07 December 2011

Mahu Memperbaiki Diri?

Memperbaiki diri ada bermacam jenis. Sesetengah orang memperbaiki diri secara belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Setengah yang lain pula memilih kerjaya baru sebagai jalan memperbaiki diri. Ada yang bertukar kerja. Ada juga yang berhenti kerja untuk memasuki bidang perniagaan. Pendekata banyaklah cara atau kaedah orang memperbaiki diri.

Bagi saya segala macam jalan yang dikatakan memperbaiki diri itu sebenarnya tidak akan membawa kita kemana-mana. Menukar kerjaya bukan bermakna memperbaiki diri. Berhenti kerja makan gaji lalu memasuki dunia perniagaan juga bukanlah memperbaiki diri dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Memperbaiki diri membawa konotasi atau jangkauan yang lebih jauh dari semua itu.

Memperbaiki diri ialah mengubah gaya hidup, cara hidup. Secara khususnya ia bermaksud merubah sikap. Memperbaiki diri ialah mendorong dan membawa halatuju hidup kepada sesuatu yang lebih baik, lebih bermakna. Memperbaiki diri menuntut suatu perubahan pada individu. Memperbaiki diri merangkumi unsur-unsur dalaman pada diri seseorang.

Oleh yang demikian jika seseorang itu selama ini boros, dia memperbaiki dirinya secara mulai berbelanja dengan berhemah. Kalau dia sombong, hidung tinggi, maka dia hendaklah merendah diri dan bermuka manis. Kalau dia suka mengumpat misalnya maka hendaklah dia bercakap perkara yang baik-baik. Kalau dia malas, hendaklah dia berusaha. Dia hendaklah keluar dari sikap pemalasnya dan menjadi lebih rajin.

Dalam ertikata lain memperbaiki diri ialah berubah dari sikap atau perangai yang negatif kepada sikap atau perangai bercorak positif. Semua ini memerlukan kemahuan dan kesungguhan. Semua ini tidak akan berjaya tanpa benar-benar dilakukan, tanpa dipaksa-paksa. Ianya mesti lahir dari kesedaran dan kemahuan sendiri, bukan dari orang lain. Keluhuran dan keikhlasan untuk berubah adalah kunci utama dalam perjalanan seseorang memperbaiki dirinya.

Mari kita bertanya kepada diri kita sendiri, adakah kita sebenarnya telah berubah. Adakah kita telah melakukan pembaikan kepada sikap kita, kepada matlamat hidup kita?. Adakah kita masih di takuk lama, berlegar didalam alam angan-angan yang tidak habis-habis?. Masihkah kita kokok berdegar-degar sedangkah ponggong dipenuhi tahi?. Pernahkah kita melakukan muhasabah pada diri kita selama ini?.

Ya, kalau kita mahu berubah hanya kita sendiri yang ada jawapannya!.

06 December 2011

Aduh Sungguh Muluk Bunyinya!

Sejak lebih dua puluh tahun negara kita dipaparkan dengan pelbagai slogan dan gagasan. Bermula dengan 'penerapan nilai-nilai Islam', 'bersih cekap dan amanah', 'Malaysia Boleh', 'Islam Hadhari' sehinggalah '1 Malaysia' dan 'transformasi', kita melihat semua slogan atau gagasan ini diketengahkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.

Sejauh manakah slogan atau gagasan ini mencapai kejayaan agak sukar dipastikan. Yang pastinya sebahagian dari slogan/gagasan ini dibiarkan ' tidak bernyawa' bila berlaku pertukaran pucuk pimpinan negara. Tentulah ini tidak wajar berlaku kerana sesuatu slogan/gagasan bukan sesuatu yang lahir sekelip mata. Ianya digagaskan hasil kajian pihak tertentu atau oleh para penasihat Kerajaan.

Bagi saya pendekatan negara meninggalkan sesuatu slogan/gagasan begitu sahaja bila berlaku pertukaran pucuk pimpinan memang kurang baik. Malahan dizaman Dr Mahathir sendiri slogan 'bersih, cekap dan amanah' seolah-olah berkubur begitu sahaja bila datangnya kempen 'Semarak' dan 'Malaysia Boleh'. Sejauh mana slogan/gagasan 'bersih, cekap dan amanah' berkesan atau mencapai sasarannya tidak langsung dipaparkan kepada masyarakat dalam bentuk kajian yang dibuat.

Kalau adapun ianya sekedar kenyataan politik bahawa slogan/gagasan itu telah mencapai matlamatnya. Persoalan yang timbul ialah benarkah kita telah berjaya mewujudkan pentadbiran yang benar-benar bersih dan cekap?. Jika benar kenapa soal rasuah misalnya masih menjadi bualan umum?. Kenapa kes-kes rasuah menunjukkan kecenderungan menaik, bukan sebaliknya?.

Slogan/gagasan 'Malaysia Boleh' pada hemat saya telah berjaya dilaksanakan. Rakyat secara umumnya menerima konsep/gagasan ini dalam merangsang kejayaan masing-masing. Lihatlah kejayaan kita dibidang sukan, pembangunan infrastruktur, penghasilan industri dan beberapa bidang lain yang boleh dibanggakan. Sungguhpun ukuran kejayaan itu tiada dalam bentuk statistik namun gelombangnya terasa. Rakyat tanpa mengira bangsa menjadi begitu bangga mengucap dan mencapai apa yang digagaskan oleh slogan/konsep 'Malaysia Boleh' tersebut.

Namun begitu 'Malaysia Boleh' nampaknya tenggelam oleh slogan/gagasan 'Semarak'.dan 'Islam Hadhari'. Slogan/gagasan 'Semarak' bagi saya hanya merupakan sejenis perhimpunan besar bagi meraih perasaan rakyat. Apa sebenarnya yang telah dicapai melalui gagasan 'Semarak' masih samar-samar hingga ke hari ini. Selain dari jalan, bangunan atau tempat tertentu dinamakan 'Semarak', tiada hasil lain yang boleh dilihat memberi faedah besar kepada masyarakat.

'Islam Hadhari' yang diutarakan oleh Pak Lah juga suatu slogan/gagasan yang gagal difahami oleh ramai orang. Saya kenal baik dengan individu yang berada dibelakang gagasan/konsep 'Islam Hadhari' ini. Menurut beliau (pada masa itu) ramai pemimpin politik dan pemimpin Kerajaan pusat dan negeri juga turut tidak memahami perkara ini. Bila era Pak Lah berakhir, konsep 'Islam Hadhari' langsung tidak disebut lagi. Mungkin itu satu-satunya slogan/gagasan/konsep yang paling cepat menemui tempatnya dalam musium politik dan pentadbiran negara!.

Berkaitan slogan '1 Malaysia' dan gagasan 'transformasi' di era Perdana Menteri sekarang memang tidak mudah diukur keberkesanannya. Namun secara umum semangat cinta negara nampaknya semakin menebal melalui konsep/slogan '1 Malaysia'. Boleh jadi slogan/konsep itu berbetulan dengan generasi baru rakyat yang semakin tidak terikat dengan perkauman sempit tetapi memandang semua rakyat Malaysia sebagai satu. Rakyat sekarang tidak melihat sangat kepada etnik/kaum tetapi kepada apa yang boleh diberi/disampaikan oleh seseorang itu kepada rakyat secara umum.

Bagi saya setiap satu atau kesemua slogan/gagasan yang dinyatakan diatas wajar dikaji hasilnya. Tiada gunanya negara berbelanja besar mempromosi slogan/gagasan/konsep yang berbagai itu selama ini tanpa faedah yang nyata kepada rakyat. Apa-apa slogan/gagasan/konsep tentu ada kebaikannya. Maka kebaikan itu amat patut diteruskan. Mana-mana slogan/gagasan/konsep yang samar-samar atau tidak berkesan tidak guna diteruskan. Jangan biarkan rakyat terus dibuai dengan slogan/gagasan berkenaan. Lebih baik rakyat dibiarkan merancang punca mendapat rezki mereka dalam keadaan ekonomi kurang ceria ini.

Tiada faedahnya sekedar berslogan!.

Memperbaiki Diri

Memperbaiki diri sendiri memerlukan keazaman dan kesungguhan. Keazaman dan kesungguhan itu tidak boleh halai balai. Keazaman dan kesungguhan itu tidak boleh sekedar cakap-cakap. Keazaman dan kesungguhan itu mesti dilakukan. Mesti ada langkah positif dibuat bagi merealisasikan keazaman dan kesungguhan itu.

Jika kita berazam menjadi lebih baik, kita kena bersungguh-sungguh bergerak ke arah menjadi lebih baik. Jika kita hanya bercakap hendak menjadi lebih baik, cakap-cakap itu hanya lagho atau sia-sia. Cakap itu seperti bunyi burung kakak tua mengucapkan selamat pagi. Ianya sekedar hiburan, sekedar mengisi waktu bergebang di kedai kopi. Hanya azam tanpa tindakan umpama pohon tidak berbuah, nampak cantik dan subur tetapi tiada hasilnya.

Maka jika kita benar-benar berazam hendak berubah, kita kena melangkah ke arah itu. Kalau kita misalnya mahu meninggalkan tabiat buruk suka mengendap orang, maka waktu yang biasanya kita pergi mengendap hendaklah kita gunakan untuk kerja yang lebih baik. Kalau misalnya kita suka bergebang di kopitiam sehingga larut malam, kita pendekkanlah waktu bergebang itu. Kalau pula kita suka hisap rokok bersambung puting, kita kurangkanlah menghisap rokok sebelum betul-betul berhenti merokok.

Tanya diri kita sendiri : yang aku buat selama ini betulkah atau untungkah?. Kalau yang kita telah lama lakukan itu sebenarnya tidak betul maka hentikanlah. Kalau apa yang selama ini kita kerjakan hanya membawa rugi, buat apa kita teruskan. Tiada gunanya kita melakukan perkara-perkara yang salah atau merugikan. Tiada gunanya kita habiskan masa dan wang melakukan kerja yang sia-sia.

Cuba kita congak dan hitung. Selama ini berapa lamakah masa kita dibazirkan dengan sengaja?. Berapa banyak wang telah kita buang ke longkang?. Berapa banyak pembohongan atau penipuan telah kita buat?. Berapa banyak amanah yang tidak kita laksanakan?. Berapa jumlah janji-janji yang tidak dilaksanakan?. Tentu banyak perkara lagi yang hendak kita congak, yang hendak kita hitung.

Jadi kalau kita hendak berubah, maka berubahlah. Jangan cari alasan.

02 December 2011

Kalau Nasihat Tidak Didengar...

Pepatah Melayu menyebut 'hidup bersendi adat, adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah' memperlihatkan garis asas-asas kehidupan yang mesti diikuti oleh seseorang. Pepatah ini begitu sinonim dengan masyarakat berketurunan Minangkabau khususnya serta juga dipakai oleh suku Melayu yang lain diseluruh Nusantara. Pepatah ini merupakan satu bentuk nasihat agar dipatuhi semasa hidup bermasyarakat.

Sesungguhnya dunia Melayu memang penuh dengan tatacara. Dan tatacara kehidupan dalam dunia Melayu bukannya sembarangan. Hidup di dunia Melayu bersandarkan kepada nasihat, peraturan dan agama. Tidaklah betul kalau dikatakan dunia Melayu tidak bertamaddun. Dunia Melayu telah lama maju dan bertamaddun dengan bersandarkan kepada agama Islam. Sebab itulah disebut 'hukum bersendi kitabullah'. Generasi intelek Melayu sebelum kedatangan penjarah dan penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris telah menggariskan panduan hidup masyarakat demi kesejahteraan bersama. Dan peraturan sedemikian masih relevan buat kita zaman berzaman.

Asas utama hidup dalam masyarakat Melayu-Islam ialah nasihat dan agama. Sebab itu kita dapati budaya berleter yang agak menonjol dalam masyarakat sejak dulu lagi. Berleter bukan sembarangan bercakap, merungut atau membebel. Berleter mempunyai unsur nasihat yang banyak. Yang berleter ialah seseorang yang lebih tua atau mempunyai kuasa. Ibu bapa berleter kerana menasihati anak. Ketua jabatan berleter kerana kakitangan cuai dan sebagainya. Ini semua adalah bentuk leteran bervisi menasihat.

Memang penting untuk mendengar nasihat. Kata pepatah jika nasihat tidak didengar, kalau tidak patah, tiat. Ini biasanya merujuk kepada larangan seorang ibu kepada anaknya. Jika anak itu melanggar nasihat maka akan berlaku perkara buruk. Dan nasihat begini sudah tentu terbit dari kehidupan harian yang dilalui si anak yang tidak mendengar nasihat ibunya. Begitulah akibat dari keengganan mendengar nasihat.

Dunia Melayu yang sarat dengan budaya nasihat itu juga ada panduan yang baik untuk pemerintah. Pemerintah hendaklah berlaku adil kepada rakyatnya. Nyawa, maruah dan harta rakyat hendaklah dilindungi. Semua ini berdasarkan kepada ajaran agama Islam. Jika peraturan mudah begini diikuti, tiada sebab akan berlaku kegelisahan dikalangan rakyat. Harta negara adalah harta rakyat. Ianya harus dijaga dan dilindungi dari pembaziran dan salahguna.

Maka dengarlah nasihat yang baik dan bertanggungjawab, bukannya nasihat yang jahat dan merosakkan!.

Mengharungi Hidup

Selama kita hidup selama itulah kita akan lalui pelbagai pengalaman. Dan pengalaman terbaring beberapa hari bagi saya ada manisnya. Bilamana hendak bergerak agak susah baru saya tahu dan rasai apa yang dinamakan jemu atau boring. Jemu duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa!.

Memang sudah lama saya tidak alami hal ini. Kalau adapun kira-kira tujuh tahun lalu bila dirawat di hospital. Sekarang bila saya hanya terkurung di rumah perasaannya agak lain berbanding dirawat di hospital. Kalau di hospital ada juga kenalan baru berborak itu ini. Kalau terperap di rumah begini, apa lagi tiada geng berborak datang melawat, dunia jadi sempit rasanya.

Cuba bayangkan orang yang langsung tidak boleh bergerak akibat lumpuh atau sakit kronik. Ada jiran saya sudah beberapa bulan tidak dapat bergerak kerana sakit. Kasihan tengok dia. Saya masih juga boleh mundar mandir dalam rumah walaupun perlu berhati-hati sebagaimana nasihat doktor. Kalau rasa geram dan amat boring saya keluar juga dari rumah sambil berjalan gaya orang tua bongkok. Hahaha...

Natijahnya ialah kita perlu bersyukur. Kalau kita susah, ada orang yang lebih susah. Kalau kita sakit, ada orang yang lebih parah. Jadi janganlah merungut sangat. Janganlah kuat mengomel. Jangan mudah merajuk. Jangan gemar panas baran. Jangan suka mengarah itu mengarah ini. Jangan selalu meminta dilayan. Kalau sakit dan terperuk di katil, siapa mahu peduli kita. Perlahan-lahan kita akan ditinggalkan. Perlahan-lahan kita akan dilupakan.

Hidup jangan selalu mengada-ngada. Kita mesti mampu melakukan sendiri banyak perkara. Bukannya susah untuk memasak atau basuh pinggan, basuh baju. Bukannya sukar kalau hendak buat sarapan. Ada kopi buatlah sendiri. Ambil roti, ambil madu sapukan dan suap. Itu saja. Mudah dan tidak sukar dilakukan.

Bagus juga sesekali begini ya!.