30 December 2011

Jangan Pening Kepala

Semasa tinggal di Pahang saya berkawan dengan seorang Pengurus Besar sebuah perbadanan. Beliau seorang pentadbir yang agak bagus. Pernah bekerja dibawah Tun Razak menjadikan beliau mempunyai cara bekerja yang cukup menarik. Kawan saya ini sentiasa berminat dalam melaksanakan tugasnya malahan sentiasa ceria.

Tugas beliau mentadbir kawasan Jengka yang luas dengan ratusan ribu peneroka memang mencabar. Meliputi tiga daerah iaitu Maran, Jerantut dan Temerloh, perbadanan yang diketuainya memikul tugas berat membangunkan bandar dan infrastruktur di kawasan Jengka. Ini tentunya bukan kerja mudah. Ini pastinya menuntut keazaman yang tinggi. Suasana wilayah Jengka di era akhir 80an dan pertengahan 90an memang masih sukar dengan karenah peneroka yang pelbagai.

Namun kawan saya ini mengambil sikap yang agak menarik didalam mengendalikan tugas beliau. Pegangan atau prinsipnya ialah 'jangan pening kepala'. Sikap atau approach ini membolehkan beliau sentiasa kelihatan bersedia menghadapi pelbagai karenah. Sebahagian besar atau hampir keseluruhan generasi peneroka di wilayah Jengka pada masa itu mempunyai pendidikan yang amat asas. Jadi bukanlah mudah untuk mentadbir mereka ini. Namun berpandukan pegangannya itu beliau nampak selesa di daerah terpencil tersebut.

Bagi saya sikap atau pegangan begini ada baik buruknya. Baiknya ialah kita memang tidak pening kepala. Hidup seadanya. Kalau apa orang minta, beri sahaja. Jangan terlibat dengan pertikaian yang meleret-leret. Ikut sahajalah apa yang diarah, asalkan jangan pening kepala.

Yang buruknya ialah pegangan sebegini membawa konotasi negatif. Buat sahaja apa jua seadanya asalkan nampak kerja dibuat. Tidak perlu fikir lebih-lebih kerana ianya akan memeningkan kepala. Usah banyak bertanya, lakukan sahaja, jangan pening kepala.

Tentunya dalam era sekarang konotasi negatif itu bukan sesuatu yang baik kerana sikap atau penilaian masyarakat sudah berubah. Masyarakat tidak mahu servis yang diberi seolah-olah melepaskan batuk ditangga. Masyarakat mahukan kualiti. Masyarakat mahukan pertanggungjawaban. Zaman pegawai kerajaan atau perbadanan milik kerajaan bersenang-senang sudah berlalu. Zaman menunggu di ofis agar klien datang mencari sudah berubah. Zaman menunggu peminjam datang ke bank untuk memohon pinjaman sudah hampir berakhir. Ini zaman proaktif, bukan lagi zaman tuan dan hamba.

Itulah juga sebabnya zaman temberang sedang memasuki episod gerhana. Zaman ancaman dan menakut-nakutkan sudah berlalu. Rakyat sudah amat ramai yang cerdik. Usahlah sembunyikan sesuatu fakta yang sebenarnya dari pengetahuan rakyat kerana lambat laun duduk perkara sebenarnya akan diketahui juga. Kerana tidak mahu pening kepala akhirnya akan menjadi bala.

Suka atau tidak, semua komponen dari pemerintah dan rakyat mesti menyedari hakikat ini. Negara kita cukup besar untuk semua warganya. Negara kita cukup kaya. Pengurusan yang terbaik akan menjadikan negara kita lebih kaya dan berjaya. Dengan itu segala konotasi negatif tidak harus wujud dalam keadaan sekarang.

Diawal era komputer dan komunikasi siber saya fikir tidak perlu bagi saya memahami dan menggunakan komputer. Saya punyai pembantu yang ramai dari kalangan professional dan separa professional. Saya juga tidak perlu tahu hal perakaunan kerana akaun firma saya diuruskan oleh akauntan. Kawan-kawan sezaman saya sudah ramai menjadi ketua jabatan atau organisasi dan tentu mudah saya berhubung dengan mereka. Jadi apa gunanya saya pening kepala?.

Namun saya sedar bahawa dunia akan bergerak ke hadapan. Revolusi komputer akan meneruskan ledakannya. Saya tidak mahu jadi macam tikus tengok besi. Dan atas kesedaran itulah saya mendekati keyboard, mengetik huruf satu demi satu macam ayam patuk sagu. Akhirnya saya berjaya atasi kekangan itu dan boleh melayari alam siber seperti orang lain sedangkan ramai kawan-kawan saya masih buta komputer. Kasihan.

Dengan itu apa jua perubahan atau tuntutan kepada perubahan patut diambil kira oleh semua pihak. Tuntutan kepada ketelusan dan good governance misalnya sudah tidak boleh disekat-sekat lagi. Tuntutan kepada pertanggungjawaban sudah merebak ke seluruh dunia, tidak terkecuali di negara kita. Bagaimana tuntutan-tuntutan ini patut diurus wajar difikirkan secara baik oleh semua pihak yang terlibat.

Masih tidak mahu pening kepala?.

Mengejar Masa

Ramai orang kelihatan tergesa-gesa mengejar masa tidak kira diwaktu pagi, tengahari, petang atau malam. Mereka jadi serba tidak kena. Berada disekeliling orang begini turut menyebabkan kita jadi kalut tidak tentu fasal. Orang yang terkejar-kejar masa begini akan terus begitu sehinggalah dia sakit atau mati.

Saya jadi hairan melihat orang begini. Mereka tidak peduli hal sekeliling. Masa yang dikejar kebiasaannya adalah berkaitan diri sendiri sahaja, tiada kena mengena dengan masyarakat. Orang begini mana ada masa untuk masyarakat. Mereka hanya fikir soal diri sendiri, anak bini dan tembolok. Kalau dia/mereka berbaik dengan kita, tentu ada maksud tersirat. Ya, itulah sifat dan psikologi orang yang kononnya tiada masa dan sentiasa terkejar-kejar masa.

Sungguh kasihan melihat perangai orang yang kononnya terkejar-kejar masa begini. Biasanya mereka makan dengan pelahap sekali. Sesudah suapan makanan yang akhir, mereka dalam kategori ini akan terus melanggah air sekaligus dan terus berlalu. Sungguh buruk sekali. Kelihatannya mereka seperti tiada rehat. Akhirnya berbagai penyakit datang, terutamanya kencing manis, darah tinggi dan gout secara pakej. Dan ramai dari golongan ini mati muda seusia empat puluhan dan lima puluhan. Kalau tidak mati mudapun golongan ini akan mengalami penyakit yang menyiksakan akibat terkejar-kejar waktu, akibat tiada masa untuk santai dan senaman.

Apa yang saya catatkan disini adalah berdasarkan pengamatan peribadi dan pengalaman orang lain yang diceritakan kepada saya. Oleh itu sejak lama dulu saya tidak mahu terkejar-kejar masa. Stresnya tidak padan. Saya akan sampai ke sesuatu tempat lebih awal dari jadual, kecuali ada halangan. Walaupun saya sememangnya agak terikat dengan jadual kerja, saya akan makan dan minum secara santai. Otak mesti tenang. Pernafasan mesti teratur, senaman mesti dilakukan. Dalam keadaan itupun saya masih dihinggapi penyakit, apalagi kalau saya menjadi sebahagian dari kumpulan tidak cukup masa yang saya catatkan disini!.

Kalau anda fikir mengejar masa tidak memudaratkan, maka cubalah letakkan diri anda terkejar-kejar kesana sini tanpa rehat yang cukup. Cubalah jangan peduli hal tetangga atau keluarga. Buat hal sendiri sahaja. Makanlah secara tergesa-gesa dan minumlah air sekaligus. Kalau anda berhasrat melakukan hal begini, saya nasihatkan anda membuat wasiat terlebih dahulu!.

29 December 2011

Lembu Patah Kaki

Saya percaya ramai orang pernah mengalami kerosakan kenderaan ditengah jalan. Ianya adalah satu pengalaman pahit manis yang memang sukar dilupakan oleh siapa sahaja. Pengalaman begini menjadi lebih rumit dan menyiksakan sekiranya kerosakan itu berlaku dalam perjalanan jauh.

Itulah yang terjadi kepada saya beberapa kali. Ianya amat mencabar. Kalau setakat tayar bocor masih kira ok. Kalau aircon tidak berfungsi masih boleh dikira bernasib baik. Yang beratnya ialah kalau enjin terlalu panas atau lain-lain masalah mekanikal menjadikan seluruh perjalanan tergendala. Kalau enjin terlalu panas atau kita selalu sebut 'over heated', ini masalah besar.

Satu hari dalam perjalanan ke Kuala Selangor saya dan anak saya tersadai berhampiran pekan Ijok. Nasib baik disitu sebab  jarak ke Ijok sekitar dua kilometer sahaja. Ada satu bengkel letaknya bertentangan dengan tempat kereta saya tersadai. Malangnya bengkel itu tidak mahir mengenai kereta jenis yang saya pakai. Kebanyakan kereta yang dibaiki disitu adalah buatan Jepun, Korea dan buatan tempatan. Akhirnya saya terpaksa menggunakan khidmat lori towing untuk menghantar kereta itu ke bengkel yang sememangnya mengendalikan kereta saya sejak dulu.

Secara lojiknya kejadian enjin terlalu panas itu tidak akan berlaku sebab kereta itu baru seminggu diservis oleh bengkel berkenaan. Soal kereta 'break down' bukan soal lojik. Walau bagaimana baru atau bagaimana teliti sekalipun kita menjaganya, kalau kereta itu hendak meragam dia akan meragam. Yang perlu kita ada ialah persiapan mental dan wang. Jangan gelabah jika ditimpa musibah begitu. Jangan rasa tertekan.

Kita mesti tenang hadapi situasi begini. Gunakan talipon untuk memberitahu syarikat insuran yang biasanya akan menghantar lori towing untuk membawa kereta kita ke bengkel berdekatan atau ke  bengkel pilihan kita. Biasanya ada kadar bayaran tertentu dikenakan jika kereta itu hendak dibawa jauh dari kawasan kemalangan atau tempat kereta kita tersadai itu. Jadi adalah penting kita menyimpan nombor talipon syarikat insuran berkaitan.

Adalah juga penting kalau kita tahu serba sedikit hal enjin atau peralatan kereta kita. Sesetengah orang langsung tidak tahu hal begitu malahan hendak menukar tayar yang bocor terpaksa minta bantuan orang lain. Hal-hal asas seperti macam mana hendak membuka bonet bahagian hadapan kereta perlu diketahui. Saya perhatikan pemandu-pemandu wanita amat lemah dalam soal ini. Mereka hanya tahu memandu, itu sahaja.

Saya juga cadangkan agar para pemandu menyimpan nombor talipon kenalan atau saudara dihampir semua bandar di Malaysia. Telah lama saya amalkan perkara ini sebab inilah caranya kita mendapat bantuan yang cepat. Kalau kita tiada kenalan atau saudara disitu, kita mesti ada kawan yang mempunyai kawan atau saudara disitu. Sebab itu adalah amat penting kita berkawan dan tidak sombong serta mementingkan diri sendiri. Kalau kita selalu bantu orang, Allah akan hantar orang lain membantu kita!.

Sebagaimana kita tahu kemalangan atau kerosakan kereta adalah pengalaman yang agak berat. Kalau kereta itu tidak boleh dipandu laju akibat rosak tadi, maka memandu kenderaan itu secara perlahan macam orang tua rabun amat menjelekkan. Pernah sekali kenderaan pacuan empat roda saya mengalami masalah sebegitu. Dari tempat ia mulai rosak hendak ke rumah saya amat lambat sekali, macam lembu patah kaki berjalan perlahan berdengkot-dengkot. Bayangkan betapa sukarnya saya apalagi kejadian itu berlaku dimalam hari.

Bagi saya kita mesti sentiasa bersedia untuk keadaan seperti itu. Lagipun kita memang sepatutnya sentiasa bersiapsiaga dalam keadaan apa sekalipun. Setidak-tidaknya kita disuruh sentiasa bersedia untuk mati. Jadi, janganlah seronok dan leka sangat dalam hidup ini!.

27 December 2011

Ketua Beruk Pandai Bersilat...

Petang semalam saya menziarahi seorang rakan di Jeram. Perniagaan lembu sistem feedlot yang diusahakannya sejak berbelas tahun dahulu memang cukup berjaya. Bermula sebagai seorang gembala lembu di sekitar Pandamaran, Kelang beliau sekarang turut terlibat mengimpot lembu-lembu dari luar negara. Dengan pelajaran yang amat asas dan tanpa dokongan kewangan dari keluarga atau pinjaman mudah jutaan ringgit, dia berjaya mencapai tahap yang membanggakan.

Yang jelas ialah untuk berjaya tidak semestinya berpelajaran tinggi. Untuk berjaya dalam satu-satu bidang tidak memerlukan modal jutaan ringgit. Komitmen yang baik dan keinginan untuk berjaya mengatasi segala-galanya. Kalaupun punyai modal berjuta namun tanpa pengalaman atau komitmen, sesuatu perusahaan tidak akan sampai kemana.

Kawan saya ini sudah tidak fikir lagi soal pasaran kerana dia sudah ada pasaraya-pasaraya yang menjadi pelanggan tetapnya. Dia juga tidak bimbang mengurus lembu-lembu itu kerana dia punyai pekerja yang mahir. Yang beliau bimbangkan ialah tiga musuh utama yang selalu mengganggu lembu, kambing dan ayam itik diladangnya. Gangguan begini kekadang amat memeningkan kepala. Dia kadang-kadang jadi phobia walaupun sentiasa ditemani shotgun separa otomatik!.

Memang kawan saya ini benci bila babi merempuh ladangnya. Dia lebih benci bilamana ular sawa menelan ayam, itik dan kambing-kambingnya atau mengacau lembu peliharaannya. Dia lagi pening kalau sekumpulan beruk menyerang ladangnya dan membuat kacau bilau disitu. Tiga musuh inilah yang benar-benar mengganggu ketenteraman kawan saya ini.

Agak mudah bagi kawan saya ini menangani babi. Tembak saya dan kambus atau beritahu orang cina atau india datang ambil binatang itu. Binatang domoi pendek itu walaupun memeningkan namun tidak sangat sukar dikendali. Begitu juga dengan ular sawa bersaiz betis lelaki dewasa, tembak sahaja dan kambus dalam-dalam. Walaupun banyak itik, ayam dan kambingnya telah jadi mangsa tetapi kawan saya ini agak mudah kendalikan ular sawa.

Yang sangat memeningkan kawan saya ini ialah bilamana seketumbukan beruk menyerang ladangnya dan ladang atau rumah jiran-jirannya. Ini memang betul-betul pening. Beruk-beruk ini akan menyelongkar makanan dalam setor atau pejabat/dapur memasak dikandang milik kawan saya ini. Kumpulan beruk ini juga menyerang kedai runcit milik jiran kawan saya itu. Ladang ternakan ayam kampong yang diusahakan oleh seorang kawan saya yang lain turut diserang oleh beruk-beruk berbadan besar ini.

Dan beruk-beruk ini juga amat ganas. Mereka diketuai oleh seekor beruk jantan besar yang dikatakan pandai bersilat. Kalau hendak dipukul dengan kayu, si ketua beruk ini.pandai menempis. Gigi taringnya yang tajam itu cukup menggerunkan. Tangannya juga cukup keras. Saya sendiri kagum bila kawan saya kata beruk-beruk ini sangat cerdik dan ganas. Malahan anjing milik kawan yang memelihara ayam kampung itu juga akan diam kalau geng beruk menyerang. Nampaknya kawasan di sekitar Jeram itu sudah menjadi jajahan takluk beruk-beruk ini.

Pernah satu kali kawan saya dipanggil oleh jirannya sebab rumah jiran itu diserang beruk. Habis makanan, pakaian dan peralatan dalam rumah dirosakkan. Bila kawan saya datang dengan shotgunnya, ketua beruk berdiri sambil menyeringaikan taringnya. Apalagi, tembak satu kali dan yang lain-lain bertempiaran lari. Ketua beruk yang ada sekarang ini katanya lagi ganas dan kawan saya ini sudah hilang sabarnya.

Demikianlah yang terjadi kalau beruk-beruk bermaharajalela. Kalau dagingnya boleh dimakan oleh orang Islam lainlah halnya. Hendak ditembak selalu rasa kasihan juga. Hendak dipasang perangkap pula ada juga masalahnya. Jadi menguruskan soal beruk ini memang rumit sikit.

Berukpun sudah tiada tempat hendak pergi. Lagipun mungkin geng beruk ini sudah sepakat bertindak begitu. Bayangkanlah apa yang akan terjadi kalau kumpulan-kumpulan beruk ini nanti menyerang kawasan berdekatan termasuk Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Begitulah halnya kalau ketua beruk pandai bersilat!.

25 December 2011

Perubahan Dan Alternatif

Selama berminggu-minggu menderita slip disc mempertemukan saya dengan suatu sikap yang bagus dalam hidup. Sikap itu ialah bahawa kita sewajarnya mempunyai alternatif dalam hidup sehari-hari. Kita bukan sahaja perlu mengketengahkan perubatan alternatif sebagai pilihan kepada perubatan moden malahan kita juga perlu mempunyai alternatif-alternatif dari aspek lain.

Masyarakat kita mesti diajar agar tidak jumud. Masyarakat kita mesti berfikiran terbuka dengan syarat mestilah tertaklok kepada batasan-batasan agama. Masyarakat kita mesti meraikan perbedaan pandangan dan approach dalam sesuatu perkara. Budaya menghukum dan menghentam membuta tuli mesti dibuang jauh-jauh. Jangan fikir kita saja betul, kita adalah hero sedangkan orang lain penderhaka. Kutukan keterlaluan bukannya baik malahan kadang-kadang menimbulkan masalah lain pula. Budaya mengampu dan cium tangan orang atasan bukanlah satu amalan yang patut berkembang dalam negara kita.

Kalau seseorang itu mahu berfikir, dia tentu mencari alternatif lain kepada apa saja juzuk kehidupan yang dilaluinya. Dia tidak perlu membodek atau cium tangan taukehnya jika dia mempunyai jatidiri atau integriti yang kuat. Bodek lebih-lebih sangat untuk apa. Orang yang suka membodek akan sentiasa kena membodek dari seorang ke seorang disepanjang masa. Orang begini adalah manusia penakut kelas pertama. Jadi lengkapkanlah diri dengan kelayakan dan pengalaman sebagai alternatif kepada bodek@ ampu kalau kita tidak mahu berjiwa hamba setiap masa!.

Apa jua alternatif yang kita pilih ianya tentu memudahkan kita sendiri. Alternatif memanglah satu pilihan namun kadang-kadang ianya menjadi satu kemestian. Sebagai contoh seandainya hari itu saya memilih pembedahan kepada sarap saya, keadaannya mungkin berlainan berbanding dengan yang apa yang saya dapati sekarang. Seorang doktor perubatan yang memilih pembedahan bagi mengubati slip disc yang beliau alami memberitahu saya agar jangan berbuat seperti beliau. Sesudah dua tahun dibedah dan diikuti dengan treatment susulan, beliau masih tidak boleh berjalan sehinggalah beliau menjalani rawatan melalui perubatan alternatif. Lagipun kos pembedahan juga amat tinggi dan menjadi kemestian bagi sesetengah orang untuk mendapatkan rawatan alternatif.

Mempunyai alternatif dalam hidup hari-hari meliputi pelbagai bidang. Kita boleh memilih untuk hidup secara sederhana. Kita juga boleh memilih untuk hidup bergaya. Kita boleh beli beras wangi dari Siam atau kita beli beras biasa keluaran tempatan. Kita boleh ambil English breakfast atau kita boleh sarapan pagi dengan pulut berlauk tamban tegeliat. Memang banyak alternatif yang kita ada termasuk dalam soal pentadbiran dan lain-lain. Alternatif begini melengkapkan lagi kehidupan harian kita.

Yang penting ialah kita jangan berfikiran bungkam. Jangan kita jadi orang yang berfikiran cara lama. Jangan kita tutup ruang fikiran kita kepada pilihan-pilihan yang pelbagai. Kita mesti berfikiran positif. Kita mesti yakin bahawa hidup ini bukannya susah sangat. Jangan kita menjual harga diri. Jangan derhaka pada tuhan.

Ramai orang kurang berjaya dalam hidup adalah kerana kesilapannya sendiri, bukannya kerana sebab-sebab yang lain. Keengganan menerima perubahan adalah salah satu dari sebabnya. Oleh itu adalah tidak merugikan seandainya kita sentiasa terbuka bagi pelbagai alternatif yang ada. Kita mesti rajin mencari alternatif, sesuatu yang mungkin lebih baik untuk hidup kita!.

Alternatif bukan bertindak sebagai jalan pintas. Sesetengah orang memilih sesuatu kerana baginya itu lebih mudah. Ini bukannya sikap yang baik. Setahu saya tiada perubatan alternatif yang berkesan untuk sakit jantung atau tekanan darah tinggi. Suka atau tidak kita mesti lalui kaedah perubatan moden dan konvensional berkaitan penyakit-penyakit itu. Memilih apa yang dikatakan rawatan alternatif tanpa membuat kajian mendalam bagi penyakit-penyakit tersebut bukan suatu tindakan yang berhemah malahan memudaratkan.

Begitu juga dalam soal-soal lain. Apa-apa jua pilihan yang terbuka bagi kita hendaklah dinilai terlebih dahulu. Jangan menutup ruang kepada pilihan-pilihan dan jangan juga mengambil alternatif berkenaan secara mudah. Dalam apa keadaanpun, berfikirlah!.