30 December 2011

Jangan Pening Kepala

Semasa tinggal di Pahang saya berkawan dengan seorang Pengurus Besar sebuah perbadanan. Beliau seorang pentadbir yang agak bagus. Pernah bekerja dibawah Tun Razak menjadikan beliau mempunyai cara bekerja yang cukup menarik. Kawan saya ini sentiasa berminat dalam melaksanakan tugasnya malahan sentiasa ceria.

Tugas beliau mentadbir kawasan Jengka yang luas dengan ratusan ribu peneroka memang mencabar. Meliputi tiga daerah iaitu Maran, Jerantut dan Temerloh, perbadanan yang diketuainya memikul tugas berat membangunkan bandar dan infrastruktur di kawasan Jengka. Ini tentunya bukan kerja mudah. Ini pastinya menuntut keazaman yang tinggi. Suasana wilayah Jengka di era akhir 80an dan pertengahan 90an memang masih sukar dengan karenah peneroka yang pelbagai.

Namun kawan saya ini mengambil sikap yang agak menarik didalam mengendalikan tugas beliau. Pegangan atau prinsipnya ialah 'jangan pening kepala'. Sikap atau approach ini membolehkan beliau sentiasa kelihatan bersedia menghadapi pelbagai karenah. Sebahagian besar atau hampir keseluruhan generasi peneroka di wilayah Jengka pada masa itu mempunyai pendidikan yang amat asas. Jadi bukanlah mudah untuk mentadbir mereka ini. Namun berpandukan pegangannya itu beliau nampak selesa di daerah terpencil tersebut.

Bagi saya sikap atau pegangan begini ada baik buruknya. Baiknya ialah kita memang tidak pening kepala. Hidup seadanya. Kalau apa orang minta, beri sahaja. Jangan terlibat dengan pertikaian yang meleret-leret. Ikut sahajalah apa yang diarah, asalkan jangan pening kepala.

Yang buruknya ialah pegangan sebegini membawa konotasi negatif. Buat sahaja apa jua seadanya asalkan nampak kerja dibuat. Tidak perlu fikir lebih-lebih kerana ianya akan memeningkan kepala. Usah banyak bertanya, lakukan sahaja, jangan pening kepala.

Tentunya dalam era sekarang konotasi negatif itu bukan sesuatu yang baik kerana sikap atau penilaian masyarakat sudah berubah. Masyarakat tidak mahu servis yang diberi seolah-olah melepaskan batuk ditangga. Masyarakat mahukan kualiti. Masyarakat mahukan pertanggungjawaban. Zaman pegawai kerajaan atau perbadanan milik kerajaan bersenang-senang sudah berlalu. Zaman menunggu di ofis agar klien datang mencari sudah berubah. Zaman menunggu peminjam datang ke bank untuk memohon pinjaman sudah hampir berakhir. Ini zaman proaktif, bukan lagi zaman tuan dan hamba.

Itulah juga sebabnya zaman temberang sedang memasuki episod gerhana. Zaman ancaman dan menakut-nakutkan sudah berlalu. Rakyat sudah amat ramai yang cerdik. Usahlah sembunyikan sesuatu fakta yang sebenarnya dari pengetahuan rakyat kerana lambat laun duduk perkara sebenarnya akan diketahui juga. Kerana tidak mahu pening kepala akhirnya akan menjadi bala.

Suka atau tidak, semua komponen dari pemerintah dan rakyat mesti menyedari hakikat ini. Negara kita cukup besar untuk semua warganya. Negara kita cukup kaya. Pengurusan yang terbaik akan menjadikan negara kita lebih kaya dan berjaya. Dengan itu segala konotasi negatif tidak harus wujud dalam keadaan sekarang.

Diawal era komputer dan komunikasi siber saya fikir tidak perlu bagi saya memahami dan menggunakan komputer. Saya punyai pembantu yang ramai dari kalangan professional dan separa professional. Saya juga tidak perlu tahu hal perakaunan kerana akaun firma saya diuruskan oleh akauntan. Kawan-kawan sezaman saya sudah ramai menjadi ketua jabatan atau organisasi dan tentu mudah saya berhubung dengan mereka. Jadi apa gunanya saya pening kepala?.

Namun saya sedar bahawa dunia akan bergerak ke hadapan. Revolusi komputer akan meneruskan ledakannya. Saya tidak mahu jadi macam tikus tengok besi. Dan atas kesedaran itulah saya mendekati keyboard, mengetik huruf satu demi satu macam ayam patuk sagu. Akhirnya saya berjaya atasi kekangan itu dan boleh melayari alam siber seperti orang lain sedangkan ramai kawan-kawan saya masih buta komputer. Kasihan.

Dengan itu apa jua perubahan atau tuntutan kepada perubahan patut diambil kira oleh semua pihak. Tuntutan kepada ketelusan dan good governance misalnya sudah tidak boleh disekat-sekat lagi. Tuntutan kepada pertanggungjawaban sudah merebak ke seluruh dunia, tidak terkecuali di negara kita. Bagaimana tuntutan-tuntutan ini patut diurus wajar difikirkan secara baik oleh semua pihak yang terlibat.

Masih tidak mahu pening kepala?.

No comments:

Post a Comment