19 October 2011

Nafas Nusantara

Sesungguhnya saya amat berbesar hati bila sahabat saya Prof Dr Awang Sariyan memberi komen berkaitan tulisan saya mengenai citra Nusantara beberapa hari lepas. Beliau menyatakan betapa manisnya jika gagasan Melayu Mahawangsa lahir berteraskan nilai agama, yang dalam konteks Kepulauan Melayu, ialah Islam. Sungguh ini suatu himbauan murni yang didendangkan sejak lama. Maka bagi saya himbauan Prof Awang wajar dijengah agar nafas Nusantara sentiasa segar didada kita semua.

Bagi mereka yang berketurunan penduduk asal Nusantara, memanglah amat bergembira dengan gagasan sebegini. Lagipun konsep Asean sebenarnya bertitik-tolak dari kesatuan 'Melayu' yang pada awalnya lahir melalui idea Maphilindo. Maphilindo menggabungkan Malaya, Philipina dan Indonesia, tiga buah negara 'Melayu' terbesar di Asia Tenggara. Bila Malaysia ditubuhkan, gagasan Maphilindo terkubur malah digenangi oleh banjir konfrontasi Malaysia - Indonesia.

Namun begitu saya cukup pasti bahawa gagasan besar Nusantara ini tidak akan ditolak oleh mana-mana kaum lain. Semua kaum di Malaysia telah menjadikan tanah ini tempat hidup dan mati mereka. Kawan-kawan saya dari kalangan bukan Melayu malah amat bergembira kerana kawasan untuk berdagang secara bebas akan menjadi cukup luas. Padang rumput saujana mata memandang!.

Lagipun konsep sebuah Nusantara besar bukanlah menyalahi mana-mana tamaddun. Negara-negara Arab telah cuba melakukannya. Sekarang negara Eropah sedang melakukannya melalui European Union. Malahan kalau dilihat slogan yang dilontarkan oleh Presiden Bush 'one world' atau 'world without borders' jauh lebih besar dari gagasan mahawangsa Nusantara. Penyatuan negara-negara adalah fenomena biasa, apalagi kalau penyatuan itu memberi ruang yang lebih luas dan baik kepada warganya.

Melihat dari sudut ini maka apa yang dilontarkan oleh ramai cendekiawan dan pemuka-pemuka politik di Nusantara sejak sekian lama bukanlah sukar untuk direalisasikan. Tinggal lagi gagasan besar itu semestinya tidak berpaksi kepada semangat perkauman yang sempit. Semua bangsa yang mendiami dan menjadi warga di daerah besar ini mesti mempunyai hak masing-masing. Jangan ada diskriminasi atas asas ras dan agama. Jangan kita dipengaruhi oleh mitos politik sempit membuta tuli.

Tiada siapa yang akan rugi seandainya Nusantara bersatu. Memanglah ada karenah-karenah tertentu yang mesti dihadapi. Sudah semestinya kuasa politik dunia tidak mahu gagasan ini berjaya. Namun begitu bagi ahli-ahli perniagaan dan mereka yang mementingkan pertalian darah melihat ini sebagai sesuatu yang menguntungkan. Bayangkanlah pasaran luas kepada 300 juta penduduk!.

Gagasan besar ini boleh menjadi nyata jika ramai rakyat sedar akan kewajarannya. Pemimpin negara-negara di Nusantara harus melihat ini sebagai suatu potensi besar. Jangan ada curiga, jangan ada sengketa. Kalau imbauan ini terjadi, roh moyang saya yang bersemadi di makam lama berhampiran Padang Serai, Kulim akan tersenyum puas!.

No comments:

Post a Comment