31 October 2011

Banjir Dan Harga Makanan

Sejak lebih setahun lalu tersebar berita dan spekulasi mengenai krisis makanan dunia. Keaadaan pemanasan global dan kecelaruan cuaca diseluruh dunia menyebabkan pengeluaran makanan utama seperti beras dan gandum terjejas. Indeks harga makanan juga menunjukkan trend menaik. Bila berlakunya pengurangan bekalan, harga makanan naik disana sini.

Banyak negara pembekal makanan telah mengkaji semula dasar eksport mereka. Thailand juga telah berbuat demikian beberapa bulan lalu iaitu sewaktu banjir mulai melanda negara itu. Sekarang ini bila Bangkok sendiri tenggelam untuk tempoh yang tidak dapat dijangkakan, tentulah Thailand akan memperkukuhkan dasar eksport besarnya. Sudah tentu harga beras akan naik nanti.

Fenomena banjir dan kenaikan harga barang keperluan adalah fenomena biasa. Di negara kita perkara ini juga berlaku walaupun secara terpencil dan untuk waktu tertentu sahaja. Satu ketika dulu banjir telah memutuskan perhubungan jalan antara Temerloh, Mentakab dan Jerantut di Pahang. Barangan keperluan seperti minyak masak, telur, ikan kering, bawang dan lain-lain sedikit tinggi dari sebelum banjir. Ini mungkin berlaku akibat kos pengangkutan yang bertambah.

Berita antarabangsa juga melapurkan kenaikan harga sesetengah bahan keperluan di Bangkok. Ini mudah difahami. Thailand yang sudah berbulan dilanda banjir sudah tentu mengalami kenaikan kos pengangkutan. Kenaikan kos begini kemudiannya diterjemahkan menjadi kenaikan harga barangan runcit. Permintaan yang tinggi terhadap bahan makanan turut melonjakkan harga bahan itu.

Yang menjadi persoalannya ialah adakah banjir di Thailand akan menyebabkan harga beras dan makanan lain turut naik di negara kita?

Pada masa ini beras adalah barang kawalan. Harga beras adalah tertaklok kepada harga yang ditetapkan oleh Kerajaan. Harga beras tidak boleh dinaik atau diturunkan sesuka hati. Kementerian berkanaan mesti memperakukan kepada Kabinet sebelum harga besar dinaikkan. Setakad ini itulah kedudukannya. Sama ada Kerajaan boleh mengawal harga komoditi itu dipasaran gelap akibat banjir di Thailand sukar untuk diramalkan. Akan ada segelintir peniaga yang akan mengambil kesempatan dari suasana tidak menentu ini.

Bagi saya Kerajaan mestilah menilai semula dasar pertanian negara terutamanya dalam menyediakan beras yang mencukupi untuk permintaan rakyat negara ini. Masih banyak tanah-tanah gambut di Pahang, Perak, Selangor dan Johor boleh dibangunkan sebagai ladang padi. Sabah dan Sarawak juga masih punyai tanah yang luas bagi maksud itu. 'Pakar' tanaman padi masih ramai di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, utara Perak dan Kelantan. Dengan insentif yang menarik, ramai yang sanggup turun ke sawah.

Walau berapa banyakpun minyak sawit yang kita ada, rakyat masih mahu makan nasi!.

29 October 2011

Kuasa Beli

Saya tertarik membaca berita komen persatuan pengguna berkaitan kenaikan harga barang di negara kita. Mereka menganjurkan agar para pengguna mengurangkan pembelian ayam dan bukannya memboikot terus atau langsung tidak membeli ayam. Antara alasannya ialah ayam satu dari makanan utama di negara ini dan perbuatan memboikot pembelian ayam akan menjejaskan peniaga kecil yang terlibat dalam perniagaan itu.

Memang ayam telah menjadi makanan utama. Ayam adalah pilihan berbanding daging lembu, kerbau, kambing atau ikan. Ayam daging yang diproses akan menjadi tumpuan di pasar-pasar. Ayam juga jadi resepi utama di kedai makanan segera KFC dan McD. Ayam golek yang dibakar di tepi jalan juga turut diminati. Kepak ayam berperisa madu sungguh laku. Ertinya ayam memang jadi kegemaran ramai.

Ayam juga tidak sukar untuk disediakan sebagai makanan. Ayam tiada tulang seperti ikan. Kecuali cenonggeng yang biasanya dibuang, lain-lain bahagian ayam akan dimasak untuk santapan, termasuk kaki bersisik akan dikikis dan dimasak menjadi sup lazat. Pengguna hanya perlu membeli dan seterusnya penjual akan memotong ayam mengikut kehendak pengguna/pembeli tersebut. Ayam yang sudah siap diproses ini hanya menunggu dibasuh dan dimasak. Mungkin itu antara sebabnya kenapa ayam sangat popular terutamanya bagi isteri-isteri yang bekerja.

Namun begitu kegemaran memakan ayam daging yang diternak dalam tempoh yang pendek ini dikatakan mempunyai beberapa kesan kepada pengguna. Kandungan bahan tertentu yang tinggi dalam makanan ayam dikatakan meninggalkan kesan jangka panjang kepada para pengguna, seperti penyakit dan obesiti. Sejauh mana kebenaran perkara ini wajar juga diselidik oleh persatuan pengguna berkenaan.

Ada baiknya sementara menunggu kajian atau kenyataan persatuan pengguna ini, kita tangguh dulu membeli dan memakan ayam. Bukan memboikot tetapi menangguhkan kegemaran makan ayam. Kalau hendak juga makan ayam, belilah ayam kampung atau ayam Turki yang lebih sihat dan lazat itu. Boleh juga dibeli daging itik atau daging kambing atau biri-biri. Kalau kita tangguhkan pembelian ayam daging, ini akan membantu menarik turun harga bahan itu.

Yang penting ialah kita semua hendaklah menilai kembali kegemaran kita. Saya masih gemar memakan nasi ayam, namun oleh kerana ayam daging dikatakan banyak lemak yang kurang baik, saya memilih ayam kampung, kambing dan ikan. Jadi sekarang ini saya jarang memakan nasi ayam kecuali yang dimasak oleh isteri saya menggunakan ayam kampong atau ayam daging organik. Suka tidak suka itulah pilihan yang saya ada. Secara beransur-ansur anak-anak saya juga mulai kurang gemar memakan ayam daging atau ayam makanan segera. Bukan mudah untuk melakukan perkara ini.

Mengatakan peniaga kecil akan terjejas jika pengguna memboikot ayam mungkin ada kebenarannya. Namun begitu mari kita lihat kesan positif jika pengguna memboikot atau menangguhkan sementara kegemaran membeli dan memakan ayam. Kebanyakan peniaga kecil di negara kita adalah generasi baru yang kreatif dan sensitif kepada kehendak pasaran atau kuasa beli pengguna. Mereka ini ramai yang celik IT dan ada akaun facebook. Seandainya mereka menghidu jualan ayam daging akan terjejas tentu mereka mengambil langkah bagi mengelakkan atau mengurangkan kerugian. Menjadikan alasan bahawa golongan peniaga kecil ini akan terjejas teruk hanyalah suatu komen yang dibuat  tanpa melihat maslahah umum secara keseluruhannya.

Satu perkara yang pasti ialah jika para pengguna majoriti masih menggemari ayam daging tanpa mengira harga dan kesan sampingan yang dikaitkan dengannya, tiada tindakan  berkesan boleh diambil bagi menurunkan harga makanan itu.

28 October 2011

Hati Seorang Ibu

Setiap orang mempunyai ibu. Itulah perempuan pertama dalam hidup kita. Ibulah insan istimewa bagi setiap orang. Ibu mengandung, melahir dan membesarkan kita. Dan ibulah guru pertama dalam hidup seseorang. Begitu bererti dan bernilai seorang manusia bergelar ibu.

Sesuai dengan keadaannya, semangat seorang ibu amat tinggi. Semangat itu boleh mengatasi segala halangan. Semangat tidak membantut seseorang ibu melakukan apa saja demi anaknya. Ibu sukar menyerah. Ibu rela berkorban untuk anaknya. Yang seseorang ibu inginkan ialah keperluan anaknya dipenuhi. Ibu mahu anaknya berjaya. Ibu mahu anaknya 'jadi orang'.

Demi anak, ramai ibu terpaksa melupakan kerjaya. Ramai ibu memilih berhenti kerja demi anak. Ramai ibu memilih untuk bekerja dari rumah, kalau perlu, bagi menambah pendapatan keluarga. Kerja glamour dan tinggi pendapatannya ditinggalkan bagi membolehkan seorang ibu membesarkan anaknya sendiri. Sungguh besar pengorbanan sebegini. Hati seorang ibu hanya pasrah menerima dugaan tuhan.

Saya amat memahami perasaan ibu ini. Jiwa halusnya tentu tidak membenarkan anaknya sendirian. Jiwa halus seorang ibu menuntut pengorbanan besar. Saya sendiri, seorang bapa, berkorban masa agak lama menjaga anak yang sakit. Jika saya seorang lelaki, seorang bapa sanggup sebegitu rupa tentulah seorang ibu lebih besar pengorbanannya.

Teringat saya pada ibu saya sendiri satu ketika dulu semasa memasuki sekolah menengah. Ibu sanggup mengayuh basikal agak jauh setiap minggu untuk menghantar dan menjemput saya yang cedera lutut  kerana terjatuh. Dan disepanjang hampir 10km mengayuh basikal itu ibu akan ceritakan bagaimana cita-citanya belajar tinggi terhalang oleh tradisi. Sungguh kuat semangat ibu saya. Sekarang walaupun ibu sudah agak uzur, dia sudah boleh tersenyum puas.

Tentulah para ibu, walau siapapun mereka, tidak mahu anaknya mengecewakan. Jika anak ditimpa musibah walaupun akibat perbuatan sendiri, ternyata ibu lebih kuat raung dan sendunya berbanding si bapa. Saya sering melihat semasa menjalankan tugas professional saya bagaimana ada ibu yang meraung dan pengsan bila anaknya dijatuhkan hukuman akibat jenayah yang dilakukan. Bagi seorang ibu, anaknya tetap seorang anak walau siapapun dia.

Demikianlah hebatnya seorang ibu. Deraian airmata hanyalah mainan seorang wanita, seorang ibu. Tanpa rasa cekal hati seorang ibu memang sukar bagi seorang bayi yang masih lemah dapat hidup didunia ini. Hati ibu sekeras batu demi kesejahteraan anaknya. Ibu sanggup bergadai nyawa bergadai harta.

Saya bernasib baik kerana masih mempunyai ibu dan bapa walaupun mereka sudah lanjut usia. Saban waktu saya akan mengunjungi mereka. Ibu saya masih seperti dulu : menyayangi anak-anaknya. Dan bagi sesiapa juga yang masih mempunyai ibu atau bapa atau kedua-duanya, hargailah mereka. Itulah permata kita yang tidak ternilai harganya.

27 October 2011

Bukan Senang Nak Hidup

"Bukan senang nak hidup sekarang ini", begitulah bunyi luahan rasa yang sering kita dengar. Luahan begini terdapat dimana-mana sahaja dan keluar dari mulut pelbagai golongan rakyat dari kelas pekerja biasa sehinggalah ke kelas pertengahan. Luahan sebegini boleh didengar di pasar, di pejabat, dalam teksi atau ditempat-tempat lain.

Luahan itu membayangkan cabaran yang dihadapi oleh sebahagian besar rakyat. Ianya merupakan sungutan atau rungutan, yang terbit dari kehidupan sehari-hari. Semua orang memperkatakannya. Semua orang bercerita tentang harga barang keperluan dan bayaran perkhidmatan yang melonjak naik. Ramai orang bersungut itu dan ini.

Saya sendiri sebelum ini memang tidak mengikuti sangat hal kenaikan harga barangan keperluan harian. Bila mendengar rungutan begitu saya terus bertanya rakan-rakan dan mereka yang arif tentang soal ini. Rakan-rakan yang sering ke pasar telah membantu saya memahami apa yang dikatakan kenaikan harga barangan keperluan harian yang amat ketara.

Kicap yang dahulunya bernilai lebih rm2 sebotol kini dijual hampir rm6. Kalau mahukan harga sekitar rm5, hendaklah dibeli secara borong iaitu enam botol atau lebih. Kentang, bawang dan lain-lain juga dijual secara borong. Kenaikan harga sayur, ikan serta lain-lain barang seperti sudah tidak terkawal lagi. Seorang peniaga ikan bakar di Jalan Kucing memberitahu saya harga ikan di pasar Selayang agak tinggi sehinggakan beliau sukar berniaga. Seorang pemandu teksi pula memberitahu saya keadaan kenaikan harga barang keperluan menyebabkan harga sepinggan nasi campur lebih tinggi dari biasa.

Bila saya bertanya peniaga ikan bakar itu mengenai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, katanya penguatkuasaan nampaknya tidak berkesan. Harga ikan atau barangan lain tidak dapat dikawal kenaikannya. Samaada tanggapan peniaga ikan bakar itu betul atau tidak, sukar bagi saya untuk memastikannya. Yang nyata ialah harga barangan memang naik.

Kenaikan harga barangan ditambah lagi dengan kenaikan harga bahan bakar dan tenaga tentunya tidak baik. Sebahagian besar anggota masyarakat menerima tekanan kenaikan harga ini dengan bersahaja. Sebahagian yang lain pula merungut dan kurang senang. Sepertimana biasa, Kerajaan dianggap gagal berperanan dengan sewajarnya mengawal kenaikan tersebut.

Soalnya ialah adakah harga barangan keperluan akan terus melonjak naik? Tidak adakah makenisme yang ampuh buat mengawal kenaikan ini?

Selain dari Kerajaan, para pengguna serta persatuan-persatuan mereka memang berperanan membendung kenaikan harga. Sesekali kalau diadakan boikot terhadap harga barangan tertentu, mungkin akan ada kesannya. Persatuan pengguna mesti lebih vokal, lebih lantang menyuarakan tuntutan pengguna. Kuasa beli yang besar ditangan pengguna patut digunakan demi kebaikan bersama.

Tiada ertinya pendapatan bertambah, kalau kenaikan harga barang terus tidak terkawal!.

26 October 2011

Siapa Selepas Gaddafi?

Setelah terkorbannya Saddam dan sesudah itu Gaddafi, persoalan yang timbul ialah siapa pula pemimpin dunia yang akan menerima nasib yang buruk itu samaada melalui kebangkitan rakyat atau serangan dari luar? Adakah sudah tidak selamat lagi menjadi pemimpin politik dimana-mana negara kalau tidak disukai Amerika dan sekutu-sekutunya?

Selepas tumbangnya kerajaan Soviet Union, dunia betul-betul berada hanya dibawah pengaruh Amerika. Kecuali Beijing yang mempunyai kekuatan tersendiri, lain-lain negara tidak dapat lari dari kehendak dan telunjuk Amerika dan sekutu-sekutu kuatnya. Amerika menguasai semua forum dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Amerika menguasai percaturan politik dunia. Amerika menguasai ekonomi dunia. Amerika menguasai hampir segala-galanya.

Oleh itu tidaklah menghairankan jika Amerika boleh memaksa kehendaknya dalam apa saja hal. Sungguhpun ada kalangan tertentu cuba menafikan hal ini tetapi secara hakikatnya Amerika memang benar-benar berkuasa. Kehebatan bala tenteranya dicampur dengan teknologi canggih miliknya tidak memungkinkan mana-mana negara menentang dan mengalahkan serangan tentera Amerika. Lihatlah apa yang terjadi kepada Afghanistan, Iraq dan Libya.

Inilah hakikat politik dunia masakini.

Setakad ini kita belum nampak mana-mana pemimpin lain yang akan menerima nasib seperti yang dialami oleh Saddam dan Gaddafi. Kepimpinan Turki walaupun ternyata cuba lari dari garis panduan sekular yang diasaskan oleh Ataturk, namun masih bersama kelompok Amerika iaitu melalui European Union dan Nato. Biasanya Amerika tidak akan menyentuh sekutu sebegini.

Iran yang lantang menentang Amerika dan Israel tidaklah memberi satu cabaran besar. Jika Iran benar-benar menggugat, sudah lama negara itu diganyang. Tentu ada pertimbangan lain kenapa Tehran dibiarkan terus menjadi 'budak nakal' dan sesekali mengusik Amerika melalui kenyataan Ahmedinejad dan lain-lain pemimpin utama Iran. Bukankah tentera British sudah ada di Basra? Bukankah tentera Amerika sudah berada di Iraq dan Afghanistan?. Bukankah armada laut Amerika sudah lama berada di sekitar Laut Arab/Telok Parsi dan Lautan Hindi?

Kalau kita mengikuti percaturan politik dunia secara serious kita akan dapati tiada lagi pemimpin dunia yang boleh mencabar kuasa Amerika. Negara Cuba terlalu kecil untuk dilanyak oleh Amerika. Nicaragua pula bukanlah suatu ancaman yang sebenar. Russia sedang bergelut dengan masalahnya sendiri. Kalau adapun saingan atau cabaran terhadap Amerika mungkin hanya dari German, Jepun dan China.

Ekonomi German yang besar dan kuat itu ternyata suatu aset menjadi negara perkasa. Namun begitu German masih terikat kuat dengan Amerika melalui perjanjian yang mengakhiri perang dunia kedua dan perikatan Nato. Dalam keadaan hari ini tidak mungkin German dapat mengangkat kepala untuk menentang Amerika. Begitu juga Jepun yang terikat dengan perjanjian setelah kalah dalam perang dunia kedua. Tsunami baru-baru ini pula menjadikan Jepun tiada upaya untuk menentang atau membantah kehendak Amerika.

Yang tinggal menjadi saingan Amerika secara ekonomi dan ketenteraan ialah Republik Rakyat China. Dengan jumlah penduduk, jumlah tentera dan kekuatan ekonomi yang tidak bergantung kepada mana-mana negara, China menjadi saingan sebenar kepada Amerika buat masa ini. Namun begitu tradisi China sejak sekian lama haruslah dihormati. Walaupun Laksamana Cheng Ho mengetuai armada China ke serata benua, tiada mana-mana negara ditakluki. China hanya berminat berniaga. Dan sekali kita menghormati China, tiga empat kali dia menghormati kita!.

Jika persaingan merebut pengaruh antara China dan Amerika menjadi kenyataan, kita di Asia Tenggara, apa lagi negara-negara di pesisiran Selat Melaka, akan menanggung bahana besar!.

25 October 2011

Erti Sebuah Kehidupan

Masih belum terlambat untuk saya menulis sesuatu mengenai Kol Muammar Gaddafi, seorang pemimpin besar Libya. Almarhum merupakan seorang pemimpin dunia yang berwarna warni semenjak merampas kuasa pada tahun 1969 sehinggalah ke hari kematiannya beberapa hari lalu.

Seingat saya almarhum sentiasa mendapat perhatian. Semenjak revolusi Libya yang diketuai Gaddafi, berita dunia selalunya dimonopoli hal Palestin, Castro dan tentunya Gaddafi. Tentunya ada keistimewaan pada Gaddafi sehinggakan namanya begitu gah sekali. Tentunya Gaddafi telah melakukan sesuatu sehingga begitu kerap namanya disebut dalam media dunia.

Setahu saya tindakan Gaddafi menyingkirkan syarikat Aramco (iaitu Arab American Company) dari terus menguasai minyak di Libya telah mencetuskan kemarahan besar Amerika dan kuasa barat lainnya. Tindakan Gaddafi itu telah membolehkan Libya menguasai sepenuhnya perusahaan minyak negara itu. Gaddafi dilihat sebagai seorang yang amat berani ekoran tindakannya ini.

Hasil dari tindakan tersebut Libya menjadi semakin kaya. Gaddafi sendiri semakin berani. Pergerakan kebebasan diseluruh dunia dikatakan mendapat dokongan dan pembiayaan Gaddafi. Dari pergerakan Palestin, IRA, Japanese Red Army, pergerakan di selatan Filipina dan sebagainya dianggap disokong dan dibantu oleh Gaddafi. Gaddafi dikatakan ingin mengekspot revolusinya ke seluruh dunia!.

Laporan media tahun 70an, 80an dan 90an memang banyak memaparkan cerita Gaddafi. Adakah kerana dia begitu popular sehinggakan berita mengenai Gaddafi begitu menonjol? Atau adakah wujud perancangan halus sesuatu pihak untuk merosakkan imej Gaddafi yang dianggap bermulut celupar oleh kuasa-kuasa barat? Atau adakah tindakan berani Gaddafi telah sangat menjejaskan kepentingan barat?

Suka tidak suka kita kena akui bahawa Gaddafi telah menjadi idola bagi sesetengah pihak. Apa saja berita mengenai Gaddafi akan dibaca. Gaddafi disanjung diserata dunia. Gaddafi dikira sebagai simbol menentang kuasa barat. Gaddafi sungguh berjaya melakarkan imejnya sebagai baik walaupun dicemuh oleh kuasa barat saban waktu. Seorang kawan lama saya menamakan anaknya sempena nama pemimpin Libya itu tentunya dengan harapan menjadi seorang pejuang!. Demikianlah hebatnya Gaddafi.

Saya sendiri memang meminati cerita-cerita Gaddafi. Semasa menjadi aktivis pelajar dulu Gaddafi memang selalu dirujuk. Keberaniannyalah yang menjadi contoh. Kami masa itu sedar bahawa Gaddafi sedikit 'gila' namun keberaniannya mengatasi segala-galanya. Mungkin jiwa muda semasa itu membuatkan sebahagian besar pemimpin pelajar begitu kagum dengan Gaddafi. Gaddafi mempunyai 'pengikut' tersendiri tanpa dibataskan oleh agama dan bangsa.

Sungguhpun Gaddafi memerintah Libya secara agak keras namun beliau berjaya mengubah ekonomi dan landskap negara itu. Negara berkenaan cukup kaya. Rakyat mendapat apa yang diperlukan, kalaupun tidak secara percuma tetapi dengan kos yang rendah. Gaddafi menjaga kebajikan rakyatnya. Gaddafi memulangkan kekayaan minyak Libya kepada rakyat negara itu. Dan kerana itu sungguhpun Gaddafi ditentang oleh sesetengah rakyatnya, penentangan itu tidak mendapat dokongan popular.

Bilamana Gaddafi dibunuh dengan penuh misteri baru-baru ini, saya yakin Gaddafi akan terus menghantui musuh-musuhnya, tidak terkecuali Amerika!.

24 October 2011

Suara Unggas

Sewaktu membeli rumah tempat tinggal saya tiga tahun lalu saya hanya mahu sebuah rumah yang agak selesa. Saya mahukan rumah yang dapat menampung keluarga yang ramai. Saya mahu berada jauh sedikit dari bunyi ambulan dan siren kereta polis tanpa mengenal waktu. Biarlah rumah itu jauh sedikit asalkan tidak dikunjungi salesman saban waktu.

Memanglah agak penat sedikit berulangalik ke pusat bandar Kuala Lumpur. Kalau dulu jarak dari rumah ke pejabat hanya mengambil masa sepuluh ke lima belas minit, sekarang tiada lagi nikmat itu. Saya mengambil masa sekitar 40 minit atau lebih untuk sampai ke pejabat. Kesesakan jalanraya tidaklah ketara, cuma jarak ke pejabat dari rumah saya sudah agak jauh.

Namun begitu ada satu nikmat yang saya dapat walaupun tinggal agak jauh. Nikmat ini tidak saya peroleh semasa tinggal di sekitar Sentul dulu. Nikmat ini sungguh bermakna buat saya dan keluarga : suatu suasana penginapan yang damai. Di sini ibarat sebuah kampung, umpama kampung dimana saya dibesarkan. Dan nikmat ini bukan mudah didapati kalau kita tinggal di kawasan bandaraya yang memuatkan bangunan demi bangunan.

Sesuatu yang menarik ialah bunyi unggas yang berbagai ditempat penginapan ini. Waktu malam akan ada dua tiga ekor burung hantu berbunyi dari atas bumbung rumah jiran. Awal pagi tadi burung merpati, merbah dan murai sudah bernyanyi-nyanyi. Burung balam dan ketitir pula sedang bersahut-sahutan. Burung perling, ciak dan sebagainya juga akan berbunyi diwaktu tertentu. Sesekali bila hujan seakan mahu turun, burung raja udang akan berbunyi dari pokok-pokok ditebing sungai di belakang rumah. Ini sungguh suatu nikmat.

Selain itu bunyi cengkerik dan katak juga amat ketara, lebih-lebih lagi selepas hujan. Ada kawan saya yang selalu menangkap katak-katak ini untuk dijadikan umpan memancing haruan. Dia pernah mengajak saya menyuluh tempat yang menjadi kroni katak-katak itu, disamping turut menyuluh tempat tidur burung ketitir dipelbagai pohon sekitar kejiranan kami. Ini memang mengujakan.

Cara hidup dipersekitaran begini bukan disukai oleh semua orang, terutama yang lahir dan membesar di bandar. Mereka lebih suka mencari hiburan dan ketenangan dengan cara lain yang kadangnya boleh merosakkan. Bunyi unggas bagi mereka amat asing. Mungkin kalau mereka dengar suara burung hantu, ada yang akan menggigil ketakutan. Rupa-rupanya ramai orang takut hantu di negara kita ini, hasil melihat cerita tv dan filem mengenai hal itu. Begitulah.

22 October 2011

Kemana HIMPUN?

Dilaporkan hanya sekitar empat atau lima ribu orang menghadiri perhimpunan yang dianjurkan oleh HIMPUN di Shah Alam tadi. Disebalik publisiti yang agak bagus dan meluas, kehadiran sejumlah itu dikira kecil berbanding perhimpunan di Masjid Wilayah Persekutuan ekoran kes Lina Joy tempohari.

Kenapa terjadi begitu? Adakah orang ramai sudah tidak prihatin dengan isu murtad?. Atau adakah kerana Pas dan PKR tidak mendokong perhimpunan itu maka ianya terjadi sedemikian rupa?

Bagi saya isu murtad dan 'serangan' terhadap akidah ummat islam masih relevan dan wajar diberi perhatian oleh semua pihak. Di negara majmuk seperti Malaysia sesuatu isu besar dan sensitif tidak hanya menyentuh satu pihak sahaja. Semua golongan rakyat tanpa mengira agama dan ras akan menerima kesan dari isu sebegini. Tidaklah benar isu ini hanya menyentuh ummat islam kerana bahangnya akan tetap dirasai oleh semua rakyat.

Adalah amat penting isu sebegini tidak dibiarkan begitu sahaja oleh pihak pemerintah tanpa sesuatu tindakan bagi melegakan kegelisahan sebahagian rakyat. Pemerintah mesti meyakinkan ummat islam bahawa tindakan memurtadkan anggota masyarakat islam akan dihalang secara tegas melalui kuatkuasa undang-undang. Tanpa tindakan begitu isu ini akan terus menjadi duri dalam daging kepada keharmonian rakyat. Tanpanya ummat islam akan terus berhimpun dan berhimpun. Sudah tentu perkara begini tidak sihat untuk iklim politik negara.

Bagi saya walaupun jumlah kehadiran siang tadi tidak seramai yang diharapkan namun ianya tidak boleh dianggap sebagai kegagalan pihak penganjur. Kali ini mereka hanya kurang berjaya. Lagipun bilamana Pas tidak campur dalam perhimpunan tadi memang sudah dijangka kehadirannya tidak akan seramai mana. Bilamana PKR juga melihat dari jauh, perhimpunan itu menjadi tidak sebagaimana diharapkan. Umno juga tidak dengan terang-terang mengistiharkan dokongan terhadap perhimpunan itu. Oleh kerana tiadanya dokongan politik, kehadiran ke perhimpunan itu memanglah tidak besar sebagaimana diharapkan.

Sesuatu yang menarik ialah Himpun akan mengadakan perhimpunan disetiap negeri atau dari satu negeri ke satu  negeri. Modus operandinya hampir sama dengan beberapa 'program' terdahulu : bermula disebuah hotel atau satu tempat dan kemudiannya dibawa ke negeri-negeri. Adakah ini secara kebetulan atau memang dirancang sebegitu rupa?

Saya tahu ada orang yang tersenyum kambing membaca coretan ini!.

Kenapa HIMPUN?

Hari ini dijadualkan akan berlangsung perhimpunan besar-besaran ummat Islam anjuran Himpun di Shah Alam. Perhimpunan yang akan berlangsung di stadium itu akan mengulangi apa yang telah diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan beberapa tahun lalu ekoran kes Lina Joy dan rangkaian kes-kes murtad yang cukup sensitif itu. Sama ada perhimpunan di Shah Alam malam ini lebih besar dari perhimpunan di Masjid Wilayah Persekutuan tersebut akan dapat kita ketahui nanti.

Saya kenal baik dengan hampir kesemua ketua-ketua NGO yang menggerakkan perhimpunan yang akan berlangsung malam nanti. Kebanyakan mereka adalah sahabat-sahabat yang sejak sekian lama cukup istiqamah dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan umat islam didalam ataupun diluar negara. Mereka ini cukup konsisten dalam membela ummat islam. Mereka juga secara berterusan menyatakan kebimbangan bersangkut soal akidah ummat islam yang semakin terhimpit akhir-akhir ini.

Rakan-rakan ini pada saya amat ikhlas dengan apa yang mereka perjuangkan selama ini. Sebagai seorang aktivis, saya amat memahami hati nurani mereka. Mereka amat prihatin, apalagi soal akidah adalah soal teras agama islam. Soal akidah tidak ada tolak ansur. Itu adalah pegangan mereka dan pegangan ummat islam secara umumnya. Fakta bahawa ummat islam, tanpa mengira kecenderungan politik amat prihatin soal akidah ummat islam tidak boleh dipertikaikan lagi. Mereka 'pakar' dalam isu berkaitan dakyah agama lain terhadap ummat islam.

Oleh itu saya fikir jangan kita memperkecilkan usaha kumpulan NGO muslim yang mengetuai perhimpunan malam ini. Mereka terasa terpanggil, apalagi bilamana kelihatan pemimpin-pemimpin politik ummat islam seperti kurang peduli dengan isu ini. Telah ada semacam kekecewaan dikalangan masyarakat umum ummat islam terhadap sikap pemimpin politik mereka dalam isu ini. Mereka merasakan bahawa pemimpin-pemimpin politik ummat islam dari kerajaan dan pembangkang diperingkat pusat lebih mementingkan politiking. Itulah sebenarnya yang berlaku sejak sekian lama.

Namun begitu saya melihat dengan penuh waspada terhadap perhimpunan malam ini. Pertamanya ialah kerana sudah ada semacam dokongan politik bagi penganjurannya. Memang wajar pertubuhan politik islam terlibat dalam isu besar seperti ini. Namun pengalaman saya menunjukkan kalau ahli-ahli politik tertentu terlibat, ianya lebih mirip kepada politik peribadi, bukannya atas maslahah ummat. Inilah yang dikhuatirkan oleh ramai orang. Jika politik peribadi dicampurkan dengan usaha murni begini dibimbangi akan terjadi perkara yang tidak enak. Jangan nanti munculnya maki hamun bilamana orang tertentu berucap dalam perhimpunan malam ini.

Oleh kerana saya kenal secara dekat dengan tokoh-tokoh NGO muslim yang menjadi tulang belakang perhimpunan, saya penuh yakin mereka ini tiada agenda peribadi. Mufti negeri Perak yang menjadi semangat kepada perhimpunan juga tidak memburu apa-apa. Saya menjadi khuatir bila ada khabar menyatakan bahawa beberapa nama pemain politik dikaitkan dengan penganjuran perhimpunan. Jangan dalam keghairahan mempertahan agama islam, isu sempit perkauman turut ditimbulkan.

Kalau desas-desus mengenai penglibatan pemain politik berkenaan ternyata tidak benar, biarlah perhimpunan malam ini berjaya. Biarlah hadirin tahu apa sebenarnya yang berlaku. Yang diharapkan ialah ada angka sebenar kes murtad dikemukakan supaya ummat islam seluruhnya tahu apa yang sedang berlaku.

Sungguhpun ada peruntukan Perlembagaan yang menghalang penyebaran agama lain kepada ummat islam, kelihatannya peruntukan ini seperti tidak dihormati. Kalau perkara sebegini tidak berlaku, HIMPUN tidak mungkin lahir!.

Maka Apa Seharusnya?

Saya menghadiri satu perbicaraan di mahkamah tinggi Kuala Lumpur pagi semalam. Mahkamah sivil itu biasanya membicarakan kes-kes tuntutan berhubung tanah atau hartanah yang agak besar nilainya. Cukup menarik seandainya berpeluang hadir dihadapan hakim berkenaan yang bagi kami dikalangan pengamal undang-undang adalah seorang yang cukup 'learned' dan dihormati. Alasan-alasan penghakiman yang ditulisnya amat menarik untuk dirujuk dan menjadi 'precedent' dalam menghujjah kes-kes.

Kes pertama dihadapan hakim berkenaan ialah tuntutan seorang plaintif (orang yang menuntut) agar hartanah kepunyaannya dikembalikan kepadanya kerana telah melibatkan elemen penipuan atau konspirasi. Kes begini amat menarik kerana telah melibatkan urusan pindahmilik dan gadaian yang dinyatakan oleh tuantanah sebagai batal dan tidak sah. Tuantanah memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau tidak pernah menjual hartanah (rumah) miliknya dan tidak pernah menandatangani apa-apa borang atau suratcara pindahmilik.

Kes ini dikendalikan oleh rakan saya, juga seorang peguam kanan. Oleh kerana kes ini menarik, saya fikir ada faedahnya jika kes sebegini dibawa kepada pengetahuan orang ramai. Malahan hakim yang membicarakan kes ini juga mahu pihak berwajib menyiasat bagaimana unsur penipuan sebegini boleh berlaku. Sebagaimana kata hakim, adalah sesuatu yang pelik bila pegawai bank meluluskan pinjaman setelah menemui 'pembeli' di kedai kopi. Adalah juga sesuatu yang pelik bagaimana jumlah pinjaman adalah jauh lebih tinggi dari harga pasaran sebenar hartanah berkenaan. Inilah antara faktor yang menyebabkan yang arif hakim memberi perhatian yang serious kepada kes ini.

Satu perkara lain yang menarik ialah tentang sistem computerise geran-geran tanah. Semenjak sistem komputer digunakan di pejabat-pejabat tanah, sesuatu transaksi akan melibatkan satu geran baru dikeluarkan berkaitan sesuatu tanah atau hartanah. Katakanlah saya membeli sekeping tanah, satu geran (iaitu suratan hakmilik) yang baru akan dikeluarkan dan diberi kepada saya. Tiada lagi apa-apa catatan berkaitan tanah itu dapat dirujuk hanya dengan cara melihat geran tersebut, seperti yang boleh dilakukan sebelum sistem komputer dipakai oleh pejabat tanah. Disinilah pihak sendiket atau penipu individu mengambil kesempatan.

Kertas komputer yang dipakai di pejabat tanah boleh jadi sama kualiti dan standardnya dengan yang digunakan sendiket atau penipu berkenaan. Berkali-kali dipandangpun adalah agak sukar bagi kita untuk mengetahui yang mana satu geran sebenar, yang mana satu palsu. Penipu atau sendiket akan berbuat apa saja untuk menjayakan rancangan mereka, termasuk menipu bank untuk mendapatkan wang!.

Yang sungguh menarik ialah peguam yang dikatakan mengesahkan tandatangan penjual dalam kes itu memberi keterangan yang dia tidak mempunyai pejabat cawangan di Kuala Lumpur. Dalam ertikata lain, semua hal dalam suratcara pindahmilik itu adalah penipuan belaka.

Kepada orang awam ambillah kejadian dalam kes ini sebagai sangat serious. Kalau penipuan begini terus berlaku, tiada harta yang boleh dijamin selamat. Institusi kewangan juga kena berhati-hati sebelum meluluskan pinjaman. Bukan saja tuan tanah yang jadi mangsa, bank juga boleh mengalami kerugian sekiranya berlaku perkara seperti ini.

Sistem komputer yang mengeluarkan geran baru juga harus dikaji semula. Kalau amalan mengeluarkan geran baru tersebut ternyata menjadi ancaman kepada pemilik hartanah, ada baiknya kalau geran@suratan hakmilik@hakmilik strata secara sistem lama itu dipakai semula. Ini mungkin dapat mengelak kes-kes yang berunsur penipuan membabitkan tanah atau hartanah dari terus berlaku.

20 October 2011

Kebebasan Akademik

Penggantungan jawatan Prof Aziz Bari sebagai tenaga pengajar di Universiti Islam Antarabangsa sememangnya menarik perhatian ramai orang. Penggantungan tersebut dilakukan kerana dikatakan Prof Aziz Bari yang terkenal lantang itu menyatakan komen atau pendapatnya berkaitan satu kontroversi di Selangor. Dan komen atau pendapat itu mendapat liputan berita di negara kita.

Saya akui bahawa saya kenal rapat dengan Prof Aziz Bari. Semasa belajar secara separuh masa untuk pengajian Sarjana Undang-Undang Perbandingan satu ketika dulu, beliaulah yang sering menjadi teman saya berbual, apatah lagi Dekan Kuliyyah Ahmad Ibrahim ketika itu adalah bekas pembantu saya semasa berkhidmat dengan Kerajaan. Sikap Aziz memang kritikal dalam banyak perkara.

Kami menjadi bertambah rapat apabila sering dijemput dalam ceramah dan forum di seluruh negara. Isu kontroversi mengenai satu kes yang berkaitan agama beberapa tahun lalu itu kerap menemukan saya dan Aziz di pentas yang sama. Aziz dijemput atas kapasiti sebagai pakar undang-undang perlembagaan dan saya sebagai mewakili kumpulan NGO Muslim untuk memberi penerangan kepada pelbagai kelompok rakyat yang gusar dengan kes itu. Akhirnya kes berkenaan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan yang telah melegakan semua pihak.

Setahu saya Aziz akan menyatakan pandangannya tanpa berselindung. Bagi sesetengah orang Aziz dianggap amat berani. Aziz akan bercakap berdasarkan fahamannya, berdasarkan ilmunya. Aziz amat berterus terang. Aziz benar-benar berpegang kepada prinsip kebebasan akademik. Itulah Prof Aziz Bari!.

Saya kurang pasti adakah komen Aziz Bari yang membawa penggantungannya dibuat di dewan kuliah atau dalam majlis akademik atau dalam keadaan lain. Seandainya komen Aziz dibuat atas sifat akademik, tentulah ini akan menimbulkan satu persoalan mengenai sejauh mana kebebasan akademik mendapat tempat di negara kita. Sejauh mana seorang ahli akademik boleh memberi tafsiran dan pendapatnya dalam sesuatu perkara harus diukur dan diberi perhatian oleh semua pihak berkaitan.

Tanpa dipengaruhi sentimen atas sifat Aziz teman saya, perkara kebebasan akademik adalah perkara besar. Aziz tentu lebih maklum hal ini. Sebagai professor undang-undang, apalagi undang-undang perlembagaan, tentu Aziz faham apa yang dicakapkannya dalam ruang lingkup beliau sebagai ahli akademik.

Jika Aziz memberi pendapat atau komen diluar dari bidang atau kebebasan akademiknya, timbul juga persoalan mengenai sejauh mana pula kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat di negara kita.

Sekedar membaca akhbar arus perdana dan menonton tv, kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Untuk menghubungi Aziz saat ini memang sukar, apalagi Aziz memang tiada handphone. Walaupun begitu setahu saya Aziz memang telah benar-benar berumah di tepi pantai sejak lama. Aziz telah bersedia menghadapi segalanya!.

Penjara Sungai Buloh

Black Maria dari penjara Sungai Buloh tiba kira-kira jam 8.30 pagi setiap hari. Kereta dan motosikal polis yang mengiringi lalui Black Maria tersebut akan berhenti sebaik sahaja tiba di persimpangan mahkamah. Bunyi siren dimatikan. Sebentar kemudian sepasang demi sepasang tahanan mulai turun dari kenderaan Black Maria tersebut. Sederap demi sederap langkah-langkah longlai mereka yang bergari berjalan digiring memasuki kompleks mahkamah. Sederap demi sederap, sederap demi sederap.

Wajah-wajah tahanan sugul. Ada yang moyok, kusut masai. Pakaian penjara tidak menceriakan semangat mereka. Uniform penjara itu hanya suatu kemestian, bukan suatu kebanggaan. Uniform penjara sekadar menutup tubuh seadanya.

Tadi diawal pagi, mereka sudah beratur sebelum menaiki Black Maria tersebut. Masing-masing mencongak-cogak apa bakal terjadi hari ini. Semalaman ada yang tidak boleh tidur. Gementar dan takut silih berganti. Sesekali rasa pilu dan sedih menyerang lubuk perasaan. Menyesal memang ada namun sudah sedikit terlambat.

Sambil berjalan menuju bilik bicara, masing-masing tertanya-tanya siapa magistrate atau hakim yang akan membicarakan mereka hari ini. Apa yang mereka dengar semasa direman dalm penjara berbagai-bagai. Katanya magistrate itu keras, kalau dia jatuhkan hukuman penjara sudah tentu lama. Magistrate ini pula lembut sikit, dia selalu senyum, kalau kena penjarapun tidaklah berat sangat. Hakim pula katanya bermacam-macam cara juga. Ada yang lembut dan ada yang keras.

Mereka dibuai perasaan sambil kaki longlai melangkah. Debaran makin kencang. Perasaan takut mulai menerpa. Wajah ibu, ayah dan anak isteri silih berganti menari-nari dalam lowongan minda. Wajah teman-teman yang selama ini sama-sama melakukan kerja-kerja maut mulai terbayang. Hati kecil lalu bertanya siapakah keluarga atau kawan yang akan datang menyaksikan perbicaraan hari ini. Degupan jantung mulai mencemaskan. Siapa ya yang akan datang?.

Sebaik sahaja memasuki ruang perbicaraan, rasa gementar mulai menjadi-jadi. Kerusi dikandang tertuduh terasa panas. Dada berombak. Kepala ditundukkan buat mata melihat kuku jari kaki yang agak panjang. Nafas dihela dalam-dalam. Air mata mulai mengalir setitik demi setitik. Oh rupanya tiada siapa keluarga atau teman hadir hari ini. Dulu mereka hadir, sekarang dimana mereka ya?.

Apakah hari ini nasib kurang baik akan menimpa? Adakah hari ini hakim akan mengetuk meja lalu menyatakan bahawa... Aduhhh.

Bagi mereka cukuplah sekali ini. Cukuplah dada cemas membilang hari selama ditahan di penjara. Cukuplah ikan masin menjadi pembuka selera harian. Cukuplah tembok penjara yang memisahkan hidup bebas. Cukuplah. Kalau kawan-kawan lain masih mahu bercanda dengan jenayah, apa boleh buat. Jenayah hanya mengundang padah yang tiada kesudahannya.

Jika ada yang bertanya seronokkah bermalam di penjara, tentu dengan senang mereka akan berkata yang sudah itu sudahlah. Ya, yang sudah itu sudahlah. Bukannya senang bermalam di bilik beramai-ramai. Bukannya enak berbual sedangkan ada rakan mandi ditandas terbuka. Bukannya senang menjadi penghuni penjara. Walaupun hanya tahanan reman, penjara tetap sebuah penjara!

19 October 2011

Nafas Nusantara

Sesungguhnya saya amat berbesar hati bila sahabat saya Prof Dr Awang Sariyan memberi komen berkaitan tulisan saya mengenai citra Nusantara beberapa hari lepas. Beliau menyatakan betapa manisnya jika gagasan Melayu Mahawangsa lahir berteraskan nilai agama, yang dalam konteks Kepulauan Melayu, ialah Islam. Sungguh ini suatu himbauan murni yang didendangkan sejak lama. Maka bagi saya himbauan Prof Awang wajar dijengah agar nafas Nusantara sentiasa segar didada kita semua.

Bagi mereka yang berketurunan penduduk asal Nusantara, memanglah amat bergembira dengan gagasan sebegini. Lagipun konsep Asean sebenarnya bertitik-tolak dari kesatuan 'Melayu' yang pada awalnya lahir melalui idea Maphilindo. Maphilindo menggabungkan Malaya, Philipina dan Indonesia, tiga buah negara 'Melayu' terbesar di Asia Tenggara. Bila Malaysia ditubuhkan, gagasan Maphilindo terkubur malah digenangi oleh banjir konfrontasi Malaysia - Indonesia.

Namun begitu saya cukup pasti bahawa gagasan besar Nusantara ini tidak akan ditolak oleh mana-mana kaum lain. Semua kaum di Malaysia telah menjadikan tanah ini tempat hidup dan mati mereka. Kawan-kawan saya dari kalangan bukan Melayu malah amat bergembira kerana kawasan untuk berdagang secara bebas akan menjadi cukup luas. Padang rumput saujana mata memandang!.

Lagipun konsep sebuah Nusantara besar bukanlah menyalahi mana-mana tamaddun. Negara-negara Arab telah cuba melakukannya. Sekarang negara Eropah sedang melakukannya melalui European Union. Malahan kalau dilihat slogan yang dilontarkan oleh Presiden Bush 'one world' atau 'world without borders' jauh lebih besar dari gagasan mahawangsa Nusantara. Penyatuan negara-negara adalah fenomena biasa, apalagi kalau penyatuan itu memberi ruang yang lebih luas dan baik kepada warganya.

Melihat dari sudut ini maka apa yang dilontarkan oleh ramai cendekiawan dan pemuka-pemuka politik di Nusantara sejak sekian lama bukanlah sukar untuk direalisasikan. Tinggal lagi gagasan besar itu semestinya tidak berpaksi kepada semangat perkauman yang sempit. Semua bangsa yang mendiami dan menjadi warga di daerah besar ini mesti mempunyai hak masing-masing. Jangan ada diskriminasi atas asas ras dan agama. Jangan kita dipengaruhi oleh mitos politik sempit membuta tuli.

Tiada siapa yang akan rugi seandainya Nusantara bersatu. Memanglah ada karenah-karenah tertentu yang mesti dihadapi. Sudah semestinya kuasa politik dunia tidak mahu gagasan ini berjaya. Namun begitu bagi ahli-ahli perniagaan dan mereka yang mementingkan pertalian darah melihat ini sebagai sesuatu yang menguntungkan. Bayangkanlah pasaran luas kepada 300 juta penduduk!.

Gagasan besar ini boleh menjadi nyata jika ramai rakyat sedar akan kewajarannya. Pemimpin negara-negara di Nusantara harus melihat ini sebagai suatu potensi besar. Jangan ada curiga, jangan ada sengketa. Kalau imbauan ini terjadi, roh moyang saya yang bersemadi di makam lama berhampiran Padang Serai, Kulim akan tersenyum puas!.

Bahasa Alam 2

Memahami bahasa alam merupakan satu kelebihan kepada kita. Kalau kita mahir dengan sesuatu petunjuk, kita malahan boleh membantu orang lain. Begitulah yang berlaku bilamana kita mampu memahami semua ini.

Suatu masa kami memancing di Taman Negara, Pahang. Kami mendirikan khemah di atas pasir di tepi sungai. Sedang saya berkira-kira mahu tidur tiba-tiba saya dikejutkan seorang rakan. Katanya kami kena berpindah jauh dari tebing. Saya bertanya kenapa, lalu teman itu menunjukkan air sungai yang baru tiba penuh sampah sarap dan berbuih. Katanya hujan di ulu sungai kuat berdasarkan sampah sarap dan buih-buih air. Kalau kami tidak pindahkan khemah, katanya kami mungkin tenggelam.

Memang benar apa yang dikatakan oleh kawan saya itu. Beberapa ketika kemudian air sungai sangat laju dengan segala batang balak melewati tempat kami berkhemah. Air sungguh banyak dan mulai sebak walaupun di tempat kami tidak hujan. Bayangkanlah sekiranya tiada antara kami yang faham bahasa alam itu, kemungkinan apa saja boleh berlaku terhadap kami pada hari itu.

Bunyi burung tertentu juga boleh ditafsir sebagai memberi tahu yang hujan akan turun. Burung tittibau yang terbang tinggi sambil berbunyi menggambarkan keadaan ini. Begitu juga bunyi burung raja udang yang membawa erti yang sama. Salakan anjing melolong membayangkan ada jin disesuatu tempat. Banyak lagi contoh-contoh sebegini yang menarik untuk kita pelajari dan ambil sebagai pedoman dalam hidup seharian.

Walaupun begitu bukan semua pergerakan haiwan, serangga atau alam semulajadi yang lain memberi isyarat tertentu. Misalnya kalau biawak melintas dari sebelah kiri kita, itu tidak bermakna sial sedang menunggu. Kalau burung hantu berbunyi bukan bermakna esoknya ada orang akan mati. Bahasa alam bergantung pada pengalaman dan penghayatan, bukan kepada khurafat dan kepercayaan karut.

Mungkin saudara sekelian juga ada yang memahami bahasa alam ini. Ada baiknya kita berkongsi untuk faedah bersama!.

18 October 2011

Bahasa Alam

Sesungguhnya alam ini amat luas. Dan alam ini mempunyai peraturannya sendiri. Alam mempunyai bahasanya sendiri kalau kita mahu mengerti atau pelajari. Bahasa alam tidak sukar untuk difahami. Kita cuma perlu melihat dan membaca dengan mata hati segala bahasa yang ada di alam maya ini.

Begitulah peranan bahasa alam. Bahasa universal ini tidak berbunyi seperti kita bercakap. Bahasa alam tidak ketawa atau menangis. Bahasa alam tidak meraung. Bahasa alam hanya memberi isyarat supaya dimengerti oleh manusia. Bahasa alam hanya dapat difahami melalui pengalaman, melalui pemerhatian. Ini bererti bahawa bahasa alam walaupun tidak sukar difahami namun bukan juga terlalu mudah untuk dimengerti.

Melalui kehidupan anak kampung suatu ketika dulu mengajar saya apa itu bahasa alam. Kegilaan memancing semenjak berumur 16 tahun menambahkan lagi khazanah pengalaman ini. Kegemaran mendaki bukit dan meredah belantara untuk memancing kelah, sebarau, tengalan, udang galah dan lain-lain memperkuatkan lagi gedung pengalaman tentang kehidupan. Begitulah pengalaman yang mendewasakan, menjadi panduan sepanjang perjalanan hidup.

Bahasa alam ialah apabila kita dapat menjangka apa yang akan berlaku dengan melihat bentuk matahari, keadaan bulan, cara angin berhembus, arah dahan pokok, pergerakan binatang dan lain-lain. Bunyi burung tertentu diwaktu tertentu juga boleh memberi isyarat bahawa hujan akan turun atau sebaliknya. Begitu juga dengan isyarat-isyarat lain yang diperlihatkan oleh sesetengah serangga.

Semasa masih menjalankan operasi firma saya berhampiran PWTC awal tahun 2009, pergerakan lipas, tikus, sepah bulan dan lain-lain telah menjadi panduan kepada kami disitu bahawa banjir besar akan berlaku. Sewaktu hujan mulai turun serangga-serangga ini berbondong-bondong keluar dari sarang atau persembunyian dan berpindah ke bahagian atas bangunan. Segala macam serangga keluar dan bergerak. Hasilnya memang banjir besar berlaku hari itu. Pameran perabut di PWTC habis tenggelam. Tingkat bawah bangunan di Jalan Rahmat hapus ditenggelami banjir. Puluhan malah ratusan kenderaan tersadai.

Ini bukan cerita yang pelik. Pelbagai kejadian begini berlaku di seluruh dunia. Hanya manusia sahaja yang lalai atau tidak mahu mengerti akan bahasa alam ini. Dan sekarang pula alam semakin ligat mempamerkan bahasanya agar dimengerti oleh kita. Kejadian bencana alam disana sini tanpa henti tentu ingin mengkhabarkan kepada kita bahawa alam ini sudah sangat tua. Bersedialah untuk menghadapi segala macam kejadian yang akan berlaku satu demi satu.

Bersedialah. Berwaspadalah.

Merancang Kehidupan.

Semasa tinggal di Pahang saya mengenali seorang pengurus bank. Akhirnya saya menjadi kawan baik beliau. Yang menjadi perhatian saya ialah bagaimana kawan saya ini merancang kehidupannya dan dia nampaknya berjaya.

Kawan saya ini tiada ijazah. Belajar di ITM (sekarang UiTM) hanya sekerat jalan, beliau terpaksa berhenti kerana keadaan keluarga tidak mengizinkannya terus belajar. Walaupun keinginan untuk belajar tinggi, semuanya terpaksa dilupakan. Beliau berhenti belajar lalu bekerja menyara adik-adik yang ramai.

Beliau memberitahu saya dia merancang hidupnya. Dia naik dari setakah ke setakah dalam kariernya sebagai pegawai bank. Jawatan terakhirnya ialah naib presiden di bank berkenaan sebelum dia mengambil opsyen bersara. Dia naik secara 'rank and file'. Dia naik atas usahanya. Dia bersara juga mengikut apa yang dirancangnya.

Satu perkara yang menarik ialah azam dan rancangannya untuk bebas dari hutang pada umur 50 tahun. Dia berjaya melakukannya. Saguhati persaraan yang cukup lumayan itu membolehkan hutangnya kosong. Dia benar-benar merdeka. Dia benar-benar berjaya melaksanakan perancangannya. Hidupnya kini bebas dari keluh kesah. Dia menghabiskan usianya sekarang dengan berkhidmat di masjid. Sungguh dia seorang yang berjaya.

Mengambil contoh kawan ini saya juga merancang untuk bebas hutang. Pernah dulu saya langsung tiada hutang, otak cukup lega. Oleh kerana saya masih mengendalikan firma, serba sedikit hutang masih ada. Jika tiada aral, hutang begitu akan dapat diselesaikan tidak lama lagi. Saya juga berusaha bebas hutang sebelum bersara dari profesyen saya nanti. Saya juga merancang, dan semestinya perancangan Allah mengatasi segala-galanya!.

Tiada ruginya kalau kita merancang kehidupan kita, apa yang mahu kita capai. Kalau berjaya alhamdulillah, kalau kurang berjaya teruskan berusaha. Semua orang mahu bebas hutang, mahu fikiran lapang. Semua orang tahu merancang tinggal lagi apakah perancangan itu berjaya atau tidak, ianya bukan kuasa kita.

Bagaimana Merancang Pahala?

Kita tahu bahawa segala pekerjaan kita bergantung kepada niat. Hanya perbuatan yang disertai ikhlas yang diterima sebagai ibadat serta mendapat ganjaran pahala. Ikhlas melakukan sesuatu kerana Allah tentu sekali merupakan tahap ibadat tertinggi. Demikianlah kita diajar.

Adakah merancang untuk mendapat pahala boleh dilakukan? Tidakkah itu akan mengurangkan nilai keikhlasan yang dituntut agama?

Saya bukan seorang ustaz atau guru agama. Namun begitu latar belakang keluarga sedikit sebanyak ada membantu dalam hal ini. Yang saya tahu ialah pahala boleh dirancang untuk didapatkan. Hanya berapa pahala yang kita dapat tidaklah dapat diketahui. Pokok pangkalnya adalah ikhlas seperti yang saya nyatakan tadi. Sesungguhnya memang pahala boleh dirancang sebagaimana dosa juga boleh dirancang!.

Kalau semalam saya ambil contoh ibadat qurban yang boleh dirancang, ibadat-ibadat lain seperti haji, umrah, sedekah, infaq, zakat dan lain-lain juga boleh dirancang. Kita ini manusia yang dikurniakan indera untuk melihat, mendengar dan berfikir. Indera tersebut amatlah berguna dalam kehidupan kita. Indera berfikir hanya ada pada manusia. Dan seandainya akal diguna sebaiknya, memang kita boleh merancang untuk mendapatkan pahala.

Sekarang ini kalau hendak menunaikan fardhu haji bukannya mudah. Duit banyak tidak semestinya boleh segera menunaikan haji, apa lagi kalau pendapatan kita terhad. Kalau daftar tahun ini mungkin sepuluh atau lima belas tahun lagi barulah kita berpeluang mengerjakan haji. Oleh itu kita kena merancang mulai sekarang. Cara mudah ialah dengar mendaftar di tabung haji sekarang dan mula menabung. Jangan tunggu bila pencen baru kelam kabut cari 'kabel' untuk naik haji. Simpan sedikit-sedikit secara berterusan. Itulah yang dikatakan ibadat yang dirancang.

Melakukan sedekah atau mengeluarkan zakat juga sekarang ini amat mudah. Begitu juga dengan infaq. Di kedai mamak atau ditempat-tempat lain ada disediakan tabung berbagai untuk kita bersedekah dan lain-lain. Tabung atau peti ini biasanya ada berdekatan kaunter bayaran. Sesudah kita bayar harga makanan, wang baki dalam bentuk syiling atau kertas masukkan saja ke dalam tabung atau peti itu. Biasanya tabung atau peti itu adalah untuk membiayai masjid, surau, rumah anak yatim dan sebagainya. Kalau kita merancang dengan elok, banyak juga sumbangan kita. Ini boleh dilakukan secara mingguan atau setiap kali kita jumpa tabung atau peti sedemikian.

Bukankah agama itu itu mudah?

17 October 2011

Bolehkah Pahala Dirancang?

Semalam saya agak sibuk dengan urusan masyarakat setempat. Karena itu agak sedikit letih dan saya tidak sempat menulis untuk blog ini. Hari ini pula selsema sejak awal pagi membikin daya menulis tersangkut-sangkut. Sakit kepala walaupun tidak serious turut menahan saya menulis siang tadi. Mujurlah hujan tahap sederhana lebat telah membuat suasana lebih sejuk dan tenang.

Menulis mesti dirangka dasarnya sebelum diluahkan sebagai sebuah garapan yang menterjemahkan pemikiran kita untuk manfaat bersama. Idea atau ilham sahaja tidak cukup tanpa dirancang cara dipersembahkan. Tulisan akan jadi berbelit-belit dan hambar. Tulisan akan jadi sesuatu yang tidak berfaedah. Oleh itu merancang adalah penting dalam penulisan.

Perancangan adalah penting dalam semua perkara. Selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah, perancangan adalah nadi kehidupan. Banyak perkara boleh dirancang, tinggal lagi sebahagian daripada kita ambil mudah dan menyerahkannya kepada keadaan. Bagi sebahagian daripada kita merancang adalah membuang masa dan tidak perlu dibuat.

Sedarkah kita bahawa untuk mendapat pahala juga perlukan perancangan? Untuk mendapat pahala, apalagi pahala terbaik bukannya secara enteng atau bergantung kepada nasib. Tidak boleh diharap pada pahala tersepak atau pahala percuma. Pahala mesti dikejar iaitu dirancang untuk mendapatkannya. Pahala mesti diburu kerana dia tidak datang sendiri.

Sebagai contoh yang mudah ialah ibadat qurban. Harga satu bahagian qurban ialah sekitar rm400. Kita ada sebelas bulan untuk mengumpul jumlah itu. Kita mesti merancang. Kalau dirancang maka bolehlah disimpan kira-kira rm40 sebulan untuk dibuat bayaran satu bahagian qurban tadi. Ibadat yang datang hanya sekali dalam setahun itu tidak patut dilepaskan begitu sahaja. Tiada alasan mengatakan tiada wang untuk turut serta melakukan qurban. Wang sebanyak rm40 sebulan kalau tidak dirancang penggunaannya akan habis begitu sahaja.

Bagi saya merancang untuk mendapat pahala sudah sewajarnya jadi amalan kita semua!.

15 October 2011

Erti Sebuah Kegigihan

Kalau tadi saya menulis berkaitan seorang kawan yang berjaya di bidang ekonomi, kali ini saya mahu paparkan kejayaan seorang kawan lain di bidang pendidikan. Kalau petang tadi teman saya berjaya naik dari bawah, teman yang seorang ini juga menurut galur yang hampir serupa.

Teman saya yang seorang ini memang kawan lama. Kami belajar satu kelas walaupun dia dua tahun lebih tua dari saya. Masa itu kerajaan sedang berkempen membasmi keciciran di sekolah. Kawan saya ini tercicir di tingkatan satu selama dua tahun. Hasil kempen itu kawan saya ini masuk semula ke sekolah menengah dan belajar bersama saya walaupun di kelas berlainan. Kemiskinan memaksa beliau berhenti sekolah untuk bekerja membantu ibunya menyara keluarga. Bapanya yang telah berpisah dengan ibunya langsung tidak membantu.

Semasa kami ke sekolah menaiki bas, motosikal atau basikal, kawan saya ini hanya berjalan kaki. Jarak rumahnya ke sekolah kira-kira 5 km sehala. Kalau bernasib baik dia akan membonceng basikal kawan-kawan. Kalau tidak, maka dia akan berjalan kaki ke sekolah. Namun semangatnya untuk belajar tidak pernah luntur. Walaupun terpaksa bekerja mengambil upah semasa cuti sekolah, dia masih terus belajar hingga tingkatan lima.

Keputusan peperiksaan SPM tidak cukup baik untuk kawan saya ini. Oleh keadaan keluarga dan keputusan SPM sebegitu, kawan saya ini berhijrah ke Kuala Lumpur dan melakukan pelbagai kerja. Akhirnya beliau memohon menjadi konstable polis dan berjaya.

Semasa saya belajar di Universiti Malaya, saya ada melawat kawan saya ini di berek bujang balai polis tempat dia bekerja. Sungguh dia teruja dan tidak menjangka saya akan melawat dia disitu. Baginya lawatan itu amat bererti sekali. Hasilnya beliau mulai belajar kelas malam dan mengambil peperiksaan beberapa tahun kemudian.

Akhirnya sahabat saya ini memasuki UiTM dan berjaya mendapat ijazah ketika sudah punyai anak dan telah melalui ranjau hidup susah senang. Kami telah terputus hubungan selama lebih sepuluh tahun. Menurutnya dia terus mencari saya kerana nasihat-nasihat saya semasa dia menjadi konstabel cukup memberi semangat kepadanya.

Kawan saya ini terus belajar ke peringkat lebih tinggi. Dia akhirnya memperolehi ijazah sarjana dan doktor falsafah. Saya yang katanya menjadi pencetus semangatnya dan menjadi contoh kepadanya hanya berjaya belajar ke peringkat sarjana sahaja. Begitulah gigihnya dia. Kemiskinan keluarga tidak sedikitpun menghalang beliau berjaya dalam cita-citanya. Kegigihannya memang wajar dicontohi.

Sekarang kawan baik saya ini menjadi pensyarah di sebuah universiti awam di negara kita. Dia telah berjaya. Ibunya dijaga dengan baik. Sesekali berjumpa dia masih menceritakan nostalgia membela kerbau dan berjalan kaki pergi dan balik dari sekolah. Bila bercerita begitu saya lihat masih ada air mata jernih dibiarkannya menitis satu satu!.

Masa belajar dulu kemiskinan adalah perkara biasa dan amat merata. Kawan saya ini memang kurang bernasib baik datang dari keluarga yang kurang mampu. Itulah faktor sebenar kenapa dia tercicir walaupun semangatnya untuk belajar amat tinggi. Kejayaan yang dicapainya sekarang bukannya sesuatu yang biasa.

Apakah semangat yang ada pada sahabat saya ini akan terus menjadi ikutan generasi sekarang?

Jaga Lembu

Saya ada seorang kawan yang agak dihormati. Beliau dihormati bukan kerana dia berpangkat atau apa. Beliau tidak ada apa-apa gelaran. Yang saya tahu ramai orang bergelar Tan Sri dan Dato' menjadi kawan baiknya. Ramai orang suka berkawan dengannya walaupun dia hanya menjaga lembu.

Kawan saya ini juga tidak berpelajaran tinggi, hanya tamat tingkatan tiga. Sesudah  tamat tingkatan tiga kawan saya ini bekerja di kedai makan bapanya sambil menolong membesarkan adik beradik yang ramai. Dia mula menjaga lembu tidak lama selepas itu. Banyak lembu-lembu yang dijaganya. Kawan saya ini akan keluar rumah awal pagi menjaga lembu bertemankan sebatang kayu. Begitulah rutin hidup beliau untuk beberapa lama.

Nasibnya mula berubah bila dia berniaga daging di pasar. Sesudah itu dia ada lot sembelihannya sendiri. Dia mengembangkan perniagaan seterusnya dengan eksport impot lembu dari Australia disamping mempunyai ladang ternak lembu secara feedlot yang menempatkan sehingga hampir seribu ekor lembu dan kerbau pada satu-satu masa. Dia juga menternak ratusan ekor kambing pada satu-satu masa disamping ayam dan itik.

Dia juga membekalkan daging sembelihannya ke beberapa pusat membelibelah dan pasaraya besar di Lembah Kelang. Dari semasa ke semasa kawan saya ini akan bergerak ke utara atau selatan, juga atas urusan lembu. Dengan cara hidup yang simple, ternyata kawan saya ini amat berjaya dalam bidang yang diceburinya.

Pada saya inilah contoh kejayaan seseorang yang betul-betul naik dari bawah. Tanpa ijazah dan tanpa pengaruh politik, beliau berjaya hasil kerja keras. Hatinya bersih, pemurah dan kuat menjaga agama. Faktor sebegitulah yang membawa beliau dari seorang jaga lembu kepada seorang usahawan berjaya.

Kita bagaimana?

14 October 2011

Gebang Petang

Ramai sungguh kaki gebang politik di negara kita. Gaya mereka mengalahkan wakil-wakil rakyat. Menteri pun kalah. Punyalah sedap dia gebang, dari tengahari sampai lewat malam tidak henti-henti. Solat zohor, asar dan maghrib entah kemana. Langsung tiada tomakninah dalam hidup seharian.

Kalau dengar teori politiknya, mak ai mengalahkan professor sains politik. Lagipun apalah sangat professor zaman ini kan? Sebab itu teori ahli politik kedai kopi dan coffee house di hotel-hotel ini bolehlah didengar juga. Sedap dengar sampai tengah malam. Dia punya gebang cek abang oi sampai lupa nak beli susu anak. Dia punya goreng sampai meleleh air liur kawan-kawan disekeliling.

Cawan kopi sudah bertimbun. Lepas mee goreng minta pula mee mamak dan sandwich. Kacang tanah Ngan Yin berbungkus-bungkus. Keretek, cigar dan rokok bersilih ganti. Air diminum lepas secawan, dipesan secawan lagi. Botol-botol air mineral bergolek-golek diatas meja. Kertas tissu terpenyek-penyek disana sini.

Suara geng-geng gebang ini macam mana ya? Oh jangan hairan yang yang paling pandai temberang suaranyalah yang lebih tinggi. Dialah yang tahu segala-galanya. Dialah yang kenal menteri dan pegawai-pegawai tinggi. Dialah juga yang selalu ditunggu-tunggu kehadirannya oleh geng gebangnya. Dialah yang kononnya banyak duit berbanding rakan-rakannya yang lain.

Bagaimana rupa pakaian geng gebang ini ya?

Oh itu mudah. Mereka pakai pakaian yang cantik dan berjenama. Kasut berkilat. Jarang yang pakai sandal. Warna pakaian jarang sangat yang gelap. Melihat pakaian.yang dipakai tentu ada orang fikir mereka ini kaya raya, jutawan. Kalau lihat kereta atau kenderaan yang mereka guna barulah kita tahu keadaan mereka sebenarnya!.

Walaupun gebang, mereka ini boleh dipakai juga. Mereka ramai kawan-kawan. Kualiti mulut manis mereka dapat menyelesaikan banyak masaalah. Kalau ada sikit-sikit benda tersangkut di jabatan kerajaan, mereka ada jalan menyelesaikannya. Ada orang yang hormat pada mereka. Ada orang yang menggunakan mereka.

Gebang pun gebanglah. Ianya sekedar lepak versi orang dewasa. Mereka sekedar menyambung tradisi berborak di kedai kopi. Itu saja.

Nanti balik rumah jangan minta duit isteri ya!

13 October 2011

Menjelang Pilihanraya : Suatu Penilaian.

Pulang dari mahkamah tadi saya bertemu seorang peguam yang saya kenal agak rapat. Beliau merupakan Counsel bagi pihak Barisan Nasional dalam kes-kes petisyen pilihanraya selepas pilihanraya umum ke dua belas pada tahun 2008.

Pilihanraya umum 2008 merupakan satu 'turning point' yang sungguh besar bagi Barisan Nasional. Kalau dalam pilihanraya umum 2004 Barisan Nasional lebih banyak bertahan iaitu menjadi defendan dalam kes-kes petisyen pilihanraya, pada tahun 2008 keadaannya berbeza. Barisan Nasional melalui firma guaman rakan saya tadi dan firma-firma lain memfailkan petisyen pilihanraya sebagai pempetisyen memohon agar mahkamah tinggi menyemak semula keputusan pilihanraya dan membuat perintah tertentu yang dipohon di satu-satu kerusi pilihanraya. Ternyata ini adalah sesuatu yang tidak pernah dialami oleh Barisan Nasional sebelumnya.

Tentulah ini bukan satu petunjuk yang baik buat Barisan Nasional. Pilihanraya tahun 2008 tersebut telah meletakkan parti itu menjadi 'under dog'. Barisan Nasional kena 'menyerang', bukan lagi 'bertahan' seperti pilihanraya-pilihanraya sebelumnya. BN kehilangan Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan hampir kehilangan Negeri Sembilan. Sungguhpun kerajaan pusat masih dikuasai BN, namun debaran sentiasa melanda parti pemerintah itu. Majoriti dua pertiga di Parlimen sudah tidak dimiliki BN, menjadikan keselesaan yang dinikmati selama ini terbang disapu awan!.

Nampaknya keadaan tidak banyak berubah sekarang ini. BN menghadapi saingan amat ketara yang belum pernah dialaminya sebelum ini, kalau adapun pada pilihanraya 1990 dan 1999. Namun ternyata BN sedang berhadapan dengan saingan sebenar, saingan yang berazam untuk menang bergaya pada pilihanraya umum akan datang. Pilihanraya umum ke tiga belas yang dijangka berlangsung tidak lama lagi itu ternyata mencemaskan BN.

Kenapa hal begini terjadi? Bukankah BN sudah lama memerintah dan telah membawa kemajuan kepada negara ini?

Tiada satu jawapan tepat dapat diberi kenapa BN dilihat sebagai berada dalam keadaan sekarang. Dimana-mana saja orang bercakap mengenai kenaikan petrol, kenaikan kos hidup harian yang tidak terkawal. Dimana-mana saja dibualkan soal itu ini yang tidak manis berkaitan BN.

Setiap keputusan pilihanraya ditentukan oleh isu-isu nasional dan tempatan. Trend pilihanraya kebelakangan ini menunjukkan pengundi memilih 'who can deliver', iaitu siapa boleh berkhidmat. Kereta besar yang dipandu oleh calon pilihanraya bukan lagi dinilai oleh pengundi.

Selain isu, keputusan pilihanraya juga dipengaruhi oleh persepsi. Kebelakangan ini banyak persepsi negatif melingkari BN berbanding pesaingnya. Persepsi bukan mudah ditolak. Persepsi yang ada sekarang menunjukkan BN seperti bernafas dalam lumpur. Benarkah begitu?.

Setakat ini sama ada BN atau Pakatan Rakyat masih perlu bekerja kuat memenangi hati rakyat. Apa yang diharapkan atau dituntut oleh para pengundi sekarang ini semakin tinggi. Pengundi mahukan lebih dari apa yang mereka dapat selama ini. Musim berbulan madu sudah tidak ada lagi pada Pakatan Rakyat dan BN. Wakil rakyat mesti betul-betul bekerja, bukan setakat hadir meresmikan majlis tertentu atau minum kopi dua tiga meja dengan penyokong dan pengampu tegar. Rasa hormat yang tinggi kepada wakil rakyat seperti masa-masa lalu sudah mulai hilang. Wakil rakyat sekarang bukan lagi tuan yang mengharap dirai tetapi sekedar pekerja parti bagi menjaga kebajikan kawasan yang diwakilinya.

Jika sesiapa tidak sanggup menjadi kuli, menjadi posmen kepada rakyat, usahlah melobi untuk menjadi calon pilihanraya. Jika sesiapa tidak tahan rumahnya sentiasa dikunjungi atau handphonenya sentiasa berbunyi, lebih baik buat kerja sendiri menjaga anak bini. Menjadi wakil rakyat memerlukan banyak pengorbanan.

Tentulah amat menarik melihat persaingan sengit dalam pilihanraya umum nanti!.

12 October 2011

Darah Dan Nadi Nusantara

Sewaktu kecil ayah saya selalu bercerita soal Indonesia dan alam Melayu. Ayah amat prihatin mengenai segala perkembangan di rantau sebelah sini, apa lagi soal politik. Ayah tidak jemu-jemu bercerita mengenai Nusantara dan bagaimana indahnya jika alam Melayu ini wujud dalam sebuah kesatuan.

Ketika konfrantasi Malaysia - Indonesia kami mencuri-curi mendengar radio Indonesia. Pidato Sukarno yang berapi-api itu menjadi tarikan utama. Propaganda radio Indonesia kononnya rakyat Malaysia makan tikus kerana kebuluran masih terngiang-ngiang ditelinga saya. Namun ayah masih sama, bercerita tentang alangkah indahnya andai Malaysia dan Indonesia tidak bersengketa.

Demikian sekali perasaan ayah saya. Baginya Malaysia, Indonesia, Singapura, selatan Filipina, selatan Thailand dan Berunei adalah satu. Bagi ayah saya hanya sempadan politik yang dibuat oleh penjajah telah memisahkan dunia Melayu. Baginya sempadan sebegitu tidak seharusnya memisahkan hati, perasaan, budaya dan kehidupan manusia Asia Tenggara berkulit sawo matang ini.

Semasa zaman kanak-kanak juga jika kami balik ke kampong asal keluarga di Guar Lobak, Padang Serai, Kedah kami akan selalu ke masjid di kampong berdekatan. Masjid tua itu menempatkan sebuah pusara lama yang masih dijaga dengan baik. Ramai penduduk disitu, di Guar Lobak, di Padang Serai dan Kulim secara umumnya adalah keluarga kami.

Bila sudah dewasa saya mulai faham kenapa ayah begitu tinggi cintanya pada pan Nusantara. Sebagai seorang aktivis politik dizaman mudanya, ayah melihat konsep kenegaraan yang lebih luas. Kini walaupun semua itu tinggal mimpi, bagi ayah kesamaan Nusantara biar kekal selamanya. Biar kita berbeza negara namun kita adalah warga besar Nusantara!.

Nusantara atau Asia Tenggara sudah cukup luas untuk menjadi tempat pasaran barangan kita. Semua penduduk yang sekarang menjadi warganegara Nusantara boleh memunafaatkan kelebihan ini. Siapa jua kita sama ada Cina, India, lain-lain bangsa atau mereka yang berasal keturunan Nusantara tidak akan rugi apa-apa kalau konsep kawasan pasaran dagangan yang luas ini diberi perhatian oleh kerajaan negara-negara berkaitan. Nusantara yang kaya ini jangan kita rosakkan dengan sengketa yang tidak menguntungkan siapa-siapa.

Darah dan nadi Nusantara terletak pada kita semua!.

Amerika Mulai Selsema

Semasa menunggu kereta diservis tadi saya sempat membelek beberapa akhbar perdana. Memang sudah agak lama saya tidak membaca akhbar-akhbar itu, kalau adapun sekadar membaca tajuk-tajuk berita. Saya hanya membaca agak detail hal tertentu khususnya berita luar negara.

Menjadi kelaziman saya sejak beberapa tahun lalu membaca berita atau laporan melalui online. Berita online lebih cepat dan tidak sensasi sangat. Berita online walaupun tidak dijamin 100% benar namun lebih mudah dilayari diofis setiap masa kita mahu. Itulah kelebihan dunia teknologi terkini.

Antara berita yang menarik perhatian saya beberapa hari ini ialah berkaitan unjuk rasa atau demonstrasi jalanan di Amerika Syarikat, khususnya di New York. Tunjuk perasaan anjuran kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai mewakili 99% rakyat Amerika amat menarik untuk diikuti. Sungguhpun tunjuk perasaan adalah perkara biasa dan dibenarkan di Amerika, tunjuk perasaan ini agak berbeza dari yang lain-lain.

Tunjuk perasaan yang bertumpu di zon ekonomi utama New York itu berkisar soal kehidupan rakyat terbanyak di Amerika yang dihimpit kos hidup dan ekonomi keluarga yang tidak menentu. Kemelesetan ekonomi yang melanda Amerika sejak Bush dengan sombongnya mendaratkan tentera di Iraq dan Afghanistan membuatkan ramai rakyat negara Uncle Sam itu menghadapi hilang pekerjaan dan lain-lain. Tekanan hidup sekian lama telah mendorong mereka turun ke jalanraya menyatakan bantahan terhadap dasar-dasar kerajaan Presiden Barrack Obama.

Antara bantahan utama rakyat Amerika ialah apa yang dikatakan layanan istimewa kerajaan mereka terhadap golongan super kaya. Golongan super kaya ini hanya mewakili 1% dari jumlah rakyat Amerika tetapi dikatakan menerima layanan istimewa kerajaan dalam pelbagai perkara. Mereka yang super kaya ini tentulah dari kalangan ahli perniagaan yang berpengaruh besar di Amerika. Lobi dari golongan ini ternyata cukup besar dalam menentukan dasar-dasar kerajaan negara itu.

Tunjuk perasaan di Amerika ini memberi satu isyarat jelas ke seluruh dunia iaitu bilamana rakyat terbanyak merasa dipinggirkan atau tidak dilayan sewajarnya, mereka tiada jalan lain kecuali menyatakan bantahan mereka. Biasanya rakyat begini akan turun ke jalanraya selain dari menghukum kerajaan melalui pilihanraya. Lihatlah apa yang telah berlaku di Tunisia dan Mesir!.

Amerika nampaknya baru dihinggapi selsema. Akan ada banyak penyakit lain nantinya melanda Amerika, satu persatu. Jika Kesatuan Soviet boleh tumbang pada dekat lalu, apakah Amerika sedang mulai melangkah di lorong yang sama?

Sejarah empayar dunia sejak zaman berzaman menceritakan segala-galanya!.

Menilai Setiakawan

Kata orang teman ketawa senang dicari, teman menangis sukar didapati. Teman ketawa boleh dijumpa dimana-mana. Teman menangis memerlukan masa untuk ditemui, untuk dikenal hati budi.

Teman ketawa adalah sekadar teman biasa. Teman sebegini hanyalah buat mengisi masa senggang berbual sambil minum kopi dan makan semangkuk mee sup dimana-mana-mana saja. Teman ketawa bertaraf semi kawan saja. Hanya cerita manis dan bagus sahaja boleh dibawa bicara dengan teman tepi jalan begini. Ia hanya kawan biasa, tidak lebih dari itu.

Teman menangis pula memang benar-benar seorang teman, seorang sahabat. Teman menangis bermaksud seorang kawan atau teman yang boleh dibawa berbincang apa saja, suka dan duka. Teman sebegini boleh diharap bersama dalam apa jua keadaan. Teman menangis ialah sahabat yang sanggup susah dan senang bersama kita. Sahabat begini adakalanya lebih rapat dan lebih banyak membantu berbanding saudara mara kita sendiri.

Bagaimana mengenal teman ketawa atau teman menangis?

Pengalaman menunjukkan bahawa amat mudah mengenali teman ketawa. Teman begini kalau kita minta tolong akan ada saja alasannya untuk tidak menolong. Kalau diajak minum-minum di kopitiam, bila-bila masa saja boleh. Teman begini kurang menepati janji.

Teman menangis pula amat berbeza. Teman begini agak sukar jadi mesra. Bila sudah jadi mesra dia akan benar-benar bersahabat dengan kita. Kita akan selalu dinasihati dan dibantu. Dia boleh diharap. Tiada unsur temberang dalam hidupnya. Apa yang dicakapkannya benar, bukannya lebih banyak auta berbanding fakta.

Berapa ramaikah kita ada teman menangis hanya kita sendiri yang tahu menjawabnya. Yang pastinya teman rapat yang sanggup susah senang selama bersahabat dengan kita payah dicari, sukar diganti!.

11 October 2011

Kisah Dan Pengajaran

Semasa belajar subjek sastera klasik di sekolah dulu saya tertarik dengan beberapa kisah yang terdapat didalam buku-buku sastera tersebut. Kalau buku-buku sastera di perpustakaan sekolah tidak mencukupi saya akan berkunjung ke perpustakaan awam di Sungai Patani dihujung minggu. Bila tidak cukup wang untuk tambang bas saya akan mendayung basikal atau disebut gerek ke perpustakaan.

Minat saya terhadap sastera amat mendalam. Oleh kerana itu buku-buku atau kitab sastera sentiasa ada diatas meja di kamar saya. Zaman itu tiada banyak hiburan walaupun filem-filem Hindustan ada yang bertaraf pecah panggung. Jadi membaca menjadi alternatif yang baik untuk saya.

Kisah yang dipaparkan dalam karya sastera klasik atau moden apabila dibaca dengan mata hati sungguh amat menarik dan mengasyikkan. Namun sastera walau bagaimanapun hebatnya tidak membawa apa-apa makna kalau sekadar dibaca apa yang tersurat. Membaca hanya yang tersurat ibarat menyuruh anak tadika menghafal skrip drama!.

Maka kerana itu jika kita membaca karya sastera, khususnya sastera klasik, banyak pengajaran tersirat yang akan kita peroleh. Membaca sambil menghitung dan mentafsir apa yang tersirat bukanlah sukar untuk dilakukan. Setiap kita mampu melakukannya, kalau kita mahu berfikir.

Cerita penglipur lara seperti kisah atau hikayat Pak Kadok bukan sekedar bahan ketawa ringan. Ianya memuatkan kritikan sosial secara tersirat yang masih relevan hingga sekarang. Bayangkanlah apa akan terjadi kepada negara seandainya raja berjudi dengan rakyat sebagaimana dipaparkan dalam kisah Pak Kadok. Bayangkan juga akibat dari kegilaan berjudi laga ayam pada masa itu kepada kedudukan sosial seorang warga atau rakyat. Ini semua digarap penuh seni oleh penulis cerita Pak Kadok.

Kisah atau cerita Pak Kadok tentunya tidak hanya berlaku di zaman klasik itu. Kisahnya masih terus berlaku disepanjang peradaban. Kisah dan akibat dari tabiat berjudi menjadi pengajaran berguna buat kita semua. Akibat suka berjudi Pak Kadok kehilangan tanahnya walaupun ayamnya yang menang!.

Mahukah kita mengalami nasib serupa sebagaimana dialami oleh Pak Kadok? Bukankah kita suka 'berjudi' dalam kehidupan seharian dan kehidupan bernegara?

Sanggupkah kita disorak sorai oleh tetangga atau generasi mendatang akibat kealpaan kita sendiri? Kita suka menang sorak kalah sabung!

Aduhai malang nasib Pak Kadok, ayamnya menang kampong tergadai. Aduh.

10 October 2011

Perkelahian Terhebat

Saya mengambil peluang waktu senggang selepas maghrib tadi untuk membaca dan meneliti buku Hikayat Hang Tuah terbitan bersama Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 1997. Buku atau kitab ini telah saya tela'ah sejak sekian lama tanpa jemu. Memang ada sesuatu yang amat istimewa mengenai Hikayat Hang Tuah ini.

Sesungguhnya nama Hang Tuah cukup besar di persada Nusantara. Hang Tuah dikira sebagai pahlawan terbilang di dunia Melayu yang sehingga kini tiada tolok bandingnya. Nama itu telah diangkat sedemikian rupa dan dimartabatkan sebagai hero Melayu zaman berzaman. Nama Hang Tuah sejak dulu terus meniti dari bibir ke bibir dan diagungkan  dari generasi ke generasi.

Tentunya nama Hang Tuah sinonim dengan ketaatan seorang rakyat kepada rajanya. Dan tentulah ketaatan itu membawa Hang Tuah berpencak dan bertempur satu lawan satu dengan sahabat sepermainan dan seperguruannya sejak dari kecil, Hang Jebat. Adegan pertikaman dan perkelahian itu dipaparkan dengan detail dan penuh debar oleh pengarang hikayat ini.

Episod perkelahian diantara Hang Tuah dan Hang Jebat bolehlah dianggap sebagai sangat besar dalam sejarah ketamadunan orang Melayu. Pertikaman yang penuh dengan siap siaga dan tipu daya itu berakhir sebagaimana kita semua sedia tahu, Hang Jebat mati ditangan Hang Tuah. Dengan keris Taming Sari anugerah Ratu Majapahit, Hang Tuah merodok dada Hang Jebat demi titah raja!

Bagi saya pertikaman itu mempamerkan beberapa perkara yang wajar diambil sebagai pengajaran oleh semua generasi. Demi perintah raja Hang Tuah sanggup membunuh sahabatnya sendiri. Hang Jebat menderhaka bukan sembarangan. Dia menderhaka demi membela sahabatnya, Hang Tuah yang dihukum bunuh oleh raja kerana fitnah dari kaki pengampu didalam istana. Seperti kata Hang Jebat, kalau bukan kerana membela Hang Tuah tidak mungkin dia berkelakuan sedemikian rupa menderhaka pada raja.

Semangat setiakawan yang tinggi yang ada pada Hang Jebat seharusnya dicontohi oleh ramai orang. Kawan menangis susah dicari. Kualiti yang ada pada Hang Jebat ini sebenarnya menggambarkan jatidiri manusiawi sebenar. Sahabat kita dianiaya tiada siapa yang akan membela melainkan kita sendiri. Berani kerana benar walaupun menanggung risiko yang pelbagai.

Perkelahian ini juga bagi saya menukilkan wajah sebenar manusia. Lihatlah bagaimana bila mengetahui Jebat sudah cedera ditikam Tuah ada ramai orang tumpang sekaki dengan coba menghabiskan Jebat yang sedang membalut lukanya. Inilah bentuk manusia yang berani setelah mengetahui orang yang hebat sudah tidak sekuat mana lagi. Inilah tukang henyak keatas orang yang sudah jatuh. Sebagaimana digambarkan secara tersirat oleh pengarang Hikayat Hang Tuah, orang sebegini adalah dari kategori pengampu dan penakut!.

Sayangnya perkelahian versi Tuah - Jebat bukannya berakhir setakat jatuhnya empayar Melayu Melaka. Banyak lagi 'Hang Tuah' yang setianya pada 'perintah raja' secara membuta tuli lahir dari semasa ke semasa. Dan biasanya 'Jebat' yang hebat itu akan.menjadi korban atas prinsip membela yang dipegangnya.

Apakah kita tidak belajar dari catatan pertikaman maha dahsyat itu?.

09 October 2011

Perjalanan Hidup

Selalunya orang tidak menilai sesuatu pengalaman hidup. Bagi mereka apa yang dilalui adalah satu rutin, satu kemestian seharian. Apa yang dilalui hanya sekadar biasa-biasa saja, tidak lebih dari itu.

Secara hakikatnya kita sentiasa belajar perkara baru setiap hari. Kalau kita memakai selipar misalnya tentu ada caranya agar selipar itu tidak cepat haus atau cepat rosak. Mengisi minyak kereta ada ketikanya yang bagus agar kuantiti minyak yang masuk tidak tersejat begitu sahaja. Jika minum air tentu ada caranya agar perut tidak mudah dimasuki angin.

Begitu jugalah dalam hal-hal lain disepanjang hidup ini. Apa yang kita lalui hari ini atau apa yang kita alami sebentar tadi semestinya sudah dilalui atau dialami oleh orang lain. Dan sudah semestinya generasi-generasi terdahulu telah lebih awal menempuh pengalaman yang sama. Generasi demi generasi yang hidup didunia ini ada sejarah dan pengalaman masing-masing.

Membaca dan mentelaah kitab atau buku Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Seri Lanang tidak lari dari apa yang saya sebut diatas. Kitab yang dikarang pada tahun 1612M itu banyak berkisar mengenai perilaku manusia dan perjalanan kerajaan terutamanya yang berlaku semasa kegemilangan kerajaan Melayu Melaka. Setiap satu peristiwa yang dinukilkan didalam kitab itu membawa makna tersendiri. Ada yang tersurat, ada yang tersirat.

Saya mentelaah buku itu lama dulu iaitu semasa di tingkatan enam sebagai subjek sastera yang saya ambil. Semasa itu mungkin kerana masih remaja tidaklah saya dapat menilai secara halus natijah kepada kisah-kisah dalam kitab Sejarah Melayu berkenaan. Bila sudah dewasa dan melalui simpang siur kehidupan saya dapati alangkah bernilainya segala apa yang diperturunkan didalam kitab tersebut.

Tentulah kita kena membaca dengan mata hati, dengan perasaan dan fikiran yang dingin!.

Satu daripada cerita atau ceritera didalam kitab itu ialah mengenai Tun Mutahir, iaitu Bendahara Melaka dizaman Sultan Mahmud Syah. Bendahara semasa itu adalah setaraf Perdana Menteri sekarang. Yang berbeza cuma semasa itu Sultan Mahmud berkuasa penuh sedangkan Bendahara hanya menasihati dan menjalankan perintah Sultan. Walaupun begitu peranan Bendahara amatlah berpengaruh dan penting.

Cukup menarik perhatian saya ialah Bendahara Tun Mutahir ini adalah asal keturunannya dari India. Sungguhpun majoriti penduduk Melaka masa itu berasal dari Kepulauan Melayu, kemampuan Tun Mutahir sehingga dilantik sebagai Bendahara tentulah wajar dikaji. Adakah beliau pandai mengampu raja, atau beliau memang pandai mentadbir, atau beliau naik melalui strategi yang disusun atau kerana apa?

Yang juga menarik untuk dikaji ialah pada zaman Tun Mutahirlah negeri Melaka cukup kaya dan berada dikemuncak kegemilangannya. Bila negeri kaya memang sedap berbelanja. Buat itu ini. Dan sayangnya dizaman gemilang itu juga berlaku rasuah secara berleluasa. Banyak pegawai-pegawai negeri menuntut rasuah dalam bentuk paksaan kepada penduduk dan peniaga. Sudah semestinya ini menimbulkqn kegelisahan rakyat. Dan bilamana Portugis menyerang pada tahun 1511 ada penduduk yang berdiam diri malahan ada saudagar (sekarang ini disebut peniaga-peniaga) terlibat membantu Portugis.

Semasa serangan Portugis, Tun Mutahir bukanlah Bendahara. Bendahara sewaktu itu dikatakan tepok,iaitu sangat lemah. Tinggalan pentadbiran Tun Mutahir menjadikan kekuatan Melaka tidaklah sehebat mana. Portugis masa itu bukan terlalu. Melaka juga bukan cukup bersedia. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis adalah cerita sedih zaman berzaman.

Tidakkah kita belajar dari pengalaman pahit itu? Sesungguhnya sejarah tidak pernah menipu. Sesungguhnya sejarah berulang!.

08 October 2011

Memorandum of Understanding

"... Maka titah Seri Teri Buana, "Apa janji yang dikehendaki oleh bapaku itu?"

Maka sembah Demang Lebar Daun, "Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan. Hendaklah ia diperbaiki oleh anak.cucu tuan hamba. Syahadan jikalau ia berdosya besyar-besyar dosyanya sekalipun jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosyanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar'i.

Maka titah baginda, "Kabullah hamba akan janji bapa hamba Demang Lebar Daun (tetapi hamba hendak minta satu janji pada bapa hamba.)"

Maka sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu tuanku?"

Maka titah Seri Teri Buana, "Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka, dan anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat pekertinya sekalipun."

Maka sembah Demang Lebar Daun, "Baiklah, tuanku. Tetapi jikalau anak cucu tuanku dahulu mengubahkan dia, anak cucu patik pun mengubahkan dia."

Maka titah Seri Teri Buana, "Baiklah, kabullah hamba akan waad itu."

Maka keduanya pun bersumpah-sumpahanlah barang siapa mengubahkan perjanjiannya itu dibalik Allah Subhanahu wa Ta'ala bubungan rumahnya ke bawah, kaki tiangnya ke atas..."

Petikan diatas saya ambil dari teks asal kitab Sulalat al-Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang terbitan bersama Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur 1997. Naskah asal kitab yang amat bernilai ini dikarang pada tahun 1612.

Petikan diatas amat menarik perhatian saya dan tentunya perhatian segala bijak pandai yang prihatin kepada santun dan adat Melayu dalam hal bernegara sejak zaman berzaman. Bagi saya inilah bukti bertulis akan wujudnya persefahaman atau perjanjian diantara pemerintah dan rakyat. Ianya suatu Memorandum of Understanding yang cukup mahal nilainya.

Tentulah ada sebab yang besar kenapa Tun Seri Lanang menukilkan semula.perjanjian itu yang berlaku lama sebelum wujudnya Kerajaan Melayu Melaka. Dan jika kita membaca keseluruhan kitab Sejarah Melayu itu maka kita akan dapati waad atau perjanjian berkenaan ada dilanggar yang membawa akibat tersendiri.

Pokok pangkalnya ialah pemerintah dan rakyat ada hak, ada tanggungjawab dan had masing-masing. Pada zaman kita ini sudah tentu perkara ini wajar mendapat perhatian semua pihak!

Kitab ini adalah hadiah dari sahabat saya almarhum Dato' Dr Hassan Ahmad, mantan Ketua Pengarah DBP yang kembali ke rahmatullah pada 31 ogos lalu. Hadiah ini amat bernilai buat saya sebagai suatu kenangan abadi selama bersahabat dengan almarhum.

Alfatihah.

Menjelang Senja

Nikmat hidup ini ada berbagai bentuk. Ada nikmat mata, nikmat telinga, nikmat selera dan bermacam-macam lagi. Semua nikmat ini pula tidak semestinya dirasai oleh setiap orang. Ada orang yang menikmati segala-galanya dan ada pula yang hanya merasai sebahagian dari nikmat-nikmat berkenaan.

Yang pastinya kalaupun segala bentuk nikmat itu dikecapi oleh orang tertentu, bukanlah bermakna nikmat berkenaan datang kepadanya secara serentak atau sekali gus. Mana mungkin seseorang itu ada segala-galanya. Mana mungkin seorang manusia begitu beruntung, begitu sempurna.

Oleh hal sedemikianlah manusia mesti selalu muhasabah diri, melihat ke dalam, menghitung segala apa yang telah dilaluinya disepanjang perjalanan hidup. Manusia harus mengukur dengan apa yang dicapainya berbanding manusia atau individu lain. Mengukur disini bermaksud apakah dia telah bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang telah dia perolehi.

Demikian juga halnya dengan perjalanan sebuah negara. Apakah segala pencapaian selama ini didapati secara percuma? Tidakkah kejayaan sesebuah negara juga sejenis nikmat yang dianugerahkan kepada para penduduknya?

Kejayaan negara sememangnya anugerah Allah, hasil segala perancangan dan kerja kuat semua pihak : rakyat dan pemerintah. Adalah salah kalau dianggap segala apa yang kita nikmati hasil dari kebijaksanaan pemerintah. Tidaklah benar kejayaan ini hasil dari kerja kuat seseorang. Kedua-dua pemerintah dan rakyat ada saham besar dalam mencipta kejayaan selama ini.

Bagaimana pula caranya kejayaan ini harus disyukuri?

Setiap orang ada haknya. Negara juga ada haknya. Jika negara dan rakyat saling menghormati hak masing-masing, itu tanda kita mensyukuri segala kejayaan dan nikmat yang dicapai selama ini. Menjelang senja begini tentu ada sesuatu yang boleh kita renungkan bersama!.

07 October 2011

Menggeliat Pagi

Kalau kita perhatikan kebanyakan binatang akan menggeliat sebaik sahaja bangun pagi. Kuving, lembu, kerbau, kambing, anjing memang dapat dengan nyata dilihat menggeliat. Sama ada kura-kura, tupai, katak, ular air, buaya menggeliat atau tidak sukar diketahui. Gajah memang menggeliat. Begitu juga kijang, rusa, kuda dan monyet.

Binatang-binatang ini menggeliat sebaik aktiviti pertama sesudah bangun tidor. Kerbau yang berkubang akan menggeliat dengan menjarakkan kaki kedepan dan menarik badan kebawah. Sesudah itu sang kerbau akan melibas-libas ekor dan telinganya sambil menggoyangkan badan. Selepas itu barulah kerbau ini mulai berjalan. Bagi kerbau jantan galak pula, dia akan mulai menyondol-nyondol kerbau betina!.

Kucing menggeliat pula nampak cukup istimewa. Kucing akan mendepakan kaki ke hadapan dan kaki belakang pula dihulur jauh ke belakang. Kemudian si kucing akan menarik badannya. Sesudah itu kucing ini akan melentok-lentok badan sambil menggegarkan seluruh anggotanya. Kucing akan menggeliat sambil mencakar-cakar lantai.

Apakah sebenarnya fungsi menggeliat? Adakah menggeliat melambangkan kemalasan?

Sesetengah keluarga menganggap menggeliat sebaik bangun melambangkan kemalasan. Sebab itu anak-anak yang menggeliat disuruh segera mandi pagi tanpa membuang masa menggeliat. Bagi saya tanggapan ini tidak betul sebab menggeliat ada fungsinya tersendiri.

Menggeliat sebenarnya adalah bentuk regangan badan seawal bangun pagi. Menggeliat berfungsi sebagai menyusun semula urat saraf yang terkumpul sewaktu tidur. Menggeliat menyebabkan darah cepat mengalir ke anggota badan yang diregangkan.

Adakah menggeliat sahaja memadai tanpa pergerakan regangan atau senaman lain?

Dalam tradisi seni chi kung yang saya pelajari menyatakan bahawa menggeliat memang digalakkan. Cuma sepatutnya regangan hendaklah dibuat sesudah itu atau selepas mandi dan gosok gigi. Regangan yang sederhana baik mengambil masa sekitar 10 minit untuk membuat badan rasa segar sepanjang hari.

Bentuk regangan bolehlah dipelajari. Senam harimau misalnya amat baik untu kesihatan. Ianya mudah dipelajari dan diamalkan sebaik sahaja bangun pagi. Senam harimau walaupun biasanya dikaitkan dengan fungsi kelamin namun ianya tetap bagus untuk kesihatan secara keseluruhannya. Senam harimau merupakan teknik regangan sesudah bangun tidur yqng diamalkan oleh orang Melayu ternyata cukup berkesan.

Saya sentiasa melakukan aktiviti menggeliat dan regangan. Tentulah saya juga amalkan senam harimau. Seni senaman chi kung yang saya pelajari sekian lama itu membantu saya mengekalkan kesihatan dalam kesibukan tugas professional yang mencabar ini.

Bilamana saya tidak melakukan regangan sebagaimana sepatutnya, badan akan.memberi isyarat bahawa saya kena melakukan regangan dan senaman-senaman itu. Badan terasa tidak segar. Rasa macam ada yang tidak kena. Bayangkan bagaimana yang dirasai oleh orang yang tidak pernah melakukan regangan atau senaman?

Melakukan regangan dan senaman bukannya susah. Jika kita mahu apa saja akan jadi mudah!.

06 October 2011

Bahu Tempat Menangis 4

Menjadi ahli politik amat tinggi risikonya. Yalah, kalau takut dipukul gelombang jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut menghadapi cabaran, jangan coba untuk memasuki dunia politik yang tidak menentu itu. Hari ini awak di atas, esok belum tentu lagi. Hari ini awak dipuja, esok mungkin awak dalam penjara.

Politik menjanjikan pelbagai pulangan, ada yang jadi kaya ada yang hidup seadanya. Namun secara umum politik dilihat sebagai jalan cepat kaya, cepat ternama. Bila ada jawatan politik cakap sudah masin, sudah laku. Jadi ketua cawangan sudah cukup untuk diraikan seadanya, apalagi kalau jadi ketua bahagian atau ketua perhubungan negeri.

Itu kalau kita sebut hal dalam Umno. Dalam Pas dan PKR dan Dap juga sama. Jawatan yang bagus dalam politik membawa bersamanya tanggungjawab dan habuan, sedikit atau banyak.

Rakyat umumnya lebih bertumpu kepada pimpinan Umno sebab parti terbesar itu sudah sekian lama memerintah negara. Lagipun ramai pemimpin Umno dari peringkat cawangan sehinggalah ke Majlis Tertinggi dilihat sebagai tokoh dalam masyarakat. Mereka lebih menonjol sebab mereka lebih pandai mengambil perhatian sama ada secara bercakap kuat di kedai kopi atau menayang kereta yang baru dibeli selepas memegang jawatan parti!.

Pemimpin Umno juga dilihat mempunyai kualiti 'PR' yang lebih baik berbanding pemimpin parti lain. Cara orang Umno bersalam dan hormati kenalan dikatakan sebagai sangat bagus berbanding pesaing mereka. Orang Umno akan bayar makan minum untuk beberapa meja. Begitulah.

Yang huduhnya dalam Umno ialah bila seseorang pemimpin itu hilang kuasa. Dia jadi seperti tidak bernilai lagi, seperti tidak dipeduli. Dia jadi sebagaimana saya sebut sebelum ini, anjing buruk kepala. Inilah saat sedih dalam kerjaya politik bekas pemimpin Umno diberbagai peringkat.

Seorang bekas menteri pernah merungut kepada saya bagaimana tiada siapa lagi mengiringi beliau. Semasa di lobi parlimen tiada sesiapa mahu ambil pusing halnya sedangkan semasa itu beliau masih Ahli Parlimen. Seorang bekas speaker Dewan Undangan Negeri rasa kecil hati bila tiada siapa pedulikannya lagi bila beliau sudah 'pencen'. Secara sinis beliau berkata keadaan begitu agak bagus juga sebab rumput di halaman rumahnya sudah boleh tumbuh semula!

Adakah nasib begitu hanya dialami oleh bekas pemimpin Umno? Adakah bekas orang kuat Pas tidak mengalami nasib yang sama? Bagaimana dengan kalangan orang kuat MCA, MIC, Gerakan, PBB, PKR, Dap dan lain-lain? Bagaimana keadaan mereka sesudah tidak lagi berkuasa? Cukupkah bahu disekeliling untuk mereka bersandar dikala menangis hiba?

Apa jadi pula dengan Muammar Ghaddafi dan Hosni Mubarak dan pemimpin Tunisia yang jatuh akibat kebangkitan rakyat?

Belajarlah dari sejarah disekeliling kita.

05 October 2011

Belanjawan 2012

Akhbar-akhbar online hari ini banyak menyentuh mengenai Belanjawan Negara 2012 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen minggu ini. Memang sejak.sekian lama pembentangan Belanjawan menarik perhatian semua orang. Belanjawan itu amat penting bagi rakyat negara ini.

Yang menariknya ada akhbar secara jelas mahukan Kerajaan memberikan perhatian kepada kos sara hidup yang tinggi masa ini. Rakyat mahukan perkara ini diberikan keutamaan. Jika pendapatan ditambah sedangkan kos hidup juga bertambah dengan mendadak, ini tidak memberi apa-apa erti kepada kehidupan rakyat. Oleh sebab itu
Suka atau tidak, Kerajaan mestilah memberi perhatian kepada perkara ini.

Bagaimanakah caranya mengurangkan kos hidup? Adakah secara cukai-cukai ditiadakan atau diturunkan? Atau adakah secara harga barangan dikawal sepenuhnya? Mungkin wajar subsidi diberi kepada rakyat keseluruhannya dan tol dihapuskan?

Tentu Kerajaan faham apa kehendak rakyat diwaktu ini. Kenaikan harga barangan keperluan harian amat nyata. Dengan wang rm50 ditangan tidak banyak benda boleh dibeli. Sekali ke pasaraya habis tiga empat ratus ringgit hanya untuk membeli beras, minyak masak, ikan, gula, tepung, roti, ikan dan serba sedikit keperluan lain. Itu belum diambil kira keperluan persekolahan anak dan sebagainya.

Inilah sebenarnya yang menjadi rungutan orang ramai. Kos hidup yang tinggi membebankan semua orang, kecuali orang yang benar-benar kaya atau yang mendapat rezki secara mudah. Selain daripada orang sebegitu, rata-rata dirasakan peritnya kenaikan kos hidup.

Adakah penurunan harga bahan bakar boleh membantu menurunkan kos hidup?

Jawapannya ialah ya, memang boleh. Penurunan harga bahan bakar yang ketara semestinya akan turut menarik turun harga barangan lain.

Jadi apa Kerajaan perlu buat?

Kerajaan perlu prihatin kepada masalah rakyat. Kerajaan kena ada keberanian yang tinggi demi keselesaan hidup rakyat!.

04 October 2011

Antara Perdana Menteri Dengan Menteri Kewangan...

Dua jawatan penting kabinet yang disebut dalam Perlembagaan ialah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Ini bermakna kedua-dua jawatan itu adalah tulang belakang kepada kabinet, sekali gus amat penting di negara ini. Sudah semestinya kedua-dua jawatan tersebut mempunyai relevansi masing-masing.

Jawatan Perdana Menteri adalah jawatan yang paling utama. Di Malaysia, Perdana Menteri adalah ketua Kerajaan. Yang Di Pertuan Agong pula adalah ketua Negara. Ketua Negara dari segi protokol mengatasi semua orang lain dalam negara ini. Ketua Negara mempunyai tugas tertentu sebagaimana digariskan oleh Perlembagaan.

Sebagai ketua Kerajaan tugas Perdana Menteri amat penting. Itulah nakhoda negara. Jatuh bangun negara ini banyak terletak dibahu Perdana Menteri. Jawatan sepenting itu bukannya mudah. Melaksanakan tugas Perdana Menteri dengan baik dan berkesan sentiasa diperhatikan oleh rakyat. Perdana Menteri bertanggungjawab kepada negara dan rakyat.

Menteri Kewangan pula adalah seorang anggota kabinet yang dipilih oleh Perdana Menteri. Jawatan kabinet ini biasanya diisi oleh anggota kanan parti pemerintah yang menjadi kepercayaan Perdana Menteri. Menteri Kewangan bertanggungjawab terhadap hal ehwal kewangan negara, antara lain menyediakan dan membentangkan belanjawan negara setiap tahun. Jawatan yang penting ini sudah semestinya sentiasa mendapat perhatian semua pihak.

Seingat saya jawatan Perdana Menteri sejak zaman almarhum Tunku Abdul Rahman sehingga akhir 1998 tidak dibebankan dengan tugas sebagai Menteri Kewangan. Hanya sesudah akhir 1998 sehinggalah sekarang barulah jawatan itu diisi oleh orang yang sama iaitu Perdana Menteri sendiri. Dua jawatan negara yang cukup berat dan penting dipikul oleh orang yang sama!.

Bagi saya eloklah amalan ini dilihat kembali. Adalah lebih baik jawatan Menteri Kewangan tidak dipegang oleh Perdana Menteri. Kebanyakan negara-negara lain di dunia ini dua jawatan itu diisi oleh tokoh yang berlainan. Tentu ada sebabnya kenapa Perlembagaan kita secara tersirat menyebut Perdana Menteri dan Menteri Kewangan secara berasingan.

Dalam usaha meletakkan negara mendepani cabaran dunia sekarang saya fikir perkara ini patut difikirkan secara serious oleh kita semua.

Aduhai Kampong Baru

Kampong Baru terletak ditengah-tengah Kuala Lumpur. Kedudukannya amat strategik, dikelilingi oleh pusat komersial di bandaraya itu. Kedudukan ini menjadikan Kampong Baru dilihat sebagai bakal memberikan untung amat besar jika ditukar menjadi sebuah destinasi perdagangan canggih. Dan kerana tanahnya yang agak luas, Kampong Baru dikira sebagai bernilai emas dalam pasaran hartanah di ibu kota.

Saya membaca dengan prihatin laporan akhbar hari ini berkaitan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 yang dibawa ke Parlimen dalam sidangnya. Rang Undang-undang itu adalah menggantikan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 yang ditarikbalik oleh Kerajaan. Rang undang-undang ini diadakan bagi tujuan menyediakan kerangka atau mekanisma yang lebih lengkap dalam usaha membangunkan kampong Melayu terbesar di ibu kota itu. Setidak-tidaknya inilah natijah utama rang undang-undang berkenaan.

Kampong Baru wujud sebagai 'Malay Agricultural Settlement' semenjak British menjadi penasihat kepada Sultan Selangor dulu. Hasilnya penempatan itu dihuni oleh pelbagai suku Melayu dari seluruh Nusantara. Ada orang jawa, bugis, minang dan sebagainya. Ada sekumpulan orang Melayu berpindah ke Kampong Baru dari Melaka dan mendiami kawasan Melaka Pindah. Orang lama atau orang lebih berusia di Kampong Baru dipanggil 'mamak', kemungkinannya berdasarkan gelaran sedemikian di Melaka!.

Semasa menjadi pegawai kerajaan satu ketika dulu, saya sering mengiringi Datok Bandar Kuala Lumpur dan turut hadir dalam mesyuarat bersama jawatankuasa MAS di Kampong Baru. Mesyuarat berkenaan biasanya ialah berkaitan bangunan yang hendak didirikan disitu atau apa-apa saja yang ada kena mengena dengan pembangunan Kampong Baru. Pada masa itu lagi nilai tanah Kampong Baru telah membuat banyak mata terbeliak besar. Bayangkanlah berapa harga tanah bagi setiap kaki persegi di Kampong Baru sekarang!.

Kampong Baru dan pembangunannya telah menjadi isu sejak sekian lama. Ramai orang berpendapat apa salahnya Kampong Baru terus kekal begitu, kekal sebagai nadi Melayu ditengah-tengah Kuala Lumpur. Malukah kita mempunyai Kampong Baru sedemikian rupa?. Dan satu soalan yang pasti ditanya ialah jika Kampong Baru 'dibangunkan', bolehkah harta disitu terus dimiliki atau mampu dibeli oleh orang Melayu?.

Seingat saya beberapa tokoh pentadbir dan politik yang beria-ia ingin 'membangun' Kampong Baru mengakhiri kerjaya mereka dengan keadaan yang tidak cukup membanggakan. Mungkinkah ada suatu sumpah diantara Sultan Selangor dulu bahawa sesiapa jua yang ingin 'menyentuh' Kampong Baru akan ditimpa tulah?.

Ini bukan satu tahyul tetapi bacalah sejarah.

03 October 2011

Penurunan Kadar Jenayah : Bagaimana Dinilai?

Ulasan saya mengenai kadar jenayah yang dikatakan turun berdasarkan laporan akhbar semalam telah menarik perhatian beberapa pihak. Rakan-rakan bersetuju dengan sudut pandangan yang saya kemukakan, malah ada yang mengatakan keadaan sebenar adalah tidak sepertimana yang dilaporkan. Bagi saya ini sukar mahu dibuktikan secara angka sebenar.

Apa yang jelas ialah apakah kriteria yang diambil bagi membuat dapatan bahawa kadar jenayah telah menurun? Adakah atas berkurangnya jumlah kes-kes yang dilaporkan?. Atau adakah ianya berdasarkan kes yang tidak diteruskan (no further action) atau bersandarkan kepada jumlah kes yang dilupuskan di mahkamah?.

Pada kebiasaannya ukuran berkurangnya jenayah diasaskan kepada berkurangnya jumlah kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ini bermakna jika laporan kes menurun, kejadian jenayah juga menurun. Tentulah ini menggembirakan semua pihak. Pasti semua orang boleh menarik nafas lega.

Bagi mengatakan kadar jenayah turun di negara ini adakah cukup setakad itu?. Dalam hal pendapatan perkapita, adakah benar pendapatan rakyat kita cukup tinggi secara sebenarnya? Pendapatan tinggi golongan tertentu adakah melambangkan rakyat negara kita mewah belaka? Inilah perbandingan yang boleh dibuat kepada penurunan kadar jenayah. Kurangnya laporan kes-kes adakah suatu ukuran muktamat bahawa kadar jenayah secara sebenarnya memang berkurang?.

Saya kira orang ramai menanti penjelasan lebih lanjut dari pihak berkuasa demi keselesaan hidup bersama.

02 October 2011

Kadar Jenayah Turun : Suatu Realiti Atau Apa?

Saya membaca lapuran muka depan sebuah akhbar hari ini dengan satu persoalan besar : benarkah kadar jenayah di negara ini menurun?. Bagi menjawab persoalan yang bermain di minda itu saya paparkan satu posting di wall facebook saya. Dan respons yang agak rancak dari rakan-rakan facebook saya menunjukkan isu ini memang mendapat perhatian rakyat.

'Kadar jenayah di Malaysia menurun : realiti atau fantasi?' saya paparkan di facebook mendapat reaksi yang hampir sama. Hampir kesemuanya sukar percaya bahawa kadar jenayah sudah turun di negara ini. Mereka menganggap lapuran itu sebagai tidak tepat.

Kenapa ini terjadi? Kenapa lapuran penurunan kadar jenayah di negara kita diterima dengan skeptikal? Teruk sangatkah keadaan diluar sana sehinggakan demikian sekali persepsi orang ramai?

Jenayah walau bagaimana kecilpun ditolak oleh masyarakat. Tiada masyarakat yang bertamadun dapat menerima perlakuan jenayah. Tanyalah siapa jua. Reaksi masyarakat jelas membenci dan menolak jenayah. Masyarakat enggan berkompromi dengan penjenayah. Masyarakat tidak menyediakan tempat untuk penjenayah.

Karena itu masyarakat memberi perhatian dan prihatin bilamana jenayah berlaku. Dan akhir-akhir ini kejadian jenayah tampak sering berlaku disana sini. Masyarakat menjadi responsif. Masyarakat mahukan jenayah dibanteras. Masyarakat mahu jenayah diperangi ke akar umbi!

Oleh kerana keselamatan tempat tinggal perlu diutamakan, kita melihat berkembangnya permintaan kepada khidmat kawalan keselamatan. Di Lembah Kelang trend meletakkan kawalan keselamatan di kawasan kediaman bukan perkara baru. Orang sanggup membayar asalkan keselamatan rumah mereka terjamin. Orang lebih gemar membeli rumah kediaman yang baru dibangun dengan ciri keselamatan. Dan trend itu terus berkembang dan berkembang.

Jadi bila ada kenyataan bahawa kadar jenayah turun, ramai orang yang waras sukar menerimanya sebagai 100% benar. Kalau benar-benar turun, alhamdulillah. Jangan ada faktor kosmetik atau kurang tepat. Sebagai rakyat saya amat berterima kasih bila kadar jenayah turun. Yang menjadi persoalannya ialah kebanyakan kita melihat kepada realiti, kepada apa yang dilapurkan media setiap hari.

Bukankah kita dihidangkan dengan seribu macam lapuran kejadian jenayah saban hari? Bukankah perkara ini masih berlaku secara berleluasa?.

Saya cuma berharap agar kejadian jenayah tidak menimpa kita sebagaimana telah berlaku ke atas orang lain. Selain daripada itu tidak banyak pilihan yang ada pada kita. Tiada.