18 September 2011

Berani Dan Bijaksana



Mengenali seseorang tokoh masyarakat secara dekat bukanlah mudah. Dan sesudah mengenalinya bukan juga mudah untuk rapat dengannya. Memang berkawan agak mudah tetapi bersahabat bukannya dapat dibuat-buat. Bersahabat memerlukan adunan rasa hormat, bertolak ansur dan bantu membantu antara satu sama lain.

Demikianlah yang berlaku kira-kira sepuluh tahun lalu bila saya mula mengenali secara dekat seorang tokoh yang saya kagumi semenjak saya belajar di sekolah menengah. Nama besar itu menjadi antara idola saya melalui tulisan-tulisannya dalam media arus perdana dan penerbitan yang dipimpinnya.

Semasa mengenali beliau saya masih seorang aktivis belia peringkat nasional. Sebagai pemegang salah satu jawatan utama dalam pertubuhan belia itu saya sering bertemu tokoh-tokoh negara dan peneraju-peneraju utama beberapa pertubuhan lain. Dari situlah kami mulai berkenal rapat dan selalu berbincang hal-hal semasa negara dan antarabangsa.

Dengan jarak umur melebihi 20 tahun sudah tentulah saya menghormatinya sebagai seorang yang lebih tua, apatah lagi sifatnya yang begitu luhur menjadikan penghormatan saya kepadanya amat tinggi. Kesediaannya berkongsi pendapat dengan saya membikin hati ini begitu tersentuh. Tertibnya ia mendengar buah bicara saya satu persatu sudah tentu memancing saya menjadi bertambah kagum kepada tokoh besar ini.

Kami akhirnya menjadi lebih rapat bila pada awal tahun 2005 pelbagai NGO bergabung untuk menganjurkan satu kongres yang akan berbincang mengenai ekonomi, pendidikan dan hal-hal lain. Saya telah dilantik sebagai Setiausaha Pelaksana kongres ini. Dan salah seorang tenaga utama kepada kongres tersebut adalah tokoh yang saya sorot disini. Kali ini kami bekerja bersama buat menyiapkan bahan-bahan untuk kongres berkenaan. Sekali lagi sikapnya yang amat menghormati orang lain benar-benar mengkagumkan saya.

Kongres yang berlangsung dengan jayanya itu dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, seorang yang rapat dengan tokoh ini. Hasilnya saya juga turut berdamping rapat dengan Tengku Razaleigh disepanjang masa persediaan kongres itu dan berlanjutan agak lama. Kongres yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia pada bulan disember 2005 itu telah meninggalkan kenangan yang bukan sedikit kepada kami yang terlibat dari awal hingga akhir.

Buah fikiran dan cadangan rakan saya itu menjadi antara perbincangan utama sepanjang kongres tersebut berjalan.

Itulah sahabat yang amat saya hormati, almarhum Dato' Dr Hassan Ahmad yang kembali ke rahmatullah pada 31 ogos lalu. Beliau bagi saya adalah putra negara yang berani dan bijaksana. Beliau bagi saya adalah anugerah terbesar kepada negara.

Keberanian dan kebijaksanaan almarhum sahabat saya ini memang dimaklumi dikalangan teman-teman. Baginya jika dia yakin sesuatu itu betul beliau akan hadapi apa jua risikonya. Sebagai contoh ialah apabila timbulnya isu PPSMI beliau sanggup ke depan mengetuai bantahan terhadap perlaksanaan dasar itu. Beliau sanggup turun padang bersama golongan rakyat yang lain menyatakan bangkangan terhadap penerusan PPSMI. Hasilnya Kerajaan bersetuju PPSMI diketepikan.

Sekarang tiada lagi sms dan panggilan talipon beliau kepada saya. Tiada lagi kawan yang turut bersolat jumaat di Kampong Pandan. Tiada lagi kawan yang berani dan bijaksana ini bergurau sambil berbincang isu-isu serious.

Sesungguhnya kehilangan tokoh ini amat saya rasai. Kitab-kitab Melayu klasik yang dihadiahkannya kepada saya sentiasa saya telaah buat menimba ilmu yang tersirat. Kad ucapan selamat hari raya yang almarhum bingkiskan kepada saya menjadi kenangan yang tidak ternilai.

Tuhan menjemputnya terlebih dahulu, pergi dengan membawa jasa besar kepada negara, bangsa dan agamanya.

Alfatihah.

1 comment:

  1. kehilangan sahabat sejati umpama putus jari... Kita dinilai dgn siapa kita bersahabat...

    ReplyDelete