02 October 2011

Ayam Belanda

Agak aneh bentuknya. Agak pelik bunyinya. Agak asing namanya. Itulah ayam Belanda, sejenis ayam yang dikatakan berbaka import. Entah dari mana asalnya ayam itu dan macam mana dia mendapat nama ayam Belanda tidaklah diketahui.

Selain dikenali sebagai ayam Belanda ianya juga dikenali sebagai ayam Turki. Malahan dikebanyakan tempat di seluruh dunia nama ayam Turki yang lebih terkenal berbanding ayam Belanda. Mungkin kerana Turki secara hakikinya lebih hebat dan besar berbanding Belanda ( Holland) yang sebesar telur itik serati itu. Turki lebih gagah dan gah berbanding Belanda yang saiznya sebesar kelemboi sahaja. Cuma ego Eropah dan bunga tulipnya yang menjadikannya dikenali, tidak lebih dari itu.

Ayam tersebut di utara tanah air disebut ayam piru. Sekali lagi kita tidak tahu bagaimana nama ayam tersebut dipanggil 'piru'. Setahu saya kalau di Pulau Pinang bila disebut ayam piru siap dengan goyang kepala sekali, gaya mamak bercakap. Macam mana 'piru' boleh terbit dan dipakai kepada ayam itu sebagai ayam piru sukar hendak.dijelaskan

Yang nyatanya ayam Belanda, ayam Turki dan ayam piru merujuk kepada ayam yang sama. Ayam bersaiz besar dan tinggi itu berwarna putih dan ada yang hitam putih. Balongnya cantik. Dia hidup berkumpulan dan berpasang-pasang. Antara satu pasangan dengan satu pasangan tidak mengurat antara satu sama lain. Jarang kita lihat ayam jantannya mengejar yang betina lalu... Ayam itu lebih sopan dan bertamadun dari sesetengah manusia.

Ayam ini juga unik bunyinya. Berbunyi biasa-biasa itu berbeza dengan dia berbunyi memanggil kawan. Dan ayam ini walau sejauh mana dia berjalan dia akan balik.ke rumah tuannya. Jangan bimbang sebab ayam tersebut jarang sesat atau singgah menumpang di rumah bukan tuannya. Sungguh ayam ini tinggi sopannya.

Dan kesopanan ayam ini juga jelas dilihat dari sudut lain. Ayam ini tidak tidur diatas pokok. Jadi insiden ayam ini berak diatas kepala orang amat jarang berlaku. Insiden ayam ini lari susup sasap juga sukar dilihat. Oleh itu memang payah hendak berjumpa ayam ini lari lintang pukang termasuk ke celah kangkang manusia. Demikian tingginya budi ayam ini.

Ayam Belanda @ ayam Turki ini kalau beratnya sekitar dua kilo dagingnya hampir tidak ada. Hanya yang beratnya empat kilo keatas sahaja baru ada daging yang banyak. Sudah tentu dagingnya lembut dan enak dimakan. Rasa ayam Turki ini sungguh lazat apa lagi kalau dibungkus dengan kertas aluminium.dan dibakar. Aromanya sungguh terangkat.

Dari pemerhatian saya adalah lebih baik ayam ini disebut ayam Turki di negara kita. Nama ayam Belanda sudah tidak bernilai komersial sebagaimana negara Belanda yang sudah tidak se gah mana. Turki pula semakin hebat dan kaya selepas membebaskan dirinya secara sistematik dari ikutan sebelum ini. Turki secara terserlah kembali kepada agama Islam, agama yang mengangkat negara itu menjadi sebuah empayar satu waktu dulu.

Jika kita mahu berfikir, ayam Turki boleh menjadi pedoman untuk manusia. Ayam itu menjadi menu terpilih dalam majlis di Eropah, USA dan lain-lain. Ayam itu tinggi sopannya. Ayam itu ada harga. Ayam itu tidak 'tenggek' tidak menentu. Ayam itu ada kelasnya tersendiri dalam dunia ayam!.

Apa salahnya belajar dari ayam?
.

No comments:

Post a Comment