22 May 2012

Dahulu Pendakwa, Kini Pembela

Sesuatu yang amat menarik  berlaku di mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini dalam kes Bersih 3.0 dimana Ketua Umum PKR dan Timbalan Presiden parti itu serta seorang lagi dituduh : kehadiran Dato' Mohd Yusof Zainal Abidin, mantan Peguamcara Negara 2 sebagai peguambela tertuduh!.

Adalah suatu perkara biasa bila seseorang bertukar posisi dari pihak pendakwa ke pihak pembela. Ini adalah perkara lumrah dalam dunia mahkamah dan kepeguaman. Saya sendiri melalui 'proses' yang sama. Semasa berkhidmat dengan kerajaan dahulu saya menjalankan pendakwaan untuk kes-kes yang melibatkan perlanggaran undang-undang. Selepas meletakkan jawatan saya pula kadang-kadang bertindak sebagai peguambela dalam kes-kes tertentu. Sebagaimana saya sebutkan tadi, ini adalah perkara biasa dalam sistem keadilan di negara kita.

Namun dalam kes Dato' Yusof ini ia suatu perkara yang berlainan sedikit. Saya katakan berlainan ialah kerana hanya beberapa bulan lalu beliau mengetuai barisan pendakwaan dalam kes yang juga melibatkan Ketua Umum PKR tersebut. Kes berprofil tinggi itu berakhir dengan tiadanya sabitan keatas Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tentulah ramai dikalangan kita telah mengikuti perkembangan kes tersebut dan maklum akan sejarah kes itu.

Bila Dato' Yusof hadir sebagai peguambela tadi, ramai orang melihat ini suatu perkembangan yang sangat menarik. Beliau muncul sebagai 'bintang' dan mendapat sorotan media yang cukup luas. Kehadiran beliau seolah-olah menenggelamkan aura kehadiran Ketua Umum PKR itu sendiri. Itu adalah hak beliau sebagai seorang peguambela. Itu adalah sesuatu yang besar dalam kerjaya beliau sebagai peguam setelah lama berkhidmat dengan Kerajaan.

Saya memang rapat dengan Yusuf sejak kami belajar lagi. Beliau setahun lebih senior dari saya semasa belajar di fakulti undang-undang Universiti Malaya. Saya cukup mengenali beliau malah saya amat menghormati sikap dan pegangan beliau. Walaupun secara luarannya beliau nampak seperti 'kasar' namun hatinya cukup lembut dan baik. Dia mudah membantu. Itulah Yusuf.

Pada masa beliau mengetuai barisan pendakwaan dalam kes yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR itu saya terserempak dengan Yusuf sekali atau dua kali. Kebiasaannya kalau terserempak begitu kami akan bercerita hanya soal kawan-kawan dan profesyen undang-undang. Sikapnya yang periang itu menjadikan suasana sentiasa ceria. Pernah dalam satu konvensyen undang-undang Yusuf menarik tangan saya hanya untuk menunjukkan sesuatu. Kami kemudiannya ketawa berderai. Kalau beliau membaca tulisan ini saya percaya dia juga akan ketawa mengingatkan perkara tersebut.

Sebagai seorang kawan dan berada dalam profesyen yang sama, saya melihat langkah Yusuf hadir sebagai peguambela pagi tadi sebagai sesuatu yang bagus. Sudah tentu ada pihak yang mencela sikapnya hari ini. Komen-komen dalam media sosial pula menunjukkan ada semacam kecurigaan di sesetengah kalangan. Yang skeptikal juga ramai.

Namun bagi saya itu adalah pilihan Yusuf sebagai seorang peguam. Sesungguhnya bukan mudah untuk beliau mengambil keputusan hadir sebagai peguambela dalam kes sebegitu. Kita harus menghormati keputusan dan pendirian beliau. Sekarang sedikit sebanyak beliau dianggap sebagai memihak kepada Ketua Pembangkang itu. Yusuf telah mengambil langkah berdasarkan 'calculated risk'. Beliau maklum apa risiko yang dihadapinya.

Sejak dahulu Yusuf adalah seorang yang pintar dan berani. Dan hari ini Yusuf membuktikan bahawa dia memang berani.

Selamat datang ke dunia baharu sahabatku!.

21 May 2012

Kehilangan Sahabat

Semalam adalah hari sedih buat saya. Pemergian almarhum Zulkifli Ahmad sungguh suatu kehilangan yang terasa. Memang saya tidak langsung menjangka almarhum pergi begitu cepat. Sungguh saya tidak menjangkakannya.

Almarhum sahabat saya itu menghidap kanser. Dia jatuh sakit beberapa bulan setelah saya sendiri diserang slip disc. Dalamasa kira-kira empat bulan beliau bertarung dengan penyakit itu kami selalu berhubung melalui talipon, kali terakhir sekitar tiga minggu lalu. Setiap ada sahabat yang melawatnya saya pasti akan dihubungi. Dan kami akan berbual melalui talipon. Saya mendengar bunyi kepayahan di hujung talian.

Setiap kali almarhum berkunjung menemui perawat perubatan alternatif, dia akan bertanyakan kalau-kalau ada orang boleh mengubati saya. Demikianlah almarhum yang begitu mengambil berat hal kawan-kawan, tanpa peduli dia sendiri sedang sakit. Dia ada menghubungi saya memberitahu dimana ada perawat yang boleh membantu saya.

Begitulah akrabnya kami semenjak belajar dalam tingkatan enam. Hubungan persahabatan puluhan tahun itu memang suatu yang istimewa. Sungguhpun beliau tidak belajar di universiti namun hidupnya berjaya. Beliau bekerja untuk suatu tempoh dengan agensi Kerajaan sebelum berhenti. Beliau berniaga beras dan lain-lain. Stesen Petronas milik beliau di Sungai Petani agak besar. Di situlah biasanya kami berkumpul sebelum pergi makan. Dan setiap kali mahu membayar harga makanan saya terpaksa berebut dengan dia untuk membayar. Itulah sikapnya sejak dahulu, dia akan membayar.

Setiap kali saya pulang sejak dua tahun lalu almarhum akan mengumpulkan kawan-kawan. Tiada banyak yang kami buat kecuali berborak, makan dan minum. Biasanya saya akan diminta memberi 'taklimat' tentang hal politik semasa kerana saya diketahui cenderung berpolitik. Hahaha...

Sayangnya kekangan fizikal masa ini menghalang saya hadir pengkebumian jenazah almarhum sahabat ini. Memang agak sukar berjalan jauh. Saya hanya mampu mengikuti dari jauh. Hamzah Abdul seorang sahabat akrab juga memaklumkan perkembangan suasana pengkebumian itu. Sungguh sedih rasanya kerana khabarnya hanya saya seorang dikalangan rakan karib almarhum yang tidak hadir.

Maafkan aku sahabat. Semoga Allah menerima segala amalmu. Semoga engkau dipelihara. Kami yang tinggal ini akan menurutimu nanti. Sesungguhnya tiada yang kekal melainkan Allah jua.

Alfatihah...

16 May 2012

Candi Lembah Bujang.

Terdapat banyak candi tinggalan zaman Hindu di Lembah Bujang, khususnya di Kampong Bujang, Kampong Pengkalan Bujang, Kampong Sungai Batu, Kampong Pendiat, Kampong Bendang Dalam dan yang terakhir ditemui berdekatan UiTM, juga di dalam Kampong Bujang.

Candi-candi ini telah mulai digali untuk tujuan pemuliharaan sejak puluhan tahun lalu. Semasa zaman remaja saya akan menaiki basikal bersama kawan-kawan ke beberapa kawasan yang ditemui candi mengutip batu untuk digunakan sebagai 'peluru' lastik. Maklumlah masa itu, budak lelaki main lastik dan mandi sungai adalah fenomena biasa. Pakar melastik mempunyai kelas tersendiri dikalangan kami pada masa itu. Jadi 'peluru' kelas pertama adalah datangnya dari batu di kawasan candi dan batu besi yang banyak diperolehi di sekitar Sungai Batu atau Semeling.

Kadang-kadang kami 'mengambil upah' dengan membantu membersihkan kawasan yang ditemui candi. Sambil bertanya pekerja tetap yang terlibat dengan penggalian, mata kami liar mencari kalau-kalau ada emas di situ. Terdapat cerita kononnya emas ada di candi-candi tertentu. Saya pernah pasang angan-angan menemui emas, boleh jadi kaya dan hidup senang. Sambil berangan-angan tangan akan mengutip batu 'peluru' lastik dan dimasukkan ke dalam poket seluar. Emak akan selalu marah bila membasuh seluar yang kotor akibat diisi peluru.

Demikianlah cerita candi puluhan tahun lalu. Kami penduduk sekitar kawasan itu tidak ambil kisah sangat soal candi-candi peninggalan tamaddun Hindu itu. Sesetengah cerdik pandai Islam di Kedah kurang senang dengan pemuliharaan candi-candi berkenaan. Kata mereka sesuatu yang Allah timbuskan ke dalam tanah tidak perlu lagi digali untuk dipamerkan kepada masyarakat. Cukuplah kita mengetahui bahawa suatu ketika dahulu Kedah mempunyai kerajaan dan penduduk yang mengamalkan agama Hindu. Bila Islam datang dan Sultan Muzaffar Shah memeluk Islam (makam baginda serta kaum keluarga terdapat di Kampong Langgar), biarlah tamaddun Hindu di Kedah itu tinggal tenggelam di dalam bumi.

Mungkin pandangan ini secara senyap-senyap dipakai di Kedah sehingga sekarang. Sebab itulah kita dapati candi-candi ini tidak begitu dipromosi sebagai tempat wisata berbanding Langkawi yang diangkat begitu tinggi. Penduduk setempat juga nampaknya tidak bercakap sangat soal candi ini.

Selain candi terdapat beberapa tinggalan sejarah lama sekitar Lembah Bujang yang bagus untuk dikunjungi. Kompleks makam Sultan Muzaffar Syah dan masjid tertua di Kampong Simpang Tiga Pasir memberikan gambaran bagaimana Islam datang ke kawasan kerajaan Kedah Tua itu. Pondok atau Madrasah Addaruin di Kampong Bujang merupakan antara pondok pengajian tertua di Kedah dan menampung ramai pelajar dari seluruh Asia Tenggara. Sehingga kini di sekitar pondok itu (sekarang menjadi surau) anak cucu pelajar atau tenaga pengajar dari rantau Melayu masih tinggal di situ. Mudir terakhir pondok itu juga berasal dari Indonesia sementara seorang dari keluarga almarhum itu berkahwin dengan anak kepada Syeikh Abdul Qadir alMandili, imam mazhab Syafie di Makkah suatu ketika dulu.

Latar belakang sebeginilah memungkinkan candi tidak begitu popular dikalangan penduduk sekitar Lembah Bujang. Penemuan terbaharu yang agak besar itupun tidaklah menjadi bualan hebat penduduk setempat. Mereka lebih suka bercerita mengenai kemalangan jalanraya yang kerap berlaku di situ. Khabarnya kawasan itu 'keras'. Setiap sebulan atau dua bulan sekali bila pulang menemui ayah dan emak  sudah pasti saya memandu agak berhati-hati di kawasan itu hahaha...

Begitulah.

28 April 2012

Seronoknya Memandu

Memang sukar mendapat keseronokan memandu di Kuala Lumpur. Jalan yang sesak denga kenderaan membuatkan keseronokan memandu telah tiada. Kemalangan, banjir kilat, kenderaan rosak atau pembaikan jalan menjadi antara punca itu mengapa Kuala Lumpur amat sesak jalanrayanya.

Sebelum ini saya tinggal berdekatan pusat bandar. Saya cuma perlu memandu selama 15 minit untuk tiba di PWTC. Dari rumah ke pejabat pula mengambil masa sekitar 10 minit. Saya tidak merasai sukarnya kesesakan jalanraya kecuali semasa ada upacara tertentu. Saya juga tidak pernah gusar tiba lewat di pejabat.

Semenjak berpindah rumah tiga tahun lalu keadaan telah berubah. Dari rumah saya di pinggir Kuala Lumpur ke pusat bandar sekarang ini mengambil masa sekitar 45 minit. Jaraknya tidaklah jauh sangat namun kesesakan jalanraya menjadi penyumbang kepada tambahan masa itu. Memandu tidak lagi menyeronokkan malahan menyebabkan tekanan darah tinggi saya naik tidak menentu. Perangai para pemandu yang berbagai itu menjadikan aktiviti memandu menuju pusat bandar adalah sesuatu yang menjemukan!.

Keseronokan memandu di Kuala Lumpur hanya tiba sekiranya ada musim perayaan atau semasa cuti hujung minggu atau cuti umum. Selain daripada masa sebegitu janganlah diharap merasa seronok memandu. Kenderaan berjalan terhenjut-henjut. Jumlah kenderaan yang ratusan ribu di atas jalanraya pada satu-satu masa menyumbang kepada semua ketidakselesaan ini.

Namun semalam berlaku suatu fenomena aneh. Amat ketara tidak banyak kenderaan di atas jalan. Cukup senang memandu. Kereta tidak tersengguk-sengguk. Lancar dan menggembirakan. Menyeronokkan. Jalan nampak lapang. Kenapa ya?.

18 April 2012

Dari Lembah Bujang Ke Lembah Kelang

Ada dua kawasan lembah di negara ini yang mempunyai pengaruh besar terhadap ekonomi dan politik semasa iaitu Lembah Kinta dan Lembah Kelang. Lembah Kinta diterokai untuk bijih timahnya, begitu juga dengan Lembah Kelang. Kedua-dua lembah ini telah mewujudkan Ipoh dan Kuala Lumpur, dua buah bandaraya moden di negara kita.

Lembah Bujang pula terletak di sekitar Sungai Merbok dan persisiran Selat Melaka sehingga ke kaki Gunung Jerai di Kedah. Ia merupakan suatu kawasan lembah yang subur dengan pertanian seperti padi dan getah. Di tengah-tengah lembah ini munculnya bandar Sungai Petani, salah sebuah bandar yang amat pesat berkembang di Malaysia.

Sama seperti Lembah Kinta dan Lembah Kelang, terdapat banyak kilang-kilang besar serta perusahaan kecil dan sederhana di Lembah Bujang. Tarikan penduduk juga cukup hebat. Kalau Lembah Kelang menarik ramai penduduk dari seluruh negara, Lembah Bujang pula menarik ramai penduduk dari utara Perak dan Pulau Pinang serta Kelantan. Ini membuatkan Lembah Bujang yang duhulunya leweh dan tidak bermaya kini menjadi penempatan yang sibuk dan mempesona!.

Saya tinggal di Lembah Kelang sudah agak lama. Namun begitu saya kerap pulang ke Lembah Bujang, tempat saya dilahir dan dibesarkan. Memanglah seronok pulang kampung, apa lagi ibu dan ayah saya masih ada. Pulang ke tempat asal kita memang menyeronokkan bagi manusia yang normal. Melawat kaum keluarga dan berjumpa kawan-kawan lama cukup mengasyikkan, lebih-lebih lagi kalau boleh pergi memancing di kawasan paya bakau di Sungai Merbok. Sesekali ikan siakap menyentap kail, ceritanya lima tahun tidak habis. Begitulah.

Kampung saya sudah moden sekarang. Dahulunya kampung itu agak tertinggal. Dengan terjumpanya banyak candi di kampung itu ia telah menarik ramai pelancung dari dalam dan luar negeri. Dengan terdirinya UiTM, MRSM serta beberapa institusi lain, kampung saya sudah menjadi rebutan. Rumah-rumah laku seperti goreng pisang panas. Semasa datang ke Kuala Lumpur untuk belajar di universiti dahulu saya langsung tidak menjangka kampung saya akan menjadi begitu gah seperti hari ini.

Mujurlah saya selalu balik kampung, selalu bercampur dengan ramai orang. Seandainya saya tidak berbuat begitu sudah tentu tiada siapa yang akan peduli bila saya pulang ke sana. Pengaruh keluarga kami yang besar serta nasihat-nasihat guaman yang sentiasa saya beri bilamana pulang menjadikan kawan-kawan lama tidak menyisihkan saya.

Kemodenan kampung itu menyebabkan ada sesuatu yang hilang. Dahulu padi ditanam pakai tangan. Bila padi masak ia dituai menggunakan sabit. Ada alat kipas angin guna mengasingkan padi dari hampanya. Padi pula diasingkan secara dipukul ke dalam tong, iaitu dibanting. Ada lesung dan lesung hindik guna meleraikan kulit padi menjadi beras. Semua itu telah tiada.

Sekarang padi ditanam menggunakan mesin. Mesin juga digunakan untuk memotong padi. Padi terus dimasukkan ke dalam guni lalu terus dijual. Menguruskan sawah amat mudah sehinggakan hampir-hampir tidak terkena selut. Adik saya, imam di masjid kampung kami turut bersawah tanpa diselaputi selut. Hasil padi juga cukup bagus. Sekarang ini jangan pandang sebelah mata dengan orang yang mengusahakan sawah. Wang tunai yang mereka miliki lebih banyak dari orang yang sering balik menayangkan kereta atau bini baharu!.

Panorama di kampung saya, kecuali estet getah yang kini menjadi estet perumahan, masih seperti dahulu. Gunung Jerai masih belum gondol. Bukit Kelambu, berhadapan dengan UiTM, masih menghijau. Sawah masih luas walaupun sudah ada yang ditambak untuk didirikan rumah. Sungai Merbok masih belum kuat tercemar dengan paya bakaunya agak terpelihara. Ikan, udang, siput, kerang dan ketam masih banyak.

Penduduk kampung juga masih bersatu. Perbedaan politik Pas dan Umno tidak memecahbelahkan penduduk. Hubungan kekeluargaan yang kuat mengatasi segala-galanya. Semangat gotong-royong dan membantu satu sama lain masih seperti dahulu. Bila berada di tengah-tengah masyarakat begini terasa juga kekurangan bagi kita yang tinggal di bandar besar.

Demikianlah.