15 October 2011

Erti Sebuah Kegigihan

Kalau tadi saya menulis berkaitan seorang kawan yang berjaya di bidang ekonomi, kali ini saya mahu paparkan kejayaan seorang kawan lain di bidang pendidikan. Kalau petang tadi teman saya berjaya naik dari bawah, teman yang seorang ini juga menurut galur yang hampir serupa.

Teman saya yang seorang ini memang kawan lama. Kami belajar satu kelas walaupun dia dua tahun lebih tua dari saya. Masa itu kerajaan sedang berkempen membasmi keciciran di sekolah. Kawan saya ini tercicir di tingkatan satu selama dua tahun. Hasil kempen itu kawan saya ini masuk semula ke sekolah menengah dan belajar bersama saya walaupun di kelas berlainan. Kemiskinan memaksa beliau berhenti sekolah untuk bekerja membantu ibunya menyara keluarga. Bapanya yang telah berpisah dengan ibunya langsung tidak membantu.

Semasa kami ke sekolah menaiki bas, motosikal atau basikal, kawan saya ini hanya berjalan kaki. Jarak rumahnya ke sekolah kira-kira 5 km sehala. Kalau bernasib baik dia akan membonceng basikal kawan-kawan. Kalau tidak, maka dia akan berjalan kaki ke sekolah. Namun semangatnya untuk belajar tidak pernah luntur. Walaupun terpaksa bekerja mengambil upah semasa cuti sekolah, dia masih terus belajar hingga tingkatan lima.

Keputusan peperiksaan SPM tidak cukup baik untuk kawan saya ini. Oleh keadaan keluarga dan keputusan SPM sebegitu, kawan saya ini berhijrah ke Kuala Lumpur dan melakukan pelbagai kerja. Akhirnya beliau memohon menjadi konstable polis dan berjaya.

Semasa saya belajar di Universiti Malaya, saya ada melawat kawan saya ini di berek bujang balai polis tempat dia bekerja. Sungguh dia teruja dan tidak menjangka saya akan melawat dia disitu. Baginya lawatan itu amat bererti sekali. Hasilnya beliau mulai belajar kelas malam dan mengambil peperiksaan beberapa tahun kemudian.

Akhirnya sahabat saya ini memasuki UiTM dan berjaya mendapat ijazah ketika sudah punyai anak dan telah melalui ranjau hidup susah senang. Kami telah terputus hubungan selama lebih sepuluh tahun. Menurutnya dia terus mencari saya kerana nasihat-nasihat saya semasa dia menjadi konstabel cukup memberi semangat kepadanya.

Kawan saya ini terus belajar ke peringkat lebih tinggi. Dia akhirnya memperolehi ijazah sarjana dan doktor falsafah. Saya yang katanya menjadi pencetus semangatnya dan menjadi contoh kepadanya hanya berjaya belajar ke peringkat sarjana sahaja. Begitulah gigihnya dia. Kemiskinan keluarga tidak sedikitpun menghalang beliau berjaya dalam cita-citanya. Kegigihannya memang wajar dicontohi.

Sekarang kawan baik saya ini menjadi pensyarah di sebuah universiti awam di negara kita. Dia telah berjaya. Ibunya dijaga dengan baik. Sesekali berjumpa dia masih menceritakan nostalgia membela kerbau dan berjalan kaki pergi dan balik dari sekolah. Bila bercerita begitu saya lihat masih ada air mata jernih dibiarkannya menitis satu satu!.

Masa belajar dulu kemiskinan adalah perkara biasa dan amat merata. Kawan saya ini memang kurang bernasib baik datang dari keluarga yang kurang mampu. Itulah faktor sebenar kenapa dia tercicir walaupun semangatnya untuk belajar amat tinggi. Kejayaan yang dicapainya sekarang bukannya sesuatu yang biasa.

Apakah semangat yang ada pada sahabat saya ini akan terus menjadi ikutan generasi sekarang?

1 comment:

  1. t.kasih sahabat..aku tidak mampu menahan airmata ..apa yang dicatatkan adalah kisah benar..sesungguhnya saudara jg telah menyumbang kepada kejayaan itu..

    ReplyDelete