Saya terpaksa mengabaikan minat menulis sejak beberapa minggu lalu walaupun amat teringin berkomunikasi dan meluahkan pandangan saya melalui blog ini. Alhamdulillah nampaknya saya boleh menulis semula dan akan aktif kembali dalam masa terdekat.
Untuk sementara waktu ini kegemaran menulis yang saya ada seolah-olah tercalar akibat keadaan kesihatan. Saya berusaha mengatasi kekangan ini secepat mungkin. Saya betul-betul berusaha memulihkan tahap kesihatan saya agar mampu cergas seperti sebelum ini. Rupa-rupanya slip disc mesti diubati secara berterusan dan penuh sabar.
Nampaknya untuk masa beberapa bulan akan datang saya terpaksa akur kepada fakta bahawa saya mesti berhati-hati berjalan, bersenam, duduk dan apa saja. Set golf saya tentunya berehat panjang. Kenderaan 4x4 yang sering saya gunakan untuk kegiatan lasak selama ini juga akan 'bercuti' untuk satu tempoh yang panjang. Pelajar-pelajar seni Chi Kung yang bersama saya bersenaman dihujung minggu sejak sekian lama juga terpaksa menunggu saya benar-benar pulih.
Demikianlah apa yang berlaku. Sungguhpun saya agak mengambil berat soal kesihatan sejak lama dahulu, tetapi bila sesuatu itu akan terjadi maka ia akan terjadi. Benar, kita hanya merancang dan berusaha, selebihnya adalah ketentuan tuhan.
Saya akan mengambil peluang mengisi 'masa kecederaan' ini dengan memantau perjalanan firma saya walaupun terpaksa mengehadkan pergerakan. Sesekali saya akan ke Pahang menikmati masakan ikan patin sambil berbual dengan kawan-kawan lama. Sudah tentu saya akan menziarahi ibu dan ayah saya. Ahhh...sesekali bercanda dengan teman-teman tentu bagus juga.
Saya masih mampu berjalan, berbanding orang yang lumpuh akibat stroke atau putus kaki akibat kemalangan. Dalam keadaan inipun saya masih terasa suatu kekurangan, suatu perasaan yang hanya dialami oleh orang seperti saya. Kalaulah saya langsung tersadai dikatil atau dikerusi roda sudah pasti gelodak jiwa saya menjadi lebih parah. Tentu tekanan perasaan saya semakin menjadi-jadi.
Inilah perjalanan sebuah kehidupan...
No comments:
Post a Comment