan wang ringgit tidak cukup tanpa pengalaman hidup. Sebab itu pengalaman amat penting. Ada baiknya mendedahkan anak-anak kepada realiti hidup, bukan sekedar tahu semuanya ada, semuanya disediakan oleh ibubapa. Bagus juga sesekali mereka melihat peri kehidupan sebenar, bukannya bertapa berjam-jam dihadapan komputer dan handphone main game yang tidak pernah tamat!.

23 November 2011

Luka Dikaki, Calar Didahi

Kalau kita jatuh kebiasaannya akan lukalah kaki dan bercalarlah dahi. Kadang-kadang ada yang patah gigi, terseliuh jari. Ada juga yang seluar atau bajunya koyak. Begitulah kesannya kalau kita jatuh tertiarap. Kepala pula akan benjol kalau kita jatuh terlentang. Bahu terkehel.

Itu adalah kesannya jika kita jatuh semasa berjalan, berlari, memanjat pokok atau meranduk anak sungai memancing ikan. Ada yang parah, ada yang melayang nyawanya. Ada yang nasibnya buruk akan menderita untuk masa yang lama akibat jatuh. Ada orang yang tidak merasa apa-apa sewaktu jatuh tetapi lama kemudian mengalami bermacam masaalah ekoran terjatuh seperti slip disc dan sebagainya.

Secara fizikalnya itulah yang terjadi.

Namun kesan lebih tragis berlaku bila kita jatuh dalam perniagaan atau telah hilang kuasa. Kesannya amat terasa, amat hiba. Saudara mara takut hendak ambil peduli. Sahabat handai rakan taulan menjauhkan diri. Orang yang berhutang langsung tidak nampak batang hidung. Para penyokong lari dan pergi menyokong bos baru. Ramai orang sudah masam muka, berbisik-bisik sambil menjeling bila kita lalu.

Tiada siapa lagi yang akan ambil peduli. Kalau adapun hanya saudara terdekat, sahabat sejati, anak dan isteri. Maklumlah duit sudah tidak ada. Maklumlah kuasa sudah berpindah ke tangan orang lain. Maklumlah sudah tidak mampu belanja makan. Kadang-kadang termenung seorang di tepi jalan. Kadang-kadang mundar-mandir tanpa tujuan. Itulah jadinya bila jatuh, bila pokai.

Sebab itu kita kena sentiasa beringat. Ada duit simpanlah sikit-sikit. Jangan suka sangat berbelanja sakan. Jangan suka menunjuk-nunjuk. Jangan takbur, merasa yang kita sahaja yang betul. Jangan boros atau membazir. Bersederhanalah. Berilah zakat. Keluarkan sedekah. Infaqlah. Berdermalah. Bersimpatilah dengan orang yang tidak bernasib baik. Bermanis mukalah. Selalu muhasabah diri. Jangan lupa saudara-mara.

Kalau sudah jatuh, sudah luka, tiada guna segala sesalan. Jangan tunggu sehingga orang tidak peduli baru mahu terhegeh-hegeh mohon simpati. Malulah kalau sudah tiada kuasa baru hendak belajar bersila semula!.

22 November 2011

Kalau Jatuh, Bangunlah Sendiri

Kita semua mempunyai pengalaman yang pelbagai. Pengalaman pahit manis dalam menjalani hidup bukan suatu perkara asing. Suka duka susah senang datang silih berganti. Pahit maung kehidupan adalah perkara biasa. Tiada orang yang akan sentiasa.susah. Begitu juga tiada orang sentiasa senang disepanjang hidupnya.

Kita juga hidup bertetangga, berkawan dan bersahabat. Tetangga kita sebenarnya sudah jadi seperti saudara, darah daging kita. Yang membedakan tetangga dengan keluarga kita ialah tetangga itu sememangnya bukan keluarga kita. Namun begitu oleh kerana dia tetangga kita kadang-kadang dia lebih rapat berbanding saudara mara kita. Tetanggalah yang lebih dahulu tahu susah senang atau sakit pening kita. Dalam sesetengah hal kita lebih selesa berkongsi masaalah dengan tetangga berbanding dengan keluarga kita sendiri.

Begitu juga dengan kawan, sahabat atau teman. Mereka inilah yang selalu mendampingi kita. Mereka jugalah tempat kita meminta pandangan atau mengadu hal. Seorang kawan sudah semestinya mengenali kita. Seorang sahabat pula sewajarnya tahu hati budi kita. Seorang teman juga demikian. Apapun yang kita istilahkan sama ada sebagai kawan, sahabat atau teman yang pastinya dia cukup akrab dengan kita. Dia cukup memahami kita. Dia prihatin tiap apa yang berlaku pada kita.

Namun begitu bila kita jatuh, kita susah, jangan terlalu berharap kepada dokongan kawan, sahabat atau teman. Memang ada sahabat yang boleh diharapkan tetapi jumlahnya tidak ramai. Akhirnya dalam keadaan kita jatuh dan ditimpa musibah, saudara mara jugalah tempat kita sandarkan harapan dan bantuan. Busuk-busuk daging dibasuh dimakan jua. Dan sudah tentu air dicincang tidak akan putus. Masih belum terlalu lambat untuk kita kembali akrab dengan keluarga!.

Dalam keadaan tertentu jika kita jatuh maka janganlah diharap bantuan atau pertolongan siapa juga. Jika jatuh, bangunlah sendiri. Itu saja.

21 November 2011

Urut Tradisi

Ramai orang tahu apa itu urut. Ada orang memanggilnya berurut, mengurut, memicit, menggosok, pijat atau yang terbaru disebut masaj. Semua sebutan itu merujuk kepada teknik merawat badan menggunakan tangan atau kaki tukang urut. Dan sudah menjadi kelaziman mengurut itu memerlukan ketekunan dan kemahiran untuk melakukannya untuk mengelak mudarat kepada badan yang diurut.

Setiap bangsa di dunia ini mempunyai sejarah dan kaedah mengurut masing-masing. Oleh kerana hal itu walaupun bertujuan yang sama, cara mengurut berbeza dari satu bangsa ke satu bangsa. Sesetengah bangsa atau etnik mengamalkan jampi serapah tertentu sebelum, semasa atau sesudah proses urutan dijalankan. Sesetengahnya pula menggunakan minyak tertentu atau herba sebagai sebahagian dari proses urutan. Malahan ada pula yang menggunakan wap atau bahan pemanas untuk memberi kesan lebih baik kepada urutan.

Bila disebut urutan tradisional ianya bermaksud teknik mengurut menggunakan tangan dan minyak mengurut. Ini dilakukan untuk membezakan urutan berkenaan dengan urutan moden, termasuk fisioterapi. Urutan tradisional memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi. Oleh itu tukang urut bukanlah sebarang orang. Beliau mestilah dari keturunan tukang urut atau belajar kemahiran mengurut dari orang yang layak. Mengurut bukan boleh dikerjakan sembarangan orang atau pakai tangkap hentam sahaja.

Jadi seandainya kita ingin berurut, bertanyalah dulu sebelum badan kita diserahkan untuk diurut. Biasanya orang yang pernah berurut dengan seseorang akan rekomen sama ada si tukang urut itu bagus atau tidak, boleh dipercayai atau tidak. Dan pada kebiasaannya tukang urut tradisional memang ramai pengunjung yang mendapatkan perkhidmatan dari beliau. Tanpa perlu mengiklan atau 'pasang kaki', tukang urut yang bagus akan sentiasa dikunjungi oleh 'pesakit' yang datang dari berbagai tempat setiap masa.

Di rantau sebelah sini hanya ada dua jenis urut tradisional yang masih diamalkan secara meluas iaitu urutan tradisional Melayu/Indonesia dan urutan tradisi Thai. Secara globalnya urutan tradisional Thai lebih mendapat perhatian dan diamalkan oleh pelbagai bangsa. Ianya menjadi antara 'eksport' terkenal Thailand selain dari tomoi (kick boxing), tomyam dan beras. Urutan tradisional Thai@Siam ini boleh didapatkan dibanyak negara malahan boleh dipelajari secara on-line.

Berbanding urutan tradisional Thai, urutan tradisional Melayu/Indonesia hanya berkembang luas di Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia dan selatan Thailand. Urutan yang mempunyai pelbagai versi itu memang masih popular di negara kita walaupun perkhidmatan fisioterapi sudah agak lama diperkenalkan. Secara umumnya perkhidmatan urutan tradisional masih diterima dengan baik oleh masyarakat tanpa mengira status sosial atau umur seseorang.

Mengurut memang bagus terutama bila badan atau mana-mana anggota badan mempunyai masaalah. Mengurut dapat memulihkan anggota yang terseliuh atau sesudah wanita melahirkan anak. Mengurut juga dapat menyegarkan badan yang lesu akibat penat bekerja dan sebagainya. Mengurut akan membolehkan darah berjalan dengan lancar. Itulah diantara beberapa faedah yang didapati dari amalan urut tradisional. Sebab itu kaedah ini masih digemari ramai walaupun selalunya proses mengurut memerlukan kita menahan sakit semasa urutan dijalankan.

Namun begitu terdapat penyalahgunaan kaedah mengurut sehinggakan ada orang yang terpedaya dengan khidmat urut yang ditawarkan. Mengurut digunakan untuk menipu pelanggan, malahan ada yang melibatkan ugutan dan sebagainya. Ini tidak termasuk sendiket pelacuran yang ditawarkan dengan berselindung disebalik perkhidmatan urut. Kegiatan beginilah yang menyebabkan sesetengah orang memandang serong kepada kerjaya mengurut. Sebab itu kita kena agak berhati-hati bilamana ingin mendapatkan khidmat urut.

Walau apapun, bagi saya kita tidak perlu takut untuk berurut jika keadaan memerlukan kita berbuat demikian. Ayuh...

Ada Hikmahnya

Saya tidak dapat bergerak kemana-mana akibat sakit lama yang berulang. Mulanya saya bercadang hadir jemputan-jemputan kahwin saudara-mara dan anak sahabat saya namun semuanya terhalang. Yang sedihnya ialah beberapa orang kawan menalipon bertanya hal kenduri kawin di rumah sahabat saya itu sedangkan tidak tergamak saya untuk memaklumkan hal keuzuran yang menghalang saya turut hadir.

Empat bulan lalu saya juga terpaksa menghadkan pergerakan disebabkan masaalah yang sama. Ubat doktor dan urutan tapak kaki serta seluruh badan telah membolehkan saya kembali melakukan beberapa aktiviti seperti seni chi kung dan lain-lain. Sebelum itu saya terpaksa menghentikan kelas chi kung untuk membolehkan saya benar-benar pulih. Saya agak berhati-hati melakukan pergerakan dan mengurangkan banyak aktiviti luar.

Bila rasa pulih, saya telah memulakan kembali kelas chi kung tiga minggu lalu. Saya fikir tiada masaalah lagi. Dan sebagaimana biasa saya akan nikmati udara segar pagi dengan melakukan senaman itu serta berjalan kaki sesudah makan malam. Semuanya dilakukan untuk menyihatkan badan, menjaga kesihatan. Semuanya seperti kembali normal.

Saya langsung tidak menjangka bahawa masaalah yang saya hadapi itu akan kembali berulang dalam tempoh yang singkat. Beberapa hari lalu semasa melakukan regangan  tiba-tiba terasa bahagian badan sakit. Lalu saya kembali lakukan urutan. Rasa lega. Perasaan perkasa kembali menguasai diri. Saya mengangkat satu barang secara orang biasa (maksudnya bukan secara orang bermasaalah) dan terjadilah apa yang saya alami kini.

Kejadian ini memberi saya satu pengajaran sama seperti yang saya alami pada tahun 2007. Pada tahun itu saya juga terasa amat sihat dan cergas. Saya lakukan pelbagai aktiviti lasak tanpa peduli kekangan diri yang saya hadapi. Akibatnya saya juga yang rasai. Dan kali ini saya ulangi lagi kesilapan dulu menyebabkan kembali sukar bergerak seperti normal.

Bagi saya ada hikmah disebalik semua ini. Sahabat saya Tamrin Tun Ghafar cadangkan agar berurut dengan seorang Cina di Seputih. Ada teman cadangkan saya berubat di Sungai Long. Hendak tidak hendak saya akan cuba semua cadangan itu. Bila orang tahu masaalah kita maka akan ada yang membantu. Ada hikmahnya semua ini. Setidak-tidaknya saya memang terpaksa berehat di rumah. Sambil berbaring saya boleh update blog menggunakan Samsung Galaxy Tab yang ringan ini. Dan sudah tentu buku saya yang terbengkalai itu dapat saya jenguk semula.

Begitulah hidup.

18 November 2011

Komunikasi Moden

Sebelum ini saya hanya mendengar penuh tekun bilamana staf di firma saya merungut soal sistem internet yang terganggu. Sebagai firma yang banyak berurusan dengan jabatan kerajaan tertentu, gangguan internet cukup memeningkan apa lagi kalau mendapat desakan client agar transaksi mereka disegerakan. Kadang-kadang staf saya terpaksa menggunakan sistem komputer kepunyaan rakan yang tidak jauh dari firma saya bila keadaan benar-benar terdesak.

Semasa itu saya hanya ' end user' kepada kemudahan internet tanpa mengambil tahu apa-apa. Saya mengambil sikap tidak mahu pening kepala. Biarlah soal begitu diselesaikan oleh juruteknik atau staf saya yang lain. Biarlah pembantu-pembantu saya menghubungi syarikat telekomunikasi berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian. Staf syarikat telekomunikasi itu pula akan bertindak hanya setelah berkali-kali dihubungi dan dimarahi. Demikianlah yang sering terjadi.

Di negara kita sistem internet sudah jadi perkara biasa. Ia sudah jadi suatu kemestian kepada orang atau organisasi tertentu. Internet sudah jadi sebahagian dari keperluan. Internet bukan lagi suatu perkara asing dalam era ledakan komunikasi moden. Internet adalah nadi penting sistem perbankan, pertahanan, imegresen, percukaian, penerbangan, perkhidmatan utama dan sebagainya. Internet menjadi mata rantai yang menghubungkan keperluan kehidupan masakini.

Seperti yang saya sebutkan diawal coretan ini, tanpa internet banyak kerja yang akan tergendala. Internet begitu penting sehinggakan banyak sistem negara akan lumpuh jika kemudahan internet terganggu. Cuba bayangkan dunia tanpa internet, entah bagaimana jadinya. Kalau perkhidmatan internet yang lembab kita sudah rasa rimas dan meradang, apa lagi kalau kemudahan itu tergencat dek sesuatu hal. Keluh-kesah kita dibuatnya. Dunia mungkin jadi caca merba atau tidak tentu hala. Bayangkan kemalangan jalanraya, keretapi dan kapalterbang jika sistem komputer@internet terganggu ditahap amat serious.

Sistem yang membawa banyak kebaikan dan revolusi kepada jaringan komunikasi dunia itu ternyata tidak boleh lagi dikeluar atau ditiadakan dari kehidupan kita. Mampukah kita menunggu berjam-jam di bank jika internet 'down'?. Bolehkah kita bersaing seperti hari ini didalam memberikan perkhidmatan tanpa dibantu oleh internet?. Jadi walaupun ada beberapa kesan negatif dalam penggunaan internet namun kebaikan yang diberikan oleh sistem itu ternyata amat diperlukan oleh kita.

Revolusi dalam sistem telekomunikasi yang dicetuskan oleh internet mempunyai impak yang meluas kepada siapa sahaja sama ada di bandar atau di desa. Sebaik bangut dari tidur, kadang-kadang sebelum gosok gigi, kita sudah celapak ke rangkaian sistem internet. Kita jengah e-mail dan sebagainya. Kita baca berita on-line. Kita buat itu buat ini dengan menggunakan sistem itu. Namun apa jua alasannya janganlah kita sampai menjadi 'hamba' kepada internet. Jangan kita sentiasa mengadap komputer sehinggakan kerja-kerja masyarakat langsung tidak diambil peduli.

17 November 2011

Airmata Pattani 3

Nasib yang menimpa Pattani tidak jauh bezanya dengan Palestin. Sebuah negara merdeka dan berdaulat menjadi mangsa perluasan kuasa negara jirannya yang lebih kuat. Akibatnya ramai rakyat menjadi pelarian, mengungsi ke negara lain demi meneruskan hidup.

Yang membezakan dua negara itu ialah pelarian Palestin masih ramai yang menduduki kem-kem pelarian di Jordan, Syria, Lubnan malahan di Tebing Barat dan Semenanjung Ghaza. Pelarian bersesak-sesak menghuni kem-kem yang didirikan sejak puluhan tahun lalu. Bantuan kemanusiaan terutamanya makanan asas masih menjadi sumber bagi pelarian mengisi perut. Ada yang berulang-alik ke Israel untuk bekerja walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai peraturan dan sekatan. Sungguhpun hidup sebagai pelarian, orang Palestin masih memiliki kewarganegaraan Palestin dan mempunyai pemerintahan pusat yang dikepalai oleh PLO dan Hamas.

Orang Pattani agak berlainan. Tiada satu pertubuhanpun yang boleh dikira sebagai mewakili mereka. Tiada juga kem pelarian Pattani sama ada di Kedah, Kelantan, Perlis, utara Perak atau dimana saja. Pelarian-pelarian awal Pattani telah menjadi warganegara Malaysia, Indonesia atau Arab Saudi. Mereka telah sebati dengan rakyat tempatan khususnya di Malaysia. Oleh kerana mereka ini berbangsa Melayu beragama Islam, assimilasi mereka dengan penduduk kawasan mereka berhijrah menyebabkan identiti Pattani seolah-olah lenyap terus. Kalau adapun yang tinggal ialah dialek Pattani yang masih boleh didengar misalnya dikalangan generasi berumur di Baling, Sik dan Lenggong.

Oleh hal yang demikian identiti orang Pattani yang lebih awal berhijrah ke Semenanjung memang sukar diketahui. Yang ada kini cuma anak cucu yang tiada lagi apa-apa nostalgia atau rasa cinta kepada negara asal mereka itu. Malahan sebahagian dari anak cucu orang Pattani ini merasa malu untuk mengakui bahawa dia keturunan Melayu Pattani walaupun ada diantara mereka menjadi orang kaya dan pembesar di Malaysia!.

Generasi baru orang Pattani di Malaysia kebanyakannya terlibat dengan perniagaan tomyam dan lain-lain perniagaan dan perusahaan di negara kita. Mereka inilah yang memakai kereta, kebanyakannya pacuan empat roda, bernombor pendaftaran di Thailand yang dapat kita temui di seluruh Semenanjung. Mereka ini bukanlah pelarian dalam ertikata sebenarnya. Mereka hanya berniaga, tidak lebih dari itu. Sebahagian dari mereka ini sudah tidak boleh lagi 'cakap Nayu' (Melayu) walaupun masih bangga dan mengaku Melayu.

Enam juta orang Melayu di selatan Thailand (baca : Pattani) bukanlah kecil bilangannya untuk diambil mudah oleh Bangkok. Airmata Pattani tidak boleh dibiarkan begitu sahaja oleh pemerintahan pusat di Thailand. Dizaman tuntutan demokrasi dan hak asasi yang semakin mendapat tempat di negara itu, untung nasib warga Pattani, Narathiwat dan Satun juga mulai mendapat pembelaan dari penduduk majoriti Thailand. Jika warga wilayah selatan negara itu, termasuk sekian ramai yang berada di Malaysia benar-benar bersatu tentulah tuntutan mereka akan didengar oleh Bangkok.

Sayangnya minda masyarakat di wilayah selatan Thailand masih berada tiga puluh tahun kebelakang berbanding kita di Malaysia. Masih banyak songeh dalam masyarakat. Tiada kesatuan yang benar-benar jelas dapat dilihat dikalangan mereka. Mungkin akibat lama diperintah oleh Bangkok menyebabkan timbulnya gejala ini. Walaupun masyarakat masih mengamalkan tradisi dan budaya Melayu, ramai anak muda yang sudah tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa itu.

Berbanding Palestin, Pattani bukanlah boleh dikira kaya. Sebab itu nasib mereka kurang mendapat perhatian dunia. Sebab itu juga saya kira airmata Pattani akan terus tumpah untuk tempoh waktu yang lama!.

16 November 2011

Airmata Pattani 2

Sungguhpun bandaraya Bangkok masih ditenggelami banjir namun telah ada tanda-tanda bahawa air akan surut. Kecuali hujan lebat di hulu atau musim ombak besar di Teluk Siam, banjir itu akan berakhir. Walaupun berakhir, tempoh dua bulan digenangi banjir telah meninggalkan kesan yang agak besar terhadap ekonomi Thailand.

Industri kereta dan pelbagai peralatan serta komponen barangan yang selama ini diusahakan di Bangkok dan persekitarannya menerima impak yang ketara. Begitu juga dengan penghasilan pertanian serta lain-lain bidang yang selama ini menjadi penjana ekonomi negara itu. Nampaknya industri pelancungan cukup terjejas, lebih-lebih lagi sengketa politik dua kumpulan besar di ibunegara Thai itu sebelum ini baru saja mahu pulih. Sebelum ini pelancung berkurangan kerana sengketa itu, sekarang banjir pula menghalang mereka melawat ke negara berkenaan.

Inilah yang dikatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Satu demi satu musibah melanda Thailand. Perang menuntut kemerdekaan di wilayah selatan negara itu juga nampaknya semakin menjadi-jadi. Pembunuhan demi pembunuhan sering berlaku disana sini. Boleh dikatakan hampir setiap hari terdapat laporan akhbar berkenaan perkara ini. Keadaan di wilayah selatan Thailand memang sentiasa gawat beberapa tahun kebelakangan ini.

Gerakan rakyat Pattani menuntut kemerdekaan dari Bangkok bukanlah perkara baru. Semenjak kerajaan Pattani dikalahkan, timbul satu persatu kumpulan atau gerakan menentang Bangkok. Antara kumpulan terawal gerakan ini menamakan diri mereka sebagai PULO. Sesudah itu muncullah banyak lagi pertubuhan yang bermatlamat memerdekakan Pattani dari pemerintahan kerajaan berpusat di Bangkok. Rentetan penentangan bersenjata berlaku dari semasa ke semasa.

Semenjak itu berbagai cerita kita dengar mengenai penderitaan rakyat Pattani. Sesungguhnya mereka cukup lama hidup dalam linangan airmata. Ramai yang jadi pelarian khususnya ke negeri-negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan ulu Perak. Selain dari pelarian Palestin, pelarian Pattani dianggap sebagai antara pelarian terbesar didunia. Mereka lari setelah negara mereka, Pattani Darussalam menjadi sebahagian dari negara lain akibat kalah perang. Nasib rakyat Pattani dan nasib rakyat Palestin sama sahaja.

Walaupun sebahagian dari orang Pattani sudah boleh menerima hakikat bahawa negara asal mereka kini menjadi sebahagian dari Thailand, masih ada yang belum dapat menerima kenyataan itu. Adalah sesuatu yang lazim bagi mana-mana orang jua untuk enggan tunduk kepada kuasa luar walaupun kuasa luar itu sudah lama mentadbir wilayah yang dikalahkan. Begitu juga dengan anak jati Pattani, mereka tidak pernah mengaku kalah. Sebab itulah gerakan pemisahan Pattani tidak pernah mati walaupun sudah sekian lama dianggap sebagai kurang berkesan.

Bagi saya gerakan rakyat Pattani adalah sama seperti mana-mana gerakan pemisahan atau kemerdekaan lain di seluruh dunia. Gerakan sebegini memakan korban yang bukan sedikit. Ianya dipenuhi airmata. Ianya mengorbankan harta dan nyawa. Airmata yang gugur kerana banjir amat sedikit berbanding airmata yang bertitisan kerana untung nasib tanahair. Airmata Pattani akan terus tumpah selagi tiada penyelesaian yang bermakna terhadap konflik bersejarah itu.

15 November 2011

Tamakkah Atau Apa?

Kita sering dengar bagaimana peritnya kehidupan disesetengah tempat. Kita juga selalu mendengar bagaimana bencana kemarau telah menyebabkan kebuluran yang dahsyat. Kita acapkali dipaparkan bagaimana sengsaranya kehidupan sesuatu keluarga atau orang tertentu. Semua ini sering kita dengar, kita lihat dan kita baca.

Bila berlaku kebuluran atau bencana kita dihidangkan pula dengan berita bagaimana orang berebut-rebut mendapatkan makanan atau bantuan. Sungguh menyedihkan hati bilamana melihat tolak menolak berlaku, hanya untuk mendapatkan makanan atau bantuan tersebut. Ini dapat kita fahami kerana naluri manusia memang begitu, suka berebut-rebut kalau dalam kesusahan atau kesempitan. Orang mudah jadi histeria. Orang hanya fikir soal atau kepentingan sendiri. Jadi tidak hairanlah kalau berlaku rebut -merebut, bertolakan, pijak- memijak,maki-hamun dan sebagainya.

Yang sedikit menghairankan kita ialah kelakuan berebut-rebut ini bukannya berlaku dalam keadaan kebuluran. Yang hairannya ia bukan berlaku sesudah sesuatu malapetaka menimpa. Sungguh pelik bilamana ianya berlaku bukan dikalangan orang yang kebuluran, orang miskin atau orang yang baru dilanda bencana. Ianya berlaku dalam suasana negara yang kaya, dikalangan orang yang dikatakan menyanjung tinggi budaya dan agama.

Sebab itu kita hairan melihat ramai orang berebut sesuatu jawatan atau sesuatu kedudukan. Perkara ini bukan sahaja berlaku di negara kita tetapi dimana-mana jua. Orang berebut apa saja. Kadang-kadang orang dewasa juga berperangai macam kanak-kanak berebut gula-gula. Berebut-rebut rupa-rupanya adalah perangai semulajadi manusia tanpa mengira miskin atau kaya.

Kalau si miskin berebut-rebut bolehlah kita katakan berpunca dari kemiskinannya. Itu memang boleh dianggap wajar. Tapi bila yang kaya-raya berebut berbagai benda itu namanya tamak, namanya haloba, namanya gila kuasa. Berebut begini risikonya tinggi, ada yang sanggup melakukan apa saja demi mencapai hasrat atau cita-cita. Berebut begini meninggalkan korban yang bukan sedikit. Kadang-kadang maruah diri dan keluarga melayang, malahan ada yang lebih dari itu. Semuanya berlaku kerana perebutan tadi.

Sukar untuk mengubati penyakit suka berebut ini. Kalau kanak-kanak berebut orang yang lebih dewasa boleh melarang. Tunjuk muka bengis dan kuatkan suara sudah cukup untuk meredakan perebutan yang berlaku dikalangan kanak-kanak. Tapi kalau yang berebut itu orang dewasa nampaknya memang agak sukar untuk diselesai atau dikendalikan. Kalau yang direbutkan itu pula adalah bersangkut dengan kuasa, maka keadaannya menjadi lebih rumit.

Orang dewasa ini sensitif, malahan egonya tinggi. Demi untuk berebut dia sanggup berhabis duit. Kalau hendak dibawa berunding bukannya mudah. Macam-macam karenah dan alasan akan diberikan. Kadang-kadang ada orang sanggup mengambil apa saja risiko hanya kerena mempertahankan egonya. Ada orang sanggup mati kononnya kerana mempertahankan prinsip, sedangkan dia sebenarnya hanya berebut, tidak lebih dari itu.

Penyakit begini sukar diubat. Dunia berperang hanya kerana perebutan, kerana tamaknya manusia. Kerana tamaklah orang sanggup mengambil hak orang lain walaupun poket sendiri sudah penuh. Sebatlah walaupun poket sudah sendat, selagi terdaya, selagi berkuasa!.

14 November 2011

Tergamakkah?

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia sentiasa turun naik, pasang dan surut. Kadang-kadang tegang dan panas. Kadang-kadang mesra. Begitulah yang terjadi sejak dulu. Semenjak rantau ini dikenali sebagai Nusantara atau Kepulauan Melayu, hubungan antara dua negara sentiasa panas-panas sejuk, macam orang demam malaria!

Hubungan Sukarno dengan Tunku Abdul Rahman cukup intim pada satu ketika sehingga digagaskan Maphilindo yang merangkumi tiga 'negara Melayu' iaitu Malaya, Filipina dan Indonesia. Hubungan mesra itu kemudiannya terbarai bilamana Malaysia diwujudkan. Konfrontasi dua negara hanya berakhir sesudah Sukarno tidak lagi berkuasa. Adam Malik yang semasa kecil dan remajanya membesar di Perak menjadi jambatan utama mendamaikan Malaysia dan Indonesia.

Semenjak itu hubungan kedua-dua negara sentiasa pasang surut. Ada-ada saja isu yang timbul disana-sini. Hubungan yang turun-naik ini memang sentiasa begitu. Entah kenapa ini sering terjadi. Entah kenapa isu yang terlalu bengik boleh bertukar menjadi besar. Hubungan dua negara menjadi rawan, berbaik semula dan rawan semula. Begitulah.

Saya melihat isu hubungan dua negara dengan dada yang sentiasa berombak. Saya fikir keadaan ini mulanya sebagai lumrah hubungan adik beradik. Bagi saya pada mulanya hal ini tidak perlu digusarkan. Pandailah para pemimpin dua negara mengatasi masalah ini. Mereka cukup bijak dan berpengalaman mengendalikan isu dua negara. Mereka tentu tahu apa yang harus dibuat.

Itu kata saya, fikiran saya yang masih punyai nostalgia dan hubungan persaudaraan dengan keluarga disana. Pengalaman menunjukkan hubungan emosi dan nostalgia biasanya tidak kekal lama. Hubungan sebegitu boleh terbang dibawa angin jika ribut melanda. Hubungan begitu lambat laun akan sirna ditelan badai masa. Ya begitulah keadaannya.

Pada masa ini hubungan antara pemimpin dua negara masih bagus. Masing-masing masih ditambat oleh perasaan persaudaraan. Perasaan itu masih menebal sejak beberapa generasi. Perasaan serumpun dan nostalgia pernah bermimpi yang sama nampaknya masih mengikat erat hubungan dua negara. Perasaan itulah sejak sekian lama menjadi penghurai keserabutan hubungan bersama. Sebab itu sungguhpun ada keadaan yang tidak menyenangkan dalam hubungan dua hala, ianya tidaklah melarat menjadi lebih teruk.

Saya khuatir bilamana hubungan antara pemimpin dua negara tidak lagi seperti sekarang keadaan akan berubah. Generasi dua negara sekarang ini tidak lagi bermimpi yang sama apa lagi untuk tidur sebantal. Hubungan lebih bersifat formal tanpa nostalgia satu rumpun, satu ikatan mahawangsa. Lihatlah apa yang acap berlaku. Tindakan unjuk rasa terhadap Malaysia seringkali diadakan bagai tidak terbendung lagi. Semacam ada satu sifat permusuhan telah wujud sekian lama.

Namun tergamakkah kita menyalakan api sengketa yang tidak perlu itu? Tergamakkah kita membakar seluruh daerah permai ini dengan permusuhan yang tidak menguntungkan siapa jua. Abang besar atau adik kecil sama-sama akan luka walau siapa jua yang muncul sebagai juara sesudah usainya sengketa. Perlukah semua itu?

13 November 2011

Merubah Kehidupan

Saya sering ditunjukkan rumah-rumah cantik dan sederhana besar sewaktu melawat beberapa bandar dan kampung di Indonesia. Bila ditanya kepada rakan-rakan atau pemandu pelancung yang mengiringi saya mengenai siapa pemilik rumah berkenaan dengan mudah mereka menjawab 'orang kita yang kerja di Malaysia'.

Hal inilah yang membuatkan saudara-mara disebelah isteri saya begitu teringin hendak datang bekerja di negara kita. Mereka sering menalipon. Sebahagiannya datang sendiri dengan feri melalui Kukup di Pontian Johor. Sebahagiannya tiba-tiba saja muncul dengan teksi dihadapan rumah mertua saya dan minta dibayarkan tambang teksi berkenaan. Demikianlah yang terjadi hasil dari hasrat mereka ingin merubah kehidupan.

Kalau kita singgah di Batam, Tanjong Balai, Kuala Tungkal, Medan, Aceh atau dimana sahaja kita pasti bertemu mereka yang pernah bekerja di negara kita. Mereka ini lebih mahir selok-belok imegresen negara kita. Malahan ada yang tahu pegawai tertentu suka apa dan sebagainya. Bertemulah dan berbuallah dengan 'mantan' tenaga kerja Indonesia ini untuk kita dapatkan informasi yang tidak kita dapati di negara kita. Apakah 'informasi' itu benar atau berasas memang tidak dapat ditentukan. Yang pastinya informasi sebegitu amat menarik untuk diselidiki lanjut.

Ada juga 'bakal' TKI yang menunggu di pelabuhan yang saya sebutkan tadi selama beberapa hari. Mereka ini menginap di penampungan menunggu masa untuk diberangkatkan ke Malaysia. Mereka menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk menaiki 'bot pancung' ke Malaysia. Sebahagiannya datang secara 'gelap' untuk bekerja di negara kita. Hasrat untuk merubah kehidupan membuatkan mereka sanggup melakukan apa saja dan mengatasi apa jua rintangan. Mereka sanggup berada bertahun-tahun disini bekerja dan bekerja.

Hasil bekerja disinilah TKI ini menghantar pulang wang yang bukan sedikit jumlahnya. Wang tersebut digunakan untuk membayar hutang, membina pesanteren, mengongkosi pelajaran, membeli kebun, membina rumah dan sebagainya. Wang yang diperolehi dengan keperitan dan tenaga empat kerat ini ternyata cukup bermakna buat mereka. Wang ini cukup bernilai. Dengan menggadai nasib ditangkap pihak berkuasa Malaysia, mereka lakukan itu demi untuk keluar dari perangkap kemiskinan di desa-desa Indonesia.

Sayangnya semangat begini sudah tiada lagi dikalangan rakyat kita sendiri. Semangat untuk merubah nasib kepada yang lebih baik telah hilang entah kemana. Anak-anak muda kita menjadi terlalu leka dengan kesenangan hidup. Bagi mereka ada ibu bapa yang akan menanggung itu dan ini. Rakyat kita menjadi semakin malas. Anak muda Melayu, Cina atau India hampir sama sahaja. Tidak ramai yang sanggup bekerja keras di ladang, bengkel atau estet. Ramai yang berminat hanya pada kerja 'bersih' seperti di kedai makanan segera atau kedai menjual handphone di pusat-pusat membeli-belah.

Rakyat kita jadi amat manja. Hiburan menjadi tarikan utama. Ramai yang sudah tidak mahu belajar tinggi. Ramai juga yang terpengaruh oleh dadah. Sikap negatif dalam hidup nampaknya sudah mulai menguasai minda masyarakat. Kehidupan bermewah-mewah menjadi pilihan tanpa menghitung apa akibatnya.

Saya amat bimbang dengan fenomena ini. Rakyat kita tiada ketahanan. Rakyat kita seperti tiada halatuju dalam kehidupan. Ramai yang manja dan lembek. Kalau berlaku perang macam mana ya?

10 November 2011

Airmata Pattani

Di Bangkok ada sekelompok orang Islam asal Pattani menghuni beberapa buah kampong. Mereka mendiami kampong-kampong ini yang didirikan di tebing sungai yang dahulunya digali oleh nenek moyang mereka menggunakan khudrat dan airmata. Sungai ini dikorek menggunakan tenaga fizikal karena pada masa itu tiada jentera moden untuk digunakan.

Itulah dia sungai atau terusan yang berselirat di kota Bangkok sekarang dan dikenali sebagai 'Sungai Airmata' dikalangan generasi Pattani di ibunegara Thailand itu. Terusan yang dicangkul dan digali itu sekarang dikenali diseluruh dunia sebagai Khlong Saen Saeb, sering menjadi lokasi penggambaran filem antarabangsa. Bagaimana terusan itu dibina telah menjadi khazanah sejarah zaman berzaman. Disinilah bersemadinya ramai tawanan perang Pattani, sebahagiannya adalah saudara mara dan abang-abang kepada aruah bapa kepada ibu saya!.

Dan terusan itu jugalah kini menjadi laluan banjir yang menenggelamkan Bangkok sejak dua bulan lalu. Airmata keluarga sebelah ibu saya sekarang bertukar menjadi airmata generasi moden Thailand. Banjir merenggut kehidupan di kota hiburan itu. Banjir seakan mahu membasuh luka zaman berzaman. Kisah lama telah semakin dilupakan oleh generasi Melayu Islam yang menghuni di sepanjang Sungai Airmata itu. Toleransi masyarakat Thai moden juga banyak membantu assimilasi masyarakat Melayu kedalam masyarakat umum Thailand. Derita akibat banjir sekarang ini ditanggung bersama oleh masyarakat Islam dan bukan Islam.

Demikianlah lumrah dunia. Hari ini airmata kita sedangkan semalam adalah airmata orang lain. Airmata tidak pernah kering dari dunia kehidupan. Airmata hanyalah pengubat lara kita yang bernama manusia. Airmata cuma penampung segala keperitan. Airmata tidak boleh berbuat apa-apa. Airmata hanyalah airmata.

Sesungguhnya kita amat bersimpati dengan malapetaka yang melanda Bangkok. Bandaraya itu tidak pernah menjangka akan ditimpa musibah sedemikian rupa. Bandaraya itu seakan tidak bersedia menghadapi banjir berskala besar dan untuk tempoh yang belum dapat dipastikan. Sudah lama Bangkok hanyut dengan 'syurga dunia' dan segala macam kegiatan yang merimaskan sesetengah orang. Banjir ini menghentikan buat sementara waktu segala kegiatan itu.

Perang Aceh melawan Belanda dan sesudah itu menentang Indonesia mengambil masa  cukup lama. Perang yang memakan korban cukup besar itu hanya tamat sesudah Aceh dilanda tsunami. Perjanjian menamatkan perang antara pemerintah pusat di Jakarta dengan Gerakan Aceh Merdeka telah melahirkan wilayah autonomi Aceh sepertimana yang ada hari ini.

Perjuangan anak watan Pattani menentang Bangkok juga sudah cukup lama. Ianya memakan korban harta dan nyawa yang bukan sedikit. Orang Pattani bertebaran diseluruh dunia khususnya di Malaysia, Indonesia dan Arab Saudi. Perjuangan itu tidak pernah berhenti walaupun generasi silih berganti. Pergolakan di selatan Thailand yang penuh airmata duka itu nampaknya tidak akan mudah tamat. Tembak menembak khususnya di daerah Pattani dan kematian demi kematian dari wilayah itu sering menjadi tajuk berita antarabangsa.

Adakah banjir besar yang mengepung Bangkok sekarang memungkinkan lahirnya berita gembira untuk rakyat wilayah Pattani?. Ramai orang menunggunya dengan penuh debar.

09 November 2011

Kebebasan Dan Batasnya

Kita sering mendengar orang menyebut 'kebebasan individu'. Kita juga sering mendengar perkataan 'individual rights' disebut dimana-mana. Kedua-dua perkara itu merujuk kepada perkara yang sama iaitu 'kebebasan'.

Kebebasan bermaksud boleh melakukan apa saja yang dikehendaki tanpa batasan. Bebas ertinya boleh melakukan semahunya, tanpa boleh dihalang oleh sesiapa. Bebas ini tentunya secara mutlak, tanpa tapisan, tanpa ada peraturan menegahnya. Itulah kebebasan atau 'bebas' dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Bolehkah kita melakukan apa saja dalam kehidupan bermasyarakat? Benarkah kebebasan individu secara mutlak boleh diamalkan dimana-mana saja tanpa tertakluk kepada budaya dan peraturan sosial serta ikatan agama rakyat terbanyak? Apakah kebebasan individu mengatasi segala-galanya?

Soal kebebasan individu vs peraturan masyarakat sejak lama telah didebatkan. Eropah dan Amerika mendahului polimik ini. Sudah tentu banyak yang pro dan kontra. Sikap  yang mengagungkan kebebasan individu pula nampaknya sinonim dengan sifat individualistik yang mendapat tempat di benua-benua tersebut. Ramai juara hak kebebasan individu tampil menyuarakan betapa kebebasan individu tidak patut dikorbankan demi kepentingan masyarakat terbanyak.

Golongan yang mempertahankan pentingnya hak masyarakat terbanyak tentulah tidak rela kebebasan individu secara mutlak dibenarkan. Tentulah tidak wajar membenarkan seseorang yang waras berjalan bertelanjang bulat di jalanraya walaupun itu adalah hak individu. Tentulah tidak patut membiarkan seseorang melakukan perkara yang dipandang sumbang oleh masyarakat dan ditegah oleh agama. Atas apa alasan sekalipun kelakuan begitu, meski ia hak individu, tidak boleh dibenarkan secara bebas dalam masyarakat.

Apa yang kita dapati hari ini ialah toleransi antara hak dan kebebasan individu mutlak dengan kepentingan masyarakat umum. Suka atau tidak suka kepentingan masyarakat umum adalah diutamakan berbanding hak kebebasan mutlak individu. Soal moral misalnya lebih mendaulatkan pandangan umum mengatasi kemahuan individu. Disinilah terletaknya nilai hidup bermasyarakat. Disini juga agama memainkan peranannya.

Hidup bermasyarakat ibarat berlayar di lautan menaiki sebuah kapal. Kalau seorang penumpang ingin membuat lubang dilantai kapal dan dibiarkan tanpa ditegah, lambat laun kapal itu dan segala isinya akan tenggelam kerana dimasuki air. Semua penumpang akan mati kecuali yang pandai berenang.

Dalam masyarakat kita hari ini berapa orang yang benar-benar pandai berenang?

08 November 2011

Kenapa Jumud?

Sesekali membaca komen dalam laman sosial seperti facebook, tulisan dalam blog atau sembang dimana-mana jua memperlihatkan satu perkara yang amat nyata : ramai orang masih jumud fikirannya.

Apa yang dikatakan jumud ialah pandangan atau sikap yang stereotype dan tidak terbuka. Ini bermaksud bahawa ramai dikalangan kita yang masih belum terbuka pemikirannya dan terpengaruh oleh emosi atau taksub membuta tuli. Dengan yang demikian aliran fikiran menjadi tidak berkembang walaupun kita mempunyai pendedahan informasi dan pendidikan asas yang secukupnya.

Yang dikatakan jumud ialah kita tidak bersedia menerima sudut pandangan orang lain walaupun sudut pandangan itu baik. Kita juga tidak menghormati kehendak kepada perubahan hanya kerana perubahan itu akan menjejaskan kepentingan kita sendiri. Kita menjadi jumud dan tidak peka. Kita selesa dengan apa yang ada. Kita menjadi tunggul mati, menjadi kera sumbang.

Saya tidak hairan kalau yang berfikiran jumud itu orang kampung terpencil yang tidak terdedah kepada dunia siber atau jangkauan media perdana. Saya tidak rasa pelik kalau yang bersikap jumud itu hanya berpendidikan terlalu asas. Malangnya kalau mereka dari kalangan professional dan intelek turut jumud, tentu ada sesuatu yang tidak kena. Lebih malang kalau kalangan ahli politik kanan dan pentadbir turut dijangkiti penyakit jumud fikiran, jumud sikap. Kalau ini terus berlaku tentulah ianya sesuatu yang tidak baik kepada negara.

Sikap atau sifat jumud banyak berpunca dari diri sendiri. Kadang-kadang perasaan ego juga menyumbang kepada sifat jumud ini. Kita rasa kita saja yang betul, orang lain semuanya salah. Kita anggap fikiran atau pandangan kita saja yang utama sedangkan fikiran atau pandangan orang lain lekeh, tidak bagus. Sifat jumud sebenarnya dibajai oleh sifat dalaman kita sendiri. Kita enggan meraikan atau menimbang pendapat lain yang berbeza dari pandangan kita.

Nabi Muhammad s.a.w. walaupun mempunyai otoriti tertinggi sebagai Rasul dan pemerintah Madinah masih menghormati pandangan sahabat-sahabat Baginda dalam soal penting, misalnya soal strategi perang dalam peristiwa Perang Khandak. Dengan kedudukan yang begitu tinggi, dihormati dan dipatuhi Baginda meraikan pendapat sahabat-sahabat dalam banyak perkara. Baginda tidak jumud sikapnya. Baginda terbuka dalam hal yang tiada ketetapan yang jelas dari Allah.

Jadi siapalah kita berbanding Rasulullah. Jika tarikh kelahiran Nabi, nuzul qur'an dan ma'al hijrah boleh kita raikan, maka apakah sifat Nabi yang tidak jumud tidak mahu kita jadikan ikutan? Untungkah kita kalau berterusan jadi jumud, bersifat tertutup?

Bersifat terbuka dan tidak jumud bukan bermaksud membolehkan segala-galanya. Hidup kita bersendi adat, adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah. Ertinya bukan semua perkara boleh kita terima begitu saja. Kalau perlakuan seks songsang hendak diketengahkan, kita boleh menjadi jumud. Biarlah orang hendak kata apa sekalipun, kita tidak boleh menerima sesuatu yang merosakkan masyarakat. Kita jumud bertempat.

Sebelum tidur malam ini elok juga kalau kita bertanya kepada diri sendiri : jumudkah aku ini?

07 November 2011

Korban Demokrasi

Di negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia segalanya dituntut bebas. Bukan sekadar pilihanraya, perkara-perkara lain juga seharusnya bebas berdasarkan konsep demokrasi. Demokrasi mensyaratkan kebebasan, kesaksamaan dan ketelusan pemerintahan.

Benarkah demokrasi berpaksikan bebas lepas tanpa ada sebarang sekatan? Betulkah demokrasi tulin membolehkan tiap individu menikmati kebebasan mutlak untuk melakukan apa saja biarpun perlakuan itu melanggar asas budaya dan norma agama kehidupan seharian masyarakat? Begitukah apa yang dikatakan demokrasi?.

Setelah 54 tahun merdeka kita seperti masih tercari-cari erti sebenar demokrasi. Kita masih teraba-raba. Kita masih songsang dan berserabut bilamana berhadapan dengan tuntutan 'demokrasi sebenar' dari mana-mana golongan, pertubuhan atau puak. Terlalu goyah pendirian kita mengenai demokrasi. Terlalu dangkal pemahaman kita berkaitan demokrasi. Sebahagian rakyat menganggap demokrasi bererti boleh melakukan apa saja tanpa orang lain perlu ambil peduli. Sebahagian yang lain mengambil demokrasi sekadar dalam perjalanan pilihan raya, yang lainnya tidak.

Bagi saya demokrasi negara ini telah dinukilkan dengan baik didalam Perlembagaan Persekutuan. Segala ciri negara yang mengamalkan sistem demokrasi boleh disemak dan dipakai sebagaimana Perlembagaan menetapkannya. Asas-asas kebebasan individu yang dipahatkan kedalam semangat Perlembagaan cukup untuk melayarkan bahtera demokrasi negara. Dan sudah semestinya asas budaya dan kehidupan beragama rakyat negara ini telah diambil kira semasa Perlembagaan digubal.

Mana-mana individu, pertubuhan atau puak yang menuntut sesuatu kebebasan melampaui asas budaya dan kehidupan beragama rakyat ternyata melakukan perbuatan melanggar demokrasi itu sendiri. Bukankah antara asas utama demokrasi ialah suara majoriti? Dan adakah majoriti rakyat negara ini mahukan kegiatan atau perbuatan yang melanggar asas budaya dan agama dibenarkan? Jawapannya tentulah tidak.

Janganlah keghairahan berdemokrasi membikin negara menjadi korban kepada tuntutan apa saja yang bertentangan dengan budaya dan amalan agama majoriti rakyat. Janganlah kerana ingin popular menjelang pilihanraya kita biarkan tuntutan songsang mana-mana golongan tanpa bantahan. Demokrasi juga membolehkan kita membantah dan membangkang sesuatu yang boleh meruntun kehidupan rakyat terbanyak ke arah malapetaka.

06 November 2011

Apa Khabar Kampung?

Lembah Klang memang sunyi sejak semalam. Ramai kawan dan jiran-jiran telah pulang ke kampung masing-masing. Cuti tiga hari membolehkan aidiladha disambut bersama keluarga di kampung. Ya semeriah bandar, meriah lagi beraya di kampung bersama sanak saudara.

Saya tidak pulang ke kampung. Memang hasrat asal ingin pulang namun bilamana diamanahkan mengurus qurban di taman perumahan saya, hasrat itu terpaksa dikesampingkan. Saya hanya berbual panjang dengan ibu saya melalui talipon. Ibu ceria bila mendengar saya akan pulang menziarahinya dalam masa terdekat. Begitulah tiap kali menalipon ibu masih mampu bercerita macam-macam. Biasanya ibu akan bercerita tentang ayah atau bercerita apa saja yang difikirkannya saya perlu tahu.

Sesiapa yang membesar di kampung tentu mempunyai naluri ingin tahu perkembangan kampungnya. Kata orang tempat jatuh lagikan dikenang, ini pula kampung halaman sendiri. Bilamana kita masih punyai ibu-bapa atau keluarga yang mesra, hati tentu berlonjak mahu pulang kalau ada peluang. Ini perasaan yang normal. Runtunan mahu pulang akan datang sendiri tanpa dipaksa-paksa. Itulah sebabnya orang sanggup bersesak di jalanan demi beraya di kampung.

Sesungguhnya memang agak sukar mahu dijelaskan perasaan mahu pulang kampung ini. Secara logiknya apalah yang istimewa sangat dengan beraya di kampung. Dimanapun kita boleh beraya. Dimana jua kita boleh melakukan ibadah qurban. Perjalanan jauh dengan kos yang tinggi, keletihan, sesak di jalan dan pelbagai karenah terpaksa dilalui demi balik kampung. Apakah berbaloi semua itu demi balik kampung?

Soal balik kampung bukan soal logik. Soal balik kampung bukan soal berbaloi atau tidak. Bukan soal kos, bukan soal keletihan. Balik kampung adalah fitrah semua manusia. Itu saja. Titik.

Aidiladha Dan Kita

Selamat menyambut hari raya Aidiladha saya ucapkan kepada saudara sekelian. Moga aidiladha ini membawa makna tersendiri dalam kehidupan kita semua. Aidiladha memang istimewa jika kita mahu meraikannya secara istimewa.

Aidiladha sinonim dengan upacara ibadah qurban iaitu menyembelih lembu, kerbau, kambing dan unta sebagaimana biasa dilakukan di negara kita. Memang meriah upacara ini. Beramai-ramai mengikat lembu kemudian menjatuhkannya sebelum ditumbangkan dan disembelih memang mengujakan. Daging lembu itu kemudiannya dilapah dan disiang ramai-ramai penuh nostalgia. Ah begitu seronok sekali.

Bagi yang belum pernah ikut serta dalam majlis qurban, ambillah peluang itu tahun ini. Kalau tidak melaksanakan qurban cukuplah sekadar turut melapah, menyiang dan mengagih-agihkan daging qurban itu sebagai permulaan. Saudara akan menjadi kasih kepada aidiladha jika saudara turut serta begini. Tahun depan ambillah bahagian dalam melakukan qurban. Satu bahagian berharga sekitar rm400 sahaja. Kalau kereta bernilai puluhan atau ratusan ribu boleh dibeli, dibayar secara ansoran setiap bulan, masakan setahun sekali tidak boleh laksanakan ibadat qurban. Tentulah boleh bukan?.

Aidiladha mengajar kita erti merancang. Rancanglah apa yang akan dilakukan agar sambutannya lebih bermakna. Aidiladha bukan sekedar untuk bercuti atau pergi ke masjid atau surau bersolat sunat. Ianya lebih dari itu. Ianya amat istimewa, amat berharga.

Sekali lagi, selamat meraikan aidiladha, maaf lahir batin.

04 November 2011

Menghadapi Karenah Hutang

Bila kita berhutang banyak karenah yang perlu dihadapi. Sesiapa jua yang berhutang atau pernah berhutang tahu asam garam dan gelojak jiwa setiap masa. Berhutang bermakna bermasalah, apa lagi kalau jumlah hutang itu besar. Masalah sebenar akan muncul bilamana hutang berjadual tertunggak bayarannya akibat musibah yang kita alami atau pendapatan kita terjejas atas sesuatu sebab.

Begitulah yang terjadi kepada saya beberapa tahun yang lalu. Saya benar-benar tertekan menghadapi tunggakan hutang perniagaan dan pembelian harta. Anak yang sakit kronik memaksa saya nekad menjaganya dihospital hampir dua tahun. Dari situlah bermulanya masalah sebenar saya dengan karenah hutang. Sungguh ianya suatu pengalaman yang mencemaskan, menggoncang keimanan, merobek perasaan.

Dari pendapatan bulanan yang amat selesa sebelumnya, tiba-tiba aliran tunai saya terjejas teruk. Simpanan yang ada hanya bertahan untuk sekitar setahun sahaja. Untuk menjual tanah-tanah yang saya miliki bukanlah begitu mudah. Bila orang tahu kita berada dalam keadaan susah, dia mulai tekan harga walaupun dia adalah kawan kita sejak lama. Bila kita susah barulah timbul wajah sebenar 'kawan' kita. Harga tanah yang bernilai tinggi mahu dibelinya dengan harga yang tidak munasabah, bayangkanlah betapa sakitnya hati dalam keadaan itu.

Tidak cukup dengan itu telah timbul lagi beberapa masalah lain. Kad kredit saya mencecah hutang sebanyak RM25000, iaitu jumlah maksimum untuk kad itu. Membayar 5% hutang kad kredit bererti RM1250 setiap bulan. Hutang kereta, hutang beli harta, bayaran bil, yuran pengajian anak juga mencecah ribuan ringgit setiap bulan. Semua ini mesti ditanggung tanpa kecuali. Semua mesti dibayar setiap bulan. Sewa pejabat dan gaji pekerja juga mesti terus dibayar. EPF, Socso dan cukai pendapat mesti dibereskan seperti biasa.

Jadi macam mana mahu dibayar kalau pendapatan tidak seberapa. Gaji pekerja masih mampu dijelaskan walaupun kadang-kadang lambat. Bila bank talipon, gelabah satu macam. Akhirnya saya enggan mengangkat talipon. Handphone sentiasa ditutup. Saya jadi phobia bila mendengar deringan talipon pejabat. Sungguh menyiksakan. Hidup rasa bagai diburu. Terasa semacam satu ketakutan pula. Saya sentiasa gelisah. Risau menjadi-jadi.

Mujurlah ada seorang kawan yang pernah mengalami keadaan diburu hutang seperti saya alami. Kawan itu menasihatkan supaya saya mengangkat talipon dan menjawab. Saya lakukan sebagaimana dinasihatkan. Saya berjanji membayar seminggu atau dua minggu. Bila saya gagal bayar, mereka talipon lagi dan lagi. Saya terus berjanji dan berjanji. Untungnya sebelum itu rekod bayaran saya bagus. Ada pegawai bank yang tahu masalah saya. Lalu mereka berikan saya peluang membayar.

Alhamdulillah saya sudah berjaya menyelesaikan kesemua hutang lapuk. Cukai pendapatan juga sudah berjaya dibayar tunggakannya. Kad kredit selesai, kecuali hutang baru. Otak sudah lega bila hutang berjadual dapat kembali dibayar secara teratur tanpa tunggakan, meninggalkan sedikit sahaja lagi baki untuk diselesaikan sepenuhnya. Dunia rasa kembali bermakna. Nafas sudah tidak semput. Tidur sudah lena. Mimpi menjadi semakin bagus dan mengasyikkan. Allah kembalikan hampir segalanya kepada saya. Syukur.

Nasihat saya kepada sesiapa yang diburu hutang agak mudah. Hadapilah hutang itu, jangan lari darinya. Mesti berniat dan berusaha membayar apasaja hutang. Jangan takut. Ceritakan kepada pemberi hutang apa sebenarnya masalah kita. Cari jalan penyelesaian. Tapi kalau hutang sama along saya tidaklah tahu macam mana mahu mengatasinya. Saya kira sesiapa berhutang dengan along memang mencari masalah. Tiada formula fasal along kecuali bayar sepenuhnya sebagaimana dia kehendaki.

Pengalaman diburu hutang memberi beberapa pelajaran. Pertamanya, jangan sedap berhutang walaupun secara logiknya kita amat mampu membayarnya. Kedua, bila kita susah kawan-kawan semua lari. Ketiga, bila berhadapan dengan hutang yang bermasalah, kita mesti lebih kuat untuk menghadapi hidup. Jangan pening kepala, hadapilah hutang itu. Keempat, potong segala perbelanjaan yang tidak perlu. Kalau ada tugasan diluar jangan bawa kereta, naik bas atau tren. Lupakan kapalterbang, lupakan lunch di hotel. Jangan lari dari tuhan.

Sesekali beleklah dompet kita. Tengok berapa wang ada didalamnya kalau kita terasa hendak berbelanja. Kalau ada kad kredit tinggalkan saja di rumah. Berurus hanya dengan tunai walaupun orang kata kita kuno dan ketinggalan zaman. Biarlah apa orang hendak kata asalkan hutang tidak mengejar kita!.

03 November 2011

Hutang Dan Kehidupan

Hutang sudah jadi sebahagian dari kehidupan, apalagi kehidupan dizaman moden ini. Rata-rata orang berhutang, hanya jumlah hutangnya sahaja yang berbeza-beza. Ada orang hutang sedikit, ada yang hutang banyak. Sukar juga hendak dicari orang yang tidak berhutang, kalau adapun mungkin kanak-kanak yang masih belum tahu apa-apa.

Secara umumnya hutang sudah menjadi seperti cara hidup. Iklan dalam media masa menggambarkan orang yang berhutang sebagai mempunyai 'kelas' dalam hidupnya. Pengguna kad kredit platinum ditonjolkan sebagai seorang yang amat berjaya dalam hidup dan mampu berhutang dalam jumlah yang tinggi. Kemampuan berhutang adalah dianggap sebagai simbol status seseorang. Tabiat berhutang digalakkan dengan berbagai cara, secara halus atau secara jelas.

Itulah sebabnya budaya berhutang semakin menjadi-jadi. Orang berhutang bukan kerana keperluan. Orang berhutang bukan kerana terpaksa. Orang sekarang berhutang kerana baginya hutang adalah jalan mudah. Dia berhutang untuk membeli sesuatu yang kadang-kadang langsung tidak perlu. Dia berhutang hanya kerana dengan berhutang dia boleh memiliki apa saja yang diinginkan. Dia berhutang kerana dia fikir mampu untuk membayar hutangnya.

Jika berhutang kerana membeli rumah atau kenderaan mungkin boleh dikira wajar. Tanpa berhutang memang sukar memiliki rumah dalam keadaan sekarang. Memang betul kalau kita menabung secara tekun, akhirnya kita akan mampu membeli rumah tanpa perlu berhutang. Memang betul dengan menabung kita boleh memiliki kereta idaman. Tetapi pengalaman menunjukkan bahawa kenaikan harga rumah amat tinggi. Sebuah rumah yang berharga RM300,000.00 sekarang sepuluh atau lima belas tahun lagi akan naik harganya menjadi dua atau tiga kali ganda. Tentulah tabungan kita masa itu masih tidak cukup untuk membeli rumah sedemikian.

Jadi, berhutang untuk membeli rumah bagi saya bukan saja patut malahan merupakan tindakan bijak atas alasan diatas. Menunggu sehingga harga rumah naik berkali ganda kerana enggan berhutang sekarang tentulah kurang cermat. Hutang kerana membeli rumah untuk tempat tinggal keluarga adalah lebih baik dari terus menyewa untuk masa yang lama.

Yang menjadi masalah di negara kita ialah kegilaan berhutang yang telah membudaya, lebih-lebih lagi dikalangan eksekutif muda. Mereka berhutang bukan kerana keperluan tetapi lebih kepada mengejar cara hidup mewah. Hutang dibuat atas perkara yang tidak perlu. Hutang dibuat hanya untuk bergaya. Hutang koperasi, hutang bank dan hutang along sudah jadi amalan hidup dan perkara biasa. Sebab itu bila ada lapuran akhbar tentang jumlah orang bangkrap dikalangan golongan muda semakin bertambah naik tidaklah menghairankan. Itu mungkin hanya sebahagian kecil dari jumlah sebenar golongan muda yang mengalami bebanan hutang di negara kita.

Saya dijemput minggu lalu oleh saudari Ida Harlina, pengerusi Majlis Belia Wilayah Persekutuan untuk turut berbincang soal keberhutangan generasi belia yang agak mencemaskan. Ida adalah kenalan baik semasa saya masih aktif dalam gerakan belia sebelum ini. Memang saya berhasrat untuk hadir namun tugas mendesak lain disaat akhir menghalang kehadiran saya dalam majlis berkenaan. Walaupun begitu saya pasti masalah keberhutangan begini sekarang sudah serious sehinggakan wacana sebegitu diadakan. Suka atau tidak suka kita mesti akui bahawa tabiat berhutang mulai menjadi satu penyakit dan masalah kepada negara.

Selain daripada belia, orang dewasa atau sesiapa sahaja suka berhutang, negara juga berhutang. Secara logiknya negara terpaksa berhutang ialah untuk membiayai pembangunan atau menampung kos atau hal lain. Negara pula kalau berhutang bukannya sedikit, mungkin ratusan atau ribuan juta. Yang menanggung semua hutang ini ialah rakyat, termasuk anak-anak kecil. Demikian beratnya hutang negara, setiap dari kita menanggungnya. Apakah hutang negara itu wajar atau tidak, itu soal lain. Kalau individu boleh bangkrap kerana hutang, negara juga boleh mengalaminya. Pendekata hutang lebih banyak buruk dari baiknya.

Sesungguhnya orang yang betul-betul gembira ialah orang yang tiada hutang. Negara yang betul-betul kaya adalah negara yang bebas dari hutang!

02 November 2011

Hujan Di Ulu

Semalam saya seharian di ulu Pahang. Kawasan pendalaman itu sekarang ini giat membangun, terutamanya projek perumahan yang dikendalikan sektor swasta. Ulu Pahang ini bukan macam dulu lagi, sudah ada berbagai kemudahan.

Hujan lebat seharian. Lebat, memang sangat lebat. Begitulah keadaan di Jerantut, sebahagian dari kawasan yang dikenali sebagai ulu Pahang. Bandar itu terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur, dengan keadaan jalanraya yang agak baik. Dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Karak, Lebuhraya Pantai Timur dan seterusnya melalui jalan Temerloh - Jerantut memang selesa memandu, apa lagi tidak banyak kenderaan di atas jalan.

Musim begini Pahang memang tidak terkecuali menerima kesan dari hujan lebat di ulu. Khabarnya hujan sudah beberapa hari. Di Temerloh juga hujan tidak henti-henti. Air Sungai Pahang dari Ulu Tembeling akan mengalir ke Jerantut, Temerloh dan seterusnya ke Pekan. Jika hujan lebat seperti semalam berterusan, nampaknya dalam seminggu dua ini banjir akan melanda kawasan berkenaan, apa lagi kalau masa air pasang di kuala Sungai Pahang.

Banjir di Pahang adalah fenomena tahunan. Rakyat negeri itu sudah biasa dengan banjir. Malahan ada penempatan dibuat sejak lama dulu untuk memindahkan mangsa banjir. Mereka ini dipindahkan dari tepi Sungai Pahang ke kawasan baru dan diberikan tanah untuk tempat tinggal. Pada kebiasaannya penempatan begini akan didiami oleh rakyat asal negeri Pahang berbanding tempat lain yang ramai dengan orang berasal dari Kelantan, Kedah dan lain-lain.

Hujan lebat di ulu begini memberi khabar bahawa musim banjir akan tiba. Bersedialah.